Sunday, February 14, 2010

Perintah hakiki Allah (a.w)

Assalamualaikum,
dalam post ini kita akan semak beberapa perkara yg fundamental kita fahami dalam Islam, termasuklah mengenai ibadah haji dan umrah. Kita mulakan dengan tajuk berikut:
Panduan Asas dan Hakiki

Kita yang Islam sedia maklum bahawa Islam adalah ugama ciptaaan Allah (a.w) dan disampaikan (serta diajarkan dan dicontohkan) kepada kita oleh Rasulallah (s.a.w), yang diperintahkan oleh Allah (a.w) untuk memimpin manusia supaya menganuti ugama Islam dan beriman dengan Allah (a.w) serta mengEsakanNya dan mengabdikan diri mereka kepadaNya semata-mata.
1. Firman Allah (a.w): 'Wama khalaqtul jinna wal-insa illa liya’budni.' [Maksud: Dan tidaklah Aku (Allah (a.w)) jadikan jinn dan manusia kecuali untuk mengabdikan diri mereka (yakni, beribadah) kepadaKu] [Ayat 56, Surah az-Zariat]
Perintah yang terutama difahami oleh manusia adalah perintah dalam Ayat 56, Surah az-Zariat ini. Manusia itu diberi kesempatan hidup di dunia hanya untuk melaksanakan suatu tugas dan tanggungjawab yang haq iaitu mengabdikan diri atau memperhambakan diri mereka kepada Allah (a.w) tuhan mereka. ‘Mengabdikan diri’ atau ‘memperhambakan diri’ itu bererti hendaklah dia ikuti perintah dan suruhan Allah (a.w) dalam menjalani kehidupan dunianya. Manusia itu dikehendakki menyembah sebagai Tuhan hanya Allah (a.w) dan tidaklah mereka dibenarkan menduakan Allah (a.w), i.e. mengadakan suatu kuasa ketuhanan lain yang setaraf atau hampir-hampir setaraf dengan Allah (a.w). Allah (a.w) itu Tuhan manusia yang Esa. Sifat-sifat ketuhanan itu disebutkan oleh Allah (a.w) dalam al-Quran. Antaranya, sifat-sifat yang digambarkan oleh nama-nama Allah (a.w) dalam al-Quran sebanyak 99 nama (asma’ul husna) dan sifat yang juga menggambarkan kuasa-kusa mutlah Allah (a.w). Untuk membolehkan manusia itu memperhambakan diri mereka sejajar dengan kehendakNya, maka Allah (a.w) utuskan Rasulallah (s.a.w) untuk memimpin manusia, mengajarkannya dan mendemokan kepada mereka bagaimana hendak melaksanakan tanggungjawab memperhambakan diri mereka kepada Allah (a.w) itu.
2. Firman Allah (a.w): 'Wama arsalnaka illa kaffatan lin-nasi basiran wa-naziran walakin aktharan-nasi la ya’lamuna.' [Maksud: Dan tidaklah Kami (Allah (a.w)) utuskan kamu (Muhammad (s.a.w)) kecuali kepada umat manusia kesemuanya (atau seluruhnya) sebagai pembawa berita gembira (yakni, taat mendapat syurga) dan sebagai pemberi peringatan (yakni, jika ingkar diazab dalam neraka), tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui (yakni, tidak mahu mengetahui).][Ayat 28, Surah Sabak]
Sebagaimana Rasul-rasul sebelum beliau, tugas Rasul adalah untuk membawa khabar baik (i.e. memberitahu manusia bahawa jika mereka taatkan Alah (a.w), yakni ikut ketetapan al-Quran, dan taatkan Rasulallah (s.a.w), yakni ikut ketetapan as-Sunnah, dimasukkan ke dalam syurga)[1] dan khabar buruk yang menakutkan (i.e. memberitahu manusia bahawa sesiapa yang menentang atau menolak perintah Allah (yakni, al-Quran) dan menentang atau menolak suruhan Rasulallah (s.a.w) dan melanggar ketetapan al-Quran dan as-Sunnah, akan disiksa di neraka)[2]. Contoh menolak atau melanggar ketetapan Rasulallah (s.a.w) adalah membuat ‘pembaharuan dalam syariat Islam’ atau ‘mengubah syariat Islam’, yakni mencipta dan mengamalkan sesuatu yang bercorak bid’ah, kerana Rasulallah (s.a.w) melarang orang Islam melakukannya. Contoh menolak perintah Allah (a.w) adalah tidak mengerjakan solat fardu atau puasa Ramadhan atau minum arak dan melakukan pelbagai bentuk kemaksiatan.
Perintah yang sama sebagaimana ayat di atas juga difirmankan oleh Allah (a.w) dalam Ayat 119, Surah al-Baqarah di bawah ini. Pendeknya, sesiapa yang ikuti ketetapan dalam Ayat 13, Surah an-Nisa’, yang telahpun kita lihat sebelum ini, maka mereka dijamin mendapat syurga. Sebaliknya mereka yang menentang atau menolak atau tidak mahu terima ketetapan Allah (a.w) dalam Ayat 14, Surah an-Nisa’, maka pastilah mereka disiksa dalam neraka.
3. Firman Allah (a.w): 'Inna arsalnaka bilhaqqi basirau wa naziran.' [Maksud: Sesungguhnya Aku (Allah (a.w)) mengutuskan engkau (wahai Muhammad (s.a.w)) dengan haq (atau kebenaran) untuk menyampaikan berita gembira (yakni, siapa taatkan Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w) dibalas dengan syurga) dan untuk menyampaikan ancaman (yakni, sesiapa yang tidak taatkan Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w) atau membantah ketetapan Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w) akan disiksa dalam neraka)] [Ayat 119, Surah al-Baqarah]
Jelasnya, iaitu sesiapa yang Islam dan beriman dengan Allah (a.w) serta patuh kepada ketetapan al-Quran dan as-Sunnah, akan diberi ganjaran syurga di akhirat kelak, tetapi sebaliknya, sesiapa yang tidak Islam dan ingkarkan ketetapan Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w) akan disiksa dalam neraka di akhirat kelak[3]. Dan, Allah (a.w) peringatkan kita bahawa ketetapan Rasulallah (s.a.w) adalah ketetapan Allah (a.w).
4. Allah (a.w) berfirman: 'Mai uti’ir rasula faqad ata’allaha.' [Maksud: Barangsiapa taatkan Rasulallah (s.a.w) sungguh-sungguh mereka telah mentaati Allah (a.w) …’ [Ayat 80, Surah an-Nisa’]
Ketetapan Allah (a.w) dalam ayat ini adalah penting kerana Allah (a.w) mengingatkan kita bahawa sesiapa yang mentaati Rasulallah (s.a.w) adalah pasti telah mentaati Allah (a.w)[4]. Oleh yang demikian, ketetapan atau perintah Rasulallah (s.a.w) itu sebenarnya adalah ketetapan dan perintah Allah (a.w). Maka dengan itu di dalam al-Quran nama atau sebutan Rasulallah (s.a.w) sentiasa menyusuli sebutan atau kalimah Allah (a.w), setiap kali kalimat ‘Allah (a.w)’ disebut apabila menetapkan sesuatu untuk panduan dan dilakukan oleh manusia akan diikuti oleh kalimah ‘rasulallah (s.a.w)’.
5. Firman Allah (a.w): 'Wama atakumur rasulu fakhuzuhu wama nahakum ‘anhu fantahu.' [Maksud: ‘Apa-apa yang dibawakan oleh Rasul itu (yakni, al-Quran dan as-Sunnah) hendaklah kamu ambil (yakni, diamal dan diibadatkan) dan apa-apa yang ditegah oleh Rasulallah (s.a.w) (mengikut as-Sunnah) hendaklah kamu jauhi atau tinggalkan.’[Ayat 7, Surah al-Haysr]
Ketetapan Allah (a.w) dalam ayat ini adalah penting kerana Allah (a.w) memerintahkan manusia amnya dan umat Islam khasnya supaya ambil dan amalkan segala sesuatu yang dibawakan oleh Rasulallah (s.a.w) (yakni, ikuti ketetapan dan panduan as-Sunnah, i.e. segala sesuatu yang terdapat dalam as-Sunnah) dan tinggalkan segala sesuatu yang ditegahnya (yakni, segala tegahan dan larangan as-Sunnah hendaklah ditinggalkan[5]. Dengan lain perkataan, ketetapan yang terdapat dalam as-Sunnah atau al-Hadith wajib diikuti dan dipatuhi, sebagaimana juga ketetapan al-Quran. Antara ketetapan Rasulallah (s.a.w) yang wajib dipatuhi adalah larangan atau tegahan Rasulallah (s.a.w) kepada kita manusia bahawa jangan mengada-adakan atau beramal dengan pembaharuan[6] dalam syariat Islam – dari segi ibadah dan amalan serta kaedah dan cara serta bentuk-bentuk ibadah dan amalan – yang tidak dibawakan atau didatangkan oleh beliau tidak akan diterima Allah (a.w) amalan dan ibadahnya. Adalah sia-sia sahaja segala ibadah dan amalan kita jika kita beramal dan beribadah dengan sesuatu yang ditegah oleh Rasulallah (s.a.w) atau sesuatu yang tidak pernah dibawakannya kepada kita untuk kita ibadah atau amalkan. Adalah sia-sia segala amalan kita jika kita kerjakan ibadah dan amalan dalam kejahilan kerana kita tidak tahu ketetapan as-Sunnah dan beramal atau beribadah secara membabi buta sahaja! Maka dengan itulah Rasulallah (s.a.w) mengingatkan kita agar kita beramal dan mengerjakan ibadah dengan berpandukan ilmu[7]. Kemudian, Rasulallah (s.a.w) memberitahu kita bahawa bagi mempastikan kita tidak sesat dalam beramal dan beribadah – malah dalam menjalani kehidupan sebagai seorang Islam yang beriman – kita hendaklah berpandukan kepada dua ilmu dan panduan hidup yang haq iaitu al-Quran dan as-Sunnah (atau al-Hadith).
[Nota-nota: [1] Ayat 13, Surah an-Nisa’. [2] Ayat al-Quran Ayat 14, Surah an-Nisa’. [3] Ayat 13 dan 14 Surah an-Nisa .[4] ‘Mentaati Allah (a.w)’ adalah mengikuti ketetapan Allah (a.w) dalam al-Quran dan al-Hadith. ‘mentaati Rasulallah (s.a.w)’ adalah mengikuti ketetapan as-Sunnah sebagaimana yang terdapat dalam al-Hadith. [5] ‘Mentaati Allah (a.w)’ adalah mengikuti ketetapan Allah (a.w) dalam al-Quran dan al-Hadith. ‘mentaati Rasulallah (s.a.w)’ adalah mengikuti ketetapan as-Sunnah sebagaimana yang terdapat dalam al-Hadith. [6] Pembaharuan dalam Islam adalah diistilahkan sebagai ‘bida’ah’. Membuat ‘bida’ah’ dalam Islam adalah suatu perkara yang amat membahayakan kita kerana, di dalam beberapa hadith, disebutkan bahawa segala bentuk amalan dan ibdah kita tidak diterima Allah (a.w) dan taubat kita juga tidak diterima Allah (a.w) sehinggalah kita meninggalkan perbuatan mengada-adakan atau mengamalkan sesuatu yang ‘bida’ah’. [7] Firman Allah (a.w) ‘wala taqfu ma laisa bihi ilmun’ (Maksud: Janganlah kamu lakukan sesuatu yang kamu tidak tahu ilmu mengenainya) [Ayat 36, Surah al-Isra’) serta Sabda Rasulallah (s.a.w): ‘Al-ilmu qabla amal’ (Maksud: Berilmu dahulu sebelum beramal)]
Mudah-mudahan dengan keterangan ini kita lebih faham tentang Islam dan syaraiatnya, trutama yang melibatkan ketaatan umat Islam kepada ketetapan dan perintah Rasulallah (s.a.w), Amin. Mana-mana pandangan atau pendapat yg bercanggahan dengan ketetapan-ketetapan ini adalah suatu yg batil, dan wajib ditolak, demi kebajikan akhirat kita.
Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment