Wednesday, January 6, 2010

Doa - Cara dan Adab (Sambungan ...)

Assalamualaikum,
Kita telah teliti cara dan kaedah serta tatasusila berdoa dalam Islam berpandukan ketetapan as-Sunnah. Bagaimana pula kaedah berdoa dalam solat? Setahu kita bila kita bersolat - secara bersendirian atau berjema'ah - kita diajarkan supaya mengangkat kedua tangan sebagaimana berdoa selepas selesai solat. Adakah itu caranya berdoa semasa bersolat? Kita lihat panduan as-Sunnah mengenai perkara ini.
(viii) Doa Dalam Solat

Hadith di bawah ini menjelaskan bahawa semasa berdoa ketika dalam solat, yakni, sedang bersolat, kita tidak mengangkat tangan kita, kecuali apabila berdoa untuk satu jenis atau bentuk solat sahaja dibuat begitu, iaitu Solat (sunat) minta hujan (i.e. Solat Istisqaq). Dengan itu jelaslah bahawa cara kita berdoa dalam solat jauh bertentangan dengan syariat Islam mengikut as-Sunnah. Kerana, kita sekarang ini membuat perlakuan yang sama sekali tidak dibuat oleh Rasulallah (s.a.w)! Selain beberapa solat sunat yang mensyariatkan kita berdoa dalam solat, tidak ada keperluan berdoa secara formal dalam solat.
Di Malaysia, ada perbuatan yang berlainan daripada as-Sunnah, seperti berdoa dalam solat Subuh (kerana membaca doa Qunut) dan semasa bersolat solat Witir dalam bulan Ramadhan dan sebagainya. Yang kita amalkan sekarang ini jelaslah menyalahi atau berlainan daripada syariat Islam, seperti yang ditetapkan oleh Rasulallah (s.a.w) dalam hadith berikut:
9. Diriwayatkan hadith daripada Anas bin Malik (r.a) berkata: ‘Sesungguhnya Nabi (s.a.w) (didalam solat) tidak mengangkat kedua-dua tangannya semasa berdoa itu kecuali apabila dia berdoa semasa solat Istisqa’ (solat memohon turun hujan). Maka sesungguhnya (semasa berdoa solat Istisqa’ itu) ada dia mengangkat kedua-dua tangannya (ke atas) sehingga kelihatan putih kedua-dua ketiaknya.’ [Hadith Ibnu Majah & Hadith Abu Daud]
Hadith ini jelas dan tidak mengelirukan atau mempunyai maksud yang tersirat! Anas (r.a) memberitahu kita dua perkara: pertama, semasa bersolat dan jika perlu membaca doa di dalam solat tersebut, Rasulallah (s.a.w) tidak berdoa dengan mengangkat kedua-dua tangannya sebagaimana biasa kita berdoa; dan, kedua, hanya semasa mengerjakan solat Istisqa’ (solat memohon diturunkan hujan) sahaja Rasulalalh (s.a.w) berbuat sedemikian, yakni mengangkat kedua-dua tangannya berdoa. Dan, yang penting diperhatikan, Rasulallah (s.a.w) mengangkat kedua tangannya tinggi ke atas sehingga kelihatan bahagian ketiaknya oleh para jemaah.
Tetapi, apabila kita teliti perlakuan kita sekarang ini, timbul persoalan. Mengapakah kita perbuat sesuatu yang sama sekali berbeza dengan perlakuan atau perbuatan Rasulallah (s.a.w)? Bolehkah kita mengerjakan amalan dan ibadah yang berlainan daripada apa yang diamal dan diibadahkan oleh Rasulallah (s.a.w)? Atau, mungkinkah kita beramal dan beribadah tanpa ilmu atau kekurangan ilmu. Maksudnya, kita beramal dalam kejahilan. Atau, kita beramal secara ikut-ikutan kerana nenek moyang kita berbuat sedemikian? Atau, kita tahu ilmunya, tetapi kita rela patuhi dan ikuti suruhan dan ajakan golongan majoriti, maka kita ketepikan suruhan atau ketetapan Rasulallah (s.a.w) ini, dan sebaliknya ikut perbuatan majoriti.
Jika kita mengkaji hadith-hadith sahih dari mana-mana kitab hadith kita pasti akan ketemui bahawa cara dan kaedah perlakuan berdoa itu sudah jauh menyimpang daripada kaedah dan cara Rasulallah (s.a.w) berdoa. Pendeknya, kita tidak mengamalkan sunnah. Sekurang-kurangnya dapat kita simpulkan bahawa apabila mempraktikkan Islamnya, orang Melayu seumpama kita, tidak mematuhi 100% ketetapan as-Sunnah. Ada yang kita ikut dan ada yang kita ketepikan. Bolehkah? Justeru itu, mungkinkah kita mendapat pahala sunnah yang sepenuhnya atau tidak langsung mendapat apa-apa? Adakah kita berkemungkinan mendapat keredhaan Allah (a.w) apabila kita tahu perintah Allah (a.w) pada Ayat 7, Surah al-Haysr, iaitu:
Firman Allah (a.w): ‘Wama atakumur-rasulu fakhuzuhu, wama nahakum ‘anhu fantahu) [Maksud: Dan apa-apa yang didatangkan (atau dibawakan kepada kamu) oleh Rasulallah (s.a.w) maka hendaklah kamu sekelian ambil, dan apa-apa yang ditegah olehnya (terhadap kamu sekelian) darinya (sesuatu) maka tinggalkan’][Ayat 7, Surah al-Haysr]
Allah (a.w) peringatkan kita supaya masuklah ke dalam Islam sepenuhnya – tidak boleh ambil separuh-separuh, yakni ambil sebahagian dan tinggalkan sebahagian pula. Maka dengan itulah sukar bagi kita mendapat keredhaan Allah (a.w) terhadap sesuatu yang kita doakan, kerana silap cara dan kaedah serta kita tidak mematuhi ketentuan Allah (a.w), yakni al-Quran, dan ketentuan Rasulallah (s.a.w), yakni ketentuan as-Sunnah.
Pada umumnya, seseorang Islam yang berdoa itu hendaklah mengikuti sunnah, yakni perlakuan serta perbuatan Rasulallah (s.a.w). Doa mengandungi lima komponen utama, iaitu:

§ Dimulakan dengan memberi sebanyak-banyak pujian ke hadrat Allah (a.w);

§ Hendaklah kita berselawat ke atas Rasulallah (s.a.w);

§ Hendaklah juga kita mendoakan saudara sesama Islam, kerana semua orang Islam itu bersaudara;

§ Kemudian barulah kita mendoakan untuk kepentingan kita sendiri; dan

§ Menamatkan doa kita dengan memuji pula Allah (a.w), berselawat pendek untuk Rasulallah (s.a.w) pula.

Selain itu, ada kaedah lain pula perlu kita perbetulkan cara kita berdoa. Di dalam Bab 9 ini kita akan teliti dan halusi suruhan Rasulallah (s.a.w) di dalam hadith-hadith berikut.
[Nota: Ini menunjukkan pentingnya sabda Rasulallah (s.a.w) ‘Sollu kama ra aitumuni usalli’ itu, kerana setiap solat itu syariat (yakni, cara dan kaedah serta rukun-rukunnya atau spesifikasinya tidak sama). Maka dengan itu kita tidak boleh bersolat tanpa ilmu. Malah kita wajib bersolat mengikut cara dan kaedah Rasulallah (s.a.w) bersolat barulah solat kita itu menepati as-Sunnah dan tidak dicemari oleh bida’ah dan tidakah terbatal atau sia-sia solat kita.]
[Nota: Kita telah maklum dalam beberapa post yg lalu bahawa tiada dalam syariat Islam membaca doa Qunut dalam solat Subuh. Yang ada doa khusus apabila ada keperluan – Qunut Nazilah – yang dibuat untuk sesuatu tempoh yang tidak melebihi sebulan tetapi dibaca pada setiap solat fardu. Sila rujuk post-post yg lalu apabila kita teliti Solat Subuh dan Doa Qunut yang menjelaskan perlakuan solat, khususnya berqunut dalam solat Subuh, bersandarkan ketetapan as-Sunnah. Perbuatan sedemikian, yakni membaca Qunut sewaktu Solat Subuh tidak ada sandaran nas dan dalil al-Quran mahupun as-Sunnah. Jika demikian maka ia adalah sesuatu 'pembaharuan', i.e. 'bid'ah', dan jika 'bid'ah' rugilah kita kerana kita telahpun maklum melakukan sesuatu yg 'bid'ah membatalkan kesemua amalan dan ibadah kita, i.e. tak ada gunanya. Dalam Kitab Catatan Amalan kita ditulus kosong sahaja, seolah-olah kita tidak mengerjakannya! Malah, seperti yg telahpun kita semak hadithnya, kita terkeluar dari Islam tanpa kita sedari, wal iyazubillah!]
Maka dengan itulah dalam Islam kita wajib berilmu dahulu sebelum mengemalkan sesuatu. Ilmu itu adalah dua, iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Jika tiada dalam al-Quran dan as-Sunnah atau jika tidak dicontohkan oleh Rasulallah (s.a.w) (dan khalifah yg empat selepas beliau), maka amalan itu tergolong sebagai 'pembaharun' atau 'bid'ah'. Kita semenjak kecl diajar supaya baca Doa Qunut itu. Kalau kita tanya tok-tok guru mereka katakan inilah contoh 'bid'ah hasanah'. Yg penting kita ingatkan - dan dalam blog ini kita akan sentiasa diingatkan - bahawa segala sesuatu dalam Islam adalah berpandukan ketetapan Allah (a.w) (i.e. al-Quran) dan ketetapan Rasulallah (s.a.w) (i.e. as-Sunnah). Kita telah rujuk nas dan dalil al-Quran dan as-Sunnah.
Janganlah kita ambil ringan isu 'bid'ah' ini. Yg rugi kita bukan orang lain.
Jazakalllahu khairah

No comments:

Post a Comment