Monday, March 1, 2010

Kefadhalan atau kebaikan berjabat tangan?

Assalamualaikum,
Kita sering berjabat tangan apakala bertemu dengan saudara sesama Islam dan rakan taulan yg tidak Islam. Apakah kebaikannya?
Kita teliti ketetapan as-Sunnah mengenai perkara ini dalam post ini. Mungkin juga kita curious nak tahu siapa yg mulakan berjabat tangan? Dan, terkadang kita lihat seseorang itu menciul tangan seseorang besar yg mereka berjabat tangan. Adakah itu amalan Islam?

Berjabat Tangan Ketika Bertemu

Kita biasa dengan amalan berjabat tangan apakala bertemu satu sama lain. Di dalam Islam, digalakkan oleh as-sunnah berjabat tangan apakala bertemu saudara sesame Islam sambil mengucapkan pujian-pujian terhadap Allah (a.w) dan memohon keampunan kedua-dua mereka yang berjabat tangan itu, maka Allah (a.w) ampunkan dosa2 yang ada antara kedua-dua mereka:

1. Diriwayatkan hadith daripada Albarra’ bin ‘Azib (r.a) berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Ketika berjumpa (bertemu) seseorang orang Islam (dengan orang Islam yang lainnya), maka hendaklah berjabat tangan sambil memuji Allah (a.w) (yakni, berkata ‘Alhamdulillah’) dan meminta keampunan (yakni, menyebut ‘Astaghfirullah’) kedua-duanya nescaya diampunkan Allah (a.w) akan dosa-dosa mereka (berdua).’ [Hadith sahih Abu Daud].

2. Diriwayatkan hadith daripada al-Barra’ bin Azib (r.a) berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Tidak ada sesiapa dari umat Islam berjumpa kedua-duanya maka berjabat tangan kedua-duanya kecuali diampunkan bagi kedua mereka oleh Allah (a.w) akan dosa mereka sehinggalah berpisah mereka.’ [Hadith sahih Abu Daud]

Hadith kedua di atas menyebutkan bahawa selagi dua orang yang berjabat tangan itu kekal maka Allah (a.w) ampunkan dosa mereka. Di dalam Islam hubungan silatur rahim dan persaudaraan itu diutamakan sebagai peradaban umat Islam, dan kemesraan di antara kedua orang yang bertemu itu menunjukkan pendek panjangnya pertemuan mereka. Selama mereka sedemikian diampunkan dosa-dosa mereka.

Malangnya, kita mendapati banyak ketikanya seseorang Islam itu bukan sahaja tidak biasa atau membiasakan diri memberi ‘salam', dan berjabat tangan sesama Islam itu, malah kedapatan pula suatu amalan yang tidak baik di kalangan umat Islam. Juga, kita berjabat tangan tetapi tidak melakukannya mengikut peradaban Islam. Islam mengajarkan kita ketika berjabat tangan kita menyebut kalimah pujian terhadap Allah (a.w) dengan menyebut 'Alhamdulillah' dan kemudian menyebut 'Astaghfirullah'.

Ada yang suka berjabat tangan tetapi apabila dia berjabat tangan tidaklah dipegangnya tangan orang yang dia berjabat tangan. Dihulurkannya tangan (kanannya) lurus tanpa memegang tangan sahabatnya. Sudahlah demikian, yang tidak baiknya adalah semasa berjabat tangan, menoleh dia kepada orang lain, atau memandang dia ke arah lain, seolah-olah benci dia akan orang yang dia bersalaman atau berjabat tangan itu! Perbuatan ini jauh lebih buruk daripada tidak memberi salam sedikitpun.

Di dalam hadith-hadith lain, Rasulallah (s.a.w) menunjukkan kaedah bersalam dan berjabat tangan dalam Islam dengan mendemokan cara dan kaedahnya, bahawa apabila beliau berjabat tangan, dipegangnya tangan orang yang dia berjabat tangan, dipandangnya muka orang itu dengan senyuman, berkata-kata dia dengan kata-kata yang baik, memuji dia akan Allah (a.w) dan mendoakan kesejahteraan kepada orang itu, dan memohon dia keampunan ke atas dosa-dosa orang yang dia berjabat tangan. Alangkah murni syariat Islam itu dalam meninggikan semangat kasih sayang dan silaturahim sesama umat! Kita tahu bahawa keperibadian Rasulallah (s.a.w) itu sememangnya tinggi dan menjadi contoh manusia terbaik. Yang penting kita ingatkan adalah bahawa Rasulallah (s.a.w) itu mengajarkan umat Islam khasnya dan umat manusia seluruhnya tentang keperibadian yang ulung dalam menjalin hubungan uhhuwah dan persaudaraan itu mengikut syariat Islam.

Siapa Mengajar Berjabat Tangan?

Hadith ini menjelaskan bahawa amalan berjabat tangan itu dimulakan oleh orang Yaman. Oleh kerana ia satu amalan yang baik untuk meningkatkan silatur rahim dan persaudaraan antara umat Islam, maka amalan tersebut diterima pakai oleh Rasulallah (s.a.w). Maka menjadilah ‘berjabat tangan’ itu sebahagian daripada as-sunnah dan syariat (peradaban) umat Islam:

3. Diriwayatkan hadith daripada Anas bin Malik (r.a) berkata: ‘Ketika datang seorang orang Yaman, maka bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Sungguh-sungguh telah datang kepada kamu orang Yaman, dan mereka (orang Yaman) adalah orang yang mula-mula dari mendatangkan (amalan) berjabat tangan.’ [Hadith sahih Abu Daud]

Malangnya, ada pula para ilmuan dan ulama’ yang mengqiaskan perkara ini dengan berkata sesuatu yang baik untuk Islam dan umat Islam itu hendaklah dijadikan sebahagian daripada syariat Islam. Itu bukanlah pembaharuan dalam Islam atau bida’ah. Pandangan itu betul, selagi pembaharuan itu tidak melibatkan ibadah atau syariat Islam yang khusus yang telahpun ditetapkan cara, kaedah serta perlakuan mengamalkannya. Jika, sudah ditetapkan cara dan kaedahnya oleh Rasulallah (s.a.w), maka tidak boleh ditokok tambah. Harus diingat, Rasulallah (s.a.w) adalah Utusan Allah (a.w), dia diberi kuasa atau mandate oleh Allah (a.w) untuk berbuat sesuatu demi mengajarkan umat Islam syariat ugama Islam (atas wahyu). Pembaharuan yang dibuat Nabi (s.a.w) (dari segi istilah bahasa adalah pembaharuan, tetapi) bukan bida’ah tetapi sebahagian daripada as-sunnah (syariat Islam).

Amalan Mencium Tangan

Hadith di bawah ini menjelaskan amalan as-sunnah seorang yang muda atau rendah tarafnya mencium tangan orang yang lebih tua atau lebih tinggi pangkatnya semasa bertemu keduannya:

4. Diriwayatkan hadith daripada Abi Laili hadith daripada Ibnu Omar (r.a) berkata: ‘Mencium kami akan tangan Nabi (s.a.w).’ [Hadith sahih Abu Daud]

Ibnu Omar (r.a.), anak Omar bin Khatab (r.a) semasa Nabi (s.a.w) dilantik menjadi Rasulallah (s.a.w) adalah budak kecil, dan dia masuk Islam ketika kecil lagi, apabila bapanya masuk Islam. Ibnu Omar (r.a.) adalah antara perawi yang bayak ingatkan hadith dan meriwayatkan al-Hadith.

Diriwayatkan hadith daripada Safuan bin ‘Asalin (r.a) berkata: ‘Bahawasanya ahli-ahli kaum dari Yahudi mencium tangan Nabi (s.a.w) dan juga mencium kakinya.’ [Hadith sahih Ibnu Majah]

Demikianlah peradaban Islam menyentuh perkara berjabat tangan ketika berjumpa dan mencium tangan orang yg tinggi mertabatnya dari kita. Justeru itu amalan mencium tangan itu adalah sunnah Rasulallah (s.a.w).

Jazakalahu khairah

No comments:

Post a Comment