Thursday, January 21, 2010

Peringatan Harian ...

Assalamualaikum,
Saudara sekali sekala, jika tidak boleh setiap masa dan ketika, kita memperingatkan diri kita dengan memikirkan apakah yg telah kita lakukan kelmarin untuk akhirat kita? Dan, hari ini kita bertanya pula akan diri kita apakah hari ini kita dapat lakukan sesuatu yg lebih baik untuk akhirat kita pula, berbanding kelmarin? Esok, kita tidak boleh berangan-angan kerana kita tidak tahu apakah kita kekal dapat bangun tidur Subuh esok?? Jika kita sudah kirimkan kosong untuk akhirat kita kelmarin, hari ini mudah-mudahan kita dapat offset yg terlepas itu...
Rasulallah (s.a.w) mengingatkan kita yang Islam dan beriman itu supaya bersedialah demi kesejahteraan akhirat kita. Semua manusia diberi dua pilihan dalam hidupnya; iaitu, sama ada dia hendak berjaya atau gagal dalam kehidupan akhiratnya. Kerana, setiap seorang akan dibalas dengan satu dari dua balasan selepas matinya: iaitu, sebahagian manusia mendapat syurga dengan segala nikmat yang disediakan oleh Allah (a.w) baginya, jika dia taatkan Allah (a.w) dan taatkan Rasulallah (s.a.w), dan sebahagian lagi masuk neraka dan disiksa, jika dia engkar dan tidak Islam dan apabila Islam mengerjakan sesuatu ketidaktaatan semasa hidupnya.
Di dalam hadith berikut, Rasulallah (s.a.w) mengingatkan kita lima perkara setiap masa.
Diriwayatkan hadith dari ibnu Abbas (r.a) berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w) kepada seorang lelaki, dan Nabi menasihatinya: ‘Ya’izuhu ightanim khamsan qabla khamsin, syababaka qabla haramika, wa-sihhatika qabla saqatika, wa-ghinaka qabla faqrika, wa-faraghaka qabla sughlika, wa-hayataka qabla mautika.' [Maksud: Meraihlah (yakni, berusahalah atau mencarilah) (yakni, beramal dan beribadahlah untuk menyediakan diri untuk akhirat) lima perkara sebelum datangnya lima perkara: (pertama) ketika usia muda sebelum usia tua, (kedua) ketika sihat kamu sebelum sakit (atau, uzur) kamu, (ketiga) ketika kaya kamu sebelum faqir (yakni, tidak berada); (keempat) ketika longgar (yakni, lapang) kamu sebelum sibok kamu, dan (kelima) ketika (masih) hidup kamu sebelum mati kamu.] [Hadith al-Hakim dalam al-Mustadrak]
Kita disuruh bersedia mengerjakan serta memperbanyakkan amalan dan ibadah demi kebajikan akhirat kita ketika dalam suasana yang memudahkan kita mengerjakannya dan kita tidak dibendung atau dibelengui atau terhalang melakukannya. Lima perkara disebutkan yang memudahkan persediaan kita sebelum datangnya yang menyulitkan kita untuk beramal dan beribadah:

Pertama, ketika kita muda sebelum kita tua. Ketika muda kita penuh dengan tenaga dan kekuatan. Apakala tua kita akan lemah dan tidak mampu lagi berusaha dengan penuh gigih dan kekuatan tenaga fisikal kita. Ketika semua sendi mula sakit dan kita sudah kurang tenaga untuk beramal dan beribadah. maka dengan itu banyaklah amalan yang kita tertinggal kerana kita sering sakit dalam keadaan dhaif;

Kedua, ketika kita sihat sebelum kita uzur. Ketika muda kesihatan kita masih utuh dan jika sakitpun mudah sembuh. Ketika tua kita sering trganggu kesihatan dan ada sesetengah kita melarat mengidap oenyakit yang tidak mudah sembuh. maka ketika itu, kita kurang bertenaga untuk mengerjakan amalan dan ibadah, apatah lagi ibdah dan amalan yang sunat-sunat pula;

Ketiga, ketika kita berupaya dari segi wang ringgit dan harta sebelum kita jatuh miskin dan melarat. Ketika muda tanggungan kewangan kita juga mungkin kurang dan setelah berkeluarga, contohnya, tanggungan kita bertambah dan kos kehidupanpun meningkat dengan banyaknya. Demikian juga ketika kita berada atau berwang, kita boleh megeluarkan sedekah dan berinfaq untuk fi sabilillah. Ketika miskin kita, seumpama orang yang bekerja sesudah pencen, maka mengahadapi kekurangan sumber kewangan untuk bersedekah atau berinfaq, maka tidaklah dapat kita menambah pahala melalui sedekah jariah dan infaq;

Keempat, ketika kita lapang sebelum kita sebuk. Ketika muda walau dimana kita bekerja, kita mempunyai kelapangan yang banyak. Bagi mereka yang sudah lama bekerja, maka akan semakin sebuk dan disebukkan oleh tugas-tugas harian yang tidak membolehkan kita banyak masa untuk menambah amalan dan ibadah. Terkadang ibadah dan amalan wajibpun dilambat-lambatkan atau terhalang atau tertinggal oleh kesibukan kita itu; dan

Kelima, ketika kita masih hidup sebelum mati kita. Kita hanya boleh beramal dan beribadah serta mengerjakan pelbagai amal makruf ketika hidup. Apabila mati tiada apa yang boleh dilakukan. Maka dengan itulah terputus peluang mencari pahala atau menebus dosa apabila nyawa sudah melayang.

Pada lazimnya, lima perkara yang sebelum terjadinya atau datangnya yang lima itu selalu melalaikan kita semua – yang berilmu dan yang jahil sama saja. Tidak seberapa ramai orang Islam dan beriman itu beringat. Lebih-lebih lagi cabaran getir yang dilalui oleh mereka yang kaya dan berharta, berpengaruh dan bernama dan mereka yang menduduki tempat yang utama dalam persekitaran politik dan korporat.
Dalam situasi sedemikian, kemungkinan untuk beramal dan beribadah amat luas. Kemungkinan untuk meningkatkan amalan dan ibadah juga banyak dan tidak terganggu. Malangnya, apabila seseorang itu mudah, dia sentiasalah utamakan tuntutan dunia, berpoya-poya, bersenang-senang, dan menghabiskan masa dengan membazirkan umur mereka. Ini sering berlaku di kalngan mereka yang berkedudukan, berharta, berpengaruh sehinggakan tuntutan akhirat sering diabaikan. Jika kaya raya pula, mereka akan menghabiskan kekayaan mereka untuk keseronokan dunia yang berbagai-bagai pula. Sering pula mereka berbelaja untuk dan kerana kebatilan. Tidaklah kekayaan dan hartanya dimanfaatkan untuk kebajikan akhiratnya tetapi untuk menempah berbagai-bagai dosa pula, yang akan memudaratkan akhirat mereka.
[Nota: As-Sunnah memberi kita tahu bahawa orang yg kaya dan berharta memiliki peluang terbanyak untuk menyediakan diri untuk akhiratnya, sebagaimana dicontohkan oleh Abu Bakar as-Siddiq dan Omar b Khattab, radiallhu 'anhum dan sahabat-sahabat yg lain]
Semoga kita yakinkan akhirat kita dan diberi peluang untuk merelakan diri kita menyediakan diri sebaik mungkin untuk akhirat kita, insya Allah. Amin
Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment