Friday, June 20, 2014

Puasa Ramadhan (Samb.)

Assalamualaikum,
Saudara, kita teruskan lagi penelitian kita mengenai tajuk ini, mudah-mudahan kita diberi cukup sandaran ilmu untuk menghadapi Ramadhan ini, insya Allah.

Solat Terawih
Saudara, kita diberitahu bahawa sesiapa yang mempersungguh untuk berpuasa secara terbaik, menjaga supaya pahalanya tidak berkurangan atau terhapus, memperbaiki puasanya dengan menambah amal dan ibadah sunat tambahan ketika siang dan malam dan menjauhkan diri dari pelbagai gejala yang menghapus/menghakis pahala. Antara amalan yang menambah pahala dalam bukan Ramadhan adalah mengerjakan solat-solat sunat - Solat Dhuha di siang hari, Solat Terawih di malam hari. Bagi mereka yang berada di Mekah atau Madinah -kerana umrah - menghabiskan sebanyak mungkin masa siang dan malamnya berada di Masjidil Haram atau Masjid Nabawi untuk amalan sunat.
Saudara, dalam perkara Solat Terawih mungkin saudara pernah mendengar cakap-cakap para ustaz dan ulama arus perdana - bahkan menjadi kelaziman untuk mensolatkan Solat Terawih 20 rakaat kemudian disudahi dengan Solat Witir yang dibuat tiga rakaat - dua rakaat salam dan satu rakaat salam. Yng silap adalah Solat Witir apabila dibuat tiga rakaat tetapi dibuat dalam dua solat satu dua rakaat dan satu lagi satu rakaat, kerana Solat Witir itu wajib ganjil. Bagi mereka yang belajar as-Sunnah atau al-Hadith secara berguru mereka akan tahu bahawa Rasulallah (s.a.w) pernah mensolatkan Solat Witir itu satu atau tiga atau lima atau tujuh rakaat, terus dan hanya membaca Tahiyat Akhir pada rakaat terakhir. Tidak ada sandaran al-Quran dan as-Sunnah bahawa Solat Witir itu dibuat 3 rakaat tetapi disolatkan dua tambah satu sebagai solat berasingan!

Terawih zaman Rasulallah (s.a.w)

 
Saudara, dalam zaman Rasulallah (s.a.w), beliau mensolatkan Solat Terawih itu di rumah - sebagaimana syariat solat sunat itu terbaik disolatkan di rumah. Namun, pada malam-malam ganjil akhir Ramadhan, Rasulallah (s.a.w) bersolat di masjid, maka seperti biasa para sahabat yang sememangnya berada di masjid mengikuti beliau sebagi makmum. Sehinggakan, mengikut hadith di bawah, semakin ramai para sahabat yang ikuti beliau, sehingga tak muat masjid. Maka Rasulallah (s.a.w) kemudiannya mensolatkannya di rumah dan bersabda kepada para  sahabat kenapa. Beliau takutkan sekiranya amalan menjema'ahkan Solat Terawih itu terus dijema'ahkan, khuatir beliau ia menjadi wajib, maka akan menyulitkan umatnya melasanakannya kelak.
Diriwayatkan hadith daripada Ibni Syihab katanya memberitahu dia oleh ‘Urwat bahawasanya Aisyah (r.ah) memberitahu kepadanya bahawasanya Rasulallah (s.a.w) keluar malam ketika larut malam, maka bersolat dia di masjid dan solat beberapa lelaki dengan solatnya (besertanya, yakni menjadi makmum berjemaah), maka ketika paginya menceritakan mereka (kepada orang-orang lain bahawa mereka bersolat berjemaah dengan Rasulallah (s.a.w) itu). Maka berkumpullah kebanyakan dari mereka (i.e. para sahabat), maka solat mereka bersamanya, maka ketika pagi manusia (mereka) bercerita (yang mereka bersolat berserta Rasulallah (s.a.w) itu. Maka banyaklah ahli masjid pada malam ketiganya. Maka keluar Rasulallah (s.a.w) maka bersolat dia dan bersolat mereka dengannya. Maka ketika ada malam keempatnya lemah masjid (yakni, penuh sesak dengan makmum) atas ahli-ahli masjid (yakni, makmum) sehingga keluar untuk solat subuh. Maka ketika selesai solat fajr (subuh) menghadap Rasulallah (s.a.w) atas manusia (yakni, memberi nasihat), maka (setelah) memuji-memuji akan Allah (a.w), kemudian bersabda: ‘Adapun kemudian daripada itu. Maka sesungguhnya tidak menghalang atas aku tempat kamu sekelian (yakni, mengikuti solat Rasulallah (s.a.w) secara berjemaah itu), dan akan tetapi aku khuatir apabila diwajibkan atas kamu sekelian, maka lemah kamu darinya (yakni, kurang sanggup atau tidak mampu mengerjakannya secara berjemaah itu).’ Maka diwafatkan Rasulallah (s.a.w) dan perkara itu atas demikian (yakni, tinggal tidak berubah amalan memberi pilihan kepada umat Islam mengerjakan solat Terawih secara berjemaah atau bersendirian).’ - Hadith Bukhari, Kitab Terawih.
Yang penting kita faham adalah dalam hayat Rasulallah (s.a.w) ada mensolatkannya secara berjema'ah, walaupun tidak dijadikkan ketetapan yang mutlak, Solat Terawih itu dibolehkan berjema'ah atau disolatkan bersendirian. Kerana itu adalah pendustaan jika ada orang yang mengatakan bahawa mensolatkan Solat Terawih berjema'ah itu adalah suat 'bida'ah hasanah'. Yang tetapnya adalah Solat Terawih itu dibuat 4 rakaat satu salam dua solat, yakni jumlahnya 8 rakaat, tidak 20 rakaat.

Solat Terawih berjema’ah?

Saudara, kita lihat hadith ini bagaimana bermulanya amalan mensolatkan Solat Terawih itu secara berjema'ah secara lazim di bawah seorang imam yang tetap. Ini berlaku di zaman Omar (r.a).
Diriwayatkan hadith daripada Abdul Rahman Ibni Abdil Qari bahawasanya dia berkata: ‘Keluar aku beserta Omar bin Khattab (r.a) (pada masa itu, Omar menjadi khalifah, selepas meninggalnya Abu Bakar as-Siddiq (r.a)) suatu malam ke masjid, bersolat beberapa kelompok terpisah-terpisah, bersolat beberapa lelaki atas dirinya (yakni, bersendirian) dan bersolat mereka dengan solat secara berkumpulan (yakni, berjemaah), maka berkata Omar: ‘Sesungguhnya aku berpandangan seandainya dikumpulkan mereka atas satu bacaan yang satu (yakni, dikerjakan dengan dipimpin oleh seorang imam secara berjemaah) nescaya lebih utama, kemudian sengaja (Omar (r.a)) mengumpulkan atas Ubai bin Kaab (r.a) (yakni, melantik Ubai sebagai imam), kemudian keluar beserta malam yang lain dan (melihat) manusia bersolat dengan solat bacaan mereka (yakni, meneruskan amalan bersolat Terawih secara berjemaah dengan diimamkan oleh Ubai (r.a)). Berkata Omar: ‘Bida’ah kebaikan’ ini. ‘Dan yang tidur mereka darinya lebih afdhal dari yang berdiri mereka mengkehendaki akhir malam (yakni, mengerjakan solat Terawih pada sepertiga terakhir malam lebih afdhal), dan ada dikalangan manusia berdiri (yakni, bersolat) pada awal malam.’- Hadith Bukhari, Kitab Terawih
Hadith ini menjelaskan bilakah amalan bersolat terawih secara berjemaah diamalkan menjadi kebiasaan, iaitu zaman Khalifah Omar Bin Khattab (r.a) yang menyuruh orang bersolat berjemaah di belakang seorang imam yang tetap. Berbanding dengan hadith sebelumnya tidak dilarang Rasulallah (s.a.w) bersolat jemaah semasa hayatnya, tetapi dia khuatir akan menjadi fardu pula amalan sedmikian itu. Ada para ilmuan menyatakan Omar (r.a) memulakan ‘bida’ah hasanah’ itu. Sebenarnya bukan bida’ah tetapi sebahagian daripada sunnah apabila amalan khalifah ar-rasyidin al-Mahdiyin mengamalkannya. Mengikut hadith berikut: 
Diriwayatkan hadith daripda Rabii’, dan dia itu adalah Ibnu Hirasy katanya hadith daripada Huzaifah (r.a) berkata: ‘Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Mengikutilah kamu sesudahku Abu Bakar bin Siddiq (r.a) dan Omar ibnu Khattab (r.a) - Hadith at-Termidzi, Kitab Manakib (Pangkat).
Saudara, selepas wafatnya Rasulallah (s.a.w), Abu Bakar as-Siddiq (r.a) diangkat secara bai'at resmi menjadi pemimpin pengganti jema'ah umat Islam, sebagai khalifah ar-rasyidin al-mahdiyin pertama, kemudian apabila beliau meninggal, maka Omar b  Khattab (r.a) diangkat secara bai'at menggantikan belia sebagai khalifah ke-2. Rasulallah (s.a.w) sebelum wafat memberitahu para sahabat dan umat Islam bahawa hendaklah mereka ikuti sunnah mereka berdua. Malah Rasulallah (s.a.w) memberitahu bahawa umat Islam wajib mengikuti sunnah beliau dan sunnah 4 khalifah yang berikutnya - Abu Bakar, Omar, Othman dan Ali Abi Thalib, radiallahu 'anhum.

Dlam urusan Solat Terawih itu, kekal amalan Rasulallah (s.a.w) bahawa Solat Terawih itu dibuat 4 rakat dua solat, kemudian ditutup dengan Solat Witir 3 rakaat, menjadikan solat qiam itu 11 rakaat - secara berjema'ah atau secara persendirian, jika tertinggal dari jema'ah. Tidak pernah Solat Witir itu dibuat secara dua solat - satu dua rakaat dan diikuti dengan satu rakaat, disudahi dengan salam. Solat Witir itu wajib ganjil - satu atau tiga atau lima atau tujuh rakaat disudahi dengan salam. Lazimnya Rasulallah (s.a.w) membuatnya satu atau tiga rakaat satu salam.

Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment