Wednesday, October 16, 2013

Adakah saudara faham Islam?

Assalamualaikum,  
Saudara, mulai dari post ini, kita akan bincangkan tajuk di atas: Adakah saudara berada di atas landasan agama Islam yang benar? Kerana, ramai orang Islam, tapi majoriti mereka Islam secara 'kebetulan' - kerana dilahirkan dalam keluarga Islam, emak dan ayah mereka Islam, tapi belum pasti dia faham Islam yang benar itu. Ini pasti timbul atau terjadi kerana majoriti orang Islam ikuti sesuatu itu atas dasar 'accident of birth', tanpa sebenarnya memahami Islam yang haq itu. Tak ramai orang Islam yang faham Islam. Kalau majoriti umat Islam faham Islam tidaklah mereka mengutamakan kata-kata imam itu dan ulama' ini, seolah-olah membetulkan apa saja yang keluar dari mulut mereka. Mereka iakan semuanya. Kerana, mengambil mudah agamanya. Kerana, jahil. Yang bercakap jahil dan yang mendengar cakap-cakap itu jahil pula. Maka setiap kali para ulama' dan ilmuwan bercakap sesuatu tentang Islam, tentang syariat, tentang amalan dan ibadah, mereka bercakap dengan merujuk kepada '... kata Imam so-and-so', atau 'kata ulama' sifolan dan sifulan' atau 'kata tokoh agama sianu dan sianu'. Mereka tak berkata '...mengikut ketetapan atau firman Allah (a.s) pada Ayat ? dalam Sunah ?' Atau, mereka akan bercakap '... Rasulallah (s.a.w) bersabda: ...' Kalau mereka merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah, mereka tidak akan berani membuat tafsiran dan penjelasan yang di dasarkan atas kebijaksanaan mereka berhujjah tanpa ilmu, i.e. tanpa terlebih dahulu belajar dari seorang guru yang faham apakah sebenarnya mesej atau ketetapan ayat al-Quran tersebut atau sabda Rasulallah (s.a.w) tersebut. Dan, kalau dia ulama' atau ilmuwan yang benar, dia tidak akan mencaci atau berkata sesuatu terhadap kata-kata seseorang tanpa dia sendiri faham apa ynag dikatakan dan apa yang dia nak katakan. Insya Allah, sedikit demi sedikit, kita akan bincangkan kepalsuan ilmu yang menjadi fahaman majoriti umat Islam sekarang ini, berdasarkan ketetapan al-Quran dan as-Sunnah. Saudara, kita mulakan dengan meneliti hakikat dan konsep syariat agama Islam itu.  

Syariat Islam  
Ketetapan al-Quran 

Saudara, syariat Islam itu sebenarnya apa? Kita yang belajar ilmu al-Quran dan as-Sunnah diberitahu oleh Allah (a.w) dalam firmanNya pada Ayat berikut. Hakikat ini tidakpun diperjelaskan oleh para ulama' atau ilmuwan dalam ceramah atau kuliah-kuliah informal mereka. Hakikatnya, kefahaman mengenai apa yang diebutkan itu amat utama demi memahami Islam. 
Firman Allah (a.w): ‘Syara’a lakum minad-dini ma wassa bihi nuhan wal-lazi auhana ilaika wa-ma wassaina bihi Ibrahima wa-Musa wa-Isa an aqimud-dina wa-la tatatfarraqu fihi … wa-yahdi ilaihi man (-ai) yunibu.’ (Yang bermaksud: Dia (Allah) mensyariatkan kepada kalian dari agama apa-apa yang diwasiatkan (oleh Allah) dengan agama itu kepada Nabi Nuh dan orang-orang yang Kami (Allah) wahyukan atas engkau (Muhammad) dan apa-apa yang Kami (Allah) wasiatkan dengan agama itu kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa dan Nabi Isa bahawa (Allah perintahkan hendaklah) kalian dirikan agama Islam dan janganlah kalian berpecah belah di dalamnya (i.e. berfirqah dalam menganut dan mengamalkan Islam dengan menubuhkan firqah atau perkumpulan terasing atau berasingan) … dan Dia (Allah) memberi petunjuk kepadanya (i.e. agama Islam itu) sesiapa yang kembali (i.e. bertaubat dan kembali kepada Islam yang benar). [Ayat 13, Surah asy-Syura]
[Nota: Agama Islam itu agama yang diperintahkan oleh Allah (a.w) sebagai agama bagi semua manusia semenjak zaman Adam sampailah kepada para nabi dan rasul sesudah beliau – Nuh (a.s) (iaitu suhuf), Ibrahim (a.s) (iaitu suhuf), Musa (a.s) (yang diberikan Kitab Taurat) dan Isa (a.s) (yang diberikan Kitab Injil), dan rasul terakhir/penamat Muhammad (s.a.w). Jelasnya, ajaran Kitab Taurat dan Kitab Injil itu adalah syariat agama Allah (a.w), iaitu Islam, zaman Musa (a.s.) dan Isa (a.s)). Al-Quran sahaja menyempurnakan syariat agama Islam itu. Kerana: pertama, seperti semenjak Adam (a.s) agama Islam adalah agama untuk segolongan kaum sahaja, tetapi Islam dijadikan agama untuk semua manusia – tak kira bangsa atau keturunan – dan untuk semua zaman dari waktu Rasulallah (s.a.w) diutuskan sehinggalah terjadinya kiamat; kedua, Nabi Muhammad (s.a.w) itu adalah Utusan Allah (a.w) yang terakhir kepada manusia - kepada semua manusia dan semua zaman - kerana syariat agama Allah (a.w), Islam, itu telah disempurnakan, sbelum wafatnya Rasulallah (s.a.w); dan ketiga, al-Quran itu adalah kitab panduan hidup yang diridhai oleh Allah (a.w) ketika di dunia serta panduan agama bagi semua manusia semua zaman. 
Agama Islam itu dibawakan oleh para rasul dan nabi untuk masyarakat mereka sendiri secara berasingan, sebagaimana Musa (a.s) membawakan syariat agama Islam berpandukan Kitab Taurat kepada masyarakatnya sahaja, Bani Israil. Begitu jugalah Isa (a.s) membawakan syariat agama Islam kepada msyarakatnya dengan berpandukan Kitab Injil. Demikianlah juga para rasul dan nabi-nabi yang terdahulu (mendahului mereka) yang diutus kepada masyarakat masing-masing dengan panduan wahyu Allah (a.w) seperti Suhuf kepada Nabi Ibrahim (a.s), contohnya. Hanyalah, dengan turunnya al-Quran dan terutusnya Muhammad (s.a.w), syariat agama Allah (a.w) (i.e. Islam) itu disempurnakan – Ayat 3, Surah al-Maidah, dan dijadikan syariat yang menggantikan syariat agama sebelumnya dan dijadikan agama semua manusia – semua bangsa dan zaman – hingga terjadinya kiamat – Ayat 107, Surah al-Anbiya’.
Agama Islam itu telah disempurnakan dengan terutusnya Rasul terakhir – Nabi Muhammad (s.a.w) – ‘Rasul dan Nabi penamat’ (i.e. ‘khatamman-nabiyin’) – Ayat 3, Surah al-Maidah dan Ayat 40, Surah al-Ahzab. Untuk mempastikan orang Islam itu mengerjakan amalan dan ibadah secara murni (original) - menepati ketetapan Allah (a.w) sebagaimana diperjelaskan dari segi amali/praktikalnya oleh Rasulallah (s.a.w), maka Rasulallah (s.a.w) dijadikan ‘uswatun hasanah’ (i.e. contoh atau model terbaik) dalam menjalani kehidupan di dunia, sebagai seorang Islam yang beriman, terutama dalam perkara mengabdikan diri secara benar dan betul kepada Allah (a.w) dan dalam menyediakan diri/bekalan untuk akhirat – Ayat 21, Surah al-Ahzab
Sehubungan itulah sesiapa yang menokok tambah kepada ketetapan Allah (a.w) dan ketetapan Rasulallah (s.a.w) telah melakukan dosa yang besar, kerana memandai-mandai dalam Islam tanpa dasar ilmu! Malah akan kita teliti kelak apakah akibatnya aqidah serta amalan seseorang itu apabila dia berpandangan bahawa syariat agama Islam itu belum sempurna ata ketinggalan zaman, maka mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian, menambah kepada ketetapan Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w) dalam perkara bentuk-bentuk amalan dan ibadah, cara dan kaedah beramal dan beribadah. Rengkasnya mereka itu dihukumi sebagai sudah syirik atau sudah jatuh kafir atau terkeluar dari Islam, wal iya zubillah!
Orang Islam yang beriman dan bertaqwa itu akur dengan kesemua ketetapan al-Quran dan as-Sunnah, dia beramal dan beribadah sekuat-mampunya mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan atau menjauhi segala yang ditegah atau dilarang.Dari segi praktikalnya, kesemua amalan dan ibadah adalah disandarkan kepada as-Sunnah. Maka dengan itulah juga kita diberitahu oleh Rasulallah (s.a.w) dalam zaman-zaman selepas wafatnya beliau umat Islam itu akan berpecahbelah/berfirqah dengan mengamalkan 73 jenis atau fahaman Islam, tetapi 72 golongan atau fahaman tak dapat syurga sebaliknya masuk neraka. Hanya satu golongan yang berjaya dapat syurga, iaitu Rasulallah (s.a.w) bersabda: 'Ma ana 'alaihi, wa-ashabi' (Yang bermaksud: Apa-apa yang aku (Nabi) berpegang atasnya dan para sahabatku berpegang atasnya, maksudnya as-Sunnah - sunnah Rasulallah (s.a.w) dan sunnah khalifah yang empat. Maka dengan itu sesiapa yang mengamalkan Islam yang amalan atau ibadah tersebut tidak diamalkan oleh Rasulallah (s.a.w) atau ditunjukkan oleh Rasulallah (s.a.w) atau khalifah yang empat itu, yakni as-Sunnah, pastilah orang Islam yang tergolong dalam 72 yang sesat itu. Islam tetapi dapat neraka!] 

Ketetapan Rasulallah (s.a.w)   

Saudara, ketetapan dalam sabda Rasulallah (s.a.w) berikut juga wajib difahami oleh umat Islam, kerna ia memberi kita tahu bahawa adalah suatu kebatilan menambah atau menokok-tambah kepada syariat Islam dan kepada bentuk-bentuk, cara dan kaedah beramal dan beribadah. Malangnya, hari ini, bukan sahaja Rasulallah (s.a.w) diketepikan dan nama-nama ulama' disebut-sebut, mendahului atau mengalahkan nama Rasulallah (s.a.w), serta ketetapan as-Sunnah seringkali dinombor-duakan dan ketetapan ulama' di nombor-satukan - suatu kebatilan dalam beragama.  
Diriwayatkan hadith dari bdul Rahman b Amrin as-Salamiyi bahawasanya dia mendengar Irbad b Sariah berkata: ‘Wa-‘adhona rasulullahi (s.a.w) mau’izatan zarafat minhal-‘uyunu wa-wajilat minhal-qulubu fa-qulna ya Rasulallah (s.a.w) inna hazihi la-mau’izatu muaddi’in, fa-maza ta’adu ilaina’ (Yang bermaksud: Dan memberi suatu nasihat oleh Rasuallah (s.a.w) suatu nasihat yang mengalirkan dari nasihat itu beberapa mata dan gemetar/takut dari mendengar nasihat itu beberapa hati, maka berkata aku (Irbad): ‘Wahai Rasulallah (s.a.w) sesungguhnya ini nasihat nescaya suatu nasihat perpisahan, maka apakah janji engkau atas kami?’), bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Qad taraktukum ‘ala baidha-ilailuha kanahariha la yayazighu ‘anha ba’dhi illa halikun man ya’syi minkum fasayara ikhtilafan kathiran, fa-‘alaikum bima ‘araftum min sunnati wa-sunnatil-khulafa-i(-ir) rasyidinnal-mahdiyina ‘addhu ‘alaiha bin-nawajijiz wa-alaikum bit-toati wa-in’abdan Habasyiyan fa-innamal-mukminu kal-jamali anifi hathuma qida anqada.’ (Yang bermaksud: ‘Sungguh-sungguh aku (Nabi) tinggalkan pada kalian atas suatu yang putih malamnya seperti (putih) siangnya, tidak akan menyimpang darinya (agama Islam) selepas ketiadaanku (i.e. setelah wafat aku) kecuali orang yang rosak (i.e. orang yang menyimpang darinya); barangsiapa yang hidup lama dari kalangan kalian akan mengetahui/melihat perselisihan yang banyak (di dalam Islam). Maka kalian menetapi dengan apa-apa yang kalian faham dari sunnahku dan sunnah khalifah ar-rasyidin al-mahdiyin, gigitlah atasnya (i.e. sunnahku dan sunnah khalifah) dengan gigi geraham kalian. Dan, diwajibkan atas kalian dengan taat (i.e. taatkan imam) dan jikapun seorang hamba Habsyi (sekalipun menjadi imam kalian). Maka sesungguhnya orang iman itu seperti unta yang ditindik (hidungnya) ke mana ia ditarik (oleh tuannya) dia mengikuti (tuannya).) – Hadith ibnu Majah.
[Nota: Hadith ini menjelaskan beberapa perkara yang amat fundamental, iaitu: pertama, bahawa syariat agama Islam itu sudah jelas pada setiap waktu dan ketika – malam ataupun siang – sama aje. Syariat agama Islam itu sudahpun jelas sebagai panduan semua zaman. Tak kira zaman bila manusia itu hidup. Kedua, umat Islam yang membelakangkan syariat yang tulin atau asli dan benar itu, pasti rosak agamanya, maka mereka mencari syurga, dapat neraka! Kerana mereka pasti menyimpang dari haq dan mengamalkan atau berpegang dengan yang batil. Ketiga, Rasulallah (s.a.w) menyuruh umat Islam akhir zaman supaya pegang as-Sunnah sekuat-kuatnya - jadikan panduan hidup dan panduan amalan. Orang yang terselamat dari menyimpang dalam agama itu adalah orang yang berpandukan as-Sunnah. Kalau orang Islam berpandukan as-Sunnah sudah pasti segala amalan dan ibadah mereka - bentuk, cara dan kaedah beramal, rukun-rukun khusus serta amalan itu betul, dan tidak berlainan dari ketetapan as-Sunnah, pastilah tidak dicemari oleh sesuatu yang syirik, tahyul, kurafat dan bida'h. Keempat, umat Islam itu diwajibkan mentaati Imam/Amir (=kepimpinan) jema'ah Islam walaupun Imam/Amir tersebut adalah orang yang tidak disukai kerana sifat-sifat kebangsaan atau fisikalnya, wajib ditaati. Jelaslah, Islam yang benar itu berjema'ah dan jema'ah yang benar itu ada Imam/Amir dan rukyah (jema'ah umat Islam). Rukyah wajib taatkan Imam/Amir yang memimpin mereka. Maka dengan itu, seseorang yang Islam itu, jika panduannya adalah al-Quran dan as-Sunnah, pastilah faham ketetapan fundamental Islam dan syariatnya.
Sehubungan itulah juga, dalam khutbah wada’ Rasulallah (s.a.w), beliau menyebut: ‘Taraktu fikum amraina lan tadillu ma tamasaktum bihima, kitabbala wa-sunnati nabiyi.’ (Yang bermaksud: Aku (Nabi) tinggalkan pada kalian dua perkara yang jika kalian berpegang teguh kepada kedua-duanya kalian takkan sesat selama-lamanya). Ini adalah janji Rasulallah (s.a.w), janji yang benar, kerana Rasulallah (s.a.w) hanya berkata-kata atas dasar wahyu. Counter factualnya, sesiapa yang tidak berpandukan al-Quran dan as-Sunnah pasti menyimpang dan sesat dari syariat Islam yang murni itu, dan Rasulallah (s.a.w) memberitahu setiap kesesatan itu membawa yang sesat ke neraka.
Malangnya, hari ini majoriti umat Islam tidakpun menyempatkan sedikit masa dalam hidupnya mengaji/mempelajari ilmu al-Quran dan as-Sunnah, dua ilmu yang diwajibkan atas umat Islam pelajari, supaya mereka faham Islam dan tuntutannya. Sebaliknya, mereka beramal dan beribadah secara 'taklid' - ikut-ikutan, i.e. sifolan buat gitu dan gini, dia ikut, atau sianu kata itu dan ini, dia ikut begitu dan begini, dia terima bulat-bulat. Tambahan pula para ulama' menyuruh umat Islam hormati ulama' kerana ulama' itu pewaris para nabi, mengikut sabda Rasulallah (s.a.w). Benar, ulama' (=oang yang berilmu) itu sepatutnya menjadi pewaris para nabi kerana Rasulallah (s.a.w) memberitahu 'ulama' pewaris para nabi' itu adalah ulama' yang berilmu dan ilmunya adalah al-Quran dan as-Sunnah, maka dia menyampaikan ilmu mengenai Islam dan syariatnya yang haq itu secara murni, tidak dicemar atau tercemar, kerana Rasulallah (s.a.w) menyampaikan perintah dan suruhan Allah (a.w), tanpa menambah apa yang diperintahkan. Hari ini rama ulama' menambah dan memandai-mandai, jelaslah mereka bukan pewaris para nabi. Maka menyampaikan ilmu hanya dengan upahan - yang tidak sedikit pula - masakan mereka itu adalah pewaris para nabi, kerana nabi sampaikan syariat agama tanpa mengharapkan sebarang imbuhan atau keuntungan duniawi, tanpa dipaksa dan dengan penuh rela hati. Berapa ramaikah ulama' - yang mengakui dirinya ulama' - yang sanggup berdakwah, menyampaikan ilmu tanpa di pinta, tanpa diimbuh? ]

Jazakallahu khairah






No comments:

Post a Comment