Monday, June 23, 2014

Puasa Ramadhan: Peringatan (Samb.)

Assalamualaikum,
Saudara, dalam beberapa post yang telahpun kita lalaui dalam blog ini, kita tahu dan faham mengapakah bulan Ramadhan itu sentiasa dirindui oleh orang iman. Ketika berlalu Ramadhan, amak ramailah yang hiba apakah mereka akan menemui Ramadhan yang akan datang?
Sesiapa yang berjaya melaksanakan tuntuan Ramadhan yang terbaik, maka mendapat gandaan pahala tertinggi dari Allah (a.w) kerana keimanannya dan kerana harapan yang begitu tinggi inginkan pahala terbanyak, maka dia berjaya dibebaskan dari neraka dan disediakan syurga baginya. Tambahan pula bagi seorang yang diberi izin atau dikurniakan Allah (a.w) peluang menemui Malam al-Qadr, kerana keimanan dan ketaqwaan yang tinggi dan kemurniaan ibdah puasa yang begitu hebat, maka dia selamat dair neraka dan berjaya mendapat syurga.

(-) Berpuasa di Mekah dalam bulan Ramadhan

Saudara, mungkin kita tidak mencapai tahap ketaqwaan dan keimanan sedemikian. Namun, Allah (a.w) menjanjikan gandaan pahala yang jauh lebih banyak daripada 700 gandaan yang disebutkan bagi amalan di lain-lain bulan. Lebih menguntungkan lagi adalah orang yang mampu dari segi kewangan, dapat pula berpuasa Ramadhan di Mekah, menghabiskan masa yang ada sentiasa berada di Masjidil Haram mengerjakan pelbagai ibadah - mengerjakan umrah, mengerjakan tawaf sunat, mengikuti solat-solat fardu berjema'ah, solat-solat Terawih dan Solat Qiam berjema'ah, membaca al-Quran, berzikir dan berdoa di dalam Kaabah, lagilah hebat tabungan pahala untuk simpanan akhiratnya, kerana setiap amalan yang dikerjakan di dalam Masjidil Haram digandakan 100,000 kali gandaan. Satu solat dikerjakan mendapat 100,000 solat yang sama. Tambahan pula kalau mengerjakan umrah - satu umrah bersamaan dengan 100,000 umrah. Malah, lebih utama dari itu, kerana diberikan ganjaran/pahala haji atau pahala haji bersama-sama dengan Rasulallah (s.a.w). Demikianlah hebatnya pahala mengerjakan amalan dan ibadah puasa Ramadhan di Mekah yang membolehkan seseorang itu mengerjakan umrah.
Rasulallah (s.a.w) bersabda; ' ... fainna umratan fi ramadhana taqdhi hajjatan au hajjatan ma'iya.' (Yang bermaksud: Maka sesungguhnya umrah pada bulan Ramadhan membandingi (i.e. sama pahalanya dengan) satu haji atau satu haji bersama-samaku (Nabi) - Hadith Bukhairi, dalam Kitab Haji.
Alangkah beruntungnya orang iman yang menyempatkan masanya berada di Mekah untuk berpuasa Ramadhan dan mengerjakan pelbagai amalan dan ibadah sunat lainnya. Fikirkan dan bayangkanlah berapa banyaknya kerahmatan yang didapati oleh seseorang ketika berada di Masjidil Haram? Dalam bulan Ramadhan lebih-lebih lagi?

(-) Kefadhalan Berpuasa Ramadhan di Mekah

Saudara, bagi seorang yang berkesempatan ke Mekah dan berpuasa di sana, maka ganjaran pahala yang didapatinya bagi setiap umrah yang dikerjakannya disebutkan dalam hadith berikut:
Diriwayatkan hadith dari Said b Jubairin hadith dari ibni Abbas (r.a) berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Barangsiapa menjumpai Ramadhan di Mekah maka berpuasa dia dan berdiri (yakni, solat dia Solat Terawih dll) apa-apa yang memudahkan baginya, (pertama) ditulis Allah (a.w) baginya 100,000 berpuasa Ramadhan di dalam apa-apa selainnya (i.e. selain Mekah); dan (kedua) ditulis Allah (a.w) baginya dengan setiap siangnya memerdekakan seorang hamba dan setiap malamnya memerdekakan seorang hamba, dan (ketiga) setiap siangnya menyerahkan (yakni, memberi) seekor kuda pada sabilillah (yakni, membela agama Allah (a.w); dan (keempat) pada setiap hari kebaikan dan pada setiap malamnya kebaikan (yakni, kebaikan ibadah di Masjidil Haram, iaitu gandaan pahala 100,000 pahala).’ - Hadith ibnu Majah, Kitab Manasik.
Fikirkanlah, kalau saudara berada di Mekah (maksudnya, Masjidil Haram) selama sebulan = 30 hari, mampu mengerjakan umrah, katalah satu umrah setiap tiga hari, maka dapat 10 umrah, kemudian digandakan pula 10 x 100,000 umrah - demikianlah pelaburan akhirat untuknya, selain kefadhalan dia mendapat ganjaran pahala bagi setiap umrah itu seumpama pahala mengerjakan haji/mengerjakan haji bersama-sama dengan Rasulallah (s.a.w).

(-) Diturunkan Rahmat Di Masjidil Haram

Saudara, ada banyak gandaan pahala lain kerana mengerjakan pelbagai amalan sunat di dalam Masjidil Haram. Ini disebutkan dalam hadith berikut. Allah (a.w) menurunkan rahmatNya pada siang hari 120 rahmat dan pada malam hari 120 rahmat bagi mereka yang berada di dalam Masjidil Haram. Bertambah lagi dividen akhirat untuk kesejahteran akhirat kelak.
Diriwayatkan hadith dari Auza’i dari ‘Atak dari Ibnu Abbas (r.a) berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Innallah ta’ala yunzilu fi kulli yaumin wa-lailatin ‘isrina wamiata rahmatin yanzilu ‘ala hazal baiti sittuna lit-toifina wa-arba’una lil musollina wa-‘isruna lin-nazirina.’ (Yang bermaksud: Sesungguhnya Allah yang maha Agung menjadikan (i.e. menurunkan) bagi setiap hari dan setiap malam seratus dua puluh (100+20) kerahmatan atas masjid Baitullah ini (i.e Masjid al-Haram), 60 kerahmatan untuk orang-orang yang tawaf, 40 kerahmatan bagi orang yang bersolat dalam Baitullah dan 20 kerahmatan bagi orang yang melihat Baitullah (atau Ka’bah) (i.e. memandang ke arahnya sambil berdoa).) - Hadith Tobrani.
Saudara, 'melihat Baitullah' bermaksud  memandang kepada Kaabah sambil berdoa dan berzikir. 'Tawaf' yang dimaksudkan adalah Tawaf Sunat - mengelilingi Kaabah 7 kali dan selesai Tawaf bersolat dua rakaat di belakang Makam Ibrahim.

Peringatan:
Maksiat/Kejelikan digandakan dosanya

Saudara, begitu banyaknya pulangan pahala dalam bulan Ramadhan kalaulah kita sempat dan mampu usahakan, terutama jika berada di Mekah. Tapi, sebaliknya pula, kita diingatkan bahawa dalam bulan-bulan selain Ramadhan, setiap kebaikan digandakan antara 10 - 700 gandaan, akan tetapi setiap keburukan titulis satu keburukan sahaja. Tetapi, dalam bulan ramadhan lain, setiap keburukan dan kejelikan dan kemaksiatan digandakan sama seperti gandaan pahala! Oleh itu berwaspadalah ...
Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Fattaqu syahra Ramadhana fa-inna hasanati tudo’afu fihi ma la tudo’afu fima siwahu wa-kazalika saiyiatu‘. (Yang bermaksud: Maka berhati-hatilah kalian pada bulan Ramadhan, sesungguhnya kebaikan-kebaikan di bulan Ramadhan itu dilipatgandakan pada apa-apa yang tidak dilipatgandakan dalam selain bulan Ramadhan, demikian pula kejelikan-kejelikan (keburukan/kemaksatan yang dilakukan dalam bulan Ramadhan) juga dilipatgandakan (dosanya)) - Hadith at-Tobrani.
Mudah-mudahan post kali ini dapat membantu saudara menjalani ibadah puasa Ramadhan secara yang terbaik - minimum dosanya dan maksimum pahalanya, insya Allah.

Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment