Monday, October 17, 2011

Ibadah Kurban: Waktu Menyembelih Kurban

Assalamualaikum,
Saudara, kita teruskan penelitian kita tentang ibadah kurban ini dalam post ini supaya tidaklah kita melakukan sesuatu yg merugikan kerana beramal tanpa landasan ilmu. Dalam meneliti ibadah kurban ini, kita telahpun tahu beberapa perkara; iaitu: pertama, syariat ibadah kurban dalam Islam itu ditetapkan berdasarkan Surah al-Kauthar, yg menyuruh umat Islam kerjakan Solat Aidil Adha dan ibadah kurban. Dua perintah yg ditetapkan dalam surah tersebut. Kedua, kita juga diberitahu melalui as-Sunnah bahawa ibadah kurban itu wajib atas orang yg mampu. Ketiga, walaupun ibadah kurban itu tidak diwajibkan atas umat Islam secara umum, namun besar pahalanya di sisi Allah (a.w), maka dgn itu sewajarnyalah ummat Islam itu berusaha untuk mendapatkan pahala tersebut dgn berkongsi sesama mereka membeli ternakan kurban dan menyembelih kurban tersebut. [Nota: Haiwan yg boleh dijadikan haiwan untuk kurban adalah unta, lembu/sapi, kerbau, atau kambing/kibas]. Keempat, haiwan yg nak dijadikan sembelihan kurban itu hendaklah sebaik-baiknya gemuk badannya, tidak patah atau tempang kakinya, tidah buta matanya (walaupun hanya sebelah), tidak koyak telinganya, dan tidak putus ekornya. Telinganya janganlah campung atau berlubang. Kalau campung telinganya, asalkan tak sampai setengah telinganya, dibolehkan. Kalau berlubang tetapi tidak ketara kelihatan seperti ditindik hidungnya atau telinganya tidak mengapa.] Kelima, tidak ada ketetapan Islam yg hanya membenarkan perkongsian untuk membeli haiwan kurban bahawa seekor unta dikongsi 10 orang atau seekor lembu/sapi dikongsi 7 orang atau seekor kambing hendaklah dikongsi seorang sahaja (i.e. tidak boleh dikongsi). Kita telah lihat bahawa dalam zaman Rasulallah (s.a.w) seekor kambing disembelih sebagai kurban untuk kesemua umat Islam zaman itu. Dan, seekor kambing disembelih sebagai kurban seorang yg dikongsinya dgn isi rumahnya. Keenam, tidak ada larangan orang yg mengerjakan kurban itu tidak dibenarkan memakan daging kurban yg dibuat untuk dirinya. Orang yg menyembelih kurban boleh memakan daging ternakan yg dia kurbankan.
Saudara, dalam post ini kita lihat pula bilakah waktunya  kita sembelih haiwan kurban? Ini disebutkan dalam hadith berikut.

(a) Waktu Menyembelih Kurban.

Saudara, hadith dibawah ini menyebutkan ibadah kurban itu adalah sah jika ternakan kurban jika disembelih selepas selesai Solat Aidil Adha. Tidak dikira kurban jika disembelih sebelum Solat Aidil Adha. Demikian jugalah bagi jema'ah haji yg berada di Mina pada waktu Duha untuk melontar Jamrah Aqabah, mereka akan menyembelih kurban selepas melempar Jamrah Aqabah.
Diriwayatkan hadith dari Anas b Malik (r.a) berkata: ‘Telah bersabda Nabi (s.a.w); ‘Man zabaha qablas-solati fa-innama zabaha li-nafsihi, wa-man zabaha badas-solati fa-qad tamma nusukuhu wa-asoba sunnatal-muslimina.’ (Yg bermaksud: Barangsiapa menyembelih (kurban) sebelum Solat (Aidil Adha), maka sesungguhnya apa (yg dia kurbankan) untuk dirinya, dan barangsiapa menyembelih selepas Solat (Aidul Adha) maka sungguh-sungguh sempurna ibadah kurbannya dan (mendapat) sunnah orang-orang Islam (i.e. pahala).’ [Hadith Bukhari, Kitab Menyembelih Haiwan Kurban]
[Nota: Hadith ini menjelaskan bahawa kurban itu sah sebagai kurban apabila disembelih sesudah Solat Aidil Adha dan tidak sah sebelum Solat Aidul Adha.]
Saudara, ibadah kurban itu hendaklah dilaksanakan setelah selesai Solat Aidil Adha. Kalau kita sembelih ternakan kurban sebelum solat, maka ianya tidak dikira kurban tetapi sedekah biasa saja. 
Dalam blog ini tahun lalu atau dua tahun lalu kita telah lihat ketetapan as-Sunnah bahawa sebelum darah haiwan sembelihan itu sampai mencecah tanah, pahalanya dahpun sampai pada Allah (a.w). Dan, bagi setiap bulu haiwan sembelihan kurban itu - termasuk bulu-bulu halusnya - mendatangkan pahala bagi mereka yg mengerjakan kurban. Justeru itu, kalaulah sdr memang mampu, maka usahakanlah supaya menyembelih kurban sebanyak mana yg boleh.

(b) Hari-hari dibolehkan Sembelih Kurban

Saudara, kalaulah kita yg ingin menyembelih kurban, tetapi tak dapat membeli lembu atau kambing pada hari yg sewajarnya kita sembelih, iaitu selepas Solat Aidil Adha pada 10 Zulhijjah, bagaimana? Adakah kita tak berpeluang menyembelih kurban?
Hadith berikut memberi kita tahu bahawa hari menyembelih kurban itu adalah selama 3 hari, termasuk hari pertama, iaitu Hari Raya Haji (i.e. Aidil Adha), pada 10 Zulhijjah. Hadith berikut memberi kita tahu bahawa hari menyembelih kurban itu adalah bermula selepas Solat Aidil Adha (kira-kira masuk waktu Duha) sehinggalah sampai masuk waktu 'Asar pada 12 Zulhijjah.
Diriwayatkan hadith dari Nafi’ bahawasanya Abdullah b Omar (r.a) berkata: ‘Menyembelih (kurban) dua hari selepas hari Aidul Adha (i.e. 3 hari kesemuanya, iaitu 10 Zulhijjjah (selepas Solat Aid), 11 Zulhijjah dan 12 Zulhijjah (sebelum masuk waktu 'Asar). [Hadith Imam Malik, al-Mua’ato’, dalam Kitab Haiwan Sembelihan]
[Nota: Waktu menyembelih kurban itu adalah mulai selepas Solat Aidil Adha hinggalah sampai waktu ‘Asar 12 Zulhijjah – yakni tiga hari.]
Mudah-mudahan kita diberi rezki tambahan setiap tahun agar kita dapat menyembelih kurban setiap tahun, insya Allah.

Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment