Tuesday, November 20, 2012

Ilmu, Amalan dan Akhirat - Berjema'ah (Samb.)

Assalamualaikum,
saudara, dalam post yg akan datang, kita lihat bagaimana riaksi orang iman - para sahabat Rasulallah (s.a.w) - ketika terjadikan kewafatan Rasulallah (s.a.w). Jelas dalam peristiwa itu para sahabat terutamanya Omar (r.a) risaukan ketidak-halalnya kehidupan orang Iman tatkala tiada lagi kepimpinan dalam jema'ah umat Islam apabila wafatnya Rasulallah (s.a.w). Maka yg paling mendesak tindakan para sahabat ketka itu adalah mengangkat Abu Bakar as-Siddiq (r.a) sebagai khalifah (i.e. pemimpin pengganti jema'ah umat Islam) dan beliau dibai'at oleh semua warga orang iman zaman tersebut, dimulai oleh Omar b Khattab (r.a).
 
Ketetapan Allah (a.w) – Wajib Berjema’ah 
 
Kita mulakan perbincangan kita tentang ‘anuti Islam secara berjema’ah’ itu dengan meneliti firman Allah (a.w) pada Ayat 103, Surah ali-Imran berikut: 
Firman Allah (a.w):’Wa’tasimu bihablillahi jami’an wa-la tafarraqu ... sehingga ke akhir ayat.' [Maksud: Berpeganglah kamu sekelian dengan tali Allah (a.w) (i.e. ugama Islam itu) dengan cara berjema’ah dan janganlah kamu berpecah-pecah belah ... sehingga akhir ayat.] [Ayat 103, Surah ali-Imran] 
Dalam menghuraikan maksud ayat ini, ibnu Jarir (r.k) berdasarkan hadith dari sanad ibnu Mas’ud (r.a) tentang firman Allah (a.w) ‘wa’tasimu billahi jami’an ...’ tersebut berkata: ‘berjema’ah’, dalam kitabnya Tafsir at-Tobari. Perintah tersebut, kata ibnu Jarir, adalah merujuk kepada kewajipan umat Islam itu berjema’ah atau anuti Islam secara berjema’ah. Dan berkata ibnu Kathir dengan merujuk kepada firman Allah (a.w) dalam Ayat 103, Surah ali-Imran, tentang maksud ‘wa-la tafarraqu’ adalah perintah kepada umat Islam yang memerintahkan umat Islam yang beriman wajibnya mereka berjema’ah dan jangan berpecah belah [Tafsir ibnu Kathir]. 
Firman Allah (a.w): ‘Wala takunu kallazina tafarraqu wah-talafu min ba’di ma ja-ahumul baiyinatu wa-ulaika lahum ‘azabun ‘azimun'.[Maksud: Janganlah jadi sebahagian kamu berfirqah-firqah (umumnya, berpecah belah) dan beselisih (tentang ugama kamu) setelah datang apa-apa kepada mereka keterangan-keterangan (dari Tuhan mereka dalam al-Quran dan as-Sunnah) dan untuk mereka (yang berpecah belah dan berselisihan satu sama lain itu) adalah (i.e. disediakan) azab yang amat besar atau berat (i.e. di masukkan ke dalam neraka)] [Ayat 105, Surah ali-Imran] 
Dalam menjelaskan perkara ini ibnu Jarir (r.k) bersandarkan hadith sanad ibnu Abbas (r.a) tentang firman Allah (a.w) ‘wala takunu kallazina tafarraqu wah-talafu ...’ini, ibnu Abbas (r.a) berkata: ‘Memerintah Allah (a.w) bahawa mewajibkan Allah (a.w) orang-orang yang beriman itu dengan menganuti Islam secara berjema’ah dan mencegah (i.e. melarang) Allah (a.w) mereka dari berselisihan dan berfirqah (i.e. bermazhab-mazhab) dalam Islam dan memberi khabar kepada hambaNya yang Islam dan beriman sesungguhnya telah rosak binasa kaum-kaum sebelum mereka dengan perdebatan dan bermusuh-musuhan sesama mereka di dalam menganuti ugama Allah (a.w) (i.e. Islam).’ [Dalam Tafsir at-Tobari]. 
Firman Allah (a.w): ‘Syara’a lakum minad-dini ma wassa bihi nuhan wal-lazina auhaina ilaika wama wassaina bihi ibrahima wa-musa wa-‘isa an aqimud-dina wala tafarraqu fihi; kabura ‘alal musyrikina ma tad’uhum ilaihi Allahu yahtabi ilaihi; Allahu yajtabi ilaihi man(-ai) yasya-u wa-yahdi ilaihi man(-ai) yunibu.' [Maksud: Membuat syariat (i.e. peraturan ugama) tentang ugama apa-apa yang telah Aku (Allah (a.w)) wasiatkan dengannya (i.e. ugama Allah (a.w)) kepada Nuh (a.s) dan yang diwahyukan kepada engkau (Muhammad (s.a.w)) dan apa-apa yang diwasiatkan oleh Aku (Allah (a.w)) dengannya kepada Ibrahim, dan Musa, dan Isa (a.s) supaya menegakkan (yakni, mendirikan) ugama dan jangan kamu sekelian berpecahbelah di dalam berugama; sesunguhnya sangat berat atas orang-orang yang musyrik apa-apa mengajak (atau, menyeru) kamu kepada mereka; Allah (a.w) memilih kepada ugamaNya orang-orang yang dikehendakiNya dan memberi petunjuk atasnya kepada orang-orang yang mahu kembali (yakni, bertaubat) kepadaNya.] [Ayat 13, Surah as-Syura] 
Dan berkata ibu Kathir (r.k) di dalam menjelaskan firman Allah (a.w) ‘... an aqimuddina wala tafarraqu fihi’ maksudnya: ‘Telah mewasiatkan Allah (a.w) kepada kesemua para nabi wajib atas mereka berugama Islam dengan bersatu dan berjema’ah dan mencegah, yakni melarang, mereka dari perpecah-pecahan dan berperselisihan sesama umat mereka, yakni mengadakan perkumpulan terasing atau berasingan.’ [Dalam Tafsir ibnu Kathir] 
Di riwayatkan hadith dari Omar bin Khattab (r.a) bahawasanya Nabi (s.a.w) bersabda: ‘Diwajibkan atas kamu sekelian berjema’ah dan jauhilah kamu sekelian akan firqah, maka sesungguhnya syaitan bersama-sama dengan orang berseorangan (yakin bersendirian tanpa berjema’ah) dan dia (syaitan) adalah yang keduanya dan menjauhi syaitan (apabila berjemaah); barangsipa yang mengkehendaki berada di tengah-tengah syurga maka hendaklah mereka menetapi jema’ah.’ [Hadith at-Termidzi] 
Hadith ini adalah perintah yang jelas iaitu hendaklah menetapi jema’ah (yakni, berada dalam jema’ah). Disebutkan bahawa orang Islam yang tidak berjema’ah, yakni mereka mengamalkan Islam bersendiri, yakni tanpa berjema’ah, mudah terjerumus dan dijerumuskan oleh syaitan. 
Dan, di dalam hadith dari Khuzaifah bin Yaman (r.a) ‘... talzamu jama’atal muslimina wa-imamahum.’, dalam Riwayat Bukhari. Ini hadith didatangkan dalam bentuk berita atau perkhabaran, akan tetapi membawa makna atau maksud perintah, perintahnya menjadi hukum pada wajib (i.e. wajib berjema’ah).
Dalam hadith Waridah dalam tajuk ‘Menetapi jema’ah’. Telah berkata ibnu Batal di dalam hadith tersebut adalah hujjah atau alasan atau dalil diwajibkan berjema’ah di kalangan ahli fuqaha (i.e. ahli hukum) di dalam hukum wajibnya menetapi jema’ah Muslimin, dalam Fathul Bari
 
Siksaan Berat Apabila Memisahi Jema’ah 
 
Kita lihat beberapa dalil atau hujjah dalam hadith-hadith berikut tentang akibat seseorang yang memisahi atau meninggalkan atau keluar dari jema’ah. Dalil-dalil ini akan memperjelaskan lagi ketetapan Islam bahawa berjema’ah itu adalah perintah wajib atau perintah mesti atau suatu kemestian.
1.         Diriwayatkan hadith dari Nu’man b Basyir (r.a) berkata telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Al jama’atu rahmahtu wal-firqatu ‘azabun’ [Maksud: Berjema’ah itu itu kerahmatan (i.e. syurga) dan perpecahan itu azab (i.e. neraka).’] [Hadith riwayat abi ‘Asim] 
Hadith ini menjelaskan bahawa berjema’ah itu mewajibkan seseorang Islam itu mendapat kerahmatan Allah (a.w). Kerahmatan Allah (a.w) itu adalah asas yang membolehkan seseorang itu mendapat balasan syurga. Berpecah atau berfirqah itu mengakibatkan seseorang atau sekumpulan orang Islam itu mendapat azab, yakni masuk ke dalam neraka.
2.         Diriwayatkan hadith dari ibnu Omar (r.a) bahawasanya Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Innallaha la yajma’u ummati’ au qala ‘Ummati Muhammadin (s.a.w) ‘ala dolalati, wa-yadullahi ma’al jama’ati waman syazza syazza ilan nari’ [Maksud: Sesungguhnya Allah (a.w) tidak mengumpulkan umatku’ atau (dalam hadith yang lain disebutkan) ‘umat Muhammad (s.a.w) atas kesesatan, dan tangan Allah (a.w) (yakni, pertolongan Allah (a.w)) beserta jema’ah, dan barangsiapa yang menyendiri (yakni, menganuti Islam tanpa berjema’ah) maka menyendiri dia masuk ke dalam neraka.] [Hadith at-Termidzi] 
Dalil-dalil di atas adalah merupakan perintah menetapi jema’ah dan melarang berfirqah (yakni, menubuhkan perkumpulan yang berasingan atau terasing) yang telah dijelaskan oleh dua sahabat iaitu ibnu Omar dan ibnu Mas’ud. Sesiapa yang berjema’ah mendapat kerahmatan Allah (a.w), maksudnya, orang yang berjema’ah itu pasti mendapat syurga, kerana hanya dengan kerahmatan seseorang yang Islam dan beriman itu mendapat syurga. Amalan dan ibadah sahaja tidak menjamin seseorang iman itu mendapat syurga, kerana ibadah dan amalan sebanyak mana sekalipun hebatnya, tidak menjamin syurga. Tidak mungkin dapat diimbangi melalui ibadah dan amalan kurniaan Allah (a.w) terhadap seseorang itu, walau bagaimana hebat sekalipun amalan dan ibadahnya. Syurga hanya diperolehi dengan kerahmatan Allah (a.w).  Kerahmatan itu, mengikut sabda Rasulallah (s.a.w) tersebut, pasti didapati dengan berjema’ah. Sebailknya, apabila berpecah segolongan orang iman itu, dengan menyendiri atau dengan menubuhkan perkumpulan (firqah) sendiri, pasti mengasingkan diri menuju neraka.
Hadith kedua dengan jelas menyebutkan bahawa Allah (a.w) sentiasalah merahmati serta menolong orang iman yang berjema’ah. Ketetapan ini sejajar dengan perintah Allah (a.w) pada Ayat 103, Surah ali-Imran (i.e. ‘Waktasimu bihablillahi jami’an wa-la tafarraqu ...’ itu), yang merupakan nas dan dalil al-Quran bahawa Islam itu mewajibkan umatnya berjema’ah. Juga sabda Rasulallah (s.a.w) dalam hadith bahawa Allah (a.w) memerintahkan beliau empat perkara, satu daripada empat perkara itu adalah, memimpin umat Islam secara berjemaah dan menjauhi firqah (yakni, berpuak-puak).
3.         Diriwayatkan hadith dari Abdullah b Omar (r.a) bahawasanya dia mendengar Nabi (s.a.w) bersabda: ‘Man naza’a yadan min ta’ati au fariqal-jama’ati mata maitatal-jahiliati.’ [Maksud: Barangsiapa mencabut tangannya dari ketaatan (terhadap Imamnya) atau memisahi jema’ah (yakni, meninggalkan jema’ahnya) dan mati dia (ketika di luar jema’ah, yakni tidak lagi berada dalam jema’ah) maka matinya (dihukum seumpama) matinya seorang jahiliah (yakni, masuk neraka).’][Hadith Imam Ahmad dalam Musnad]
Dalil di atas adalah perintah berjema’ah dan melarang berfirqah kepada seluruh para nabi alaihi salam dan bukan semata-mata atau hanya dikhususkan kepada Nabi Muhammad (s.a.w) sahaja. Ini adalah kerana pada hakikatnya semua ugama yang diperintahkan kepada para nabi terdahulu itu adalah datangnya dari Allah (a.w), sumber yang satu, dan ugama yang satu, supaya semua manusia berserah diri mereka tunduk kepada perintah Allah (a.w).
Ugama itu telah disempurnakan dengan turunkan Kitab Allah (a.w) terakhir, iaitu al-Quran. Maka dengan itu di dalam hadith disebutkan bahawa Rasulallah (s.a.w) itu membawa batu bata terakhir untuk menyempurnakan binaan ugama Allah (a.w) di muka bumi, kerana ugama Allah (a.w) itu diibaratkan sebagai suatu bina’an ketauhidan dan ketaqwaan yang sempurna sebagai memenuhi tuntutan Allah (a.w) dalam Ayat 57, Surah az-Zariat ('Tidaklah Aku (Allah (a.w))jadikan jinn dan manusia kecuali untuk mengabdikan diri mereka kepada Aku (Allah (a.w)' itu).
4.         Diriwayatkan hadith dari Khuzaifah b Yaman (r.a) berkata: ‘Aku mendengar Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Man fariqal jama’ata wastazallal-imarati laqiallahu wala hujjata lahu.’ [Maksud: Barangsiapa memisahi jema’ahnya dan menganggap ringan keimaman maka akan berjumpa dia dengan Allah (a.w) tiada hujjah (i.e. alasan) baginya (yakni, dimasukkan ke dalam neraka).][Hadith riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak]
Lafaz atau kalimah ‘alaikum bil-jama’ata’ (maksud: Diwajibkan atas kamu sekelian berjema’ah) adalah perintah yang jelas untuk menetapi jema’ah, kerana lafaz ‘alaikum’ adalah, dalam bahasa Arab, kata isim fe’el amar (i.e. kata perintah).
5.         Diriwayatkan hadith dari Abu Zarr (r.a) berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Man fariqa al-jama’ata syibran faqad hala’a ribqatal-islami min ‘unuqihi.’ [Maksud: Barangsiapa memisahi (yakni, meninggalkan atau keluar dari) jema’ahnya satu jengkal (i.e. bai’atnya), maka sungguh-sungguh lepas (i.e. terlucut) tali Islamnya dari lehernya (yakni, keluar dia dari Islam).] [Hadith Abu Daud, Raqam Hadith] 
Dalam hadith di atas itu lafaz atau kalimah-kalimah ‘talzamu jama’atal muslimina wa-imamihim’ adalah kalam atau kata-kata khabar (i.e. pemberitahuan) yang membawa makna amar atau perintah, sebab kalimah ini merupakan jawapan Rasulallah (s.a.w) kepada pertanyaan Khuzaifah yang bertanya kepada Rasulallah (s.a.w): ‘Fama ta’muruni in adraktu zalika?’. Maka di dalam hadith di atas, Rasulallah (s.a.w) menjawab pertanyaan Khuzaifah tersebut. Jawapan itu menjadi ketetapan atau hukum as-Sunnah. Kata-kata perintah menetapi jema’ah di atas itu menunjukkan wajibnya bagi semua yang Islam dan beriman itu menetapi jema’ah.
Dalam kaedah pentafsiran para ulama’ adalah ‘al-amru yaqtadil wujuba’ [Maksud: kata-kata perintah itu menunjukkan sesuatu yang wajib]. Dalil dalam hadith pertama dan kedua di atas itu menunjukkan bahawa sesiapa yang tidak menetapi (i.e. berada dalam) jema’ah diancam dengan siksaan di neraka.
Di dalam hadith ketiga di atas itu sekiranya tidak menetapi jema’ah, yakni bertaubat dan kembali masuk jema’ahnya, maka jika sampai ajalnya dan mati dia, maka matinya adalah mati jahiliah (i.e. kafir walaupun Islam)!  Hadith keempat memberitahu kita bahawa jika tidak berjema’ah dalam Islam maka tidak ada hujjah atau alasan bagi kita di hadapan Allah (a.w) untuk membela diri di akhirat kelak apakala diputuskan masuk neraka. Hadith kelima pula memberitahu kita bahawa jika kita tidak menetapi jema’ah bererti kita melepaskan atau melucutkan tali Islam dari lehernya (i.e. menjadi kafir seumpama meninggalkan atau keluar dari Islam).
Dalil-dalil di atas itu menunjukkan bahawa wajibnya berada didalam jema’ah dan menetapi jema’ah adalah perintah Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w) bukanlah suatu pemikiran atau ru’ya seseorang. Dengan itu, sebenarnya tidak ada pilihan bagi kita yang Islam dan beriman kecuali mengerjakannya atau mengikutinya (i.e. akur dengan perintah tersebut). Barangsiapa menentang tentang wajibnya menetapi jema’ah itu bererti dia menentang perintah Allah (a.w) dan perintah Rasulallah (s.a.w) dan bererti dia berada di dalam kesesatan yang jelas. Inilah ketetapan Allah (a.w) dalam firmanNya berikut:
Firman Allah (a.w): ‘Wama kana limukmini wala mukminati iza qadallahu wa-rasulahu amran an yakuna lahumul khaiatun min amrihim waman ya’sillaha wa-rasulahu faqad dalla dolalan mubina.' [Maksud: Tiada bagi seseorang lelaki yang beriman dan perempuan yang beriman ketika telah menghukumi Allah (a.w) (yakni, ketetapan al-Quran) dan (telah menghukum) RasulNya (yakni, ketetapan as-Sunnah) beberapa perkara bahawasanya mereka memilih perkara mereka (i.e. pilih ketetapan selainnya), (mereka itu sebenarnya menentang Allah (a.w) dan) sesiapa yang menentang Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w) sungguh-sungguh telah sesat dia dengan kesesatan yang amat jelas (yakni, pasti masuk neraka).] [Ayat 36, Surah al-Ahzab] 
Apa yang dapat kita rumuskan setakat ini?  Kalau kita memahami dalil-dalil yang sudah kita kaji bersama setakat ini, masalah atau isu menetapi jema’ah itu adalah perkara besar dan amat serius sehingga kita dapat melihat dimensi positifnya yang ditimbulkan adalah besar pula. Apabila dipatuhi pastilah mendapat syurga. Begitu juga sebaliknya, kesan negatifnya juga besar dan serius, kerana akibat yang ditimbulkan pula juga amat besar dan serius. Apabila dingkari, maka pastilah balasannya hanyalah neraka.
Syaikh Hafiz b Hakami berkata, apabila menjelaskan, ketetapan-ketetapan di atas itu: ‘Lebih diberatkan menetapi jema’ah kerana menetapai jema’ah adalah kerahmatan bagi mereka yang memisahi jema’ah bersandarkan sabda Rasulallah (s.a.w): ‘al-jama’atu rahmatun’ maka sungguh-sungguh menjadikan yang diberi kumpulan kalam dan diringkaskan selawat dan selamat atasnya oleh Allah (a.w), kerana berjema’ah itu sebagai mendapat kerahmatan Allah (a.w) dan tidak ada demikian kecuali menerangkan bersangatannya (i.e. amat utama) menetapi jema’ah kerahmatan kepada mereka yang berjema’ah. Maka sesungguhnya menetapi jema’ah itu dalam semua perkara sehingga dengannya kerahmatan itu mendapat nikmat syurga, sebagaimana disabdakan oleh Rasulallah (s.a.w): ‘Man aradal buhbuhatal jannata falyalzamil jama’ah’ (i.e. sesiapa yang ingin berada di tengah-tengah syurga, hendaklah dia menetapi atau kekal dalam jema’ah) itu. Dan, sebaliknya, mereka yang memisahi jema’ah itu terkeluar dari menjadi penghuni kerahmatan dari sedemikian kerahmatan (yakni, berpindah) kepada keazaban, sebagaimana sabda Rasulallah (s.a.w) ‘wal-firqatu azabun’ (i.e. berfirqah itu mengundang siksa dalam neraka) itu.’ 
Syaikh Hafaz b Muhammad Hakami berkata: ‘Paling besarnya nampak positif yang ditimbulkan dalam menetapi jema’ah adalah rahmat Allah (a.w) yang selalu menyertai jema’ah, sebagaimana sabda Rasulallah (s.a.w) ‘Al-jama’ayu rahmatun’, Rasulallah (s.a.w) (yang telah diberikan dengan perkataan ringkas tetapi mengandungi arti yang luas dan penjelasannya yang simple (mudah)), telah betul-betul menetapkan atau menentukan bahawa jema’ah adalah rahmat, demikian itu tidak lain kecuali untuk menjelaskan kuatnya  perintah menyuruh bersama-sama jema’ah. Sesungguhnya rahmat sentiasa menyertai jema’ah dalam setiap keadaan sampai menghantarnya ke dalam syurga yang nikmat, seperti sabda Rasulallah (man arada buhbuhata al-jannati falyalzamil jama’ata), dan memisahi jema’ah atau tidak menetapi jema’ah menimbulkan kesan negatif yang besar pula, iaitu keluar dari rahmat Allah (a.w) menuju kepada siksaNya, seperti sabda Rasulallah (s.a.w) (wal-firqatu azabun), tetapnya siksa bersama firqah sebagaimana tetapnya rahmat bersama jema’ah. Ini adalah pengertian yang difahami dari perbandingan dua lafaz dalam hadith di atas itu. Selain dari itu, tidak menetapi jema’ah menjadi sebab mati ‘su’ul khatimah’ (yakni, buruknya kesudahan hidup, apabila tidak bertaubat/tidak kembali menetapi jema’ah). Sabda Rasulallah (s.a.w): ‘Man haraja minat-to’ati wa-faraqal-jama’ata famata mata maitatun jahiliatan.’ Sebagaimana rahmat yang selalu menyertai orang yang menetapi jema’ah membawanya ke dalam syurga, begitu pula siksa yang selalu menyertai ahli firqah membawa ke neraka jahannam, sabda Rasulallah (s.a.w) (‘...yadullahi ‘alal jama’ati waman syazza syazza ilan-nari’).’ Kerana beberapa akibat dan lainnya yang terkandung dalam nas-nas di atas (al-Quran dan al-Hadith), para ulama’ zaman dahulu berkobar-kobar semangatnya untuk menetapi jema’ah, mendengar dan taat kepada imam dan melarang berselisih dan berfirqah. 
Abdullah b Mas’ud (r.a), seorang sahabat yg mulia zaman Rasulallah (s.a.w), telah berkata kepada sebahagian orang yang tidak dapat memahami nas-nas hadith (tentang menetapi jema’ah) secara sempurna dan merasa susah/tidak puas hati kerana masih dijumpai perselisihan dalam jema’ah (telah berkata): ‘Sesungguhnya apa yang kamu sekelian benci dalam jema’ah lebih baik dari apa yang kamu sekelian senang (atau suka) dalam firqah.’. Maksudnya, keadaan yang membencikan dalam menetapi jema’ah itu lebih baik daripada keadaan yang menyenangkan (atau disukai) dalam menetapi firqah. 
Imam Abdullah al-Bukarak (yang telah berkata: Al-isnadu minad-dini ...’(i.e. isnad hadith itu adalah sebahagian daripada ugama)) juga telah mengatakan dalam syairnya:  Sesungguhnya jema’ah adalah tali Allah (a.w) bagi pemeluk ugama; maka menetapilah (i.e. peganglah) tali Allah (a.w) tersebut (jema’ah) dengan talinya yang kuat; Telah banyak Allah (a.w) menolak (i.e. menghilangkan) problem (i.e. masalah) yang sulit dari urusan ugama dunia kita, (itu semua) sebab adanya imam (i.e. sultan) sebagai rahmatNya; ‘Jika tidak ada imam, maka jalan-jalan kita tidak aman; dan orang-orang lemah kita menjadi makanan (rampasan atau mangsa) untuk orang-orang yang kuat antara kita; 
Syeikh Islam ibni Taimiyah (r.k) juga mengatakan: ‘Pentingnya mengatur (i.e. menguruskan) perkara manusia (i.e. membentuk jema’ah) dan bahawa urusan ugama mahupun urusan dunia tidak akan tegak kecuali dengan membentuk jema’ah, dan dia juga menyebutkan beberapa hadith yang memperkuat ucapan (i.e.pendapatnya). 
Kesimpulan. Dari huraian di atas dapat kita simpulkan seperti berikut: 
1.      Wajibnya menetapi jema’ah betul-betul berdasarkan dalil-dalil al-Quran dan al-Hadith; 
2.      Wajibnya menetapi jema’ah diperkuat dengan ucapan para sahabat dan ulama’ soleh sesudah mereka. 
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah (a.w) yang telah memberi pemahaman yang benar kepada kita tentang wajibnya menetapi atau berada dalam jema’ah, pemahaman yang betul-betul berdasarkan al-Quran dan al-Hadith, pemahaman yang dimangkulkan (bukan pendapat = rukya), sebagai buktinya para ulama’ sesudah mereka juga telah memahami wajibnya menetapi jema’ah. Semoga kita dapat mencelikkan para pemimpin dan ulama' kita supaya kembali kepada asal Islam - back to basic, supaya kita yg Islam benar-benar berjaya terselamat dari siksaan neraka dan mendapat syurga, insya Allah. Amin.
[Nota: Firqah = Menubuhkan perkumpulan berasingan dalam Islam seumpama mazhab. Dalam Ayat 3, Surah al-Maidah, Allah (a.w) memberitahu bahawa Allah (a.w) telah mencukupkan nikmatnya kepada manusia melalui kesempurnaan ugama Islam yang Allah (a.w) ridha dijadikan ugama manusia. Yakni, Islam itu sudah disempurnakan sebelum wafatnya Rasulallah (s.a.w).]
 
Jazakallahu khairah
 
 

1 comment:

  1. asifah. ana masih x brape faham jemaah yg dimaksudkan. dan bai'ah dgn siapa sekarang etc. mohon dijelaskan lebih lanjut. jzkk

    ReplyDelete