Saturday, June 21, 2014

Puasa Ramadhan: Siapa yang berjaya?

Assalamualaikum,
Saudara, kurang lebih seminggu lagi kita akan menemui Ramadhan, bulan barokah atau yang berkat bagi umat Islam yang kental imannya - orang yang yakin sepenuhnya tentang akhirat - akur dengan Ayat 13: an-Nisa' dapat syurga, engkarkan Ayat 14: an-Nisa' pasti masuk neraka. Maka dia pilih Ayat 13: an-Nisa', Ayat 80: an-Nisa', Ayat 59: an-Nisa', Ayat 103: ali-Imran, Ayat 7: al-Haysr dll. Dan, dia benar-benar terpandu dengan apa yang telah lihat dalam beberapa post dalam blog ini, terutama tentang tajuk di atas itu.

Orang yang mendapat keuntungan besar dalam bulan Ramadhan
Saudara, siapakah antara kita, yang Islam dan beriman, amat beruntung ketika tibanya Ramadhan? Kita lihat beberapa panduan Allah (a.w) (i.e. al-Quran) dan Rasulallah (s.a.w) (i.e. al-hadith) berikut:

(-) Pintu neraka dikunci & pintu syurga dibuka 
 
Saudara, orang Islam yang faham tuntutan Islam akan terpandu dengan sabda Rasulallah (s.a.w) dalam hadith berikut: pertama, Allah (a.w) mempermudahkan hambaNya yang Islam dan beriman menunaikan puasa Ramadhan, apabila semua syaitan dan jin dihalang dan dibendung, diikat. Tapi, pengaruh dan dorongan manusia yang 'memiliki' sifat-sifat keji kesyaitanan tetap akan menggangunya dan sifat-sifat keji dalam dirinya sendiri akan mendorongnya terpesong, membuat kemaksiatan/kejahatan dalam bulan Ramadhan (a.s). Kedua, Allah (a.w) menggandakan pahala yang begitu banyak, maksud 'pintu syurga itu dibuka' kepada orang-orang Islam yang beriman, memperbanyak amalan dan ibadah tambahan dalam bulan Ramadhan.
Diriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah (r.a) berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Apabila ada awal malam bulan Ramadhan disengkala (dipasung) segala syaitan dan yang buas daripada jinn. Dan dikunci akan semua pintu neraka maka tiada dibuka daripadanya satu pintupun, dan dibuka segala pintu syurga maka tidak dikunci daripadanya satu pintupun. Dan menyeru orang yang menyeru (yakni, para malaikat di langit): ‘Hai orang-orang yang menuntut (sukakan) kebajikan marilah sekelian kamu kerjakan kebajikan pada masa yang berkat ini, dan hai orang yang menuntut (sukakan) kejahatan tinggalkanlah daripada berbuat kejahatan dalam bulan yang berkat ini dan jauhkanlah (kejahatan) dan sertakanlah banyak-banyak kerja-kerja kebajikan (amal makruf) itu’. Dan bagi Allah (a.w) itu beberapa banyak pemerdekaan daripada api neraka. Dan, bermula yang demikian itu (yakni, seruan itu) berlaku ia tiap-tiap malam.’ - Hadith sahih at-Termidzi. 
Para malaikat mendoakan orang iman supaya meningkatkan amalan baik dan meninggalkan/menjauhi amalan yang maksiat dan keji.
 
(-) Malaikat di langit menggesa manusia supaya memperbanyakkan amalan kebaikan 
 
Saudara, seperti yang kita sebut sambil lalu di atas tadi, 'pintu neraka ditutup' seketat-ketatnya dan 'pintu syurga dibuka seluas-luasnya', kemudian para malaikat pula berseru kepada manusia supaya meninggalkan/menjauhkan kejahatan yang pernah/lazim mereka lakukan, dan memperbanyakkan kebaikan yang mereka lazim lakukan, atau yang mereka tahu, tapi belum pernah kerjakan, supaya mendapat gandaan pahala terbanyak dalam bulan Ramadhan, sebagai simpanan akhirat.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah (r.a) katanya: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Ketika ada awal malam bulan Ramadhan diikat syaitan dan jinn yang berkeliaran, dan ditutup beberapa pintu neraka maka tidak dibuka beberapa pintu neraka itu, dan dibuka beberapa pintu syurga maka tiada dikunci beberapa pintu syurga (tersebut), dan memanggil-manggil orang-orang yang memanggil (yakni, para malaikat di langit): ‘Hai orang-orang yang mencari kebaikan, mengadaplah (yakni, beribadatlah kepada Tuhanmu), wahai orang-orang yang mencari kejelikan atau kejahatan (yakni mengerjakan maksiat), berhentilah, dan Allah (a.w) akan memerdekakan orang-orang (yang beribadah) dimerdekakan dari neraka.’, demikianlah setiap malam (orang-orang (yakni, Malaikat) di langit akan terus menyeru) kepada manusia di bumi.’ - Hadith sahih riwayat at-Termizi, Kitabus Saum.
Saudara, bagaimanakah kita tahu bahawa para malaikat menyeru manusia yang Islam dan beriman mempersungguh?  Kerana Rasulallah (s.a.w) memberitahu kita. Apakah kita yakin? Wajib yakin kerana sesiapa yang tidak terima atau menolak atau meragui sesuatu ketetapan atau kisah/cerita yang disampaikan oleh Allah (a.w) (maksudnya, al-Quran) dan Rasulallah (s.a.w) (maksudnya, al-Hadith) adalah perbuatan kufur dan pelakunya, i.e. kita jatuh kafir, wal iya zubillah!
 
(-) Gandaan Pahala puasa melebihi 700 kali gandaan
 
Saudara, dalam Islam kita diberitahu oleh al-Quran dan al-Hadith bahawa setiap kebaikan yang kita kerjakan - melalui perkataan dan perbuatan - digandakan 10 hingga 700 kali gandaan. Tetapi, dalam bulan Ramadhan, sesuatu kebaikan itu digandakan tanpa had oleh Allah (a.w). Banyak mana gandaannya? Bergantung kepada niat dan ketulus-ikhlasan seseorang itu dalam berbuat kebaikan! Maksudnya, berpuasa kerana mentaati Allah (a.w). Tepuk dada tanya hati dan iman serta ketaqwaan kita!

Diriwayatkan hadith daripada Abi Saleh hadith daripada Abi Hurairah (r.a) berkata: ‘Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Tiap-tiap amalan anak Adam digandakan kebaikan dengan sepuluh seumpamanya sehingga 700 ratus gandaan atas apa-atas yang dikehendaki oleh Allah (a.w). Telah berfirman Allah (a.w): ‘Kecuali amalan puasa, maka sesungguhnya puasa bagi Aku (Allah), dan Aku (Allah) yang membalasnya dengan mereka meninggalkan syahawat mereka dan makanan mereka dari arahKu (yakni, kerana mentaatiKu). Bagi orang-orang yang berpuasa (mendapat) dua keriangan, (pertama) keriangan ketika berbuka (yakni, setiap kali berbuka dan ketika merayakan Aidil Fitri), dan (kedua) keriangan ketika menemui Tuhan mereka (di akhirat kelak, yakni mendapat syurga), dan adapun busuk bau mulut orang yang berpuasa itu lebih baik di sisi Allah (a.w) daripada bau minyak kasturi (misk).’ - Hadith Qudsi Ibnu Majah, Kitab Siam.
Saudara, begitu hebatnya dan pemurahnya Allah (a.w) terhadap hambaNya. Malangnya, majoriti manusia tidak Islam, maksudnya kafir. Di kalangan yang Islam pula majoriti pula tak berjaya mendapat syurga, sama ada melakukan sesuatu yang menjadikan mereka kafir tanpa mereka ketahui atau sedar, atau sengaja menempah neraka kerana tidak mengerjakan apa yang diperintah dan lakukan apa yang ditegah atau jahil Islam, maka kesemua amalannya batil dan batal, maka tak dapat syurga. 
Menyedari hakikat dan realiti ini, kita wajib ingat. Setiap kejahatan yang kita lakukan, maka kita dibalas dengan seumpamanya dosa yang ditetapkan, tidak digandakan - dalam neraka. Dan, dalam bulan Ramadhan dosa kejahatan digandakan oleh Allah (a.w.), sama dengan gandaan pahala kerana amal soleh! Maka berwaspadalah. Setiap kejelikan dan kemaksiatan yang kita lakukan alam bulan Ramadhan, maka dipercepatkan kita menghampiri neraka atau menempatkan kita lebih terkebawah dalam kawah neraka, wal iya zubillah.

Yang berjaya dalam Ramadhan 


Saudara, alhamdulillah kita telahpun tahu ilmunya tentang puasa Ramadhan terutama ganjaran pahala/balasan dosa yang kita  ucapkan dan lakukan dalam bulan Ramadhan. Kesimpulannya, kalau kita inginkan kejayaan akhirat melalui pelaburan akhirat dalam bulan Ramadhan, kita wajib faham beberapa perkara.  

(-)  Niat yang benar

 
Saudara, niat itu utama dalam Islam. Dan, Allah (a.w) memberitahu kita niat yang benar itu adalah menepati firmanNya  pada Ayat 56: al-Isra' - 'wa-yarjuna rahmatahu, wa-yakhafuna 'azabahu' (Yang bermaksud: kerana mencari kerahmatan Allah (a.w) (yakni, inginkan syurga) dan takutkan azab Allah (a.w) (yakni, selamat dari neraka). Rasulallah (s.a.w) memberi panduan pada kita dalam hadith berikut:

Diriwayatkan hadith daripada Abi Salamah daripada Abi Hurarirah (r.a) berkata: ‘Adapun Rasulallah (s.a.w) meningkatkan dalam solat malam Ramadhan dari selain apabila memerintahkan dengan menguatkan atau mempersungguh (beramal), dan bersabda: ‘Barangsiapa berdiri (solat) Ramadhan (yakni, solat Terawih) kerana keimanan dan mencari pahala di sisi Allah (a.w), mengampuni Allah (a.w) baginya apa-apa yang mendahulukannya dari dosa-dosanya.’ Maka diwafatkan Rasulallah (s.a.w) dan adapun perkara demikian itu (yakni, bersolat terawih sedemikian) juga (yakni, kekal) zaman khalifah Omar bin Khattab (r.a) atas demikian itu (yakni, tidak difardukan dan tidak diberatkan berjemaah, yakni dibuat bersendirian dan disunatkan menjemaahkannya pada malam-malam ganjil terakhir).’ [Hadith at-Termidzi, Kitab Saum]
Saudara, orang yang berjaya itu memperbanyakkan amalan dan ibadah tambahan dalam bulan Ramadhan - Solat Terawih, Solat Witir, Solat Dhuha, Solat Taubat, membaca al-Quran, berzikir, berdoa, mengurangkan tidur kerana beriktikaf menunggu Lailatul-Qadr, bersedekah menjamu makan minum orang yang berpuasa, dll lagi.
 
(-) Menemui lailatul-Qadr 
 
Saudara, orang yang berusaha berIktikaf di masjid pada 10 malam terakhir Ramadhan mencari/mengharapkan dapat Lailatul-Qadr itu pasti berjaya mendapat syurga dan terselamat dari neraka.

Diriwayatkan hadith daripada Qatadah hadith daripada Anas bin Malik (r.a) berkata: ‘Masuk Ramadhan, maka bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Sesungguhnya ini bulan sungguh datang pada kamu dan di dalamnya malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Barangsiapa menghalanginya (yakni, orang yang sengaja tidak mau beramal dan beribadat pada malamnya), maka sungguh-sungguh dihalangi daripadanya (yakni, tidak bertemu dengan malam Qadr itu) kebaikan kesemuanya, dan tidak dihalangi kebaikan malamnya (yakni, bagi mereka yang berusaha mencarinya dengan mendirikan dan mengimarahkan malamnya dengan memperbanyakkan amalan dan ibadat sunat) kecuali orang yang menghalangi malamnya (yakni, mereka yang tidak berusaha mengimarahkan malam tersebut).’ - Hadith Ibnu Majah, Kitab Siam.
Saudara, walau bagaimana alimnya seseorang itu sukar baginya mengerjakan amalan yang perfect serta meninggalkan sepenuhnya perbuatan berdosa selama 84 tahun 3 bulan! Malah, kini berapa ramaikan antara kita yang panjang umurnya?
 
Orang yang rugi dalam bulan Ramadhan


Saudara, kita telahpun tahu siapa yang berjaya dalam buan Ramadhan, berjaya melapaskan diri dari neraka dan mendapat syurga. Dalam hadith-hadith berikut pula kita diberitahu siapakah yang gagal dalam bulan Ramadhan - malah menambahkan dekat/hampir dia pada neraka atau bertambah pasti dia adalah ahli neraka, wal iya zubillah!

(-) Niat beramal/mengerjakan ibadah 
 
Saudara, seseorang itu pasti gagal mendapat syurga jika dia beramal dan beribadah terpesong dari niat yang benar. Ini diperjelaskan dalam al-Quran dan hadith berikut:

Firman Allah (a.w): ‘Wama liahadin ‘indahu min ni’matin tujza illabtigha-a wajhi rabbihil-‘ala.’ (Yang bermaksud: Dan apa-apa bagi seseorang di-sisiNya (Allah (a.w)) nikmat (yakni, pahala) dibalas (olehnya yang mendaat nikmat) kecuali (maksudnya, semata-mata) mencari Wajah (keridaan Allah (a.w)) Tuhan Zat Yang Maha Luhur) - Ayat 19 & 20, Surah al-Lail.
Jelasnya, niat beramal dan beribadah itu sama dengan yang disebutkan oleh Allah (a.w) pada Ayat 56: an-Nisa’: ‘wa-yarjuna rahatahu wa-yakhafuna ‘azabahu’ (Yang bermaksud: dan (kerana) mencari kerahmatan Allah (a.w) (maksudnya, syurga Allah (a.w)) dan takutkan siksaan Allah (a.w) (a.w) (maksudnya, neraka Allah (a.w)).

Kemudian dalam hadith berikut, Rasulallah (s.a.w) memperjelaskan lagi hakikat bahawa setiap amalan dan ibadah itu wajib dimurnikan tanpa dicemari untuk diterima Allah (a.w):
Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Innallaha la yuqbalu minal ‘amali illa ma kana lau kholisan wabtughiya bihi wajhahu.’ (Yang bermaksud: Sesungguhnya Allah (a.w) tidak akan menerima suatu amalan kecuali amalan yang dikerjakan itu murni (maksudnya, tidak dicemari oleh sesuatu apapun) dan (dikerjakan kerana) mencari wajah Alla (a.w) (yakni, kerana mengharapkan kerahmatan dan keridhaanNya semata-mata)) – Hadith an-Nasa’i, Kitab Jihad. 

Mencari wajah Allah (a.w) itu adalah mencari/mengharapkan kerahmatanNya. Tak mungkin dapat rahmat Allah (a.w) kalau tidak beramal. Tak mungkin amalan diterima jika tidak murni!

(-) Amalkan syariat Islam yang tidak murni atau asli
 
Saudara, Allah (a.w) membuat ketetapan dalam firmanNya berikut, bahawa Allah (a.w) hanya menerima sesuatu yang murni. Yang murni itu adalah menepati ketetapan al-Quran dan as-Sunnah, bukan ketetapan manusia!

Firman Allah (a.w): ‘Wama umiru illa liya’budullah mukhlisina lahud-dina hunafa-a wa-yuqimus solata wa-yuktuz-zakata wazalika dinul qai-yimah.’ (Yang bermaksud: Dan tidak diperintah (kalian) kecuali supaya menyembah (atau mengabdikan diri kepada) Allah (s.a.w) memurnikanNya, bagiNya agama yang condong (yakni, mempersungguhkan maksudnya mempertingkatkan ketaqwaan dan keimanan) kamu dan dirikanlah solat dan keluarkanlah zakat dan demikian itu (maksud, menyembahNya secara murni, condong hati semata-mata kepada agama yang murni, bersolat, mengeluarkan zakat, adalah) agama yang tegak (yakni, betul dan haq).) - Ayat 5: al-Baiyinah.
Setiap dimensi syariat Islam itu murni jika tidak menyimpang dari ketetapan al-Quran dan as-Sunnah. Kerana, yang diharapkan oleh Allah (a.w) adalah apa yang difirmankanNya (maksudnya, yang diperintahkan/yang ditegah) dan yang disabdakan oleh UtusanNya (maksud, yang disuruh/ditegah atau dilarang) sahaja.

(-) Perbuatan maksiat dan bercakap keji, bohong, kotor dll 
 
Saudara, dalam bulan Ramadhan, ditambah pra-syarat kemurnian ibadah puasa itu berdasarkan hadith berikut:

Diriwayatkan hadith daripada Abi Hurairah (r.a) berkata bahawasanya Nabi (s.a.w) telah bersabda: ‘Barangsiapa tidak meninggalkan perkataan (atau percakapan) sia-sia (lagha) dan mengerjakan dengannya, maka tiada bagi Allah (a.w) berhajat bahawa dia (i.e. orang yang berpuasa itu) meninggalkan dia akan makanannya dan minumannya (yakni, berpuasa).’ - Hadith hasan sahih at-Termidzi.
Hadith di atas dan di bawah ini memberitahu kita bahawa kalau kita berpuasa Ramadhan, tapi kita melakukan kemaksiatan melalui ucapan dan perlakuan, maka tak gunalah berpuasa, kerana tidak diterima Allah (a.w).

Diriwayatkan hadith daripada Said al-Maqburiu, hadith daripada bapanya, hadith daripada Abi Hurairah (r.a) berkata: ‘Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Barangsiapa yang tidak meninggalkan pekerjaan dusta (bercakap bohong dan lain-lain yang keji) dan mengerjakan dusta dengan amalan atau bercakap dusta, maka tiada hajat Allah (a.w) di dalam apabila (mereka) meninggalkan makanan dan minuman (yakni, berpuasa).’ - Hadith Bukhari, Kitab Saum.
Tak ada gunanya berpuasa kalau kelaziman dalam bulan-bulan lain diteruskan. Artis terus menyanyi dan mendedahkan aurat mereka. Begitu juga penyanyi. Menggalakan kelekaan (i.e. lagha) di kalangan peminatnya. Tak guna berpuasa kalau terus berborak kosong diwarung dan kedai kopi atau berpoya-poya di kelab-kelab malam. Menghabiskan masa dipadang golf, berparti di hotel-hotel, dan bersembang di warung-warung, dan sebagainya.

(-) Tidak mengamalkan Islam secara berjema’ah 
 
Saudara, tiada gunanya berpuasa jika keaslian agama Islam itu tidak kita amalkan dan jadikan panduan hidup Islam yang benar, menepati ketetapan Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w), seperti yang dijelaskan dalam hadith berikut:

Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Man ‘amila lillahi fil-jama’ati fa-asoba qabilallahu minhu, wa-in akhto-a ghafara lahu; wa-man ‘amila yab taghil-firqata fa-asoba lam yataqabbalillahu minhu, wa-in akhto-a fal-yatabauwa-a maq’adahu minan-nari.’ (Yang bermaksud: Sesiapa yang beramal kerana Allah (a.w) di dalam jema’ah lantas amalannya benar (sejajar dengan ketetapan al-Quran dan as-Sunnah), maka Allah (a.w) menerima darinya (amalannya) dan jika keliru/tersilap maka Allah (a.w) mengampuninya; dan (sebaliknya) sesiapa yang beramal dalam firqah (i.e. tidak berjema’ah) lantas amalannya benar (yakni, dari segi bentuk, cara dan kaedah sejajar dengan ketetapan al-Quran dan as-Sunnah), maka Allah (a.w) tidak menerima darinya dan jika keliru/tersilap maka supaya bertempat dia tempat duduknya di neraka, i.e. masuk neraka.) – Hadith at-Tobrani.
Saudara, Rasulallah (s.a.w) mengulangi firman Allah (a.w) tentang kemurnian niat - Ayat 56: an-Nisa', dan kewajipan berjema'ah - Ayat 103: ali- Imran. Hakikat ini sering diremehkan dan dinombor-duakan oleh majoriti umat Islam. Maka rugilah mereka suatu kerugian yang amat besar kerana kosong catatan pahala dalam Kitab Catatan Amalannya.


(-) Mengamalkan bida’ah

Saudara, 'bida'ah' adalah suatu perkara atau kemaksiatan yang paling serius dalam Islam bagi orang yang faham Islam dan yakin dia tentang akibatnya.  Bagi mereka yang meyakini wujudnya 'bida'ah hasanah' itu, mereka tidak akan menerima ketetapan
Rasulallah (s.a.w) berikut:
Diriwayatkan hadith daripada Abi Hurairah (r.a) berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Biarkankanlah apa-apa yang aku (sengaja) tinggalkan (yakni, yang aku Nabi (s.a.w) tidak suruh kerjakan). Maka telah rosak barangsiapa yang ada sebelum kalian (yakni, umat-umat terdahulu) kerana memperbanyakkan soal mereka itu (terhadap perintah nabi-nabi mereka) dan banyak perselisihan di kalangan mereka itu atas (apa-apa yang disampaikan oleh) nabi-nabi mereka. Maka ketika memerintahkan aku atas kalian dengan sesuatu maka ambillah darinya apa-apa (yang aku sampaikan) sekuat mampu kalian. Dan, ketika melarang aku atas kalian dari sesuatu maka hendaklah kalian hentikan (atau tinggalkan).- Hadith Ibnu Majah & juga Bukhari dan Muslim.
Saudara, antara larangan Rasulallah (s.a.w) adalah jangan amalkan/cemarkan syariat Islam, khususnya ibadah solat, puasa, haji dll, dengan pembaharuan atau bida'ah. Setelah diberitahu kekal atau persis tak mahu terima, maka termasuk dalam golongan orang yang disebutkan dalam hadith berikut:
Diriwayatkan hadith daripada Abi Hurairah (r.a) berkata bahawa Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Setiap umatku masuk syurga, selain orang yang ‘enggan’ (yakni, orang yang enggan mengikuti perintah Allah (a.w) dan RasulNya).’ Mereka (para sahabat) bertanya: ‘Wahai Rasulallah (s.a.w)! Siapakah yang ‘enggan’ itu?’ Rasulallah (s.a.w) menjawab: ‘Sesiapa yang mematuhi perintahku masuk syurga, dan sesiapa yang melanggar perintahku maka sesungguhnya orang itu enggan (yakni, mereka yang ‘enggan’ itu adalah mereka yang tidak mematuhi perintah Rasulallah (s.a.w) (i.e tidak ikuti ketetapan as-Sunnah) tidak masuk syurga, yakni masuk neraka).’ - Hadith Bukhari. 

Saudara, tak cukup dengan peringatan tersebut, Rasulallah (s.a.w) memberitahu ketetapan yang amat serius dalam hadith berikut. Malangnya majoriti umat Islam 'tolak' dan sengaja menempatkan dirinya atau merizabkan tempat dalam neraka, wal iya zubillah!
Diriwayatkan hadith daripada Abdillah bin ad-Dalamii hadith daripada Khuzaifah bin Abu Yamani (r.a) berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Tidak diterima Allah (a.w) ahli-ahli bid’ah (yang mencipta, yang mengajar, yang menganjurkan dan yang mengamalkan bid’ah) amalan puasanya, tidak diterima amalan solatnya, tidak diterima amalan sedekahnya, tidak diterima amalan haji dan tidak (juga) amalan umrahnya, dan tidak diterima amalan jihadnya, dan tidak diterima amalan-amalan fardu dan tidak (juga) amalan-amalan sunatnya. Maka keluar dia dari Islam seperti keluarnya sehelai rambut (yang ditarik) dari adunan (tepong) roti.’ - Hadith sahih Ibnu Majah
Sayang seribu kali sayang, majoriti umat Islam enggan terima haikat ini. Itu pilihan mereka. Allah (a.w) memberi manusia dua pilihan sahaja di akhirat - iaitu neraka atau syurga - Ayat 7: as-Syura. Yang dapat syurga pasti adalah menepati Ayat 13: an-Nisa' dan yang mendapat neraka secara pasti adalah mereka yang disebutkan pada Ayat 14: an-Nisa'. 'Mentaati Rasulallah (s.a.w)' bermaksud terima ketetapan beliau dan amalkan dan tolak tepi ketetapan manusia lain.

Mudah-mudahan saudara mendapat manfaat dari cetusan post kali ini, insya Allah. 

Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment