Saturday, January 23, 2010

Hari Jum'at & Solat Jum'at: Keutamaannya (Samb...)

Assalamualaikum,
Kita teruskan perbincangan kita tentang tajuk di atas dan melihat lagi apakah persiapan-persiapan yg terbaik ketika hendak bersolat Jum'at itu. Harus diingat selain ketetapan yg khusus yg terdapat dalam mana-mana amalan yg dicontohkan oleh Rasulallah (s.a.w), kita mendapat pahala kerana mengikuti as-Sunnah.
Perintah mengerjakan solat Jum’at itu diadakan di dalam Surah al-Jum’at, khususnya Ayat 9, Surah al-Jumuat. Telahpun kita teliti sebelum ini. Kita juga telah teliti ketetapan Rasulallah (s.a.w) mengenai perintah Allah (a.w) mengenai syariat Solat Jum'at itu, sebelum ini. Di dalam ayat tersebut, Allah (a.w) berfirman bahawa:

§ Apabila masuk waktu solat Jum’at dan diazankan, maka umat Islam hendaklah meninggalkan segala kegiatan dunia mereka dan bersegeralah pergi ke masjid untuk Solat Jum’at dan mendengar khutbah Jum’at;

§ Solat Jum’at atau perbuatan sedemikian itu lebih baik di sisi Allah (a.w) bagi orang Islam; dan

§ Selepas menunaikan solat Jum’at manusia disuruh bertebaranlah di bumi Allah (a.w) mencari rezki masing-masing atau meneruskan urusan dunianya, sama ada berniaga (pada zaman Rasulallah (s.a.w)) atau ketika turunnya ayat ini atau aktiviti selainnya.
Mengikut riwayatnya hadith ini turun apakala jemaah umat Islam pada suatu hari sedang bersedia untuk solat Jum’at dan ketika sedang mendengar Rasulallah (s.a.w) berkhutbah.
Tetapi, apabila kedengaran para jemaah yang berada di mesjid untuk solat Jum’at, rombongan pedagang yang datang membawa dagangan mereka, maka bergegas mereka keluar mesjid untuk melihat dagangan dan hendak membeli belah, sedangkan Rasulallah (s.a.w) sedang berkhutbah. Maka turun ayat ini untuk mengingatkan manusia ketika itu bahawa solat Jum’at itu jauh lebih baik daripada berjualbeli, dan Allah (a.w) memerintahkan umat Islam hanya berjual belilah setelah selesai bersolat Jum’at
(a) Bersegera ke masjid
Hadith di bawah ini memberikan kelonggaran kepada kita. Dijelaskan juga bahawa mereka yang awal ke mesjid, duduk di saf hadapan, duduk diam (berzikir, membaca al-Quran, dsbnya), mendengar khutbah tanpa membuat kerja-kerja atau bercakap sia-sia, mendapat keampunan dosanya selama 10 hari (antara dua Jum’at ditambah tiga hari lagi).
1. Diriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah (r.a) berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Barangsiapa berwudu’ maka memperbaiki wudu’nya, kemudian datang dia (ke masjid untuk solat) Jum’at, maka mendekati dia (yakni, duduk di saf terdepan), dan diam dan mendengar (khutbah imam/khatib), diampunkan dosanya yang banyak antara dua Jumat, dan ditambah lagi tiga hari. Dan barangsiapa menyentuh kerikil-kerikil (yakni, bermain-main memegang sesuatu yang tidak berfaedah) maka sesungguhnya dia lahan (lagha, atau membuat perbuatan yang sia-sia, kerana tidak menumpukan perhatian dengan penuh khusus’ terhadap apa-apa yang dikhutbahkan oleh imam/khatib).’ [Hadith Ibnu Majah]

(b) Mandi seumpama mandi junub

Sesiapa yang bersolat Jum’at akan dicukupkan oleh Allah (a.w) ni’matNya (yakni, segala sesuatu yang hendak dikurniakan Allah (a.w) terhadapnya) ke atas orang itu serta dicukupkannya (yakni, dimurahkan) rezkinya dan segala keperluan hidupnya. Jika kita mandi pada hari Jum’at sebelum ke mesjid bersolat, kita mendapat pahala pula.
2. Diriwayatkan hadith daripada Anas bin Malik (r.a), katanya hadith daripada Nabi (s.a.w) yang bersabda: ‘Barangsiapa berwudu’ pada hari Jum’at (untuk solat Jum’at) maka dicukupkan oleh Allah (a.w) ni’mat baginya, dan mencukupkan oleh Allah (a.w) kewajipannya. Dan barangsiapa mandi maka mandi (pada hari Jumat itu) lebih afdhal’ [Hadith Ibnu Majah]
Di dalam hadith ini secara ‘implicit’ disabdakan oleh Rasulallah (s.a.w) kemungkinan seseorang itu tidak mandi atau berkesempatan mandi dengan sempurna (seumpama mandi junub) sebelum ke mesjid untuk solat Jum’at. Maka dengan itulah ada golongan ulama’ menyebutkan bahawa mandi pagi Jum’at, seperti diperintahkan oleh Rasulallah (s.a.w) dalam hadith-hadith sebelumnya sebagai wajib itu, adalah sunat yang diberatkan, yakni hampir-hampir wajib wallahu ‘alam. Mandi sedemikian juga mendapat pahala. Jika menepati speks ini maka Allah (a.w) cukupkan rezki kita dan memberikan pahala yang sepatutnya kepada kita. Selain itu, mandi seumpama mandi junub adalah mendatangkan pahala lain pula kerana keafdhalannya.

(c) Segera masuk masjid dan mengingatkan Allah (a.w)

Hadith di bawah ini pula menjelaskan fadilat seseorang yang bersegera ke mesjid untuk solat Jum’at. Disebutkan dalam hadith ini oleh Rasulallah (s.a.w) bahawa para malaikat menunggu-nunggu kedatangan jemaah ke mesjid di kesemua pintu mesjid dengan mencatit kedatangan mereka. Mereka yang datang awal ke mesjid ditulis oleh para malaikat pahala yang lebih.
Diumpamakan dalam hadith ini (dan hadith berikutnya) mereka yang mendahului jemaah di masjid itu seolah-olah berqurban seekor unta, kemudian sedikit berqurban seekor lembu dan sehinggalah, fadhilat yang terkecil sekali seumpama, sebutir telur. Apabila imam mula berkhutbah ditutup buku catitan oleh malaikat yang mencatit, dan mereka turut sama mendengar khutbah imam, jemaah yang dating dianggap hadir untuk solat Jum’at seolah-olah memenuhi syaratnya sahaja (yakni, syarat minima) untuk bersolat. Tidak ada pahala atau ganjaran tambahan bagi mereka.
3. Diriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah (r.a) berkata: ‘Sesungguhnya Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Ketika ada hari Jumat, ada atas tiap-tiap pintu dari beberapa pintu masjid (ada hadhir) malaikat yang menulis mereka pada manusia (yang datang ke mesjid) atas kadar tempat (yakni, kedudukan) mereka. Yang awal ditulis (oleh malaikat) orang yang awal. Maka ketika keluar imam (untuk berkhutbah) ditutupnya buku (atau kitab) catitan mereka, dan mendengar mereka (yakni, malaikat bersama-sama makmum dari kalangan manusia) khutbah. Maka orang yang datang awal ke mesjid (untuk solat) seumpama membawa hadiah (sedekah) seekor unta. Kemudian orang mengikutnya (kemudian pula) seumpama membawa hadiah seekor lembu. Kemudian mereka yang mengikutinya (kemudian pula) seumpama membawa hadiah seekor kibas (kambing). [Sehinggalah disebutkan oleh perawi hadith ini seekor ayam jantan, dan ditambah oleh Sahli (perawi lain) pada hadith ini sebiji telur ayam] Maka barangsiapa yang datang (ke mesjid) selepas itu (yakni, apabila imam atau khatib memulakan khutbahnya), maka sesungguhnya datang dia dalam haq untuk bersolat (yakni, semata-mata hadhir sahaja untuk bersolat, tiada pahala tambahan).’ [Hadith Ibnu Majah]
Maka dengan itulah para ulama’ menyuruh kita menyegerakan diri kita ke mesjid supaya mendapat ganjaran pahala seumpama mensedekahkan seekor unta dan jangan melambatkan datang ke mesjid. Apabila khutbah bermula mereka yang sampai hanya mendapat cuku syarat hadir (yakni, in attendance) untuk bersolat Jum’at, tanpa mendapat pahala tambahan.
4. Diriwayatkan hadith daripada Samurah bin Jundab (r.a) katanya: ‘Sesungguhnya Rasulallah (s.a.w) membuat misalan pada solat Jum’at kemudian (yang datang awal) berpagi-pagi (mereka ke mesjid untuk bersolat) sebagaimana menyembelih (qurban) seekor unta, kemudian adalah menyembelih (kurban) seekor lembu, kemudian adalah menyembelih (kurban) seekor kambing, sehinggalah disebutkan (seumpama menyembelih) kurban seekor ayam jantan.’ [Hadith Ibnu Majah]
Jelaslah betapa banyaknya pahala yang diperolehi oleh mereka yang bersegera menghadirkan diri di mesjid untuk solat Jum’at itu. Walapun begitu, ramai umat Islam yang menunggu di saat-saat akhir, apakala imam/khatib hampir hendak berkhutbah atau hampir hendak memulakan solat, baru bergerak ke mesjid kerana mereka tidak tahu kefadhalan mendengar khutbah dan datang awal ke masjid. Ada juga yang datang awal, tetapi menghabiskan masa berbual-bual kosong, terkadang mengata orang pula. Jadi sudahlah tidak mendapat pahala tambahan yang disediakan, mendapat dosa tambahan pula!

Semoga kita sentiasa mengingati diri kita untuk menimba sebanyak mungkin pahala sebagaimana yg telah kita ketahui dari as-Sunnah mengenai Solat Jum'at itu, insya Allah. Amin

Jazakalahhu khairah.

No comments:

Post a Comment