Monday, June 9, 2014

Puasa Ramadhan (Puasa Fardhu) (Samb.)

Assalamualaikum,
Saudara, kite teruskan penelitian kita tentang syariat puasa Ramadhan, kerana 10 hari lagi, insya Allah jika dipanjangkan umurr, maksudnya ajal kita belum sampai, kita akan menemui bulan barokah, bulan Ramadhan, dan semoga Allah (a.w) berikan kita kekuatan untuk berpuasa sebaik mungkin dan dapat menamatkannya.
Saudara, dalam post yang lalu kita telah maklum bahawa Puasa Ramadhan itu adalah satu daripada Rukun Islam, dan diwajibkan atas setiap orang yang akui dirinya Islam berpuasa sepanjang bulan Ramadhan. Kta juga diberitahu kemurahan Allah (a.w), bahawa orang yang diberi kemurahan untuk tidak berpuasa dalam bulan Ramadhan, adalah orang yang sedang sakit yang teruk yang tidak membolehkannya berpuasa tanpa memudaratkan dirinya. Maka dia boleh tidak berpuasa tetapi wajib membayarnya atau menggantikannya di lain-lain hari, i.e. lain bulan, atau membayar fidyah setiap sehari yang ditinggalkan, memberi makan seorang faqir atau miskin. Dan, orang yang dalam perjalanan atau musafir melebihi 2 marhalah (dikatakan 89 kM), maka dibolehlan tidak berpuasa, tetapi perlu menggantinya atau membayar fidyah tersebut.
Kita juga tahu bahawa di awal Islam, umat Islam yang tidak mahu berpuasa dibolehkan membayar fidyah, i.e. memberi makan seorang fakir atau miskin seoang setiap hari yang tidak dipuasakan. Kelonggaran ini dimansuhkan, dan umat Islam diwajibkan berpuasa, kecuali kalau sakt atau musafir. Kemudian Allah (a.w) beri kelonggaran kepada beberapa kategori umat Islam yang lain pula. Insya Allah kta akan lihat siapa yang boleh mengqadakkan puasanya.

Niat wajib sahnya puasa

Saudara, puasa fardhu itu wajib diniatkan sebelum tibanya waktu Subuh. kalau puasa sunat, tak wajib dinatkan sebelum Subuh, memadailah diniatkan dalam hati ketika siang dan kita belum makan atau minum. Disebutkan dalam hadith bahawa ketika ditanya oleh Rasulallah (s.a.w) kepada Aisyah (r.ah) apakah ada makanan, dan diberitahu tiada, maka beliau berpuasa (sunat) asalkan belum makan dan minum.
Diriwayatkan hadith daripada Hafsah (r.ah) katanya hadith daripada Nabi (s.a.w) bersabda: ‘Barangsiapa tiada berniat (puasa) dahulu daripada fajr (yakni, sebelum waktu Subuh) maka tiada puasa baginya.’ - Hadith sahih at-Termidzi
Diriwayatkan hadith adripada Ibnu Syihab daripada Salim Ibni Abdillah, hadith daripada bapanya, hadith daripada Hafsah (r.ah), isteri Nabi (s.a.w), berkata: ‘Bahawasanya Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Barangsiapa tidak berniat puasa sebelum fajr (subuh), maka tiada puasa baginya.’ - Hadith Abu Daud, Kitab Saum
Sah puasa Ramadhan itu jika kita berniat diwaktu malam - biasanya ketika bersahur - sebelum masuk waktu Subuh. Niat itu hanyalah lintasan hati sahaja, tak perlu baca 'Nawaitu sauma ghadin ...', kerana kalimah niat sedemikian itu tiada sandaran nas dan dalil al-Quran ataupun as-Sunnah, dikhuatiri jika diamalkan kita terlibat dengan sesuatu yang baharu atau bida'ah - bida'ah membatalkan amalan tersebut!

Allah (a.w) memudahkan beramal

Saudara, yang merumitkan kita beribadah secara mukhlis atau murni kepada Allah (a.w) adalah gangguan syaitan. Sehubungan itu dalam bulan Ramadhan, umat Islam ditolong oleh Allah (a.w) untuk memudahkan mereka berpuasa, tidak diganggu oleh syaitan. Inilah mesej hadith berikut:
Diriwayatkan hadith daripada Ibni Abi Anas berkata bahawasanya bapanya menceritakan hadith bahawasanya dia mendengar Abu Hurairah (r.a) berkata: ‘Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Ketika ada Ramadhan dibuka pintu rahmat dan dikunci pintu neraka jahanam dan dirantai semua syaitan.’ - Hadith Muslim, Kitab Siam.
Rasulallah (s.a.w) memberitahu dalam hadith ini bahawa syaitan diikat atau dipasung supaya tidak mengacau orang iman dalam bulan Ramadhan. Tapi, ada orang bertanya: mengapakah masih ramai umat Islam yang tidak berpuasa atau tidak mahu berupasa, kalaulah tidak dipengaruhi oleh syaitan?
Jawapannya? Kalau syaitan telahpun dipasungi oleh Allah (a.w) supaya tidak dapat menggangu gugat orang iman berpuasa, mengapa kekal ada atau ramai orang Islam yang tidak berpuasa? Pastilah sifat-sifat syaitan itu telah bersebati dalam hati dan rohani seseorang itu, sehinggakan tiada syaitanpun, dia kekal mengerjakan amalan syaitan kepada dirinya sendiri. Dia adalah orang yang 'fasiq'. Orang 'fasiq' adalah orang Islam yang menentang ketetapan Allah (a.w) (i.e. al-Quran) dan Rasulallah (s.a.w) (i.e. as-Sunnah). Atau, dia 'menzalimi dirinya sendiri', iaitu orang Islam yang tahu sesuatu kewajipan tetapi tidak mengerjakannya atau meremehkannya. Kedua-dua kategori orang ini kelak di dalam kubur disiksa dan diakhirat dimasukkan ke dalam neraka.
Saudara, kerana utamanya puasa Ramadhan itu, para malaikat menyeru dari langit kepada manusia supaya meninggalkan segala kejahatan yang biasa mereka lakukan dalam bulan-bulan lain, termasuklah mensia-siakan waktu, dan mengutamakan Ramadhan dan berpuasa dan mengamalkan ibadah-ibadah tambahan. Malangnya, manusia tidak dapat mendengar kata-kata (yakni, seruan) para malaikat tersebut. Kita yang menyempatkan diri untuk belajar ilmu, maka kita tahu keadaan alam ghaib yang diberitahu oleh Allah (a.w) - dalam al-Quran - dan oleh Rasulallah (s.a.w) - dalam as-Sunnah. Begitu besarnya kerahmatan Allah (a.w) kepada orang iman yang berpuasa, kerana didoakan pula oleh para malaikat. Inilah sabda Rasulallah (s.a.w) di dalam hadith berikut:
Diriwayatkan hadith daripada Abi Saleh, hadith daripada Abi Hurairah (r.a) berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Ketika ada awal malam dari bulan Ramadhan dirantai syaitan-syaitan dan jinn yang berkeliaran, dan dikunci pintu-pintu neraka maka tidak dibuka pintu-pintu itu satu pintupun, dan dibuka pintu-pintu syurga maka tidak dikunci satu pintupun daripada pintu-pintu itu, dan memanggillah orang-orang yang memanggil (yakni, para malaikat di langit, mengingatkan manusia): ‘Wahai orang-orang yang mencari kebaikan! Mengadaplah mencari kebaikan. Wahai orang-orang yang mencari kejahatan! Berhentilah (daripada mencari kejahatan). Dan Allah (a.w) memerdekakan dari neraka.’ (sambung Rasulallah (s.a.w)) ‘dan demikianlah menyeru mereka pada tiap-tiap malam.’ - Hadith at-Termidzi, Kitab Saum.
Saudara, dalam hadith ini kita diberitahu gesaan para malaikat kepada manusia yang beriman supaya melakukan dua perkara yang, mungkin secara rutin, di waktu-waktu atau bulan-bulan lain kita tidak kerjakan. Para malaikat menyuruh orang iman supaya menumpukan masa dan tenaga serta keazamannya untuk memfokuskan kepada ibadah puasa itu, dan ibadah-ibadah lain sebagai tambahan, dan meninggalkan segala rutin yang tidak menguntungkan atau yang menjejaskan kita dari medapat ganjaran pahala yang maksimum. Fikirkanlah, pahala maksimum yang boleh di dapati dalam bulan Ramadhan adalah dibebaskan dari neraka, dan diberikan syurga. Bukankah itu hasrat dan misi serta matlamat setiap orang iman? Selamat dari neraka dan berjaya mendapat syurga?

Sebenarnya itulah matlamat hidup orang iman dalam sebarag situasi dan keadaan - selamat dari siksaan Allah (a.w) dan diberikan ganjaran syurga kelak di akhirat. Tiada matlamat akhir yang lain, kecualilah orang itu lupakan alam akhiratnya!

Jazakallahukhairah

No comments:

Post a Comment