Tuesday, October 22, 2013

Adakah saudara faham Islam? (Samb.)

Assalamualaikum,
Saudara kita teruskan penelitian kita mengenai dimensi-dimensi syariat Islam - khususnya berjema'ah - supaya kita benar-benar faham Islam dan berjaya berada di atas 'siratul mustaqim'.  

Bukan Islam kalau tak berjema’ah  

Saudara, hadith ini memberikan satu ketetapan Islam yang jarang sekali diberi penekanan oleh para ulama' dan ilmuwan arus perdana, walhal ia amat utama lagi kirtikal pada aqidah dan keimanan kita.
Diriwayatkan hadith daripada Abdul Rahman b Maisarah hadith dari Tamim ad-Dariyi berkata: ‘Berlumba-lumba (atau bersaingan) manusia (yakni, para sahabat Muslimin) di dalam membina binaan atau bangunan (yang tinggi dan tersergam) dalam zaman Omar (r.a), maka berkata Omar (r.a): ‘La Islama illa bi-jama’atin wa-la jama’ata illa bi-imaratin wa-la imarata illa bi-to’atin faman sauwadahu qaumuhu ‘ala fiqhi kana hayatan lahu wa-lahum, wa-man sauwadahu qaumuhu ‘ala ghairi fiqhin kana halakan lahu wa-lahum.’ (Yang bermaksud: Tidak atau bukan (dikatakan) Islam kecuali dengan berjemaah dan tidak (dikatakan) berjemaah kecuali dengan berimam (yakni, dangkat menjadi Imam seorang dari kalangan mereka menjadi imam) dan tidak (dikatakan) berimam kecuali dengan ketaatan (rukyah atau rakyat kepada imam); maka barangsiapa memilih imam dari kalangan kaumnya yang faqih (yakni, kefahaman tentang Islam) ada kehidupan (yakni, tenteram, selamat dan bahagia) bagi imam dan ada kehidupan bagi mereka (kaumnya). Barangsiapa memilih imam mereka kerana pertimbangan-pertimbangan selain kefaqihan (tentang syariat Islam sedemikian) ada baginya (imam) kerosakan dan kerosakan bagi kaumnya.] [Hadith ad-Darami] 
Ketetapan dalam hadith ini wajib dijadikan panduan oleh semua yang Islam. Hadith itu menyebutkan beberapa prinsip atau ketetapan utama mengenai Islam: Pertama, tidak Islam seseorang yang mengakui dirinya Islam itu jika tanpa berjemaah atau berada dalam Jemaah Islam; Kedua, tidak dikira berjemaah jika tiada ‘imam’, yakni orang yang memimpin dan mengetuai Jemaah itu; Ketiga, tidak dikatakan ada ‘imam’, yakni kepimpinan dalam Jemaah Islam jika pemimpin tidak ditaati oleh rukyah (anggota jemaahnya); keempat, jika jema’ah umat Islam mengangkat sebagai pemimpin orang yang faqih (=faham urusan agama Islam) maka selamatlah imam dan selamatlah rukyahnya; dan kelima, jika diangkat oleh mereka seorang atas pertimbangan selain kafqihan (= kefaham) tuntutan syariat Islam, maka celaka dan kemusnahanlah bagi imam dan rukyah. 

Hakikat Islam yang benar itu Ikuti as-Sunnah dan Berjema’ah 

Saudara, hadith berikut menjelaskan hakikat Islam yang benar atau betul itu memiliki dua ciri utama, yang wajib difahami oleh orang Islam.
Diriwayatkan hadith daripada Abdul Rahman bin ‘Amru as-Salami (r.a) berkata sesungguhnya dia mendengar ‘Irbad bin Sariah (r.a) berkata: ‘Dan memberi nasihat kepada kami oleh Rasulallah ((s.a.w) suatu nasihat yang mengalirkan air mata (mereka yang mendengar) daripada nasihat tersebut dan menakutkan dari nasihat tersebut beberapa hati (yang mendengarnya)’. Maka berkata aku (Irbad): ‘Wahai Rasulallah ((s.a.w)! Sesungguhnya ini nasihat seperti nasihat orang yang (hendak) meninggalkan kami, maka apakah janji atas kami?’ Sabdanya: ‘Sesungguhnya bagi kamu (aku) tinggalkan atas yang putih – malamnya putih dan adapun siangnya putih, jangan sesat (kamu sekelian) sesudahku (i.e. sesudah ketiadaanku) kecuali rosak barangsiapa diantara kamu (yang sesat), (dan jika panjang umur kamu) maka melihat (kamu akan) perselisihan yang banyak (dikalagan umat Islam), maka (aku berpesan dan mewajibkan) atas kamu dengan barangapa yang tahu kamu dari sesudahku (yakni, sesudah tiada aku kelak) dari sunnahku dan ‘sunnah khalifah ar-rasyidin al-mahdiyin’, gigitlah atasnya dengan gigi geraham (yakni, pegang kuat-kuat atau berpandulah dengan sunnah tersebut, jangan sekali-kali lepaskan atau tinggalkan), wajib atas kamu dengan taat (yakni, taatkan perintah dan suruhan Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w) dan imam atau amir atau ketua jema’ah) dan sekiranya hamba Habsyi sekalipun (yakni, orang yang sangat dibenci dan tidak disukai sekalipun menjadi imam atau pemimpin kamu); maka sesungguhnya orang yang beriman itu seperti unta di mana (dan ke mana) ditarik (oleh tuannya) diikuti unta (akan tuannya).’ - Hadith Ibnu Majah 
Ada beberapa prinsip atau ketetapan dalam hadith ini; iaitu: pertama, syariat agama Islam itu sudah sempurna sebagaimana jelas syariat Islam itu pada bila-bila masa dan zamanpun, dan Rasulallah (s.a.w) memperingatkan umatnya supaya berwaspada jangan sesat, kerana kalau sesat masuk ke dalam neraka gagal mendapat syurga; kedua, Rasulallah (s.a.w) memberitahu selepas beliau wafat akan timbul banyak perselisihan faham di kalangan umat Islam tentang Islam dan syariatnya, maka dalam sinario sedemikian itu Rasulallah (s.a.w) memerintahkan umatnya supaya peganglah sekuat-kuatnya (i.e. pegang teguh) kepada panduan as-Sunnah – sunnah beliau dan sunnah 4 khalifah selepas beliau nanti – dan jangan sekali-kali abaikan atau tinggalkan; jelasnya jaminan kejayaan akhirat itu didapati jika ikuti as-Sunnah; ketiga, Rasulallah (s.a.w) perintahkan umat Islam supaya taatkan imam (yang memimpin mereka) walaupun orang yang menjadi imam itu seorang yang dibenci kerana pertimbangan-pertimbangan selain ketetapan Islam. Imam itu wajib ditaati selagi dia tidak menyuruh atau membuat ketetapan yang bercorak ‘maksiat’ (=bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah) (mengikut hadith lain). Kalaupun imam itu zalim dan kasar, tetapi perintahnya atau ijtihadnya itu sejajar dengan al-Quran dan as-Sunnah, wajib didengarkan dan ditaati. Rasulallah (s.a.w) memberitahu umat Islam ketaatan dalam Islam itu amat utama, seumpama seekor unta itu taatkan suruhan tuannya. Orang iman itu wajib secara mutlak mentaati ketetapan Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w), mentaati imam itu wajib selagi imam tidak menyuruh (atau, membuat ijtihad) memerintahkan atau menyuruh sesuatu yang bertentangan dengan ketetapan al-Quran dan as-Sunnah. 
Jelaslah, bahawa pra-syarat sahnya Islam atau keIslaman seseorang yang akui dirinya Islam itu adalah dua; iaitu, pertama dia anuti Islam dengan panduan semata-mata al-Quran dan as-Sunnah - hakikat sabda Rasulallah (s.a.w) 'ma ana 'alaihi wa-ashabi' itu; dan kedua, ketetapan Rasulallah (s.a.w) supaya berjema'ah dalam Islam, yakni 'wa-hiya jama'atun' itu. Berjema’ah itu juga ketetapan mutlak, sebagaimana berpandukan as-Sunnah (i.e. al-Quran dan as-Sunnah) itu ketetapan mutlak dalam Islam.
Sehubungan itu, sesiapa yang tidak berjema’ah maka belum sah Islamnya. Sesiapa yang berjema’ah tetapi tiada pula dia mengangkar seorang menjadi Imam jema'ahnya secara formal, maka belum halal hidupnya di dunia. Maka dengan itulah dalam hadith di atas itu Rasulallah (s.a.w) memberitahu umatnya bahawa wajib bagi seorang Islam dalam berjema'ah itu mentaati imamnya, walaupu imam tersebut adalah seorang yang seumpama orang Habsyi - hitam lagi hodoh ciri-ciri fisikalnya - tetapi jika dia dilantik oleh jema'ah umat Islam sebagai Imam, maka wajib ditaati perintahnya atau ijtihadnya. 
Saudara, Rasulallah (s.a.w) dalam as-Sunnah membicarakan hakikat jema'ah serta keimaman dalam syariat ini dengan panjang lebar dan terperinci. Dalam satu ketetapan Rasulallah (s.a.w) beliau menyebut bahawa sesiapa yang taatkan beliau (sebagai Rasulallah), maka dia sudah diakui taatkan Allah (a.w), dan barangsiapa taatkan Imam yang diangkat oleh jema'ah umat Islam, maka dia telah diiktiraf sebagai telah mentaati Rasulallah (s.a.w). Sebaliknya, kalau tak taakan imam bererti tak taatkan Rasulallah (s.a.w), dan kalau tak taatkan Rasulallah (s.a.w) bererti tak taatkan Allah (a.w). Jadi, hakikatnya? Tidak Islam atau belum sah Islamnya. Demikianlah utamanya kita fahami syiar Islam yang benar itu. Semua ini bergantung kepada ilmu dan dngan ilmu kefahaman kita tentang Islam itu.
Saudara, agama Islam itu adalah agama yang dicipta Allah (a.w) untuk manusia - tak kira mereka bermestautin di mana dan bangsa atau keturunan apa, hidup dalam zaman mana - namun manusia adalah hamba, diwajibkan oleh Allah (a.w) mengabdikan diri kepadaNya sebagai Tuhan yang Esa, yang menjadikan manusia dan memberi kesempatan kepada mereka hidup di dunia setakat ajal baginya. Jika hidup di dunia tidak anuti Islam dan tidak beriman bahawa Islam itu agama yang diridhai (=diterima) Allah (a.w), sebaliknya anuti agama lain, maka pasti masuk neraka dan takkan dapat syurga. Kalau Islam, ikuti sepenuhnya ketetapan Allah (a.w) yang ditetapkan dalam al-Quran dan yang disampaikan oleh Rasulallah (s.a.w) - orang yang membawakan agama Allah (a.w) kepada manusia - maka dia dapat syurga. Kalau Islam tapi mengamalkan agama yang tidak murni atau agama Islam yang dicemari atau tercemar oleh kebatilan, yang tiada dalam preskripsi Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w), tak guna, kerana Allah (a.w) tak diterima segala amalan dan ibadahnya, tapi kerana 'label' Islam (percayakan ada Allah (a.w) tuhan manusia yang esa), ada peluang masuk syurga setelah dibersihkan dalam neraka entah beberapa juta kurun (kerana dalam al-Quran lama masa dalam neraka itu disebutkan 'Ahqab'), kemudian setelah bersih, dimasukkan ke dalam syurga. Golongan ini disebutkan dalam as-Sunnah 'bekas ahli jahannam' - orang-orang yang terakhir masuk syurga.
Saudara, siksaan dalam neraka itu tidak sama dengan siksaan di dunia. Panas api neraka itu adalah 99 kali ganda api yang terpanas di dunia. Apakah api yang terpanas di dunia? Beraka degree Centigrade? 2,000 atau 3,000 degree C? Maka dengan itulah sekali terkena bahangnya mengelupas kulit dan hancur daging. Fikirkanlah sakitnya, dan siksaan itu diulangi, dan diulangi sehingga bersih dari dosa. Setelah hangus kulit dan hancur dan luntur daging, kemudian dijadikan semula seperti asal, kemudian disiksa semula - eternal pain and misery'... supaya siksaan itu tidak akan terhenti!
Saudara, justeru itu, ketika nyawa masih di badan, berusahalah bukan sahaja untuk mengerjakan amalan dan meninggalkan kemaksiatan, tetapi menganuti Islam yang sah yang benar, mengerjakan amalan yang benar dan murni, yang diterima Allah (a.w). Amalan dan ibadah hanya diterima kalau benar Islam kita. Benar Islam itu kalau ikuti al-Quran dan as-Sunnah, kesemua amalan dan ibadah murni, tidak tercemar dan dicemari amalan yang diajarkan oleh manusia tanpa dasar ilmu, dan kita beramal dalam syariat Islam yang benar. Kebenaran Islam itu berjema'ah.
Saudara, insya Allah, kita telah dapat banyak ilmu mengenai hakikat berjema'ah dalam Islam. Kita akan sambung lagi kemudian kelak, kita teliti pula satu dimensi utama yang lain yang merupakan kebatilan dalam kepercayaan dan amalan yang menghapuskan kemurniaan Islam dan syariatnya, dan sesiapa mengamalkannya membahayakan aqidahnya, membatalkan pahala amalan dan ibadahnya, tidak diteriima taubatnya, dan mengeluarkan dia dari Islam tanpa disedari, wal iya zubillah..]

Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment