Friday, December 31, 2010

Siapa Boleh Jadi Pemimpin Umat Islam?

Assalamualaikum,
Saudara, kita telahpun sentuh tajuk ini dalam konteks perdebatan yg berlangsung ketika ini tentang isu: Apakah orang kafir boleh dilantik sebagai peguam atau hakim syar'ie? Kita juga telah teliti ketetapan al-Quran yg membezakan orang Islam dan orang bukan Islam (atau kafir). [Nota: Istilah kafir dalam Islam merujuk kpd mereka yg tidak Islam dan tidak akui Allah (a.w) adalah tuhan mereka yg esa dan Rasulallah (s.a.w) adalah Pesuruh Allah (a.w)]. 
Dalam membincangkan isu menyentuh tajuk di atas, kita lihat beberapa ketetapan Allah (a.w) mengikut firman Allah (a.w) dalam al-Quran. Kita tahu bahawa hanya Islam ugama yg diridai Allah (a.w). Dan, Allah (a.w) nginkan orang iman pastikan ianya mengatasi lain-lain ugama ciptaan manusia.
Sesiapa yang musyrik, yakni, tidak akui wujudnya Allah (a.w) atau dia menyembah sebagai tuhan selain Allah (a.w), atau kafir, yakni mereka yang tidak akui tuhan itu Allah (a.w), tidak sekali-kali berpeluang masuk syurga. Sesiapa yang Islam dan beriman, yakni dia akui wujud Allah (a.w) dan wujud hari akhirat, iaitu hari pembalasan, tetapi tidak mengerjakan apa-apa yang diperintahkan seperti solat, puasa, dllnya, dan membuat perkara-perkara yang dilarang seperti minum arak, mencuri, dllnya, maka dia juga akan masuk neraka kerana dosa-dosanya, tetapi ada peluang akhirnya kelak, masuk syurga.
Firman Allah (a.w): (La yattakhizil mukminina ... (hingga) ... wa-ilallahil masir) [Maksud: Janganlah mengambil (oleh) orang beriman orang kafir sebagai pemimpin dari selain orang mukmin (atau beriman), barangsiapa berbuat sedemikian maka tidaklah dia dari ugama Allah (a.w) sedikit juapun (yakni, tidak diiktiraf Islamnya sedikitpun) kecuali bahawasanya engkau takutkan mereka sesuatu yang ditakutkan (oleh mereka), dan mempertakutkan akan kamu oleh Allah (a.w) diriNya, dan kepada Allah (a.w) tempat kembali (kamu sekelian kelak).’] [Ayat 28, Surah ali-Imran]
Dari nas dan dalil ayat di atas itu jelaslah bahawa umat Islam atau jemaah Islam dilarang melantik atau mengangkat sebagai pemimpin mereka orang-orang yang bukan Islam sama ada orang tersebut ‘berugama’ (seperti Yahudi dan Nesrani) ataupun tidak berugama (seperti penyembah benda-benda seperti berhala, atheists dll) ataupun majusi. Logiknya mudah. Hanyalah orang Islam dan beriman yang tahu apa yang dibenar dan apa yang tidak dibenarkan oleh Allah (a.w) manusia buat atau lakukan. Dan, Islam itu adalah cara hidup yang diperintahkan Allah (a.w) bagi manusia!
Orang-orang yang Islam dan beriman dilarang melantik atau memberi mandat kepada orang-orang yang bukan Islam dan tidak beriman menjadi pemimpin mereka – tak kira memimpin dalam dimensi apa atau diperingkat mana sekalipun. Ini adalah kerana adalah menjadi tugas pemimpin itu mengimarahkan ugama Allah (a.w), yakni Islam, supaya manusia mengabdikan diri kepada Allah (a.w) dalam segala urusan dunianya. Kerana, dunia itu persediaan untuk akhirat mereka.
Sehubungan itu, apakah orang bukan Islam boleh diberi laluan untuk menjadi peguam dan, lebih-lebih lagi, hakim syar'ie? Bukankah dalam Islam peguam dan hakim adalah tergolongan dalam kumpulan 'ulil amri' itu? Adakah peristiwa zaman Rasulallah (s.a.w) dan zaman para sahabat bahawa wujud orang yg bukan Islam di lantik sebagai 'qadi' [Nota: Qadi adalah juruhukum dalam Islam, selain khalifah atau Amir atau Imam]?

Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment