Monday, February 22, 2010

Panduan penting bagi orang iman (Samb.)

Assalamualaikum,
Kita sambung semula tajuk di atas untuk mengetahui mesej Rasulallah (s.a.w) yg menasihatkan Abu Zarr (r.a) dalam post kelmarin.
Hadith yg kita rujuk dalam post kelmarin adalah hadith berikut:
1. Diriwayatkan hadith daripada Abu Zarr (r.a) yang bertanya kepada Rasulallah (s.a.w) tentang beberapa nasihat, maka Rasulallah (s.a.w) menyuruh beliau meningkatkan ketaqwaan kerana ia (yakni, ketaqwaan) boleh membentuk keperibadian luhur yang menjadi asas segala tindakan dan perlakuan yang menyelubungi jiwa seorang yang beriman. Kemudian Abu Zarr (r.a) meminta lagi nasehat, maka Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Hendaklah sentiasa kamu secara berterusan membaca Al-Quran dan mengingati Allah (a.w)(yakni, seperti berzikir kepada Allah (a.w)), kerana ia ‘nur’ (yakni, cahaya keimanan) di dunia dan ‘zakhirah’ (yakni, perhiasan diri) di syurga.’ Abu Zarr (r.a) meminta lagi nasihat, maka Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Kurangkan ketawa kerana ia menjadikan jiwa sombong dan menghapuskan seri muka kamu.’ Kemudian Abu Zarr (r.a) meminta lagi nasihat, maka bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Hendaklah kamu teruskan berjihat kerana ia adalah ‘ruhbaniah’ bagi umatku.’ Kemudian Abu Zarr (r.a) meminta lagi nasihat, maka Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Biasakanlah dirimu dengan orang-orang yang miskin dan orang-orang yang memerlukan bantuan, berbuat baik kepada mereka dan duduklah bersama-sama mereka.’ Kemudian Abu Zarr (r.a) memohon nasihat lagi, maka bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Lihatlah kepada mereka yang berada di bawah kamu supaya (dengan kerana itu) kamu membiasakan diri merasa syukur terhadap nikmat Allah (a.w), dan janganlah kamu melihat orang yang berada di atas kamu (dengan kerana itu) nanti kamu akan menjadi tidak bersyukur terhadap pemberian Allah (a.w) kepada kamu.’ Kemudian Abu Zarr (r.a) memohon nasihat lagi, maka bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Biarlah salah silap kamu menjadikan kamu tidak mencemuh orang lain. Dan janganlah mencari salah silap orang lain, kerana kamu sendiri melakukan kesalahan sedemikian. Tidak wajar kamu menyatakan salah silap orang lain dengan mencari kesilapannya, kerana salah silap sedemikian itu kamu sendiri memilikinya tanpa kamu sendiri sedari akan wujudnya.’ Kemudian itu Rasulallah (s.a.w) menepuk dada Abu Zarr (r.a) sambil bersabda: ‘Wahai Abu Zarr (r.a)! Tidak ada kebijaksanaan yang lebih baik daripada cermat berbelanja, dan tidak ada keimanan yang lebih baik daripada tidak melakukan kesalahan (atau dosa), dan (tidak ada) sifat ketinggian darjat lebih baik dari akhlak yang baik.’ [Hadith sahih Ibnu Hibban]
Kita telahpun teliti mesej pertama hingga mesej ke-enam dalam post kelmarin. Hari ini kita sambung dengan melihat mesej-mesej selanjutnya dalam hadith yg panjang ini.
Ketujuh, sebagai seorang Islam Rasulallah (s.a.w) menyebutkan pula bahawa tidak wajar kita mencemuh atau mengata-ngata atau memperkecilkan orang lain. Kita diberitahu bahawa umat Islam itu saudara se Islam, maka tidak wajarlah seorang saudara mencaci dan menghina dan menghamun saudaranya. Dalam sepotong hadith lain disebutkan bahawa sesiapa yang menutupi keaipan saudaranya dalam dunia maka Allah (a.w) akan menutupi aipnya di akhirat kelak. Di dalam hadith lain disebutkan pula bahawa hendaklah kita menghebah-hebahkan kebaikan seseorang itu kepada orang lain, dan hendaklah kita tidak menceritakan keburukan atau keaipan seseorang itu kepada orang lain. Malah kita disuruh menutup keaipan orang lain, kalaupun ia wujud dan kita ketahui kewujudannya.
Kedelapan, kita hendaklah jangan mencari-cari keburukan atau kesilapan atau keaipan orang lain, kerana kita sendiri ada keburukan atau kesilapan atau keaipan tersebut tanpa kita ketahui. Kita adalah manusia, ciri-ciri manusia itu serupa sahaja. Yang membezakan antara seseorang itu dengan seseorang yang lain adalah keimanan dan ketaqwaannya yang membezakan tindak tanduknya di dunia. Lebih keimanan dan ketaqwaannya maka kuranglah sifat-sifat kejinya seperti sifat atau tabiat suka mencari salah silap orang lain atau mendedahkan keburukan dan keaipan orang lain.
Kesembilan, hendaklah kita menjadikan darah daging kita sifat berjimat dan tidak boros berbelanja. Rasulallah (s.a.w) menyebutkan bahawa kebijaksanaan yang paling tinggi pada manusia adalah berjimat cermat. Nasihat ini pastilah jelas dan tidak mengelirukan. Kita tidak tahu bilakah agaknya kita akan susah atau sakit atau kehilangan sesuatu. Jadi jika kita tidak bersedia untuk perkara-perkara tersebut maka pastilah kita akan melarat dan merempat kelak apabila berlaku perkara itu. Maka dengan itulah seseorang yang paling bijak dalam hidupnya adalah dia berjimat cermat sentiasa demi menyediakan dirinya sesuatu yang menyulitkannya kelak, jika berlaku.
Kesepuluh, Rasulallah (s.a.w) menyebutkan keimana yang terbaik adalah tidak melakukan dosa. Barangsiapa mampu menjaga dirinya daripada berbuat apa jua dosa (yakni, melakukan kesalahan-kesalahan – melanggar perintah Allah (a.w) dan perintah Rasulallah (s.a.w) – adalah orang yang paling tinggi taraf iman atau keimanannya[1]. Di dalam sepotong hadith lain disebutkan oleh Rasulallah (s.a.w) setiap manusia seharian akan melakukan paling minimum 2,500 jenis dosa. Itu adalah dosa-dosa kecil. Dosa-dosa besar tidak disebutkan. Dosa-dosa kecil itu boleh terhapus sebahagian dengan mengambil wudu’ dan bersolat dan sebahagian dengan melakukan pelbagai ibadat sunnat lain dan berdoa[2].
Kesebelas, Rasulallah (s.a.w) memberitahu kita bahawa tidak ada darjat kemuliaan yang paling tinggi dalam Islam selain mereka yang memiliki akhlak yang tinggi dan terbaik. Ini adalah salah satu pencapaian yang amat sukar bagi kita dalam meningkatkan taraf dan mertabat keIslaman, keimanan dan ketaqwaan kita. Barangsiapa dapat mengamalkan keperibadian dan akhlah yang luhur dan tinggi sudah pastilah dia mempunyai darjat kemuliaan yang tertinggi. Orang yang mempunyai akhlak sedemikian pastilah dia mencapai kejayaan mendapat syurga Allah (a.w).
[Nota-nota: [1] Mungkin ramai orang Islam yang tidak sedar bahawa melanggar perintah dan suruhan Rasulallah (s.a.w) itu berdosa atau mendatangkan dosa. Memang jelas bahawa melanggar perintah Allah (a.w) sudah pasti berdosa. Melanggar perintah dan suruhan Rasulallah (s.a.w) juga berdosa. Sebab, di dalam Al-Quran disebutkan bahawa hendaklah kita ‘Taatkan Allah (a.w)’ dan ‘Taatkan Rasulallah (s.a.w)’. Allah (a.w) berfirman di dalam Al-Quran bahawa apa-apa yang disuruh oleh Rasulallah (s.a.w) hendaklah kita ambil dan apa-apa yang ditegahnya hendaklah kita tinggalkan; sesiapa taatkan Rasulallah (s.a.w) maka dia telah mentaati Allah (a.w); sesiapa yang sayangkan Allah (a.w) hendaklah dia ikuti perintah dan suruhan Rasulallah (s.a.w), dan banyak lagi firman Allah (a.w) sedemikian. Orang-orang yg menyayangi Allah (a.w) pastilah Allah (a.w) menyayanginya. Juga, Rasulallah (s.a.w) memberitahu bahawa seseorang itu hanya dikira beriman apabila dia menyayangi Rasulallah (s.a.w) lebih dari kasih sayangnya kepada orang lain sama ada ibubapanya atau suami/isterinya/anak-anaknya. Kerana Rasulallah (s.a.w) mengajak kepada kesejahteraan di akhirat. manusia lain tidak mengajak kepada syurga, malah menjadi fitnah atau cubaan dalam usaha seseorang mencari syurga itu. [2] Kita akan teliti kemudian nanti, insya Allah, demi kebajikan kita.]
Jazakallahu khairah.

No comments:

Post a Comment