Monday, October 21, 2013

Peringatan: Kefahaman dalam Islam

Assalamualaikum,
Saudara, Islam itu adalah agama yang amat sempurna - kerana ianya ciptaan Allah (a.w) untuk manusia, supaya, jika mereka ikuti agama tersebut, mereka berjaya di dunia dan selamat di akhirat. Kerana, kita sebagai manusia tidak wajar lupa pesan Allah (a.w): 'Wa-ma khalaqtul jinna wal-insa illa li-ya'buduni.' (Yang bermaksud: Dan, tidaklah Aku (Allah) jadikan jin dan manusia kecuali untuk mengbdikan diri (=beribadah) kepadaKu) - Ayat 56, Surah az-Zariat. Malangnya, majoriti manusia lupa dan engkar. Manusia yang paling engkar adalah orang yang syirik - menyembah selain Allah (a.w) sebagai tuhan. Kemudian yang kafir - akui ada Tuhan tetapi tidak mahu terima agama Allah (a.w). Ada yang akui Allah (a.w) tuhan mereka  dan Rasulallah (s.a.w) itu utusan Allah (a.w) - tetapi menidakkan sebahagian ketetapan Allah (a.w) (i.e. al-Quran) dan sebahagian ketetapan Rasulallah (s.a.w) (i.e. as-Sunnah), maka mereka jatuh kafir tanpa disedari kerana jahil ilmu, atau mereka ingin melebihi orang Islam lain dengan 'memperelokkan aqidah, amalan dan ibadah' seolah-olah apa-apa yang ditetapkan oleh Allah (a.w) dalam al-Quran dan apa yang ditunjukkan atau dicontohkan oleh Rasulallah (s.a.w) itu tidak sempurna atau tidak memadai! Maka tanpa disedari juga mereka itu walaupun Islam terkeluar dari Islam tanpa disedari atau mereka di akhirat kelak orang yang rugi kerana kesemua amalan dan ibadahya batal dan batil dan tidak diterima Allah (a.w).
Saudara, dalam post sebelum ini kita telah tengok cerita di dalam neraka melibatkan perdebatan di antara dua golongan orang Islam dalam neraka, iaitu perdebatan antara pemimpin umat Islam (i.e. pemimpin agama, khususnya) dengan pengikut mereka atau antara guru/ustaz yang mengajarkan murid mereka, perkara-perkara yang batil kerana membelakangkan as-Sunnah yang dibawakan oleh para rasul zaman mereka, termasuklah kita, as-Sunnah yang dibawakan oleh Rasulallah (s.a.w).

Orang Iman Terbaik
Matlamat orang iman – Berjaya di dunia dan diakhirat

Saudara, dalam kehidupan yang pendek ini, seorang yang tinggi imannya akan berpandukan dengan sabda Rasulallah (s.a.w). Maka berjayalah kita di dunia dan di akhirat.

Sabda Rasulallah (s.a.w): ‘Sebesar-besarnya cinta manusia adalah seorang iman yang bercita-cita ingin meraih (yakni, mendapat atau mencapai) kejayaan dalam urusan dunianya dan (juga) (ingin meraih kejayaan dalam) urusan akhiratnya.’ - Hadith ibnu Majah, Kitab Perdagangan
[Nota: Ramai orang yang berjaya di dunia. Malah ramai orang Islam yang berjaya di dunia. Di Malaysia kita mendengar nama Syed Mokhtar al-Bukhari, Azman Hashim, suatu masa dulu Daim Zainuddin, anak Dr Mahathir, Mukhzani, Abu Saib, antara orang Islam (Melayu) yang terkaya di Malaysia dewasa ini. Malah Sultan Brunei antara raja yang terkaya di dnia, dan terkaya di rantau ini, dengan perhiasan istananya yang begitu canggih dan mahal diperbuat dari emas dan perak. Ramai juga orang Islam yang kerana ketinggian ilmu dunianya diangkat menjadi ketua eksekutif syarikat korporat kerajaan – GLC. Mereka di bayar gaji, elaun dan pelbagai imbuhan dan pampasan sehingga melebihi RM 1.5 juta setahun. Mereka berjaya di dunia. Mereka berjaya kerana ilmu duniawinya. Hebat ilmunya bukan setakat bidang akademik, tetapi ilmu duniawi dalam cara dan kaedah penampilan serta kemahiran menguruskan organisasi. Maka, mereka diakui hebat dan diberi kedudukan yang hebat pula dalam dunia korporat, contohnya. Maka bahagialah dunia mereka.
Dalam perkara akhirat pula, orang yang banyak dan mendalam ilmunya tentang akhirat juga akan berjaya di akhiratnya. Maka bahagialah mereka di akhirat. Orang yang sempurna ilmunya, mendalam keimanannya serta tinggi ketaqwaannya dalam Islam akan tahu bahawa apapun pencapaian di dunia ini yang paling utama diberi keutamaan oleh mereka adalah kejayaan akhirat. Maka, mereka menombor-satukan ilmu akhirat, kerana dengan ilmu akhirat itu, mereka lebih terjaga dalam menjalani kehidupan duniawi – hidup di dunia tidak melanggar ketetapan Allah (a.w) dan RasulNya dan sentiasa berusaha mencari keridhaan Allah (a.w) dan menambah serta meningkatkan bekalan (yakni, pelaburan) akhiratnya supaya dia mengirim sebanyak mungkin pahala (atau mendapat dividen sebanyaknya) untuk akhiratnya dan, kerana itu, mendapat keridhaan Allah (a.w). Mereka, secara langsung dan tidak langsung, akan lebih terpandu menjalani kehidupan dunianya terutama dalam perkara menggunakan kurniaan rezki yang melimpah ruah dengan membela agama Allah (a.w) melalui infaq fi sabilillah melalui harta yang dimilikinya. Justeru itu, Kitab Catatan Amalannya penuh dengan pahala dan tiada atau sedikit catatan dosanya. Bagi mempastikan dosanya di hakis oleh Allah (a.w), maka dia beramal dengan amalan-amalan yang menghakis dosa dan dia bertaubat supaya Allah (a.w) hapuskan dosa-dosanya. Dia menombor-satukan kepentingan akhiratnya dan menombor-duakan kepentingan dunianya, walaupun dia tetap mengusahakan untuk dunianya secara terbaik, kerana dunianya adalah persediaan untuk akhiratnya.
Orang yang pintar dalam konteks Islam itu disebutkan dalam hadith ini – bercita-cita untuk mendapat kejayaan dalam kehidupan dunia dan pada masa yang sama mempastikan dia berjaya di akhirat, dan faham dia bahawa kejayaan akhirat itu lebih utama dan lebih penting. Kerana kejayaan akhirat itu kekal, tiada batasan waktu, tambahan pula kenikmatan yang didapati dari kejayaan akhirat itu tiada tandingannya atau tidak diatasi oleh kejayaan dunia.
Fikirkanlah, orang yang paling dhaif dan termiskin di dalam syurga di akhirat – darjat syurga terkebawah i.e. yang ke-100 – memiliki kekayaan senilai 10 kali dunia dan isinya! Hari ini, walau bagaimana kaya sekalipun manusia – seumpama Carlos Sim, Warren Buffet, Bill Gates, Ananda Kristnan, Teh Hong Piow, Syed Mokhtar dll, takpun memiliki kekayaan yang nilainya 1/100 nilai dunia. Malah tidakpun dapat menandingi Qarun zaman Musa (a.s). Namun, dalam Islam kekayaan itu adalah suatu cubaan yang amat hebat lagi getir. Fikirkanlah apa yang diperingatkan oleh Rasulallah (s.a.w) dalam hadith berikut:
Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘La tazulu qadama ‘abdin yaumal qiamati hatta yusalu ‘an umurihi fima anahu wa-‘an ‘ilmuhi fima fa’ala, wa-‘an malihi min ainak-tasabahu wa-fima anfaqahu wa-‘an jismihi fima ablahu.’ (Yang bermaksud: Tidak melangkah kedua telapak kaki setiap hamba pada hari kiamat sehingga ditanya (pertama) tentang umurnya dihabiskan untuk apa; dan (kedua) tentang ilmunya di’amalkan untuk apa; dan (ketiga) tentang hartanya diperolehi dari mana dan digunakan untuk apa, dan tentang jasad (dirinya) dirosakkan untuk apa.) [Hadith at-Termidzi, Kitab Sifat-sifat Kiamat]
[Nota: Hadith ini menyebutkan bahawa seseorang yang Islam dan beriman itu, ketika sudah kiamat dunia, manusia akan berhimpun di padang makhsyar. Ketika hendak melangkah ke perhimpunan agung tersebut, mereka akan ditanya dahulu pertama, bagaimana dia telah memanfaatkan umur yang dikurniakan Allah (a.w) baginya sepanjang kehidupannya di dunia dahulu, apakah yang telah dikerjakannya sepanjang hidupnya; kedua, jika dia memiliki ilmu (i.e. ilmu mengenai agamanya – ilmu al-Quran dan as-Sunnah, apakah yang telah dilakukannya dengan ilmu yang ada padanya sepanjang hidupnya di dunia setelah mendapat ilmu tersebut – adakah telah diamalkannya akan tuntutan ilmunya atau dimanfaatkan olehnya pada orang lain, atau disimpannya, tanpa menyebarkannya untuk manfaat orang lain; ketiga, tentang harta ‘miliknya’ – bagaimana diperolehi, dan untuk apa dihabiskannya, dan keempat, tentang jasadnya apakah yang telah merosakkannya kerana sesuatu yang dilakukan untuk menjerumuskannya ke dalam neraka.
Di dalam al-Quran – Ayat 56, Surah az-Zariat – Allah (a.w) memberitahu manusia bahawa mereka dijadikan/diciptakan atau diberi peluang hidup di dunia semata-mata untuk memperhambakan diri mereka (yakni, mengerjakan amalan dan ibadah) kepada Allah (a.w). Apakah mereka telah memenuhi mandat Allah (a.w) tersebut? Kalau dia faham dan patuh dengan hakikat tersebut pastilah jawapan kepada 4 soalan tersebut memihak padanya. Pastilah dia menghabiskan umurnya untuk memenuhi amanah tersebut – mengabdikan dirinya kepada Allah (a.w). Pastilah kalau dia mendapat atau memiliki ilmu, akan dimanfaatkan olehnya untuk dirinya dengan mengerjakan amalan dan ibadah mengharapkan keridhaan dan kerahmatan Allah (a.w) dan menyebarluaskan pulailmunya supaya orang lain faham dan dapat sama-sama mengabdikan diri mereka kepada Allah (a.w). Dengan rezki yang melimpah ruah – melebihi keperluan asas baginya dan keluaragnya, dia akan menginfaqkannya demi membela agamanya dan umat Islam yang memerlukan bantuan dan pertolongan. Pastilah dia menjaga dirinya dari disrosakkan oleh sesuatu ucapan dan perbuatannya, supaya dirinya terhindar dari kecelakaan di bakar dalam neraka.]
Firman Allah: ‘Thumma latusalunna yaumaizin ‘anin-naim’ (Yang bermaksud: Kemudian di hari itu (hari kiamat) kamu sekelian akan ditanya tentang kenikmatan (yakni, rezki yang Allah (a.w) berikan pada kamu sekelian), yakni kekayaan, kedudukan, serta kuasa yang dimiliki ketika di dunia, contohnya). [Ayat 8, Surah at-Takathur]
[Nota: Setiap orang Islam akan ditanya apakah yang telah dilakukan olehnya terhadap pelbagai nikmat yang diberikan Allah (a.w) kepadanya – jasadnya yang sihat dan tegap, tangannya, kakinya, mata (penglihatannya), mulut (kata-kata yang diluahkannya), tentang telinga (apa-apa yang didengarnya), dan sebagainya. Manusia itu tidak akan terhitung dengan kesemua nikmat yang dikurniakan Allah (a.w) padanya. Namun, segala nikmat tersebut dimanfaatkan olehnya.
Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Inna aktharina humul-aqalluna yaumal-qiamati illa man qala hakaza wa-hakaza wa-hakaza ‘an yanihi wa-an syimalihi wa-min khalfihi wa-qalilun ma hum … al-hadith.’ (Yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang memperbanyak harta (mengumpul harta sebanyak-banyaknya ketika di dunia) akan menjadi orang-orang yang melarat esok pada hari kiamat (yakni, di akhirat), kecuali orang yang berbuat begini dan begini dan begini (i.e memperbanyakkan bersedekah) baik dari kanannya (yakni, yang sedekahkannya dengan pengetahuannya), kirinya (diinfaq atau dibelanjakan fi sabilillah melalui orang lain) maupun belakangnya (yang diinfaqkan atau dibelanjakan atas wasiatnya setelah matinya), tetapi sedikit mereka (yang mengerjakan itu). [Hadith Bukhari]

Saudara, tak kira status ekonomi kita di dunia, usahakanlah untuk menginfaq sebahagian dari kurniaan Allah (a.w) sebagai pelaburan akhirat kita, yang boleh mengimbangi timbangan dosa kita kelak. Malahan sesiapa yang suka menginfaq hartanya fi sabilillah dijamin syurga oleh Allah (a.w). Dalam perkara akhirat, wajarlah kita berwaspada dengan kelebihan yang diberikan Allah (a.w) kepada kita supaya tidak disalahgunakan dan supaya dimanfaatkan demi mencari keridhaan dan kerahmatan Allah (a.w).

Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment