Ucapan sulung Rasulallah (s.a.w) kepada orang Madinah adalah menganjurkan supaya umat Islam memberi ‘salam’, menyuruh memberi makan kepada tetamu, menghubungkan silatur rahim di kalangan keluarga dan kaum kerabat, mengerjakan solat waktu malam (selepas jam 1 tengah malam atau lebih baik lagi, mengikut hadith-hadith lain, sepertiga terakhir malam). Rasulallah (s.a.w) memberi umat manusia bahawa mereka yang masuk syurga dengan mendapat penghormatan para malaikat dengan ucapan ‘salam’ atas mereka:
Diriwayatkan hadith daripada Abdullah bin Salam (r.a) berkata: ‘Ketika datang Nabi (s.a.w) ke Madinah, bergesa-gesalah manusia menyambutnya, dan dikatakan ‘Sungguh-sungguh sudah datang Rasulallah (s.a.w), ‘Sudah datang Rasulallah (s.a.w), Sudah datang Rasulallah (s.a.w)’, tiga kali. Maka datang aku di dalam kumpulan manusia kerana hendak melihat, maka setelah jelas melihat aku wajahnya tahu aku bahawasanya bukanlah itu wajah tukang dusta (i.e. pendusta seperti yang dikatakan oleh kaum musyrik Arab). Maka ada pun awal-awal sesuatu yang mendengar aku ucapannya apabila bersabda dia ‘Wahai sekelian manusia, sebarkanlah ‘salam’ dan memberilah makan kamu makanan (kepada sesama Islam), dan hubungi kekeluargaan, dan solatlah waktu malam sedang manusia masih tidur, maka apabila masuk mereka (orang iman) ke dalam syurga dengan ucapan ‘salam’ (oleh para malaikat memberi penghormatan kepada ahli syurga). [Hadith sahih ibnu Majah]
Hadith di bawah ini menyuruh umat Islam menunaikan haq seorang Islam yang lain terhadapnya, iaitu memberi ‘salam’, menhadhiri diri ke majlisnya apabila dijemput (atau dipanggil), memberi nasihat (yang baik) kepada saudara Islam yang memerlukan atau meminta nasihat, menjawab orang yang bersin dengan mendoakannya, menziarahi saudara Islam yang sakit dan menegiringi mayatnya ke kubur apakala meninggal dia untuk dikuburkan:
Diriwayatkan hadith daripada Abi Hurairah (r.a) katanya: ‘Bahawasanya Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Adalah menjadi haq seseorang Islam atas seorang Islam yang lain adalah enam perkara’. Ditanyakan: ‘Apakah itu wahai Rasulallah (s.a.w)?’ Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘(Pertama) Ketika bertemu maka memberi ‘salam’ atasnya, dan (kedua) ketika apabila diundang (kenduri) maka hadhirlah, dan (ketiga) ketika meminta nasihat seseorang nasihatkanlah, dan (keempat) ketika bersin maka memujilah akan Allah (a.w) (yakni, sebut Alhamdulillah), dan (kelima) ketika sakit maka ziarahilah dia (i.e. yang sakit), dan (keenam) ketika mati dia maka ikutilah (jenazahnya ke kubur).’ [Hadith Muslim]
Hadith di bawah ini menjelaskan bahawa belum beriman seseorang Islam itu selagi dia tidak mengasihi saudara seagama. Rasulallah (s.a.w) memberikan petua bahawa untuk meningkatkan persaudaraan di kalangan umat Islam, sebarkanlah (atau perbanyakkanlah) memberi ‘salam’:
Diriwayatkan hadith daripada Abi Hurairah (r.a) berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Dan demi diriku dalam genggamanNya (yakni, bersumpah dia), tidak masuk syurga sehingga beriman kamu, dan tidak beriman kamu sehingga menyayangi kamu satu dengan yang lainnya, apakah tidak aku tunjukkan perkara ketika mengamalkan kamu dengannya maka saling menyayangi kamu, iaitu sebarkanlah ‘salam’ antara kamu.’ [Hadith sahih Abu Daud]
Hadith di bawah ini pula memberitahu kita bahawa orang Islam yang baik di sisi Islam itu adalah mereka yang suka memberi makanan kepada orang Islam yang lain, terutama mereka yang miskin dan faqir, dan memberi ‘salam’ kepada saudara sesame Islam sama ada dia kenal ataupun tidak orang itu:
Diriwayatkan hadith daripada Abdullah bin Omar (r.a) berkata: ‘Bahawasanya seorang lelaki bertanya kepada Rasulallah (s.a.w): ‘Manakah Islam yang baik?’ Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Memberi makan makanan (kepada orang, i.e. sering bersedekah), dan memberi ‘salam’ atas barangsiapa yang engkau kenal dan barangsiapa yang engkau tidak kenal.’ [Hadith sahih Abu Daud]
Hadith ini menjelaskan bahawa orang tua itu juga digalakkan memberi ‘salam’ kepada orang Islam yang muda, atau orang yang berkedudukan tinggi memberi ‘salam’ kepada mereka yang berkedudukan rendah darinya (dari segi kedudukan kedunian). Tidak semestinyalah orang bawahan atau orang yang muda atau orang yg rendah kedudukan sosialnya, yg wajib memulakan memberi ‘salam kepada yg lebih tinggi mertabat dunianya’:
Diriwayatkan hadith daripada Abi Hurairah (r.a) berkata: ‘Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Memberi ‘salam’ orang kecil (atau muda) atas orang yang besar (atau tua), dan orang yang lalu atas orang yang duduk, dan kumpulan yang sedikit atas kumpulan yang banyak.’ [Hadith sahih Abu Daud]
Peradaban yang lain pula, orang yang berkenderaan memberi ‘salam’ kepada orang yang berjalan kaki, orang yang berdiri memberi ‘salam’ kepada orang yang duduk, dan orang yang sedikit memberi ‘salam’ kepada kumpulan yang banyak:
Diriwayatkan hadith bahawasanya Thabitan, bekas hamba kepada Abdul Rahman bin Zaid, sesungguhnya mendengar Aba Hurairah (r.a) berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Memberi ‘salam’ orang yang naik kenderaan atas orang yang berjalan, dan orang yang berjalan atas orang yang duduk, dan kumpulan yang sedikit atas kumpulan orang yang banyak.’ [Hadith al-Bukhari]
Di dalam Islam, Rasulallah (s.a.w) menganjurkan agar kita memberi 'salam' kpd saudara sesama Islam tak kira sama ada kita mengenai atau tidak akan seseorang itu. Kerana, hakikatnya kita yg Islam adalah bersaudara. Kita adalah cucu cicit keturunan Adam (a.s). Namun hari ini manusia membubuh gelaran pada keluarga dan keturunannya, walhal gelaran itu hany diwujudkan dalam masyarakat dan tidak sekali-kali melambangkan bahawa kita kelompok terasing atau lebih mulia dari yg lain. Di dalam Islam Allah (a.w) melihat manusia bukan kepada rupa bentuk dan kedudukan duniwai, tetapi melihat kpd keimanan dan ketaqwaan kita.
Mudah-mudahan, mulai hari ini kita jadikan amalan harian kita ketika berhubung dan bertemu dengan sesiapa sahaja (kecuali dengan orang bukan Islam), kita memberi salam kepada mereka. Itulah adab dalam masyarakat Islam yg digesa oleh Allah (a.w) dan RasulNya kita jadikan amalan lazim. Amin
Jazakalallhu khairah
No comments:
Post a Comment