Sunday, August 8, 2010

Puasa Fardu - Berpuasa Dalam Bulan Sya'ban

Assalamualaikum,
Saudara, kita sambung sedikit lagi penelitian kita tentang Puasa wajib bulan Ramadhan yg beberapa isu yg berkaitan dgnnya.
Kalau saudara akrab dgn orang-orang tua, terutama ibu bapa yg rajin beribadah, mungkin saudara akan temui orang-orang tuan yg berpuasa 'tiga bulan berturut-turut', iaitu sebulan dalam bulan Rejab, sebulan dalam bulan Sya'ban dan disambung dgn sebulan dalam bulan Ramadhan (yg wajib). Apabila kita teliti ketetapan as-Sunnah yg menjelaskan segala bentuk amalan dan ibadah yg dituntut oleh Islam, kita akan dapati bahawa tiada sandaran as-Sunnah mengenai amalan tersebut. Maka dgn itu, jika tiada sandaran as-Sunnah, maka tiadalah amalan atau ibadah tersebut dalam syariat Islam yg dibawakan oleh Rasulallah (s.a.w). Ini jelas satu perkara yg tergolong dalam pembaharuan dalam ugama atau bid'ah. Jika dibuat maka sia-sia tidak mendapat pahala. Jika dibuat dan tidak ada dalam syariat dan jelas pula amalan itu bersifat bid'ah, maka mendapat dosa pula. Kalau kita teliti pula ketetapan al-Quran dan as-Sunnah mengenai amalan yg bersifat bid'ah ini, kita akan ketemui ketetapan yg menakutkan dalam konteks aqidah, kerana mereka yg melakukan atau mengamalkan atau mengembangkan sesuatu yg bersifat bid'ah terkeluar dari Islam tanpa disedari! Wal iyazubillahi min zalik.
Dalam konteks puasa, kita lihat beberapa hadith berikut yg jelas melarang kita mendahulukan berpuasa (puasa sunat) sehari atau dua hari sebelum satu Ramadhan. Maksudnya, kita tidak dibenarkan oleh Islam berpuasa sehari atau dua hari sebelum satu haribulan Ramadhan. Jika begitu, tiadalah apa yg wujud dalam syariat Islam apa dikatakan 'puasa tiga bulan' tersebut. Kita hanya dibenarkan berpuasa pada 29 dan 30 Sya'ban, jikalah pada tanggal tersebut kebetulan hari Isnin atau Khamis kerana adalah satu syariat Islam kita digalakkan berpuasa setiap Isnin dan Khamis, atau pada htanggal 29 dan 30 Sya'ban itu secara kebetulan kita perlu berpuasa kerana mengamalkan puasa Nabi Daud (yakni, puasa selang sehari) atau kita perlu menyudahkan qadha' puasa yg kita tertinggal. Inilah ketetapan hadith-hadith berikut:
Diriwayatkan hadith daripada Silah bin Zufar (r.a) katanya: ‘Adalah kami menjadi tetamu di sisi seorang sahabat Nabi (s.a.w) yang bernama Umara bin Yasir (r.a), maka dibawakannya kami dengan biri-biri berbakar (yakni, panggang biri-biri) sudah masak supaya menjamu beberapa tetamu yang datang kepadanya. Apakala sudah sedia makanan yang didatangnya (yakni, dibawakan) ke hadapan tetamu lalu berkata dia (yakni, Umara): ‘Makan sekelian kamu akan barang yang aku hadhirkan ini’. [Kata Silah] Di kalangan tetamu itu ada sesetengahnya sudah mula berpuasa Ramadhan, (pada halnya bulan Ramadhan tiada siapa yakin akan masuknya). Maka apakala dilihat oleh orang-orang yang berpuasa itu telah diangkat hidangan makanan kepadanya lalu mundur (yakni, berundur) sesetengah daripada kaum (yang hadir) yang berpuasa seraya kata mereka ‘Bahawasanya aku berpuasa Ramadhan’. Bila didengar oleh Umara bin Yasir (r.a) lalu berkata Umara bin Yasir (r.a): ‘Siapa berpuasa pada hari yang disyaki padanya oleh orang akan masuk Ramadhan, maka sesungguhnya derhaka dia akan Aba Qasim (s.a.w)[Nota: Aba Qasim adalah gelaran Rasulallah (s.a.w), kerana seorang anaknya bernama Qasim], kerana bahawasanya Abu Qasim (s.a.w) telah bersabda ‘Jangan puasa sekelian kamu dahulu daripada Ramadhan (kerana mengambil ijtihad akan Ramadhan), hendaklah puasa sekelian kamu kerana nampak satu haribulan Ramadhan dan berhenti puasa Ramadhan sekelian kamu kerana nampak satu haribulan Syawal’. [Hadith sahih at-Termidzi, Kitab Saum]
Di dalam hadith ini jelas disebutkan serta diperkuatkan lagi ketetapan bahawa jangan mendahulukan puasa sebelum Ramadhan. Juga, jangan mula berpuasa Ramadhan melainkan jelas anak bulan Ramadhan sudah kelihatan atau, jika tidak kelihatan anak bulan Ramadhan setelah dihisab Sya’ban cukup 30 hari, maka kita mula berpuasa Ramadhan. Jelaslah juga, hadith ini menetapkan bahawa penentuan masuknya Ramadhan itu hendaklah, mengikut syariat Islam, ditentukan dengan melihat anak bulan dan tidak boleh didahului dengan mengira secara ilmu falaq. Ilmu falaq hanya dibolehkan dijadikan asas penentuan masuknya Ramadhan apakala diusahakan melihat anak bulan apabila tidak kelihatan. Jika begitu, hendaklah dicukupkan hari bulan Sya’ban itu 30 hari, baru boleh mula berpuasa Ramadhan.
Hadith di bawah ini sama dengan hadith yang diriwayatkan di dalam hadith at-Termidzi (yakni, Sunan at-Termidzi) yang kita lihat sebelum ini. Syariat Islam menetapkan bahawa orang Islam dilarang berpuasa sunat seharai atau dua hari sebelum datangnya bulan Ramadhan, yakni pada penghujung bulan Rejab, kecuali puasa-puasa sunat yang telah dilazimkan, iaitu puasa setiap hari Isnin dan Khamis, kebetulan jatuh pada 29 atau 30 Sya’aban. Hadith ini memberi asas nas dan dalil as-Sunnah bahawa amalan berpuasa tiga bulan berturut-turut itu tidak ada dalam syariat Islam. Mengikut sepotong hadith riwayat Abu Daud, Sunan Abu Daud berikut, kita diberitahu:
Diriwayatkan hadith daripada Abi Ishak daripada Silah (r.a) berkata: ‘Adapun kami di sisi Omar (r.a) pada suatu hari yang syak di dalamnya (mengenai masuk atau tidaknya Ramadhan), maka didatangkan dengan kambing (panggang), maka berpindah sebahagian kaum (yakni, sahabat yang sudah mula berpuasa Ramadhan, beredar), maka berkata Omar (r.a): ‘Barangsiapa berpuasa ini hari maka sungguh menentang dia Aba (bapa) Qasim (yakni, Rasulallah (s.a.w)).’ [Hadith Abu Daud, Kitab Saum]
Saudara, sesiapa yg menentang Rasulallah (s.a.w) adalah secara otomatis menentang Allah (a.w), ekoran ketetapan Allah (a.w) pada Ayat 80, Surah an-Nisa'.Jelaslah, Juga, ketetapan Rasulallah (s.a.w), yakni mengikut sunnah Rasulallah (s.a.w), Omar (r.a), yakni mengikut sunnah khalifah pula, ada wajib diikuti. Kita dilarang berpuasa Ramadhan pada hari yang betul pasti masuk satu Ramadhan. Berpandukan hadith-hadith yang kita semak seperti di atas itu jelas bahawa haram memulakan berpuasa Ramadhan apakala belum jelas dan pasti masuk satu haribulan Ramadhan, yakni tidak kelihatan anak bulan. Jelaslah, puasa (dan juga raya) hendaklah pasti dahulu masuk bulan Ramadhan (atau Syawal) dengan melihat anak bulan. Penentuan itu boleh dengan cara hisab, tetapi mengikut ketetapan hadith berikutnya pula, hendaklah didahului dengan melihat anak bulan. Jika tidak kelihatan anak bulan barulah boleh dikira dengan hisab dengan mencukupkan 30 hari Sya’ban (baru mulakan Ramadhan) atau Ramadhan (abaru mulakan Aidil Fitri).
[Nota: Pada masa itu Omar ibnu Khattab (r.a) sudah menjadi khalifah berikuatan kewafatan Abu Bakar as-Siddiq (r.a), khalifah pertama Islam, selepas wafatnya Rasulallah (s.a.w). Rasulallah (s.a.w), di dalam banyak hadith, memberitahu kita bahawa hendaklah kita berpandukan sunnah beliau dan sunnah khalifah ar-rasyidin al-mahdiyin dalam mengerjakan sebarang amalan dan ibadah serta cara-cara mengerjakannya dan bentuk-bentuk amalan dan ibadah. Rasulallah (s.a.w) menasihatkan kita hendaklah kita beramal atau kerjakan sesuatu ibadah hanya setelah kita memiliki ilmu mengenainy. Jangan beramal dalam kejahilan. Allah (a.w) berfirman dalam al-Quran: 'Wa-la taqfu ma laisa bihi ilmun' [Maksud: janganlah kamu lakukan sesuatu tanpa kamu mengetahui dahulu ilmunya] [Ayat 36, Surah al-Isra']
Saudara, ilmu itu amat penting lagi utama dalam Islam. janganlah kita anuti Islam cara ikut-ikutan membuta tuli atau dalam kejahilan. jangan dengar kata-kata ulama' ata orang yg dianggap ilmuwan oleh masyarakat, walhal mereka jahil tentang as-Sunnah. Itu bererti kita bertaklid. Kita telah teliti bahawa para imam yg dikatakan pengasas fahaman kemazhabanun melarang kita bertaklid kpd mereka. Kita disuruh ambil kata-kata mereka jika kata-kata mereka itu ada sandaran as-Sunnah (lihat post yg lalu).

Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment