Tuesday, December 20, 2011

Solat Cara Rasulallah (s.a.w) (Samb.)

Assalamualaikum,
Saudara, kita telah teliti apakah akibat berwudu; tidak menepati kaedah dan cara wudu' Rasulallah (s.a.w). Iaitu tak sah wudu' kita. Maka tak sahlah segala amalan dan ibadah yg mewajibkan kita wudu'. Dan, berdosalah kita kalau beramal dan beribadah kerana berjunub atau belum bersuci dari junub.
Dalam post kali ini kita teliti secara terperinci satu persatu perlakuan Rasulallah (s.a.w) dalam perkara wudu’ dari permulaan hingga penamat prosesnya, merangkumi yang sunat dan yang wajib, yakni yang rukun. 
Memulakan Wudu’ (Sunat) 
Di dalam hadith berikut dijelaskan bahawa sebelum berwudu’ hendaklah kita membersihkan diri dahulu supaya mempastikan tubuh kita tanpa dicemari oleh najis. Sebaik-baiknya kita mandi mensucikan tubuh kita. Sekurang-kurangnya kita membasuh qubul dan dubur kita, Ini adalah persiapan yang utama sebelum berwudu’. Kita telah teliti hadith berikut yang mengingatkan kita bahawa solat tanpa wudu’ tidak sah: 
Diriwayatkan hadith daripada Qatadah (r.a), hadith daripada abi Malihi (r.a), hadith daripada bapanya berkata: ‘Bersabda Rasulallah (s.a.w): 'La yukbalullahu solatan bighairi thuhuri wala sodaqatan min ghululin.' [Yg bermaksud: Tidak diterima Allah (a.w) sesuatu solat tanpa bersuci (yakni, wudu’) dan tidak diterima sedekah dari barang (harta) curi.][Hadith an-Nasa’i]
Sebelum memulakan wudu’ hendaklah kita membersihkan diri kita dari najis, sama ada mandi atau membersihkan kubul (kemaluan) dan dubur kita. Tambahan pula, jika kita hanya ada air di dalam suatu bekas yang sedikit, seperti bejana atau belanga atau baldi dan kita hendak gunakan airnya untuk berwudu’, maka kita perlu bersihkan kedua-dua tangan kita dahulu di luar bekas sebelum memasukkannya ke dalam bekas untuk menceduk airnya. 
Diriwayatkan hadith daripada Abi Hurairah (r.a) berkata: ‘Sesungguhnya Nabi (s.a.w) bersabda: ‘Ketika bangun dari tidur maka jangan masukkan kedua-dua tangan kamu ke dalam bekas (air) wudu’ (untuk berwudu’) sehingga membasuh kamu kedua-dua tangan kamu tiga kali (di luar bekas air), maka bahawasanya salah seorang dari kamu tidak tahu di mana tangannya bertempat (yakni, berada semasa tidur).’ [Hadith sahih an-Nasa’i]
Sebelum memulakan wudu’, hendaklah kita membasuh kedua-dua tangan. Perlakuan ini adalah sunat, kerana mencontohi perlakuan Rasulallah (s.a.w), membuatnya dapat pahala. Malah, dalam konteks air yang sedikit (kurang dari dua kolah) wajib membasuh kedua tangan dahulu di luar bekas air sebelum mencedok air dari dalam bekas air untuk berwudu’.
Di dalam hadith tersebut Rasulallah (s.a.w) menyebut memasukkan tangan ke dalam bekas air wudu’. Maksudnya: apabila sudah dibasuh dan dibersihkan kedua-dua tangan di luar bekas air wudu’, kita boleh mengambil wudu’ dengan memasukkan kedua tangan ke dalam bekas air wudu’. Jelaslah, pada haikatnya, tidak perlu air wudu’ itu dua kolah, seperti yang kita diajarkan oleh guru-guru ugama kita semasa di sekolah, contohnya. Apabila kedua-dua tangan sudah dibersihkan, kita boleh seluk air dalam bekas air, dan ambil wudu’ dengan memulakan membasuh muka, dan seterusnya anggota wudu’ yang lain.
Jelaslah, ketetapan supaya air wudu’ itu mestilah dua kolah baru sah wudu’ adalah ketetapan baharu yang didatangkan oleh para ulama’, berpandukan ‘ijtihad’, atau prinsip lain. Wudu’ sah walaupun di dalam bekas air tidak sampai dua kolah. Maka dengan itulah umat Islam zaman Rasulallah (s.a.w) yang berada di padang pasir membawa air wudu’ di dalam bekas atau kentong kulit dan tidaklah sentiasa air itu melebihi dua kolah. Air dua kolah itu hanya penting kalau kita memasukkan tangan kita ke dalam air tersebut untuk berwudu’ kerana sejumlah air sedemikian tidak menajiskan air tersebut.
Ada beberapa hadith mengenai perkara yang sama, antaranya adalah dua petikan hadith Ibnu Majah berikut: 
Diriwayatkan hadith daripada Said bin Musayab (r.a) dan Abi Salamah bin Abdul Rahman (r.a), bahawasanya kedua-duanya menceritakan hadith bahawa Aba Hurairah (r.a) ada berkata: ‘Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Ketika bangun salah seorang daripada kamu pada waktu malam (untuk solat malam) maka jangan memasukkan tangan kamu ke dalam bekas air (untuk beruwudu’) sehingga menuangkan ke atasnya (tangan) (membasuhnya) dua kali atau tiga kali. Maka sesungguhnya salah seorang daripada kamu tidak tahu di mana kedua-dua tangan kamu bertempat (atau berada) (semasa tidur kamu).’ [Hadith Ibnu Majah].
Rasulallah (s.a.w) menyuruh kita ketika terbangun tidur waktu malam dan kita hendak berwudu’ dengan air yang sedikit, hendaklah kita basuh kedua tangan kita dahulu dua atau tiga kali di luar bekas air untuk wudu’ tersebut sebelum memasukkan tangan kita ke dalam bekas air, untuk mencedok airnya. Hadith yang sama juga disebutkan di dalam potongan hadith di bawah ini. 
Diriwayatkan hadith daripada Ibnu Syihab (r.a), hadith daripada Salim (r.a), hadith daripada bapanya (yakni, Ibnu Omar (r.a)) berkata: ‘Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Ketika bangun salah seorang daripada kamu dari tidur maka janganlah masukkan tangan kamu ke dalam bekas air (yakni, bekas air yang mengandungi air untuk berwudu’), sehingga kamu membasuhnya (terlebih dahulu, di luar bekas air).’[Hadith Ibnu Majah].
Harus diingatkan bahawa pada zaman Nabi (s.a.w), umat Islam, khususnya Nabi (s.a.w) menyimpan air dalam bekas seperti tempayan atau bejana atau belanga besar atau kentong kulit dan sebagainya. Air tersebut digunakan untuk mandi dan untuk mengambil wudu’atau sebagai bekalan air minuman. Justeru itulah, apabila bangun untuk berwudu’ disyaratkan membersihkan tangan terlebih dahulu dan tidaklah terus memulakan wudu’ dengan memasukkan tangan (untuk mencedok air) ke dalam bekas air wudu’ itu. Apakala sudah dibasuh kedua-dua tangan barulah dibolehkan menyelok air dalam tempayan atau bejana untuk berwudu’. Di dalam hadith di atas disebutkan basuh kedua-dua tangan dua atau tiga kali basuhan.
Diriwayatkan hadith daripada Jabir (bin Abdullah) (r.a) berkata: ‘Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Ketika bangun salah satu daripada kamu dari tidur maka berkehendakkan kamu bahawa (hendak) berwudu’, maka janganlah kamu masukkan tangan kamu (ke dalam bekas air wudu’) sehinggalah kamu membasuh tangan kamu. Maka sesungguhnya tidak tahu kamu di mana terletaknya tangan kamu (semasa tidur), dan tidak tahu kamu pada apa-apa kamu letakkan tangan kamu.’ [Hadith Ibnu Majah].
Jelaslah, membasuh kedua-dua tangan sebelum memulakan wudu’ itu adalah perbuatan sunat yang diberatkan. Kita disuruh Rasulallah (s.a.w) membersihkan kedua tangan sebelum memulakan wudu’. Rasulallah (s.a.w) membersihkan kedua-dua tangan beliau sebelum memulakan wudu’ – memasukkan tangan ke dalam air wudu’ untuk mencedok dengan tangannya air semasa berwudu’. Di sini mungkin ada yang bertanya: tidakkah menjejaskan air wudu’ itu apabila kita memasukkan tangan kita untuk mengambil airnya? Bukankah, sekiranya air di dalam bekas yang kurang daripada dua kolah itu akan menjadi air ‘musta’mal’ jika terkena air tangan yang meleleh atau mengalir masuk ke dalamnya? Inilah pandangan pihak berkuasa pentadbir Islam di banyak negeri di Malaysia. Kita telah sentuh isu ini pada awal Bab ini. As-Sunnah membolehkan kita memasukkan tangan kita untuk berwudu’ setelah kita membasuh kedua-dua tangan di luar bekas air wudu’.
Inilah satu kekeliruan di dalam amalan umat Islam, terutama di kalangan orang Melayu. Ada ajaran yang menyatakan air itu tidak berubah status atau taraf apabila banyaknya melebihi dua kolah. Sebenarnya, tidak ada ketentuan atau suruhan Rasulallah (s.a.w) yang menyatakan bahawa air untuk wudu’ itu semestinya sebanyak dua kolah. Yang diutamakan adalah tangan kita bersih dan air itu bersih daripada najis, walaupun kurang daripada dua kolah boleh digunakan untuk mengambil wudu’. Juga, jika air itu bersih dan sedikit sekalipun, kita boleh memasukkan tangan untuk mencedok airnya untuk berwudu’ asalkan kita sudah membersihkan tangan kita terlebih dahulu. Maksudnya, tangan yang sudah dibersihkan boleh mencedok air dalam bekas air wudu’ tanpa menjejaskan, yakni mengubah status air di dalam bekas air. 
Diriwayatkan hadith daripada Harith (r.a) berkata: ‘Memanggil (yakni, meminta) Ali (r.a) akan air. Maka membasuh dia akan tangannya sebelum apabila memasukkan kedua-dua tangannya ke dalam bekas air (untuk berwudu’). Kemudian berkata Ali (r.a) ‘Beginilah aku melihat Rasulallah (s.a.w) berbuat dia (sebelum memulakan wudu’).’ [Hadith Ibnu Majah].
Enam potongan hadith di atas menjelaskan bagaimana Rasulallah (s.a.w) memulakan proses berwudu’. Sebelum kita memulakan wudu’, yakni membasuh anggota-anggota wudu’, iaitu membasuh muka kita, anggota wudu’ pertama, hendaklah kita membasuh kedua-dua tangan dahulu dua atau tiga kali. Setelah kedua-dua tangan dibersihkan barulah memulakan wudu’. Hadith ini menjelaskan bahawa kita dibolehkan mencedok air dalam bekas air dengan kedua tangan untuk berwudu’. 
[Nota-1: Di dalam syariat Islam air untuk berwudu’ tidak perlu dua kolah, air yang sedikit tapi memadai sudah mencukupi untuk berwudu’. Nota2: Jelaslah ada ketetapan as-Sunnah mengenai banyak mana air boleh digunakan untuk berwudu’. Tetapi, di Malaysia ini ada pihak berkuasa ugama melabelkan ‘sesat’ mana-mana pihak yang mengajarkan jemaahnya bahawa boleh berwudu’ dengan air kurang daripada dua kolah. Ketetapan pihak berkuasa ugama sedemikian adalah menyalahai ketetapan as-Sunnah. Umat Islam tidak dbolehkan membuat ketetapan atau peraturan yang bertentangan dengan ketetapan al-Quran dan as-Sunnah.]

Jazakumullahu khairah

No comments:

Post a Comment