Thursday, October 10, 2013

Amalan Utama bulan Zulhijjah

Assalamualaikum,
Saudara, selain ibadah Haji dan Umrah dalam bulan Zulhijjah, ada dua amalan yang besar pahalanya bagi kita kerjakan dalam bulan Zulhijjah, iaitu: amalan pertama, menyembelih qurban - seekor kambing atau seekor lembu (atau kerbau) atau unta - dengan syarat bahawa haiwan yang hendak disembelih itu hendaklah menepati beberapa syarat; iaitu: pertama, cukup umurnya; kedua, tidak tempang kakinya atau tidak patah kakinya; ketiga, tidak sakit; keempat, tidak patah atau campung atau cacat tanduknya; kelima, tidak campung atau koyak atau rabak telinganya (sebelah atau dua-dua belah); keenam, tidak berlubang telinganya; dan ketujuh, tidak buta matanya - sebelah atau dua belah. Kalau kambing atau lembu atau unta jantan, dikemilikan, dibolehkan untuk dijadikan haiwan kurban, kerana yang dikemilikan lebih gemuk dan banyak dagingnya. Amalan kedua yang utama dalam bulan Zulhijjah adalah Puasa Sunat pada Hari Tarwiah - 9 Zulhijjah - Puasa Arafah. Sesiapa yang berpuasa sehari Puasa Arafah ini jika dikerjakan dengan openuh kemurnian niatnya dan tujuannya sejajar dengan Ayat 57, Surah al-Isra', maka diampunkan dosa-dosanya setahun sebelum 9 Zulhijjah dan setahun selepasnya pula - yakni diampunkan dosanya dua tahun.
Saudara, pahala kurban pada Hari Raya Haji/ Aidil Adha itu amat besar, mengalahkan pahala orang berjihad fi sabilillah, kecualilah orang yang berjihad itu pergi berjihad dengan harta dan dirinya, kemudia dia kembali ketanah tempat tinggalnya sebagai mayat dan habis kesemua hartanya! Begitulah besarnya pahala menyebelih kurban itu. Apakah pahala fi sabilillah? Pahala fi sabililah adalah syurga.

Kefadhalan Mengerjakan Kurban

Saudara, betapa besarnya pahala mengerjakan kurban dalam bulan Zulhijjah - selepas Solat Aid - amat besar. Disebutkan dalam hadith-hadith berikut kefadhalannya.

(a)   Pahala Kurban itu sampai sebelum jatuhnya darah haiwan kurban ke bumi

Inilah yang disebutkan dalam hadith berikut:
Diriwayatkan hadith dari Aisyah (r.ah) (berkata dia): ‘Bahawasanya Rasulallah (s.a.w) telah bersabda: ‘Tidak beramal anak Adam dari amalan pada hari menyembelih (yakni, hari raya Kurban) yang lebih menyenangkan (yakni, disukai oleh) Allah (a.w) daripada mengalirkan darah (yakni, mengerjakan Kurban). Sesungguhnya (sesiapa yang) berkurban nescaya pada hari Qiamat dimana tanduknya dan bulunya dan kukunya (ternakan kurban itu), dan sesungguhnya sebelum jatuh darahnya (ke bumi) nescaya daripada Allah (a.w) (mendapat ganjaran pahala), maka bersenanglah (yakni, bergembiralah) sekelian kamu dengan Kurban bagi dirinya.’ [Hadith sahih at-Termidzi]

(b)   Setiap bulu haiwan kurban itu satu pahala

Saudara, mengerjakan kurban itu mendatangkan pahala yang amat banyak dari segi kuantitinya pula, kerana disebutkan dalam hadith berikut setiap bulu haiwan yang dijadikan kurban itu diberi pahala - bulu yang kasar dan bulu yang halus. Kesemua ini dimasukkan dalam simpanan akhirat bagi sesiapa yang mengerjakan kurban.
Diriwayatkan hadith daripada Zahid bin Arqam (r.a) berkata dia: ‘Berkata seorang sahabat Rasulallah (s.a.w) kepadanya (yakni, bertanya): ‘Ya, Rasulallah (s.a.w), apakah ini beberapa Kurban?’ Menjawab Rasulallah (s.a.w): ‘Telah disunatkan oleh bapa kamu sekelian, Nabi Ibrahim (a.s)’. Maka berkata sahabat lagi: ‘Maka apakah bagi kami (i.e. apakah pahalanya) dalam Kurban, ya Rasulallah (s.a.w)?’ Maka dijawab Rasulallah (s.a.w): ‘Dengan tiap-tiap sehelai rambut (yakni, bulu binatang Kurban itu) satu kebaikan (yakni, pahala dari Allah (a.w)’. Bertanya lagi sahabat tersebut: ‘Maka bagaimana pula dengan bulu-bulu halusnya, ya Rasulallah (s.a.w)?’ Dijawab oleh Rasulallah (s.a.w): ‘Tiap-tiap satu rambut dari bulu halusnya satu kebaikan.’ [Hadith sahih Ibnu Majjah]

Besarnya Pahala Ibadah Kurban

Saudara, dalam hadith berikut disebutkan ula bahawa amalan yang amat disukai oleh Allah (a.w) adalah amalan menyembelih kurban pada 10 Zulhijjah. Hendaklah kurban itu disembelih selepas Solat Aidil Adha, bukan sebelumnya. Pahalanya melebihi pahala berjihad - berperang fi sabilillah. Pahalanya hanya diatasi (atau, dikalahkan) oleh pahala orang yang berjihad fi sabilillah dengan harta dan dirinya (i.e. nyawanya), maka di akhir jihad itu dia kembali ke tanah airnya atau rumahnya hanya sebagai mayat dan hartanya habis dibelanjakan untuk fi sabilillah.
Diriwayatkan hadith dari said b Khubairin hadith dari Ibnu Abbas (r.a) berkata: Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Tidak ada dari beberapa hari, yakni hari kesepuluh (bulan Zulhijjah) yang di dalamnya (ada amalan) yang lebih disukai Allah (a.w).’ Berkata mereka (para sahabat): Wahai Rasulallah (s.a.w)! Tidak berjihad fi sabilillah (i.e. membela ugama Allah (a.w))?’ Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Dan tidak juga berjihad fi sabilillah.’ (Kemudian Rasulallah (s.a.w) menyambung sabdanya): ‘Kecuali seorang lelaki (yang berjihad itu) keluar dengan dirinya dan hartanya, maka tidak kembali dia dari demikian (jihad) dengan sesuatupun.’ (Yakni, lelaki yang berjihad dengan diri dan hartanya itu habis hartanya dan mati dia dalam jihad tersebut. Orang sedemikian itu mendapat pahala yang dapat mengatasi amalan (korban) pada 10 Zulhijjah itu.).’ [Hadith Abu Daud]
[Nota: Hadith ini menyebutkan bahawa ganjaran pahala kurban itu mengatasi atau melebihi pahala berjihad, kecualilah seseorang itu keluar berjihad, kemudian habis hartanya dan kembali mayatnya sahaja, yakni mati dia dalam berjihad itu.Jika begitu besarnya ganjaran kurban itu mengapakan sukar bagi orang Islam mengambil peluang keemasan yang diberikan oleh Allah (a.w)? Orang Islam itu sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk membeli Labrorghini, Maserati, Porche, BMW, Mercedes, Audi dan sebagaimana yang menelan wang begitu banyak ratusan kali ganda harga seekor lembu (RM 3,500.00 sekarang), kerana ramai umat Islam nipis imannya, mempermudahkan amalannya, dan tidak yakin dengan agamanya]

Pantang Larang Kurban: Gunting Rambut dan Mengerat Kuku

Saudara, untuk mendapat pahala yang sebanyak mungkin dan juga sebagai pahala tambahan, sesiapa yang telah melibatkan diri untuk menyembelih kurban, maka seperti yang disebutkan dalam hadith berikut, pantang larangnya mulai 1 Zulhijjah hinggalah selesai penyembelihan dia tidak memotong kuku dan bulu di tubuhnya.
Diriwayatkan daripada Ummu Salamah (r.ah), seorang Isteri Nabi, berkata: ‘Sesungguhnya Nabi (s.a.w) telah bersabda: ‘Ketika melihat kamu sekelian pada tanggal bulan Zulhijjah dan ketika mengkehendaki salah satu seorang daripada kamu sekelian menyembelih haiwan kurban, maka hendaklah menahan (yakni, membiarkan) sekelian kamu dari rambut dan kukunya (yakni, jangan memotong rambut dan kuku sehinggalah selesai kurban).’ [Hadith Muslim]. 
Saudara, insya Allah dalam post yang akan datang kita teliti nas dan dalil hadithnya mengenai prinsip-prinsip yang kita sebutkan di atas itu.

Pahala Puasa Arafah

Saudara, amalan kedua yang utama dalam bulan Zulhijjah adalah berpuasa pada tanggal 10 Zulhijjah. Jema'ah haji yang pada hari tersebut pergi ke Arafah untuk Wukuf, tidak dibenarkan berpuasa. Umat Islam yang tidak mengerjakan haji digesa berpuasa untuk mendapat ganjaran pahala yang besar itu.
Diriwayatkan sepotong hadith daripada Abi Qatadah (r.a), katanya: ‘Sesungguhnya Nabi (s.a.w) telah bersabda: ‘Puasalah pada Hari Arafah, sesungguhnya mencari pahala aku pada Allah (a.w) agar menghapus dosa (oleh Allah (a.w)) (dosa-dosaku) setahun yang sebelum Hari Arafah dan setahun sesudah Hari Arafah.’ [Hadith sahih riwayat at-Termizi]
Saudara, pahala yang diberikan untuk Puasa Arafah itu adalah dihakis dosa-dosa selama dua tahun. Ambillah peluang kerana seorang Islam yang tinggi iman dan ketaqwaannya itu melakukan sehari sebanyak 2,500 dosa-dosa kecil, yang akan terkumpul sekiranya tidak ditaubatkan. Kalau yang baik iman dan ketaqwaannya banyak dosa, bagaimana orang Islam biasa yang sering melakukan pelbagai perkara dan sentiasa sukar mengawal keinginan nafsunya! Bila dipuasakan Puasa Arafah ini luput dosa-dosa dua tahun. Kalau dibuat setiap tahun? Maka kembalilah seseorang itu seumpama dalam keadaan fitrah.

Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment