Wednesday, January 6, 2010

Keutamaan Berdoa

Assalamualaikum,
Kita telah teliti dalam beberapa post yg terdahulu tentang 10 adab dan tatasusila berdoa dalam Islam. Semuanya kita berpandukan kepada dalil al-Quran dan as-Sunnah. Kita juga telah lihat beberapa amalan atau perlakuan dalam doa yg tidak terdapat dalam as-Sunnah atau yg berlainan dari ketetapan as-Sunnah.
Kali ini kita teliti betapa pentingnya 'doa' dalam Islam. Segala sesuatu - kebaikan mahupun keburukan itu semuanya atas kehendak Allah (a.w) semata-mata. Kita hanya boleh memninta apa yg kita mau dan meminta dinyahkan apa yg kita tidak mahu.
Di dalam Islam, Allah (a.w) menyuruh umat Islam sering berdoa. Ini adalah atas hakikat bahawa manusia itu makhluk Allah (a.w) yang bergantung kepada Pencipta mereka atas segala sesuatu. Dan segala sesuatu yang didapatinya di dunia adalah kurniaan dan izin Allah (a.w). Dan tidak semua yang dihajati boleh didapati tanpa izin Allah (a.w). Jika berkehendakkan sesuatu, tanpa izin Allah (a.w) kita tidak akan memperolehinya. Jika kita ingin menghindarkan sesuatu bala atau bencana atau kemudaratan supaya tidak mengenai kita, tanpa izin Allah (a.w) kita tidak mungkin dapat mengelak atau menghalangnya terkena pada kita.
Jika kita teliti al-Quran dan juga as-Sunnah berhubung amalan doa, Allah (a.w) sering memperingatkan, malah menyuruh kita, supaya sentiasalah berdoa meminta kepadaNya. Di dalam al-hadith, Rasulallah (s.a.w) sering menyuruh dan mengajarkan kita supaya kita sentiasa berdoa kepada Allah (a.w) – berdoa untuk mendapatkan sesuatu yang kita ingin dan supaya Allah (a.w) menghindarkan sesuatu yang kita tidak mahu. Malah kita bersifat sombong jika kita tidak meminta kepadaNya. Sesiapa yang tidak mau berdoa seolah-olah dia bersifat sombong terhadap Allah (a.w). Apabila kita berdoa, Allah (a.w) memberitahu kita bahawa Dia akan kabulkan doa kita. Firman Allah (a.w) di dalam al-Quran:
Firman Allah (a.w): 'Wa-qala rabbukumud-‘unii astajib lakum.' [Maksud: Dan telah berfirman Tuhan kamu (Allah (a.w): ‘Berdoalah kepada Aku (Allah (a.w)) nescaya akan Aku (Allah (a.w)) kabulkan permintaanmu’] [Ayat 60, surah al-Ghafir]
Allah (a.w), dalam ayat yang sama, mencela atau mencemoh orang-orang yang tidak mahu berdoa kerana berpendirian sedemikian adalah bersifat ‘sombong dan angkuh’ terhadap Allah (a.w), dengan firmanNya:
Firman Allah (a.w): 'Innal lazi yastakbiruna ‘an ‘ibadati sayadkhuluna jahannama dakhirin.' [Maksud: Sesungguhnya mereka (yakni, orang) yang takbur (yakni, sombong atau merasa besar diri) dari berdoa (yakni, tidak mahu berdoa) kepadaKu akan Aku masukkan dia ke Neraka yang amat hina.' [Ayat 60, Surah al-Ghafir].
Allah (a.w) sangat benci seseorang manusia sebagai makhlukNya yang tidak mahu berdoa atau tidak mahu meminta padaNya, untuk mendapatkan sesuatu hajat atau untuk memohon perlindungan dari sesuatu yang tidak diingini, kerana Dia adalah Tuhan dan manusia makhlukNya, maka makhluk tidak memiliki semua yang dia mahu. Allah (a.w) yang maha kaya, kerana itu Dia tidak berkehendakkan apa-apa selain ketaatan daripada makhluk yang dijadikanNya. Manusia hendaklah mengagungkan Tuhan mereka. Mereka yang tidak mahu berdoa dikira sombong terhadap Allah (a.w).
[Nota: Surah al-Ghafir juga disebut Surah al-Mukmin. Sifat sombong dan angkuh adalah sifat Iblis atau Syaitan. Dialah makhluk yang pertama sombong serta ingkar kepada Allah (a.w) apabila diperintahkan oleh Allah (a.w) sujud (yakni, hormat kepada manusia pertama, Adam (a.s), yang dicipta sendiri oleh Allah (a.w), dia enggan.]
Jika kita tidak mahu berdoa, kita sedikit sebanyak menjadikan sifat-sifat syaitan itu ikutan kita!

Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment