Wednesday, December 22, 2010

Ibadah Haji: Post Mortem (Sambungan)

Assalamualaikum,
saudara, kita telahpun selesai, secara rengkas, teliti manasik atau peraturan pekerjaan haji dan umrah. Bagi kita yg mengerjakan haji bulan haji dan umrah yg lalu, masih jelas dalam ingatan apa yg kita kerjakan, boleh membuat penilaian sendiri apakah kita telah menepati ketetapan al-Quran dan as-Sunnah atau tidak. Kerana, yg utama dalam kesemua bentuk dan jenis ibadah dan amalan serta kaedah serta cara beribadah dan beramal adalah dua perkara: Pertama, niat kita mengerjakannya; dan kedua, sama ada ibadah dan amalan kita itu menepati ketetapan al-Quran dan as-Sunnah atau rengkasnya sama ada sejajar atau tidak dgn apa yg dicontohkan oleh Rasulallah (s.a.w).
Ramai ulama' menyebut bahawa 'niat' itu adalah kita kerjakan sesuatu ibadah dan amalan itu semata-mata kerana Allah (a.w), yakni 'ikhlas' kerana Allah (a.w) semata-mata, bukan kerana tujuan lain atau kerana pertimbangan-pertimbangan lain. Mereka mendefinasikan 'niat' dan 'ikhlas' sedemikian. Kita harus ingat bahawa segala bentuk ibadah dan amalan wajib atau fardu itu kita kerjakan pada hakikatnya bukan kerana ikhlas sebab kita lakukan dalam keterpaksaan, bukan kerana sukarela. Mungkin tidak mudah kita ikhlas kalau dalam keterpaksaan. Kemungkinan kita boleh mudah ikhlas beribadah dan beramal jika kita kerjakan sesuatu yg tidak disyaratkan atau dimestikan atau kita lakukan secara sukarela hati kita. Justeru itu, mungkin lebih mudah dinilai keikhlasan itu apabila kita merujuk kpd segala bentuk amalan sunat - spt solat sunat, puasa sunat, berzikir, berwirid, bertasbih, berdoa dan amal makruf terhadap manusia lain. Kerana, kesmua ini kita tidak dikerah melakukannya. Jadi, dalam satu dimensi orang yg ikhlas dalam Islam itu dapat dinilai dalam konteks ibadah dan amalan sunat yg dikerjakannya ketika malam atau siang, terutama ketika segala yg dilakukannya tidak dilihat atau diketahui oleh manusia.
Ikhlas dalam Islam disebutkan dan diperjelaskan oleh Allah (a.w) dalam al-Quran dan diperjelaskan juga oleh Rasulallah (s.a.w) dalam as-Sunnah. Yg paling tepat melambangkan keikhlasan itu adalah kita lakukan segala sesuatu - bukan semata-mata ibadah dan amalan - tetapi semua perkara, apabila kita menepati Ayat 57, Surah al-Isra', iaitu: '... wa-yarjuna rahmatahu, wa-yakhafuna 'azabahu;' (yg maksudnya: dan kerana mencari (untuk mendapatkan) kerahmatan Allah (a.w) (yakni, syurga Allah (a.w); dan takutkan siksaan Allah (a.w) (yakni, neraka Allah (a.w)'). Itulah keikhlasan yg sebenarnya. Kerana kita tiada pilihan dalam dunia atau ketika diberi kesempatan hidup di dunia. Allah (a.w) memberitahu kita dalam firmanNya pada Ayat 56, Surah az-Zariat: 'Wa-ma khalaqtul jinna wal-insa illa liya'budni.' (yg bermaksud: Aku (Allah (a.w)) tidak jadikan jinn dan manusia kecuali untuk mengabdikan diri (yakni, beribadah) kepadaKu). Jelasnya, apabila kita diberi kesempatan hidup di dunia, kita tiada pilihan kecuali mengabdikan diri kpd Allah (a.w), yakni, mengerjakan ibadah dan amalan yg ditetapkan oleh Islam, iaitu apa yg ditetapkan dalam al-Quran dan as-Sunnah, sebagai manifestasi perhambaan tersebut. Dalam mengabdikan diri itu kita wajib taatkan dan mencontohi Rasulallah (s.a.w) kerana Rasulallah (s.a.w) sahajalah yg tahu secara sempurna apa perintah Allah (a.w) dan bagaimana mematuhi perintah Allah (a.w) itu. Maka dgn itulah Allah (a.w) memberitahu kita bahawa kita sudah pasti mentaati Allah (a.w) kalau kita mentaati Rasulallah (s.a.w). Firman Allah (a.w): 'Mai yuti'ir-rasula faqad ata'allah' (yg bermaksud: 'sesiapa yg mentaati Tasulallah (s.a.w), maka sungguh-sungguh dia mentaati Allah (a.w)') [Ayat 80, Surah an-Nisa']. Allah (a.w) juga berfirman: 'Wa-ma atakumur rasula fakhuzuhu, wa-ma nahakum fantahu.' (yg bermaksud: 'Apa-apa yg dibawakan kepada kamu oleh Rasulallah (s.a.w) hendaklah kamu ambil atau terima, dan apa-apa yg ditegahnya hendaklah kamu jauhi.' [Ayat 7, Surah al-Haysr]. Jelas kita tiada pilihan melainkan mengambil pakai atau kerjakan ibadah dan amalan itu sejajar dgn apa yg dikerjakan oleh Rasulallah (s.a.w). Kita tidak dibolehkan mencontohi orang lain dalam beramal dan beribadah atau dalam melaksanakan sesuatu ketetapan dalam Islam.
Dalam mengerjakan ibadah haji dan umrah, kita tiada pilihan kecualilah mematuhi peraturan atau manasik mengenai cara-cara dan kaedah mengerjakan haji itu, sama ada rukunke atau wajibnya ke. Para ulama yg mengkategorikan pekerjaan haji dan umrah itu sebagai 'rukun' dan sebagai 'wajib', tapi as-Sunnah membuat ketetapan tanpa membeza-bezakan mana rukun dan mana wajib. Yg pasti jika kita lakukan - rukun qaulinya (i.e. bacaan dan sebutan), rukun fe'linya (i.e. pergerakan atau pelakuan fisikalnya) dan rukun qalbinya (i.e. niat dan sandaran hati sanubari ketika melakukannya) - berlainan dari apa yg dicontohkan oleh Rasulallah (s.a.w), maka ibadah kita tidak diterima Allah (a.w).
Mudah-mudahan kita telah lakukan segala sesuatu mengikut ketetapan al-Quran dan as-Sunnah dan bukan mengikut ketetapan manusia. Kerana, manusia, walau bijak macam mana sekalipun belum tentu bijak dalam konteks ilmu al-Quran dan as-Sunnah. Jikalah kita lakukan rukun qalbinya, rukun fe'linya dan rukun qaulinya berlainan dari ketetapan as-Sunnah, bererti kita tidak mematuhi as-Sunnah atau tidak mencontohi Rasulallah (s.a.w), maka ibadah haji dan umrah kita, sebagaimana ibadah-ibadah selainnya, tidak sah dan tidak diterima Allah (a.w). Dengan itulah Rasulallah (s.a.w) memberitahu kita: 'Khuzu anni manasikakum' (yg bermaksud: Kamu ambillah dari aku cara dan kaedah kamu mengerjakan haji kamu'). Oleh itu, kalau tidak diterima Allah (a.w) sudah pastilah kita tidak mendapat umrah yg 'masykura' atau haji yg 'mabrur'! Wajiblah kita mengulangi haji kita dan ikuti cara bagaimana melaksanakan haji kita menepati ketetapan as-Sunnah.

Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment