Monday, January 16, 2012

Solat - Bagaimana Nak Khusyuk

Assalamualaikum,
Saudara,kita telahpun tahu bahawa solat fardu yg lima waktu itu adalah tiang agama Islam atau tiang agama kita. Kalau kita menjaga solat fardu kita, maka kita menjaga agama kita. jika tidak sebagaimana tiang rumah yg sudah reput tumbang atau patah, maka tumbanglah agama kita. Kita tidak lagi beragama Islam. Maka dgn itulah kalau kita tinggalkan satu waktu solat fardu dgn sengaja, maka kita dihukum jatuh kafir.Solat juga adalah ibadah atau amalan yg terawal dihisab di akhirat kelak. Kalaulah bagus hisaban solat fardu kita maka, baguslah hisaban segala amalan kita selainnya, kerana solat itu tiang agama. Tak guna kita begitu bagus dalam amalan lain spt berpusa, sering naik haji atau seorang yg dermawan sering istiqamah membayar zakat, sering menderma dan menginfaqkan sebahagian harta kekayaan atau milik kita demi Islam. Semua itu tiada nilainya kalau kita tak solat atau kalau kita remehkan atau ringankan ibadah solat.
Saudara, yg utama difikirkan oleh orang iman dalam perkara solat adalah isu bagaimana nak khusyuk dalam solat. Kerana ketika bersolatlah kita sering diganggu oleh syaitan yg menyuruh kita itu dan ini - ingatkan kerja di pejabat, ingatkan anak atau cucu di rumah, dll. Justeru itu, Rasulallah (s.a.w) memberi petua bagaiman nak khusyuk. Kita lihat hadith-hadith berikut: 
Diriwayatkan hadith daripada Jabir bin Samurah (r.a) berkata: ‘Sesungguhnya Nabi (s.a.w) telah bersabda: ‘Nescaya sungguh berhenti kaum (yakni, mereka sekelian yang menjadi jemaah solat) dari mengangkat pandangan mereka ke arah langit, atau tidak dikembalikan Allah (a.w) pandangan mereka (yakni, dipadamkan ni’mat boleh memandang itu).’ [Hadith sahih 1045 Ibnu Majjah].
Ketentuan as-Sunnah di atas memberitahu kita bahawa ketika kita solat hendaklah kita menumpukan perhatian sepenuhnya kepada solat. Janganlah kita menoleh kesana kemari, seperti mendang ke langit. Ini akan menghilangkan kekhusyukan kita bersolat.
Jika kita adalah seorang yang rajin memerhati orang Melayu bersolat di mana-mana, kita akan temui ramai para jemaah yang menggerak-gerakkan badan, tangan dan kaki serta matanya liar memandang ke kiri dan ke kanan ke atas dan ke bawah, serta telinga merekapun sering mendengar pelbagai perkara. Bagaimanakah mungkin, orang-orang yang sedemikian itu boleh menjamin bahawa semasa mereka bersolat, mereka khusyu’? Maka dengan itulah, satu kaedah untuk meningkatkan kekhusyukan solat adalah tidak meliarkan mata. 
Diriwayatkan hadith daripada Ibnu Abbas (r.a), berkata: ‘Pada suatu hari ada seorang perempuan bersolat (berjemaah) di belakang Nabi (s.a.w), cantiknya perempuan itu secantik-cantiknya manusia (yakni, tersangat cantiknya perempuan tersebut). Maka adalah sebahagian daripada kaum (yakni, para jemaah atau makmum lelaki) maju atau berpindah ke saf-saf terawal (yakni, di barisan hadapan) supaya tidak melihat (mereka) akan perempuan itu (ketika bersolat). Dan ada sebahagian jemaah atau makmum berpindah ke barisan-barisan di belakang (yakni, saf-saf terakhir).  Maka tatkala ruku’ berkata-kata begini: ‘Melihat dari bawah ketiak mereka akan perempuan tersebut.’ Maka turunlah ayat al-Quran (yang berbunyi) 'Walaqad ‘alimnal-mustaqdimina minkum walaqad ‘alimnal-mustakhirina) [Ayat 24, Surah al-Hijr] [Maksud ayat: Dan sesungguhnya Aku (Allah (a.w)) melihat orang-orang yang (duduk) di barisan hadapan dari kalangan kamu, dan sesungguhnya Aku (Allah (a.w)) melihat orang-orang yang (duduk) di barisan belakang (dikalangan kamu)] di dalam kelakuan atau telatah mereka hendak melihat perempuan itu.’ [Hadith sahih Ibnu Majah]
Jelaslah, perbuatan para jemaah lelaki dalam kes yang disebutkan di dalam hadith tersebut menjadi penyebab kepada turunnya ayat al-Quran (Ayat 24, Surah al-Hijr). Jelasnya, Allah (a.w) sendiri mencemuh manusia yang bersolat tetapi memfokuskan pandangan dan hatinya kepada perkara lain dan bukan kerana mengharapkan keredhaan Allah (a.w).
Di dalam hadith di atas disebutkan bahawa ada para jemaah ketika ruku’ dalam solat mereka melihat ke belakang untuk melihat wanita-wanita yang menjadi jemaah. Maka dengan itulah diturunkan ayat al-Quran tersebut melarang mereka yang bersolat melakukan perbuatan melihat kaum wanita semasa ruku’ itu. Maka dengan itulah disebutkan dalam hadith bahawa sof terbaik (yakni, mendapat pahala tertinggi bagi lelaki adalah sof terkedepan, amanakala sof terbaik wanita adalah sof terbelakang sekali.
Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Dok basoraka maudi’a sujudika’ [Maksud: Menempatkanlah (i.e. menumpukanlah) pandangan kamu pada tempat sujud kamu.] [Hadith riwayat ad-Daramiu].
Di dalam hadith ini kita dinasihatkan oleh Rasulallah (s.a.w) bahawa untuk mempastikan kita khusyuk dalam solat hendaklah kita sentiasa menumpukan pandangan kita ke tempat Sujud kita. Dengan itu tidaklah kita melihat sekeliling, memerhati orang lalu lalang atau memerhatikan gelagat orang-orang lain yg ada di persekitaran atau keliling kita. Jika tidak berbuat demikian, maka mata kita akan menjadi liar memerhatikan gelagat orang di sekeliling kita. Inilah yg sering berlaku, jika kita perhatikan gelagat orang-orang yg bersolat tetapi melihat atau memandang ke depan atau membiarkan matanya melihat ke kiri dan ke kanan. Ini berlaku kerana kita tidak berilmu, walhal dalam as-Sunnah kita dinasihatkan secara terperinci oleh Rasulallah (s.a.w) apa nak buat ketika bersolat. 
Salah satu adab bersolat itu adalah kita berdiri tegak tanpa bergerak atau menggerakkan tubuh badan supaya khusyuk. Hendaklah kita membaca al-Fatihah dan surah dalam solat – bagi solat siang – supaya bacaan kita itu dapat didengar oleh diri kita sendiri, tanpa boleh jelas didengar oleh orang lain. Ini utama kerana setiap perlakuan dan kata-kata kita itu boleh didengar oleh malaikat yang mencatit, iaitu Rakib dan Atid (atau Kiraman dan katibin). malaikat tidak boleh menyelam lubuk hati kita,. Hanya Allah (a.w) yang boleh mengetahui apa yang dizahirkan dan apa yang kita sembunyikan. Justeru itu, supaya malaikat dapat menulis apa yang kita sebutkan dalam solat, hendaklah kita menggerak-gerakkan bibir kita dan membaca sekadar yang boleh didengari oleh diri kita sendiri.    
Diriwayatkan hadith dari Laith b Abi Sulaimin hadith dari Taus hadith dari ibni Abbas berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Iza qama ahadukum fis-solati fala yaghmid ‘ainaihi’ (Yg bermaksud: Ketika berdiri kamu (yakni, ketika bersolat) salah seorang kamu di dalam solat kamu, maka janganlah kamu memejamkan kedua-dua mata kamu.) [Hadith at-Tobrani]
Hadith di atas itu menyebutkan peradaban ketika bersolat bahawa kita jangan melelapkan atau memejamkan kedua mata kita. Hendaklah kita membuka mata ketika bersolat, membaca dengan tertib dan tidak terburu-buru dan menumpukan pandangan kita, sebagaimana yang disebutkan dalam hadith sebelum ini, ke tempat Sujud kita. Ini akan menjamin kekhusyukan dalam bersolat.
Saudara, antara panduan Rasulallah (s.a.w) untuk menjamin kekhusukan ketika bersolat adalah; pertama, jangan kita meliarkan mata kita ketika solat, memandang ke kiri dan ke kanan atau ke atas dan ke bawah, atau melihat jema'ah di belakang kita, apabila yg dibelakang kita adalah jema'ah perempuan; kedua, menumpukan pandangan kita ketika berdiri, Ruku dan duduk antara dua Sujud melihat ke tempat Sujud; dan ketiga, janganlah pula kita memjamkan mata, kerana ketika kita bersolat kita mengadap Allah (a.w), maka apakala kita melelapkan atau menutup mata kita, Allah (a.w) tidak lagi melihat kpd kita.
Mudah-mudahan panduan ini kita jadikan tabiat lazim ketika bersolat. Maka dgn itu, insya Allah, kita akan khusyuk dalam solat.

Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment