Sunday, February 21, 2010

Panduan penting bagi orang iman

Assalamualaikum, cuba kita lihat panduan Rasulallah (s.aw) berikut dan kita ambil sebagai panduan hidup kita.
Di dalam hadith berikut, seorang sahabat Rasulallah (s.a.w) bertanyakan kepada Rasulallah (s.a.w) beberapa panduan hidup yang perlu untuk dirinya. Seperti biasa apa jua nasihat yang datangnya daripada Rasulallah (s.a.w) untuk mana-mana sahabat adalah relevan untuk umat Islam. Begitulah ciri sunnah Rasulallah (s.a.w), kerana Rasulallah (s.a.w) bersabda berpandukan wahyu bukan kerana kehendak nafsu atau dirinya sendiri:
1. Diriwayatkan hadith daripada Abu Zarr (r.a) yang bertanya kepada Rasulallah (s.a.w) tentang beberapa nasihat, maka Rasulallah (s.a.w) menyuruh beliau meningkatkan ketaqwaan kerana ia (yakni, ketaqwaan) boleh membentuk keperibadian luhur yang menjadi asas segala tindakan dan perlakuan yang menyelubungi jiwa seorang yang beriman. Kemudian Abu Zarr (r.a) meminta lagi nasehat, maka Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Hendaklah sentiasa kamu secara berterusan membaca Al-Quran dan mengingati Allah (a.w)(yakni, seperti berzikir kepada Allah (a.w)), kerana ia ‘nur’ (yakni, cahaya keimanan) di dunia dan ‘zakhirah’ (yakni, perhiasan diri) di syurga.’ Abu Zarr (r.a) meminta lagi nasihat, maka Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Kurangkan ketawa kerana ia menjadikan jiwa sombong dan menghapuskan seri muka kamu.’ Kemudian Abu Zarr (r.a) meminta lagi nasihat, maka bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Hendaklah kamu teruskan berjihat kerana ia adalah ‘ruhbaniah’ bagi umatku.’ Kemudian Abu Zarr (r.a) meminta lagi nasihat, maka Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Biasakanlah dirimu dengan orang-orang yang miskin dan orang-orang yang memerlukan bantuan, berbuat baik kepada mereka dan duduklah bersama-sama mereka.’ Kemudian Abu Zarr (r.a) memohon nasihat lagi, maka bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Lihatlah kepada mereka yang berada di bawah kamu supaya (dengan kerana itu) kamu membiasakan diri merasa syukur terhadap nikmat Allah (a.w), dan janganlah kamu melihat orang yang berada di atas kamu (dengan kerana itu) nanti kamu akan menjadi tidak bersyukur terhadap pemberian Allah (a.w) kepada kamu.’ Kemudian Abu Zarr (r.a) memohon nasihat lagi, maka bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Biarlah salah silap kamu menjadikan kamu tidak mencemuh orang lain. Dan janganlah mencari salah silap orang lain, kerana kamu sendiri melakukan kesalahan sedemikian. Tidak wajar kamu menyatakan salah silap orang lain dengan mencari kesilapannya, kerana salah silap sedemikian itu kamu sendiri memilikinya tanpa kamu sendiri sedari akan wujudnya.’ Kemudian itu Rasulallah (s.a.w) menepuk dada Abu Zarr (r.a) sambil bersabda: ‘Wahai Abu Zarr (r.a)! Tidak ada kebijaksanaan yang lebih baik daripada cermat berbelanja, dan tidak ada keimanan yang lebih baik daripada tidak melakukan kesalahan (atau dosa), dan (tidak ada) sifat ketinggian darjat lebih baik dari akhlak yang baik.’ [Hadith sahih Ibnu Hibban]
Hadith yang panjang ini memberikan banyak prinsip utama yang wajar diberi perhatian oleh seorang Islam yang mengaku mereka beriman. Sekiranya prinsip dan panduan tersebut dijadikan panduan hidup sentiasa sudah pastilah kita menjadi orang yang baik kepada sesiapa sahaja yang kita bergaul saban hari di mana saja kita berada. Apakah sifat-sifat tersebut yang wajib menjadi panduan perlakuan dan peribadi kita?
Terdapat sebelas perkara yang dinasihatkan oleh Rasulallah (s.a.w) kepada Abu Zarr (r.a), yakni umat Islam:
Pertama sekali hendaklah kita berusaha meningkatkan ketaqwaan kerana ketaqwaan ini akan membentu keperibadian yang luhur kepada seseorang itu kerana ketaqwaan itu melibatkan hubungannya dengan Allah (a.w) dan RasulNya serta hubungannya dengan manusia lain, termasuk kedua ibu bapanya, suami isteri, kaum kerabat, sahabat handai dan rakan taulan. Di dalam Kuliah Hadith: Syariat Islam disebutkan perincian apakah sifat-sifat orang yang diistilahkan sebagai orang yang bertaqwa.
Kedua, umat Islam itu digalakkan membaca Al-Quran dan berzikir kepada Allah (a.w), kerana membaca Al-Quran dan berzikir itu adalah perbuatan memuji-muji dan mengingati Allah (a.w) yang telah memberikan kita pelbagai nikmat yang kita seringkali tidak ambil peduli atau ‘take for granted’. Zaman ini manusia itu seringkali dalam kesebokan maka tidak ada masa untuknya membaca Al-Quran[1] dan tidak ada masa juga untuk berzikir, walaupun berzikir itu boleh dilakukan semasa kita menguruskan hal ehwal dunia kita.
Ketiga, seseorang Islam yang beriman dan bertaqwa itu tidak membiasakan dirinya ketawa – terutama ketawa sampai berbahak-bahak – kerana ketawa itu adalah perbuatan syaitan dan perbuatan orang yang takbur terhadap Allah (a.w). Orang yang ketawa itu akan lupa dia akan tanggung jawabnya sebagai mansuia dalam hidupnya dan lupa dia akan tanggung jawabnya sebagai hamba Allah (a.w) terhadap Allah (a.w). Di dalam sepotong hadith lain disebutkan oleh Rasulallah (s.a.w) bahawa sekiranya kita berpeluang melihat apa yang berlaku dalam neraka, sabda beliau, kita tidak akan mampu ketawa!
[Nota: [1] Di dalam septong hadith Rasulallah (s.a.w) menyuruh kita membaca Al-Quran semasa di rumah supaya tidaklah rumah kita seolah-olah menjadi kubur kerana kubur itu senyap sunyi tidak siapapun bercakap. Begitu jugalah beliau nasihatkan supaya solat-solat sunnat itu dibuat di rumah supaya setiap rumah itu dilawati oleh malaikat rahmat.]
Keempat, seseorang Islam itu hendaklah dia sentiasa berjihad demi ugamanya dan demi ketaqwaannya. Di dalam sepotong hadith disebutkan bahawa selepas hijrah ke Madinah, tidak ada lagi hijrah bagi manusia, selain berhijrah melawan nafsunya. Malah dalam sepotong hadith lain pula Rasulallah (s.a.w) menyebutkan hijrah dari Mekah ke Madinah itu adalah hijrah yang kecil berbanding dengan hijrah melawan nafsu itu adalah hijrah yang terbesar. Berhijrah adalah satu bentuk jihad, dan berjihad melawan kehendak duniawi diri adalah jihad yang berat kepada manusia. Dalam zaman moden ini hijrah melawan nafsu atau kehendak diri itu semakin besar dan rumit untuk dilaksanakan. Yang kaya akan sebok dengan kekayaannya. Yang miskin akan sebok juga dengan kemiskinannya. Semuanya, kalau tidak berhati-hati, akan terjerumus mencari ‘keperluan’ dunia tanpa henti-henti dan jemu dan sentiasa merasai kekurangan dan tidak cukup.
Kelima, keperbadian yang baik yang menunjukkan orang Islam yang benar-benar beriman dan bertaqwa itu adalah sentiasalah dia tidak membesar dan membangga diri dan bersifat sombong dan merasai mulia diri berbanding dengan orang lain. Untuk membolehkan seseorang itu tidak dihayun oleh ombak takbur dan membesar diri hendaklah dia berbuat baik dan sering bergaul dengan orang miskin, maka dengan itu dia ingat dan syukur terhadap nikmat kurniaan Allah (a.w), timbul perasaan perikemanusiaan dan belas kasihan dan sentiasa ingin untuk membantu mereka yang lebih dhaif daripada dia. Orang yang berkedudukan lebih baik dalam hal ehwal dunianya sering sukar menjadi baik apabila berhubun dengan orang-orang miskin dan melarat. Jarang sekali kita temui orang yang kaya raya sering berhubungan atau menjalin hubungan silatur rahim yang kerap lagi erat dengan mereka yang fakir dan miskin. Inilah satu-satunya sifat yang amat sukar dijadikan panduan oleh ramai golongan manusia.
Keenam, hendaklah kita melihat ke bawah yakni melihat kedudukan mereka yang jauh lebih dhaif daripada kita walau di mana sekalipun status dan kedudukan kehidupan kita sekarang. Apabila kita melihat mereka yang kurang daripada kita maka barulah kita terasa yang kita sebenarnya lebih bernasib baik daripada mereka yang dibawah kita. Ini akan membentuk keimanan kita dan akan menjadikan kita lebih bersyukur akan nikmat yang kita telah terima. Jika kita melihat kepada mereka yang lebih tinggi kedudukan dan taraf hidupnya dengan kita maka kita akan sentiasa tidak berpuas hati dan kita merasa kita telah tidak dibantu atau dibela oleh orang lain, malah seringkali kita menjadi kufur akan nikmat Allah (a.w) apabila kita meraa bahawa Allah (a.w) menyusahkan kita dan tidak membantu kita dengan memurahkan rezki kita! Mereka yang melihat kepada mereka yang lebih tinggi daripadanyalah yang menjadikan manusia itu bertungkus lumus mencari dunia dan sentiasa tidak merasai puas dan cukup. Di dalam Al-Quran dan beberapa potong hadith disebutkan bahawa sesiapa yang terlalu inginkan dunia maka Allah (a.w) akan mempermudahkannya, dan kerana itu Allah (a.w) juga akan menyesatkannya lebih jauh daripada akhiratnya, kerana mereka akan terlupa dengan tanggung jawabnya terhadap Allah (a.w) dan terhadap manusia lain.
(Bersambung ...)
Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment