Assalamualaikum,
Saudara, setelah kita Rukuk dan membaca tasbih Rukuk, iaitu 'Subhana rabbial 'azim' tanpa 'wa-bihamdihi', kitapun bangun sambil bertakbir (baca 'Allahu Akbar'), untuk Iktidal. Bagaimanakah perlakuan Iktidal Nabi (s.a.w)? Kita lihat.
Bangkit Dari Ruku’ (I’tidal) (Wajib)
Selepas selesai Rukuk kitapun bangun dari Rukuk sambil mengangkat kedua tangan sampai ke paras telinga atau bahu sambil membaca tasbihnya, ‘Samiullahi waliman hamidah’. Kalimah yang perlu dibaca atau ucapkan semasa bangun dari Ruku’ itu telah ditetapkan oleh Rasulallah (s.a.w), iaitu, ‘Samiullahi liman hamidah’ dan jika kita makmum baca hanya ‘rabbana wa lakal hamdu’. Terdapat banyak hadith menyebutkan tasbih yang dibaca ketika bangkit daripada Rukuk sebelum kita Sujud, antara hadith-hadithnya adalah:
Diriwayatkan hadith daripada Ali Abi Thalib (r.a) katanya: ‘Adalah Rasulallah (s.a.w) mengucap dia apabila mengangkat dia akan kepalanya tatkala bangkit dari Ruku’ katanya ‘Samiallahu-liman-hamidah’. [Hadith hasan sahih at-Termidzi]
Ini adalah bacaan atau tasbih terpendek ketika bangun dari Rukuk yang dibaca atau dilafazkan oleh Rasulallah (s.a.w). Ada bacaan atau kalimah yang agak panjang sedikit mengikut hadith berikut:
Diriwayatkan hadith daripada Ibnu Abbas (r.a) katanya: ‘Sesungguhnya Nabi (s.a.w) ada dia ketika (bangun dari Ruku’nya) membaca 'Samiullahi liman hamidah.' dan membaca 'Allahumma rabbana lakalhamdu mil-us samawati wa milul ardhi wa mila ma syikta min syai-in ba’du.' [Maksud: Ya Allah (a.w) ya Tuhanku, wahai Tuhanku semua makhluk di langit dan semua makhluk di bumi memuji Engkau, dan semua apa-apa yang Engkau kehendaki dari sesuatu sesudahnya] [Hadith sahih an-Nasa’i].
Boleh juga diamalkan versi tasbih yang panjang itu ketika bangkit daripada Ruku’. Sekiranya kita bersolat berjemaah, apabila Imam menyebut ‘Samiallahu-liman-hamidah’ semasa bangun dari Rukuk itu, makmum tak perlu baca ‘Samiallah…’ itu, memadailah menjawab ‘Rabbana-walakal-hamdu’, (sambil mengangkat kedua-dua tangan hingga ke paras telinga atau atau paras bahu bangkit dari Rukuk mengikuti kelakuan Imam. Ini adalah amalan Rasulallah (s.a.w), mengikut hadith berikut:
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah (r.a) bahawasanya Rasulallah (s.a.w) telah bersabda: ‘Apabila mengucap Imam lafaz 'Samiallahu-liman-hamidah' (semasa bangkit daripada Ruku’), maka hendaklah kamu (sekelian makmum) sahut dengan ucapan 'Rabbana-lakal-hamdu', maka barangsiapa menyebutnya dan muafakat sebutan para malaikat (serentak dengan sebutan imam dan makmum itu), nescaya diampun baginya oleh Allah (a.w) akan dosa yang terdahulu.’ [Hadith hasan, sahih at-Termidzi].
Hadith yang sama diriwayatkan juga oleh Muslim, seperti berikut:
Diriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah (r.a) berkata; ‘Bahawasanya Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Apabila berkata salah seorang daripada kamu di dalam solat ‘Amin’, dan (sedangkan) malaikat di langit menyebut ‘Amin’ pada ketika yang sama, nescaya diampunkan (oleh Allah (a.w)) bagi mereka apa-apa yang didahuluii mereka oleh dosa-dosa mereka.’ [Hadith Muslim].
Rasulallah (s.a.w) juga ada membaca kalimah lain, seperti disebut dalam hadith berikut:
Diriwayatkan hadith daripada Aisyah (r.ah) berkata: ‘Adapun Rasulallah (s.a.w) memperbanyakkan apabila berdoa dia di dalam Ruku’ dan Sujudnya (dengan membaca) 'Suhbanaka rabbana wabihamdika, allahum-maghfirli.' [Maksud: Maha suci Allah (a.w) dan segala puji-pujian bagi Engkau Ya Allah (a.w), ya Tuhan kami ampuni aku][Hadith sahih an-Nasa’i].
Justeru itu, ada beberapa versi bacaan semasa bangkit dari Rukuk untuk berdiri sebelum Sujud. Bacaan yang pendekpun sudah memadai. Ada dua versi kalimah yang dibaca atau diucapkan oleh Rasulallah (s.a.w). Oleh itu pilihlah yang mana satu. Tetapi, ingatlah bahawa jika berjemaah, hanya perlu sebut 'Rabbana-lakal-hamdu' sahaja selepas Imam bangkit dan menyebut 'Samiallahu-liman-hamidah' itu. Bacaan selain kalimah yang disebutkan di atas itu adalah ‘pembaharuan dalam urusan solat’ (atau bida’ah) akan membatalkan solat! Sehubungan itu, umat Islam di Malaysia ini tidak diajarkan tasbih-tasbih yang disebutkan oleh Rasulallah (s.a.w). Maka dengan itu, para makmum seringkali menyebut ‘Samiallahu …’ dan ‘rabbana …' apakala imam menyebut kalimah-kalimah tersebut. Walhal, makmum hanya perlu sebut ‘rabbana wa-lakal hamdu’ sahaja.
Walaupun hadith-hadith di atas itu jelas menyebutkan tentang tasbih yang dibaca ketika bangun daripada Rukuk, namun disebabkan kejahilan ilmu al-Hadith atau as-Sunnah, ramai di kalangan umat Islam di Malaysia ini membuat kesalahan juga. Sebagai rumusan, apabila kita Rukuk kita lakukan atau baca tasbihnya seperti berikut: Pertama, apabila hendak Rukuk kita angkat kedua tangan dengan jari-jari terbuka lurus atau renggang sedikit ke atas sehingga sampai ke paras kedua cuping telinga atau kedua bahu sambil menyebut Takbir (Allahu Akbar); kedua, kemudian kita Ruku’ dengan meletakkan kedua-dua tangan kita di bahagian atas lutut, renggankan ibu jari dengan empat jari yang lain dan baca tasbih Rukuk iaitu ‘Subhanarabbial ‘azim’; ketiga, kemudian bangkit dari Rukuk untuk berdiri sebentar sambil mengangkat pula kedua-dua tangan kita ke paras telinga atau bahu dengan membaca Tasbihnya, iaitu ‘Samiullahu liman hamidah’ dan disambung dengan ‘rabbana walakal hamdu’ jika bersendirian; dan jika makmum menyebut ‘Rabbana walakal hamdu’ setelah Imam habis menyebut ‘Samiallahu liman hamidah’; dan keempat, kemudian kita angkat semula kedua-dua tangan ke paras yang sama sambil membaca Takbir (Allahu Akbar), dan kita terus Sujud.
Wajib diperhatikan bahawa ketika Rukuk hanya dibaca ‘Subhanarabbial a’zim’ sahaja. Kalimah ‘wa-bihamdihi’ itu adalah tambahan yang tidak diucap atau dibaca oleh Rasulallah (s.a.w) - lihat Nota di bawah.
[Nota: Penambahan kalimah tersebut termasuk dalam istilah ‘bid’ah’. Perbuatan tersebut membatalkan solat.. Rasulallah (s.a.w) menghukumi bahawa setiap 'pembaharuan dalam perkara agama atau syariat Islam' adalah bid'ah, setiap bid'ah adalah kesesatan, dan setiap kesesatan tempatnya di neraka. Tidak boleh sesiapapun membuat perubahan atau menokok tambah kpd syariat Islam, terutama dalam bentuk-bentuk amalan dan ibadah, kaedah serta cara beramal dan beribadah, selain apa yg ditunjukkan atau dicontohkan oleh Rasulallah (s.a.w). Rasulallah (s.a.w) bersabda: 'Barangsiapa mengerjakan suatu amalan (atau ibadah) yg tidak dibawakan oleh aku (Nabi), maka amalan itu ditolak, atau tidak diterima Allah (a.w)' [Hadith Bukhari & Muslim]. Amalan atau ibadah terebut telah tercemar dan dicemari oleh bid'ah. dalam hadith lain disebutkan bahawa pengamal atau pelopor atau pembuat/pereka sesuatu bid'ah itu batil dan batal kesemua amalannya - yg fardu mahupun yg wajib - keluar dia dari Islam tanpa disedarinya [Hadith ibnu Majah]. Ingatlah bahawa Allah (a.w), melalui firmanNya pada Ayat 7, Surah al-Haysr, menyuruh kita terima apa yg disuruh dan tinggalkan apa yg ditegah oleh Rasulallah (s.a.w). Rasulallah (s.a.w) melarang kita/umatnya amalkan bid'ah, maka kita tinggalkan. Rasulallah (s.a.w) memberitahu taubat pengamal dan pembuat atau penyemarakkan bid'ah tidak diterima, selagi dia amalkan bid'ahnya. Wal iya zubillah. Oleh itu berwaspadalah. janganlah lakukan sesuatu dalam kejahilan. Kita rugi.]
Jazakallahu khairah
No comments:
Post a Comment