Sunday, February 7, 2010

Membuktikan pengabdian kepada Allah (a.w) (Samb)

Assalamualaikum,
kita telah teliti dala dua post yg lalu bahawa sebagai membuktikan kesyukuran kita terhadap Allah (a.w) kerana memberi kita peluang hidup dan memberikan kita pelbagai bentuk rezki, yag sering dilupakan adalah memberikan hidayah Islam kepada kita. Kerana, jikalah kita tidak Islam pastilah setelah mati kita akan disiksa tanpa henti-henti dan di akhirat, setelah kiamat dunia, kita akan dicampakkan ke dalam neraka.
Sebagai bukti kesyukuran kita itu, hendaklah kita berusaha untuk berqiamul-lail waktu malam - selepas pertengahan malam atau selepas sepertiga akhira malah - dengan mengerjakan beberapa amalan, iaitu:
1. Mengerjakan Solat Tahajjud,
2. Berzikir,
3. Membaca al-Quran,
4. Berdoa,
5. Mengerjakan Solat Witir
sehinggalah sampai waktu Subuh. Amalan terbaik bagi seseorang yg Islam selain solat fardu itu adalah Solat Tahajjud. Solat Tahajjud itu dibuat dua-dua rakaat dan Solat Witir itu diganjilkan rakaatnya, i.e. satu atau tiga atau 5 dan sebagainya. Yg sering dikerjakan Rasulallah (s.a.w) satu atau tiga rakaat.
Mengerjakan Solat Tahajjud, seperti yang telah dijelaskan di atas itu adalah gesaan Allah (a.w) di dalam al-Quran. Walaupun Solat Tahajjud itu tidak diwajibkan kepada umat Islam, solat tersebut diwajibkan kepada Rasulallah (s.a.w). Rasulallah (s.a.w) pula menggesa umatnya supaya mengerjakan Solat Tahajjud ini, paling minima dua rakaat setiap malam. Fadilatnya banyak seperti disebutkan dalam hadith berikut:
1. Diriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah (r.a) katanya: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Yang lebih afdhal puasa selepas puasa bulan Ramadhan adalah puasa Muharram (yakni, puasa Asyura), dan yang paling afdhal bersolat selepas solat-solat fardu lima waktu adalah solat malam (yakni, solat Tahajjud).’ [Hadith sahih riwayat at-Termidzi]
Hadith ini memberitahu kepada kita dua perkara penting, iaitu: pertama, puasa yang afdhal (i.e. yg mendatangkan ganjaran pahala yg banyak) selepas puasa Ramadhan adalah puasa awal Muharram (i.e. 10 Muharram); dan kedua, solat yang paling dituntut selepas solat fardu lima solat fardu adalah solat malam atau Solat Tahajjud.

Bilangan Rakaat dan Lamanya Solat Tahajjud
Pada dasarnya kesemua solat-solat sunat malam itu dibuat dua-dua rakaat dengan disudahi dengan 'Salam'. Kecuali solat malam yg khusus yg perlu disolatkan empat rakaat terus kemudian disudahi dengan 'Salam'. Yg wajar diingat adalah berlainan dengan solat fardu, pada setiap rakaat solat sunat hendaklah dibaca satu surah selepas membaca al-Fatihah.
2. Diriwayatkan hadith daripada Arwat (r.a) yang berkata sesungguhnya Aisyah (r.ah) menceritakan kepadanya: ‘Bahawasanya Rasulallah (s.a.w) ada bersolat sebelas (11) rakaat dan adalah yang demikian itu solatnya pada sujudnya selama seseorang itu membaca surah mengandungi 50 ayat (yakni, lama Rasulallah (s.a.w) sujud itu adalah kira-kira membaca surah yang mengandungi 50 ayat, (kira-kira 20-30 minit) sebelum mengangkat mukanya dan ruku’nya (yakni bersolat dia) dua rakaat sebelum solat Subuh, kemudian berbaring dia atas lembong atau perutnya sebelah kanan (yakni, mengereng) hingga datanglah tukang bang berazan untuk solat (Subuh).’ [Hadith sahih riwayat at-Termidzi]
Hadith ini menyebutkan Solat Tahajjud Nabi (s.a.w) itu 11 rakaat dibuat dua-dua (yakni, satu solat dua rakaat dengan satu ‘salam’) (justeru itu 10 rakaat Solat Tahajjud (yakni 5 solat) dan satu rakaat Solat Witir. Atau, Rasulallah (s.a.w) bersolat Solat Tahajjud delapan (8) rakaat dibuat dua-dua rakaat kemudian ‘salam’, dan disudahi dengan solat Witir tiga (3) rakaat pula. Yang penting diperhatikan adalah beberapa perkara yang dilakukan oleh Rasulallah (s.a.w):

· Solat Tahajjud itu dibuat dua-dua rakaat satu ‘salam’;

· Lama berdiri setiap rakaat adalah kira-kira membaca 50 ayat surah al-Quran;

· Ketika Sujud itu lamanya sujud adalah kira-kira membaca 50 ayat al-Quran;

· Selesai solat Tahajjud dan solat Witir beliau baring mengereng sebelah kanan menunggu azan Subuh; dan.

· Selepas mengerjakan solat malam beliau baring mengereng, yakni lembong kanan atau perut atau bahagian tubuh kanan ke bawah, menunggu waktu Subuh.

Bagi orang yang fasih dan hafal akan surah-surah al-Quran membaca 50 ayat al-Quran memakan masa kira-kira 20-30 minit.
Waktu Yang Afdhal Solat Malam

Di dalam hadith berikut seorang sahabat bertanyakan kepada Rasulallah (s.a.w), antara lain, waktu yang paling menghampirkan seseorang itu kepada Tuhan mereka. Maka dijawabnya adalah tengah malam atau seperdua daripada malam.
3. Diriwayatkan hadith daripada ‘Amru bin ‘Abasah (r.a) berkata: ‘Datang aku kepada Rasulallah (s.a.w), maka berkata aku: ‘Wahai Rasulallah (s.a.w)! Siapakah yang Islam bersama engkau?’ Bersabda Nabi (s.a.w): ‘Beberapa hamba yang merdeka.’ Berkata aku: ‘Adakah dari waktu yang (hamba Allah (a.w)) lebih dekat kepada Allah (a.w)?’ Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Ya. Tengah malam atau separuh malam.’ [Hadith ibnu Majah]
Hadith di atas itu menjelaskan bahawa waktu yang paling dekat seseorang hamba itu kepada Allah (a.w) adalah sepertiga kedua malam. Jika dikira malam itu bermula jam 9 malam dan berakhir jam 6 pagi (waktu Subuh), maka malam itu boleh dibahagi kepada tiga bahagian. Bahagian pertama antara 9 malam hingga 12 malam, bahagian kedua antara 12.00 hingga 3 malam, dan bahagian ketiga antara 3 hingga 6 pagi. Justeru itu, mengikut hadith ini bolehlah dirumuskan bahawa waktu yang paling afdhal bersolat malam adalah antara 1 hingga 3 malam.
4. Diriwayatkan hadith daripada Aswad, hadith daripada Aisyah (r.ah), berkata: ‘Adapun Rasulallah (s.a.w) tidur awal malam, dan bangun (terjaga) akhir malam (untuk qiamul-lail, yakni mengerjakan solat Tahajjud, Witir dan lain lain-lain solat sunat).’ [Hadith ibnu Majah]
Sesungguhnya bangun malam itu amat susah. Ia memerlukan suatu kekuatan minda dan keteguhan iman yang tinggi. Dalam pada itu, untuk memudahkan bangun malam hendaklah seseorang itu tidur awal. Agak mustahil jika seseorang itu tidur lewat malam, katalah jam 12.00 atau 1.00 malam, dan kemudian bernekad hendak bangun pada sepertiga kedua (yakni, selepas pertengahan) malam. Prinsip yang ditetapkan di dalam hadith di atas itu jelas. Rasulallah (s.a.w) tidur awal supaya mudah untuk bangun sepertiga pertengahan atau sepertiga akhir waktu malam, waktu yang afdhal bersolat malam. Waktu itulah dikatakan oleh Rasulallah (s.a.w) bahawa manusia lebih hampir dengan Allah (a.w).
Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment