Wednesday, June 11, 2014

Puasa Ramadhan (Samb.)

Assalamualaikum,
Saudara, kita sambung lagi penelitian kita terhadap amalan yang menambah pahala dalam berpuasa Ramadhan. Kita telah lihat satu dimensi iaitu berbuka dalam post sebelum ini. Pahala yang boleh didapati adalag berbuka awal - tatkala masuk waktu Magrib, kita bersegera berbuka, kedua kita berbuka dengan tamar atau kalau tiada tamar maka berbuka dengan minum air manis, dan membaca doa ketika berbuka dan berdoa ketika selesai berbuka. Kali ini kta lihat pula amalan berahur/makan sahur pula.

Bersahur – Keberkatan

Kita telahpun lihat hadith-hadith berikut yang menyebut, antara lain, keberkahan bersahur.
Diriwayatkan hadith daripada ‘Amru bin ‘Ass (r.a) berkata hadith ini daripada Nabi (s.a.w) bahawasanya bersabda dia: ‘Perbezaan antara puasa kita dan puasa ahli kitab (yakni, Yahudi dan Nesrani) itu ialah makan sahur.’ - Hadith hasan sahih at-Termidzi, Muslim, an-Nasa’i, dll
Hadith di atas itu menyebutkan bahawa bersahur itu adalah ciri puasa yang haq mengenai puasa Ramadhan. Bersahur adalah ciri yang membezakan puasa dalam Islam berbanding dengan puasa orang Yahudi atau Nesrani.
Kita diberitahu oleh Allah (a.w) dalam al-Quran bahawa syariat puasa itu telah diwajibkan ke atas manusia yang mengiuti agama Allah (a.w) semenjak zaman-zaman para rasul dan nabi terdahulu. Maka dengan itu sebahagian daripada orang Yahudi yang menerima sebagaian ketetapan Kitab Taurat dan orang Kristian yang mengambil sebahagian daripada keettapan Kitab Injil, beruasa. Tetapi, mereka telah mengubah syariat puasa tersebut, sehinggakan kini kalaupun mereka berpuasa, mereka tidak bersahur. Umat Islam disuruh bersahur, kerana keberkahan bersahur itu. Keberkatan bermaksud mendapat ganjaran pahala tambahan serta kesukaan Allah (a.w) kerana bersedia menerima ketetapan Islam supaya bersahur bila berpuasa, walaupun bersahur itu tidaklah diwajibkan. Namun orang yang benar Islamya atau mengikuti sunnah Rasulallah (s.a.w), mereka akan bersahur.
Diriwayatkan hadith daripada Abi Qais, hamba merdeka, ‘Amru bin ‘Ass, hadith daripada ‘Amru bin ‘Ass (r.a) berkata: ‘Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Sesungguhnya perbezaan apa-apa antara puasa umat kami dan puasa ahli-ahli kitab (Yahudi dan Nesrani) (adalah) makan sahur.’ - Hadith Abu Daud, Kitab Saum
Umat Islam itu ditegah supaya tidak mengikuti cara dan kaedah kaum Nesrani dan Yahudi beragama. Kerana, Islam itu adalah agama yang asli lagi murni, yang tidak dipengaruhi oleh pendapat dan pandangan manusia. Maka dengan itulah Rasulallah (s.a.w) memperingatkan umatnya supaya jauhi bid’ah (yakni, membuat tambahan kepada atau mengubah atau memperbaharui syarat agama Islam), dan menghukuminya sebagai suatu perbuatan yang membawa dosa yang amat besar, sehinggakan pengamal bida’ah atau amalan dan ibadah yang dicemari oleh bida’ah mengakibatkan seseorang itu terkeluar dari Islam tanpa disedari atau jatuh syirik dan tidak diterima segala amalan dan ibadah yang fardu atau yang sunat. Begitu jelasnya tegahan Islam dalam urusan bida’ah. Malangnya, hari ini majority umat Islam – termasuk para ulama’ sendiri – menidakkan ketetapan tersebut, sehinggakan bertambah pelbagai amalan yang dicemari oleh kesyirikan, kekurafan, ketahyulan dan bida’ah.
[Nota: Antara contoh berleluasanya amalan-amalan batil yang membatalkan syariat Islam yang diamali dan membatalkan pahala amalan yang dikerjakan dan kemungkin menjadi syirik dalam konteks aqida,h adalah program kasidah dan nyanyian yang dikerjakan semasa menyambut Mauludur Rasul atau Hijrah dan pelbaga lagi sambutan yang kononnya untuk mendemokan kecintaan terhadap Allah (a.w) dan Rasuallah (s.a.w), sehingga melambai-lambaikan tangan, menggoyangkan kepala, berlagu dan bersorak, seumpama lupa daratan kerana menyeru dan menyambut ‘roh’ Rasulallah (s.a.w). Amalan yang tidak jauh bezanya dengan amalan orang Kristian ketika menyanyikan Gospel Song di Gereja-gereja mereka. Kini begitu banyak dan berbagai pula amalan yang bersifat kurafat dan bida’ah. Malah dibesar-besarkan dan disokong oleh ramai umat Islam, termasuk pemimpin mereka, para ulama’, dihebahkan dan disiarkan melalui media spt media TV al-Hijrah dan Astro Awani.]
Diriwayatkan hadith daripada Abdul Aziz bin Syuhaibin berkata: ‘Aku mendengar Anas bin Malik (r.a) berkata: ‘Bersabda Nabi (s.a.w); ‘Bersahurlah kamu, maka sesungguhnya di dalam bersahur itu ada barakah.’ - Hadith Bukhari, Kitab Saum.
Dalam Islam yang dicari adalah keberkatan sesuatu amalam, kerana keberkatan itu datangnya dari Allah (a.w). Sesatu yang berkat itu diberikan oleh Allah (a.w).
Diriwayatkan hadith daripada Abi Othman hadith daripada Abdullah bin Masud (r.a) berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Jangan mencegah sungguh salah seorang kamu oleh azan Bilal daripada sahur kamu, maka sesungguhnya azannya (atau katanya) memanggil (azan) supaya kembali mereka yang bersolat malam (ke rumah mereka) dan membangunkan mereka orang yang tidur, dan tiada fajr, apabila berkata begini.’ Berkata Musaddad: ‘Dan mengumpulkan kedua-dua telapak tangannya sehingga berkata ‘begini’ dan menambah Yahya dengan jari telunjuk kedua-dua tangannya.’ [Nota: Dalam hadith ini Rasulallah (s.a.w) menggunakan isyarat dengan kedua-dua tangannya menunjukkan bahawa ketika azan Bilal itu ada fajar yang merentangi langit dari arah kiri dan kanan, Yang bermaksudnya belum lagi waktu fajr subuh, maka masih boleh bersahur]. - Hadith Abu Daud, Kitab Saum.
Hadith ini menyebutkan bahawa tamatnya waktu Sahur/bersahur itu adalah ketika dilaungkan azan Subuh/masuk waktu Subuh.
Diriwayatkan hadith daripada Syu’bah hadith daripada Abdil Hamid, ketua kampong Ziadi, berkata: ‘Aku mendengar Abdullah bin Harith menceritakan hadith daripada seorang lelaki daripada sahabat Nabi (s.a.w) berkata: ‘Masuk aku atas (yakni, ke rumah) Nabi (s.a.w), dan dia sedang bersahur, maka bersabda Nabi (s.a.w): ‘Sesungguhnya bersahur itu barakah (kerana) memberi makan kepada kamu Allah (a.w) pada sahur, maka jangan meninggalkannya.’ - Hadith an-Nasa’i, Kitab Saum.
Dalam hadith ini jelas bahawa bersahur adalah anugerah Allah (a.w). Alangkah jeliknya seorang Islam yang diberi kemudahan oleh Allah (a.w) supaya bersahur untuk puasa, dia menolak, dan sebaliknya mengutamakan menyambung tidurnya! Bersahur itu adalah suatu amalan sunat, bersahur bermaksud seseorang Islam itu akur dengan ketetapan as-Sunnah. Mengikut sunnah Rasulallah (s.a.w) mendatangkan pahala berasingan pula.

Bersahur – Didoakan oleh malaikat

Dalam hadith ini Rasulallah (s.a.w) menyuruh umatnya supaya bersahur kerana keberkatan bersahur itu. Dan, para malaiiat mengucapkan keselamatan dan kesejahteraan kepada orang yang bersahur. Kita tahu bahawa para malaikat itu adalah makhlk yang suci dan sentiasa hampir dengan Allah (a.w) dan sentiasa taatkan Allah (a.w), maka doa para malaikat itu nescaya seggera sampai kepada Allah (a.w) dan didengar oleh Allah (a.w) dan dikabulkan oleh Allah (a.w).
Diriwayatkan hadith daripada Abi Said al-Khudri (r.a) mengatakan bahawa Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Sahur itu makanan berkat maka jangan kamu sekelian tinggalkan, walau sekadar meneguk seteguk air, sebab Allah (a.w) dan para malaikatNya berselawat (yakni, mengucapkan selamat dan hormat) kepada orang yang bersahur.’ - Hadith Imam Ahmad.

Bersahur - Melambatkannya

Saudara, dalam hadith ini disebutkan oleh Zaid yang dia bersahur bersama-sama Rasulallah (s.a.w), kemudian dia solat (maksudnya, solat Tahajjud). Bagi orang yang bersahur itu, kalau awal, maka setelah selesai bersahur, mengerjakan solat-solat Tahajjud. Atau, bangun awal untuk mengerjakan Solat Tahajjud, dan selepas itu bersahur.
Islam - ketetapan Allah (a.w) dalam al-Quran - menggalakkan umatnya mengerjakan solat malam - sepertiga awal malam, atau sepetiga pertengahan malam atau sepertiga akhir malam, kerana kita diberitahu, melalui as-Sunnah, bahawa Rasulallah (s.a.w) memberitahu bahawa Allah (a.w) dengan diiringi oleh malaikat roh (maksudnya, Jibril (a.s.)) serta malaikat rahmat yang banyak turun ke langit dunia, untuk memberi tiga perkara: pertama, memberikan apa-apa yang dipinta oleh hambaNya yang beriman ketika mereka berbersolat malam dan berdoa; kedua,mengampuni dosa-dosa hambaNya yang berdoa pohon diampunkan dosa-dosa mereka; dan ketiga, memberikan permintaan untuk mendapat rezki tambahan yang diphonnya dari doanya selepas solat malamnya.  
Diriwayatkan hadith daripada Zaid bin Thabit (r.a) berkata: ‘Makan sahur kami berserta Nabi (s.a.w), kemudian bangun kami kepada solat. Berkata Zaid: ‘Berkata aku: ‘Berapa ada kadar (kira-kira) demikian (antara sahur dengan solat Subuh)?’ Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Kadar (yakni, kira-kira membaca) lima puluh ayat al-Quran.’ - Hadith hasan sahih at-Termidzi.
Sampai waktu manakah boleh bersahur? Di dalam hadith di atas dijelaskan bahawa kita boleh bersahur sampai kira-kira 10 minit sebelum azan Subuh, yakni lamanya kira-kira membaca alat al-Quran 50 ayat. Sesungguhnya prinsip-prinsip dan peraturan dalam syariat Islam itu ada garispanduan yang terperinci di dalam al-Hadith. Contohnya menentukan waktu atau saat berakhir sahur:
Diriwayatkan hadith daripada Samrah bin Jundab (r.a) berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Tiada menegah sekelian kamu daripada sahur kamu sekelian oleh bang (azan) Bilal dan tidak (menegah bersahur oleh) fajr yang menyorong tinggi (kelihatan terbit terus ke tengah langit), dan akan tetapi (berhenti bersahur pada) fajr yang berselerak (cahayanya) di kaki (ufuk) langit.’ - Hadith hasan at-Termidzi.
Saudara, demikianlah. Selain keberkatan bersahur/makan sahur itu, bersahur juga menggalakkan bangun malam untuk mengerjakan solat-solat malam/Solat Tahajjud dan berdoa memohon tiga perkara yang Allah (a.w)) pasti kabulkan ketika turun Allah (a.w) ke langit dunia setiap malam, terutamanya malam Ramadhan.

Jaakallahu khairah





No comments:

Post a Comment