Tuesday, January 3, 2012

Solat Cara Rasulallah (s.a.w) (Samb.)

Assalamualaikum,
Saudara, kita telah lihat dalam post sebelum ini cara atau kaedah Sujud, dan kaedah yg disukai oleh Rasulallah (s.a.w). Kita juga telah maklum Sujud cara seekor anjing meletakkan tangannya ketika nak tidur, tidak disukai. Begitu juga, cara unta hendak baring tidak disukai. Mudah-mudahan, kita dapat lakukan rukun fe'li (perlakuan/pergerakan dalam solat) terbaik dalam perkara Sujud ini. Kali ini kita lihat pula bahawa ketika Sujud itu hendaklah tujuh anggota Sujud itu berada di atas tempat solat (spt sejadah atau tikar atau karpet dsgnya).
  
Tujuh Anggota Sujud 
Apabila menyentuh tentang perlakuan atau rukun Sujud, kita sering mendengar ceramah oleh para ustaz dan ulama’ tentang tujuh anggota Sujud itu. Dikatakan jika kita Sujud dan tidak sempurna ketujuh-tujuh anggota tersebut pada tempat Sujud, maka Sujud kita tidak sah. Antara hadith yang menyebut tentang anggota Sujud itu adalah hadith berikut: 
Diriwayatkan daripada Abi Humaidi bin al-Saidi (r.a): ‘Bahawasanya adalah Nabi (s.a.w) apabila dia Sujud membolehkan hidung dan dahinya kena bumi (yakni, tempat sujud, seperti tikar atau sejadah), dan kedua-dua tangannya renggang dari dua lembongnya (yakni, bahagian perut atau badannya), dan meletakkan tapak tangannya membetuli (yakni bersetentangan dengan) dua bahunyaDemikianlah kelakuan Nabi (s.a.w) Sujud itu.’ [Hadith sahih at-Termidzi] 
Kita telah teliti perlakuan semasa hendak Rukuk dan kemudian I’ktidal sertatasbihnya. Sebelum kita teliti perlakuan Sujud, semasa Sujud dan bangun untuk duduk antara dua Sujud, kita perlu faham apakah dia tujuh anggota Sujud. Kita lihat hadith di atas itu menyebut bahawa Rasulallah (s.a.w) ketika Sujud mempastikan hidung dan dahinya kena pada tmpat Sujud. Kedua-dua tangannya terletak di tempat solat direnggangkan (dalam hadith lain dikatakan lebih renggang kedua tangannya berbanding dengan kedudukan kedua-dua tangan ketika Rukuk). Kedua-dua telapak tangannya pula diletakkan bersetentangan dengan kedua telinganya. Justeru itu, anggota-angota Sujud itu adalah tujuh, yakni tujuh anggota Sujud itu adalah:
§  Dahi dan hidung (dikira satu);
§  Dua telapak tangan (dua);
§  Dua lutut (dua); dan 
§  Dua hujung kaki atau jari-jari kaki (dua).
Di dalam hadith berikut disebutkan dua anggota sahaja (iaitu dahi dan hidung dan kedua telapak tangan). Ini dilengkapkan oleh hadith berikutnya pula. Sujud itu sempurna apabila tujuh anggota Sujud mencecah tempat Sujud, dan ditegakkan tapak kaki di atas hujung jari-jari kaki). 
Diriwayatkan hadith daripada Ibnu Abbas (r.a) berkata: ‘Bahawasanya Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Aku diperintahkan supaya Sujud dengan tujuh anggota (iaitu) (pertama) dengan dahi (dan sambil menunjukkan hidungnya, yakni termasuk juga hidung), (kedua dan ketiga) dua tangan, (keempat dan kelima) dua kaki, (yakni, lutut, dan keenam dan ketujuh) hujung dua telapak kaki. Dan, dilarang (ketika Sujud) melapisi dahi dengan pakaian dan jangan (juga) rambut (yang terurai, memisahkan dahi dan hidung dengan tempat solat).’ [Hadith Muslim] 
Dijelaskan juga dalam sepotong hadith hendaklah diluruskan badan, direnggangkan tangan, dibengkokkan sedikit supaya tidak melekap ke badan, yakni, nampak sedikit bahagian ketiak, dan ada rongga (yakni, terbuka ruang antara lengan dengan badan, kira-kira mengikut satu hadith riwayat Aisyah (r.ah), boleh dilalui oleh seekor anak kambing melalui rongga terbuka tersebut). Jari-jari tangan direnggangkan sedikit. Dalam hadith, Nabi (s.a.w) melarang kita meletakkan kedua lengan tangan ke tempat solat dengan kedua-dua lengan selari dengan tikar atau sejadah (yakni, seperti duduk atau baringnya seekor anjing meletakkan kedua-dua tangannya atas tanah). Semasa Sujud dibacalah tasbihnya ‘Subhana-rabbial-a’la’. Rengkasnya, semasa kita Sujud hendaklah tujuh anggota Sujud terletak di atas tempat bersolat (seumpama sejadah) dengan hujung jari bersetentangan dengan kedua-dua telinga atau bahu. Kedua-dua lengan tidak boleh terletak di atas lantai atau tikar atau sejadah. 
Telah diriwayatkan hadith daripada Abdullah bin Iqram al-Khuzai (r.a) katanya: ‘Adalah aku beserta bapaku di tempat bernama Qa’ daerah tempat Samrat (nama tempat), di dalam itu maka lalu sedikit daripada kenderaan, maka tiba-tiba Rasulallah (s.a.w) berdiri solat dia’. [Kata Abdullah:] ‘Maka aku memandang kepada warna lebuh dua ketiak Rasulallah (s.a.w) pada masa Rukuknya kerana tiada berapa dibukanya (yakni, direnggangkannya) dua sikunya waktu Rukuk itu. Apabila Sujud ia aku lihat putih ketiaknya (kerana lebih terbuka, yakni, lebih renggang) dua sikunya daripada waktu Ruku.’ [Hadith sahih at-Termidzi] 
Hadith di atas memberitahu kita kaedah Rukuk dan Sujud Rasulallah (s.a.w). Semasa Rukuk direnggangkannya sedikit kedua tangannya supaya ternampak sedikit bahagian ketiaknya. Semasa Sujud dibesarkan lagi renggang kedua tangannya daripada tubuh atau perutnya. Kita telah sentuh serba sedikit larangan Rasulallah (s.a.w) bahawa semasa Sujud, jangan kita menghamparkan tangan atau lengan ke tempat solat (sebagaimana seekor anjing meletakkan lengannya kebumi semasa tidur atau baring). Ini dijelaskan di dalam sepotong hadith berikut: 
Diriwayatkan oleh Jabir (r.a): ‘Bahawasanya Nabi (s.a.w) telah bersabda: ‘Apabila Sujud seorang daripada kamu maka hendaklah betulkan didalam Sujudnya dan jangan hamparkan dua lengannya sebagaimana anjing menghampar lengannya di bumi.’ [Hadith sahih at-Termidzi]. 
Kita bayangkan bagaimana seekor anjing itu baring. Bila kita lihat anjing tidur ia akan meletakkan lengannya ke bumi supaya tapak tangan, lengan dan sikunya selari (parallel) dengan permukaan bumi. Mungkin kita pernah ternampak orang berbuat sedemikian.  Kerana kejahilan ilmu as-Sunnah, kita akan terlihat perbuatan sedemikian di kalangan orang yang pada luarannya nampak berilmu dalam agama Islam, melakukannya.  Kita rujuk 3 hadith berikut untuk mengetahui lebih lanjut perlakuan ini.
Diriwayatkan hadith daripada Anas (r.a) berkata: ‘Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Sempurnakanlah Sujud kamu dan jangan bentangkan (atau hamparkan) dua tangan (yakni, lengan) kamu seperti tiarap anjing.’ [Hadith Muslim] 
Maksudnya, kalau kita lihat anjing tidur dihamparkannya dua lengannya selarai dgn bumi atau tempat tidur atau baringnya itu. Janganlah kita buat begitu.
Diriwayatkan hadith daripada Barra’ (r.a) berkata: ‘Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Ketika Sujud kamu maka letakkanlah dua telapak tangan kamu dan angkat (atau renggangkan) kedua siku kamu (dari tubuh).’ [Hadith Muslim] 
Maksudnya, ketika Sujud itu telapak tangan terbuka diletakkan atas bumi atau sejadah atau tikar, tidak digenggam dan hendaklah lengan kita direnggangkan dari tubuh kita.
Diriwayatkan hadith daripada Said bin Abi Wakas (r.a) berkata: ‘Bahawasanya Nabi (s.a.w) menyuruh dia (yakni, Said) dengan menghampar kedua (telapak) tangannya dan mendiri akan hujung kakinya pada Sujud, [yakni didirikan hujung atau jari kakinya semasa Sujud itu] [Hadith sahih at-Termidzi].
Maksudnya, jari-jari kaki kita hendaklah ditegakkan di atas hujung-hujung jari, jangan dilipatkan. 
Diriwayatkan hadith daripada Abdullah bin Malik (r.a) berkata: ‘Bahawasanya Rasulallah (s.a.w) adapun ketika solat direnggangnya kedua-dua sikunya sehingga kelihatan putih ketiaknya.’ [Hadith Muslim] 
Hadith-hadith di atas menjelaskan bagaimana kaedah atau cara Sujud atau kedudukan atau letak anggota-anggota Sujud itu, khususnya tangan atau lengan.  Di dalam hadith berikut disebutkan oleh Rasulallah (s.a.w) bahawa semasa Sujudlah manusia itu paling hampir dengan Tuhan mereka. 
Diriwayatkan hadith daripada Abi Hurairah (r.a) berkata bahawasanya Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Sedekat-dekat hamba kepada Tuhannya, (ketika) dia Sujud. Maka perbanyakkanlah doa (ketika Sujud).’ [Hadith Muslim] 
Hadith ini menjelaskan bahawa manusia itu paling hampir kepada Tuhannya ketika mereka Sujud semasa solat. Oleh yang demikian, Rasulallah (s.a.w) menyuruh membanyakkan berdoa ketika Sujud. [Nota: Di dalam solat kita tidak boleh membaca apa-apa kalimah, trmasuklah kalimah doa ketika Sujud, dalam bahasa selain bahawa Arab. Oleh itu, kalau kita tidak hafal doa dalam bahasa Arab, memadailah memperbanyakkan bacaan tasbih Sujud - 'Subhana rabbial 'ala' itu.] Kita akan teliti beberapa doa yang dibaca oleh Rasulallah (s.a.w) semasa Sujud
Saudara, mudah-mudahan saudara faham bagaimana nak Sujud dan apakah bacaan tasbihnya ketika Sujud. Dan, dgn itu saudara lebih faham dan tidaklah beramal dalam kejahilan. Amalan hendaklah dgn ilmu, dan ilmu sahaja yg mengesahkan apakah amalan atau ibadah kita itu betul dan apakah cara dan kaedah kita beribadah itu sejajar atau tidak dgn as-Sunnah.

Jazakallahu khairah

1 comment: