Sunday, January 3, 2010

Solat: Cara Rasulallah (s.a.w) bersolat (Samb.)

Assalamualaikum,
Tasbih ketika Ruku', Sujud dan Duduk antara dua Sujud
Kita telahpun lihat sandaran as-Sunnah tentang Tasbih yg dibaca ketika Ruku', iaitu 'Subhana rabbial 'azim' (3x), kemudian I'ktidal, iaitu 'Samiallahu liman hamidah', dan 'Rabbana lakal hamdu', dan ketika Sujud, iaitu 'Subhana rabbial 'ala' dan ketika Duduk di antara dua Sujud, iaitu 'Rabbighfirli, rabbighfirli', yg terpendek.
Sekarang kita teliti pula beberapa Doa yg dibaca oleh Rasulallah (s.a.w), sebagai tambahan, ketika Sujud. Maka dengan itu, kita perhatikan bahawa ada orang yg ketika Sujud lama dia Sujud dan mulut mereka terkumat kamit membaca Doa.
Kita teliti beberapa hadith di dalam Sahih Muslim doa-doa tersebut. Bagi kita yang ingin mengamalkannya, bolehlah mengamalkannya, untuk mendapat pahala tambahan kerana mencontohi perlakuan Rasulallah (s.a.w).
Doa yg terdapat dalam hadith di bawah ini dibaca oleh Rasulallah (s.a.w) ketika bangkit dari Ruku' ketika I'ktidal:
1. Diriwayatkan hadith daripada Abi Said al-Khudri (r.a) berkata: ‘Adapun Rasulallah (s.a.w) ketika mengangkat kepalanya dari Ruku’ (i.e. ketika hendak I’ktidal) membaca dia: 'Samiallahu liman hamidah. Allahumma rabbana lakal hamdu milus-samawati wa-milul ardi wa-milu masyi’ta min syainin ba’du. Ahlitha-thanai wal-majdi ahaqqu, ma qalal abdu wa-kulna laka ‘abdun. Allahumma la mani’a lima ‘ataita, wa-la mu’tiu lima mana’ta wa-la yanfa’uzal-jaddi minka jaddu.' [Maksud: Allah (a.w) mendengar sesiapa yang memujiNya. Wahai Tuhan kami! Untukmu segala puji, puji-pujian yang memenuhi langit dan memenuhi bumi, dan kemudian memenuhi segala sesuatu sesudahya. Tuhan yang berhak disanjung dan diagungkan. Itulah apa-apa kata-kata hamba dan adapun aku pada Engkau adalah hamba. Wahai Tuhan kami! Tidak ada yang boleh menghalang pemberianMu dan tidak ada pula yang memberikan yang Engkau halangi, dan tidak kekayaan itu memberi manfaat (yakni, menolong) yang empunyanya kecuali daripada Engkau memberi pertolongan.’ [Hadith Muslim]
Semasa Sujud pula, Rasulallah (s.a.w) ada pula membaca doa khusus. Ini adalah kerana mengikut sepotong hadith yang kita sudahpun rujuk dalam post yg terdahulu bahawa Rasulallah (s.a.w) bersabda bahawa semasa Sujudlah kita sebagai hamba Allah (a.w) paling dekat dengan Allah (a.w). Oleh yang demikian, dianjurkan berdoa kerana Rasulallah (s.a.w) menyuruh memperbanyakkan doa semasa Sujud:
2. Diriwayatkan hadith daripada Abi Hurairah (r.a) berkata: ‘Bahawasanya Rasulallah (s.a.w) ada berkata (yakni, berdoa) di dalam Sujudnya: 'Allahum maghfirli zanbi kullahu dikkahu wajillahu wa-auwalahu wa-akhirahu wa-‘ala niatahu wa-sirrahu.' [Maksud: Wahai Tuhan kami! Ampunilah dosa-dosaku kesemuanya, yang kecil, dan yang besar, yang mula-mula, dan yang terakhir, dan yang nyata dan yang tidak nyata (yakni, jelas).’ [Hadith Muslim]
dan hadith berikut:
3. Diriwayatkan hadith daripada Aisyah (r.ah) berkata: ‘Adapun Rasulallah (s.a.w) memperbanyakkan berkata (yakni, berdoa) di dalam Ruku’nya dan Sujudnya: 'Subhanaka Allahumma rabbana wabihamdika, Allahum maghfirli.' [Maksud: Maha suci Engkau wahai Tuhan kami! Dengan memujiMu ampuni dosa-dosa kami] [Hadith Muslim]
[Nota: Kita telah lihat sebelum ini sepotong hadith menyebut tentang suatu malam, ketika berolat Witir, Rasulallah (s.a.w) menolak kaki Aisyah (r.a) yg tidur di hadapn beliau, supaya Aisyah (r.ah) berpindah, bagi membolehkan dia Sujud. Di dalam hadith di bawah ini disebutkan sepotong hadith yang lain pula mengenai perkara yg sama dengan tambahan lain. Hadith yg dahulu itu dan hadith ini memberikan kita nas dan dalil, selain kalimah-kalimah Doa ketika Sujud, bahawa menyentuh isteri ketika si suami sedang solat, walaupun tidak berlapik, tidak membatalkan wudu dan membatalkan solat suami. Hadith ini telahpun kita rujuk sebelum ini sebagai dalil bahawa menyentuh isteri itu tidak membatalkan wudu'. Namun majoriti para ulama' dan ilmuwan arus perdana, berhujjah bahawa semasa disentuh itu Aisyah (r.a) sedang berselimut, maka ada alas antara kulit badan Aisyah dengan kaki Rasulallah (s.a.w). Sebenarnya hujjah itu tidak ada asas sama sekali, hanyalah tanggapan (supposition) semata-mata, kerana ingin menegakkan fahaman konvensyen bahawa menyentuh kulit wanita (termasuk isteri) itu membatalkan wudu'. Kerana ada hadith sahih lain yg menyebutkan bahwa Raulallah (s.a.w) sering mencium isterinya ketika hendak ke masjid bersolat, tanpa membaharui wudu'nya.]
4. Diriwayatkan hadith daripada Aisyah (r.ah) berkata: ‘Maka kehilangan aku akan Rasulallah (s.a.w) pada suatu malam dari tempat tidurku, maka aku raba-raba beliau, tersentuh tanganku dengan kedua telapak kakinya yang ditegakkannya, ketika dia Sujud (solat) di masjid sedang membaca: 'Allahumma a’uzubika biridaka min sahatika wa-bimu’afatikamin ‘uqubatika, wa-a’uzubika minka la uhsi thana an ‘alaika anta kama athnaita ‘ala nafsika.' [Maksud: Wahai Tuhan kami! Aku berlindung dengan keredaanMu daripada kemurkaanMu dan daripada seksaanMu dengan keampunanMu dari kelalaianku (menunaikan kewajipanku) terhadap Engkau, dan aku berlindung dengan Engkau daripada memuji Engkau yang tidak berkuasa aku menunaikan kepujian atas Engkau sebagaimana apa-apa yang Engkau memuji diri Engkau sendiri.’ [Hadith Muslim]
Dalam hadith di atas kita mendapat tahu bahawa Rasulallah (s.a.w) membaca sepotong doa, selain Tasbih Sujud (i.e. 'Subhana rabbial a’la'), semasa beliau Sujud. Selain itu, hadith tersebut juga memberitahu kepada kita satu ketentuan atau ketetapan as-Sunnah, yang juga memberi dalil hadith bahawa sentuhan kulit antara lelaki dan wanita tidak membatalkan Wudu’, kerana isteri Rasulallah (s.a.w), mengikut hadith ini, menyentuh kaki/tumit Rasulallah (s.a.w) ketika beliau bersolat atau sedang solat. Di dalam hadith di atas, semasa Aisyah (r.ah) meraba-raba mencari Nabi (s.a.w) beliau memegang kaki Rasulallah (s.a.w) yang ketika itu sedang Sujud. Rasulallah (s.a.w) meneruskan solatnya tanpa berwudu’ semula. Ketetapan as-sunnah ini tidak diterima oleh para ulama' dan ilmuwan arus perdana yg kuat berpegang dengan fahaman kemazhaban di Malaysia, yang menyatakan bahawa sentuhan kulit antara suami dan isteri membatalkan wudu’. Jelaslah, kita melakukan suatu kesalahan syariat yang serius apabila kita tidak mahu menerima ketetapan as-Sunnah dan menerima pandangan manusia lain dalam urusan atau perkara syariat Islam. [Sila rujuk perintah Allah (a.w) dalam Ayat 7, Surah al-Haysr]
5. Diriwayatkan hadith daripada Aisyah (r.ah) berkata: ‘Bahawasanya Rasulallah (s.a.w) adapun berkata (yakni, berdoa) di dalam Ruku’ dan Sujudnya: 'Subbuhun quddusun rabbul malaikati war-ruh.' [Maksud: Maha suci Engkau (daripada segala kekurangan dan dipersekutukan), (maha suci Engkau) daripada segala sesuatu yang tidak layak bagiMu, Tuhan segala malaikat, (terutama) ar-Ruh (iaitu, Jibrail (a.s))][Hadith Muslim]
Hadith di atas memberikan kita satu lagi versi doa yang dibaca oleh Rasulallah (s.a.w) semasa Ruku’ dan Sujud sebagai tambahan kepada Tasbih khusus untuk Ruku’ dan Sujud. Untuk mendapat pahala tambahan dalam solat bolehlah kita amalkan.
[Nota: Sebagai tambahan kepada isu sentuhan kulit membatalkan wudu' itu, ada para ulama' menyebut tentang kalimah ‘lamastumun nisa-a’ (maksud: 'menyentuh perempuan'). Kalimah ini bukan bermaksud secara literannya 'sentuhan' tetapi bahasa halus Allah (a.w) tentang perlakuan 'menyetubuhi isteri' atau 'menjimak isteri'. Para ulama’ mufassirian (ulama’ tafsir), bersepakat bahawa kalimah tersebut merujuk kepada perbuatan ‘menyetubuhi isteri' atau 'menjimak isteri’, maka ia membatalkan wudu’, bukanlah ‘sentuhan kulit’ seperti yang disilaptafsirkan oleh sesetengah para ulama’ sekarang. Sebagai lanjutan, sentuhan kulit lelaki dan perempuan sememangnya haram, jika tidak makhram, tetapi tidak membatalkan wudu'. Rujuk Ayat 6, Surah al-Maidah dan Ayat 43, Surah an-Nisa’.]
Semoga dengan ilmu tambahan ini dapatlah kita cuba hafal dan baca ketika kita Ruku' atau Sujud, sebagaimana yg dicontohkan oleh Rasulallah (s.a.w). Wajib ingat bahawa kita tidak boleh membaca Doa atau kalimah-kalimah yg tiada sandaran nas dan dalil al-Quran ataupun Hadith dalam solat. Perbuatan sedemikian adalah mengadakan sesuatru yg tiada. Kita hanya boleh contohi Rasulallah (s.a.w), ikuti ketetapan Rasulallah (s.a.w). Kita tidak boleh contohi manusia, apatah lagi ikuti pendapat manusia, walaupun ulama' muktabar, dalam membaca pelbagai kalimah doa yg dicipta sendiri oleh mereka ketika sedang solat.
Ingatlah Islam dan syaraiatnya ditetapkan oleh Allah (a.w) dan disampaikan serta dicontohkan oleh Rasulallah (s.a.w). Amin
Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment