Monday, February 8, 2010

Solat Fardu: Jangan abaikan (Samb.)

Assalamualaikum,
Kita sambung semula peringatan ini dengan meneliti ketetapan as-Sunnah selanjutnya, kerana solat fardu itu amat utama kita beri perhatian setiap masa dan ketika jika kita inginkan kesejahteraan akhirat.
Oleh yang demikian solat fardu itu amat penting. Dan, solat sunat itu juga penting jika cacat ibadah solat fardu kita. Maka dengan itulah diibaratkan oleh Rasulallah (s.a.w) bahawa jika ugama Islam itu adalah rumah keimanan umat Islam, maka solat fardu itu tiang tengahnya. Jika tidak dibuat, maka runtuhlah ugamanya – tidak berugamalah dia!
3. Diriwayatkan hadith daripada ‘Ubadah ibnu Samit (r.a) berkata: ‘Aku mendengar Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Lima solat yang mewajibkan Allah (a.w) atas hamba-hambaNya. Maka barangsiapa datang (kepada Allah (a.w) di akhirat kelak) dengannya tidak kurang daripadanya sesuatu, tidak meremehkannya (yakni, meringankannya atau menganggap enteng akan solat-solat itu), maka sesungguhnya Allah (a.w) mendatangkan baginya di hari qiamat nanti janji Allah (a.w) bahawa dimasukkanNya ke dalam syurga. Dan barangsiapa datang (di akhirat kelak) dengannya sungguh-sungguh kurang daripadanya sesuatu, meremehkannya dengan haqnya, tidak ada baginya di sisi Allah (a.w) janji. Jika dikehendaki Allah (a.w) diazabnya (maka diazabnya), dan jika berkehendakkan Allah (a.w) mengampunkannya, (maka diampunkannya dosa-dosanya kerana meninggalkannya)’ [Hadith Ibnu Majah, Kitab Solat]
Daripada hadith di atas jelas pada kita ketetapan Allah (a.w). Malangnya, kita seringkali meringankannya. Apabila masuk waktunya kita tunggu, perlambatkan atau kita leka. Jika tidak dalam kesebokan urusan harian, terutama di kalangan mereka yang terlalu sebok dengan urusan kerajaan, urusan bisnes dan lain-lain, demi keduniaan mereka, terkadang terlupa solat atau terlepas waktu dan tidak disolatkan. Contoh: Seringkali, mereka bermesyuarat sampai luput waktu solat ‘Asar dan Maghrib. Atau, mereka dalam tekanan semasa perundingan dengan orang bukan Islam, meneruskan perundingan walaupun sudah hamper luputwatu solat. Atau, mereka terlalu asyik melayan tetamu sehingga luput waktu Maghrib. Insiden-insiden sedemikian ini sering kita lalui dan temui. Manusia itu lebih mengutamakan hal dunianya demi kesenangan untuknya atau demi kedudukannya, maka dia meremehkan ibadat dan tanggung jawabnya kepada Penciptanya, Allah (a.w)
Ingatlah saudara kita hidup di dunia ini hanya setakat 60 atau 70 tahun sahaja. Kehidupan ahirat itu bukan sahaja amat panjang, malah kekal tiada sempadan waktu. Malahan ketika berhimpun dalam perhimpunan agung terbesar manusia, di padang makhsyar itupun begitu lama, iaitu 50 tahun bilamana setiap hari di sana lamanya adalah 1,000 tahun kiraan hari dunia ini. Maka dengan itu, janganlah kita terlalu ghairah akan dunia sehingga kita terlupa akhirat dan menggadaikan kesejahteraan akhirat kita demi dunia.
Mudah-mudahan kita terpandu, insya Allah. Amin

No comments:

Post a Comment