Tuesday, December 20, 2011

Solat Cara Rasulallah (s.a.w) (Samb.)

Assalamualaikum,
Saudara, dalam post ini kita lihat ketetapan Islam mengenai wudu'. Wajib diingati bahawa hanya dgn wudu' yg sah solat kita - dan segala sesuatu yg mewajibkan ada wudu' itu - sah.Semua umat Islam yg bersolat akan berwudu'. Tapi, majoriti umat Islam yg berwudu' tidak menepati ketetapan Islam. Oleh itu kita ulangi penelitian kita tentang cara wudu' yg sah iaitu cara dan kaedah Rasulallah (s.a.w) berwudu'.
Wudu' Cara Rasulallah (s.a.w)
Solat itu hanya sah dengan berwudu’ terlebih dahulu. Wudu’ adalah pra-syarat solat. Tanpa wudu’ solat tidak sah. Sebelum berwudu’ hendaklah seseorang itu membersihkan dirinya, yakni bersuci daripada segala bentuk kekotoran (yakni najis). Dan, jika dia berjunub hendaklah dia terlebih dahulu mandi junub. Mandi junub mengikut kaedah as-Sunnah adalah perbuatan mensucikan diri, walaupun membasuh kekotoran adalah menjaga kebersihan. Namun, Allah (a.w) berikan kepada kita satu ruksyah atau kelonggaran, iaitu, jika kita dalam keadaan berjunub, kemudian tidak ada air untuk mandi junub, kita dibolehkan bersolat (satu waktu sahaja) dengan bertayamum. Satu tayammum bagi setiap solat. Ini menunjukkan betapa penting dan utamanya ibadah solat fardu itu. Islam memberikan kelonggaran kepada kita. Kita dibolehkan bertayamum.
Di dalam al-Quran disebutkan kaedah berwudu’ serta kaedah bertayamum itu dari segi prinsipnya, seperti dalam firman Allah (a.w) di bawah ini. Tanpa perinciannya melalui as-Sunnah kita tidak akan dapat tahu sahnya wudu’ kita atau tayammum kita itu. Maka dengan itulah umat Islam diwajibkan berpandukan kepada al-Quran dan as-Sunnah untuk kesempurnaan ibadah, amalan dan panduan hidup Muslim. Kita lihat firman Allah (a.w) mengenai wudu’ dan tayamum di bawah ini:
Berfirman Allah (a.w): 'Ya aiyuhal-lazina amanu iza qumtum ilas-solati … (hingga) … la’allakum tasykuruna.) [Maksud: Wahai orang yang beriman! Apabila berdiri kamu untuk bersolat, maka hendaklah kamu (mengambil wudu’ dengan) membasuh muka kamu dan tangan kamu hingga ke siku dan usaplah (yakni, sapulah) kepala kamu dan kaki kamu hingga ke dua mata kaki (yakni, buku lali); dan jika kamu berjunub maka bersucilah kamu (yakni, mandi junublah); dan jika ada kamu sakit atau dalam musafir atau datang salahsatu kamu dari berak atau menyentuh kamu (yakni berjimak atau menyetubuhi) akan perempuan (yakni, isteri kamu) maka tidak didapati (atau tidak ketemu dengan) air, maka bertayamumlah dengan tanah (atau debu) yang suci (yakni, bersih), maka usaplah dengan (debu) muka kamu dan tangan kamu dengannya (yakni, tanah atau debu itu); tidaklah memberati oleh Allah (a.w) untuk dikerjakan oleh sekelian kamu dan akan tetapi berkehendakkan Allah (a.w) membersihkan kamu sekelian dan menyempurnakan ni’matNya atas kamu sekelian, mudah-mudahan kamu bersyukur (kepadaNya).]’ [Ayat 6, Surah al-Maidah]
Ayat al-Quran ini menyebutkan beberapa dimensi mengenai wudu, anggota wudu’, dan kaedah prinsip bagaimana berwudu’, perkara-perkara yang membatalkan wudu’, dan jika, berjunub, kita tiada air untuk mandi junub, dan untuk berwudu’, maka kita dibolehkan bertayamum, sebagi mengganti wudu’ untuk satu solat sahaja. Jika masih tidak mendapat air, maka dibolehkan bertayamum sekali lagi, untuk solat berikutnya, sehinggalah dapat mandi junub. Syaratnya, kita tidak ketemui air untuk mandi. Kita huraikan firman Allah (a.w) di atas. Kita dapati ada beberapa perkara yang disebutkan dalam ayat itu, iaitu. 
Pertama, anggota wudu’ itu disebutkan, iaitu (pertama) membasuh muka, (kedua) membasuh kedua-dua tangan sampai ke siku, (ketiga) menyapu kepala, dan (keempat) basuk (dua) kaki sehingga bukulali;
Kedua, jika berjunub maka hendaklah mandi junub (atau mandi hadas besar) dan jika kita tidak dapat bekalan air atau dalam keadaan persekitaran yang tidak ada air untuk mandi junub, maka dibolehkan bertayamum; 
Ketiga, jika sakit (yakni, luka-luka atau sebagainya, maka penyakit atau kecederaan tersebut boleh membahayakan dirinya jika terkena air ), maka dibolehkan bertayamum tanpa berwudu’; 
Keempat, jika dalam musafir pula dan tidak ketemui air untuk berwudu’ dibolehkan juga bertayamum; 
Kelima, jika dalam berjunub (disebutkan ‘menyentuh wanita’, maksudnya bersetubuh) dan tidak ketemui air untuk mandi junub, dibolehkan bertayamum untuk bersolat;
Keenam, jika berak maka wudu’ batal, dan perlu diambil semula wudu’, dan jika tiada air, dibolehkan bertayamum; 
Ketujuh, anggota tayamum itu disebutkan iaitu muka dan kedua tangan (sehingga pergelangannya sahaja); dan
Kedelapan, bertayamum hendaklah dengan tanah atau debu yang bersih.
Ketetapan Allah (a.w) ini kemudiannya diperjelaskan oleh Rasulallah (s.a.w) dalam as-Sunnah, yakni melalui hadith. Perintah yang hampir-hampir serupa dengan ayat al-Quran yang kita rujuk di atas itu, juga didapati dalam firman Allah (a.w) pada Ayat 43, Surah an-Nisa’:
Firman Allah (a.w): 'Ya aiyuhal-lazina amanu la taqribus-solata … (hingga) … innallaha kana ‘afuan ghafura.' [Yg bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu mendekati (yakni, mengerjakan) solat dan sekiranya kamu mabuk sehingga kamu tidak tahu apa-apa yang kamu sebutkan (yakni, bacakan dan kerjakan) dan janganlah berjunub melainkan kamu dalam perjalanan (yakni, musafir) dalam jalan Allah (a.w) hinggalah kamu bersuci (yakni, mandi junub dan bersuci); atau jika kamu sakit atau atas perjalanan musafir atau datang atas kamu sekelian daripada berak atau kamu menyentuh perempuan (yakni, berjimak dengan isteri kamu), maka tidak ketemui oleh kamu akan air (untuk mandi junub); maka bertayamumlah kamu (dengan) tanah (atau debu) yang suci (yakni, bersih), maka usaplah muka kamu sekelian dan tangan kamu, sesungguhnya Allah (a.w) adalah Maha Memaaf dan Maha Mengampun akan hambaNya.]’ [Ayat 43, Surah an-Nisa’]
Ayat 43, Surah an-Nisa’ di atas itu juga memberikan prinsip pokok mengenai beberapa perkara tentang wudu’ dan tayamum – bagaimana cara dan kaedah berwudu’, anggota-anggota wudu’, yang membatalkan wudu’, bagimana bertayamum, anggota tayamum dan bilakah situasi dibolehkan bertayamum. Mengikut fahaman pengikut ‘Mazhab asy-Syafie’, menyentuh wanita itu membatalkan wudu’ (walaupun isteri) kerana para ulama arus perdana Malaysia sedemikian mentafsirkan kalimah ‘lamastumun nisai’ (bermaksud: menyentuh wanita) dalam kedua-dua ayat tersebut secara literal. ‘Menyentuh wanita’ dalam firman tersebut adalah merujuk kepada hubungan kelamin antara suami isteri (yakni, persetubuhan), bukan sentuhan.
Islam menharamkan sentuhan antara lelaki dan perempuan yang ajnabi (yakni, boleh berkawin). Maka dengan itu ‘menyentuh’ tanpa berdosa hanya dibolehkan antara yang mahram sahaja. ‘Menyentuh wanita’ secara literalnya tidak membatalkan wudu’ kerana isu ini diperjelaskan oleh Rasulallah (s.a.w) dalam as-Sunnah.
Kita akan teliti kemudian nanti bahawa sentuhan suami isteri tidak haram dan tidak membatalkan wudu’. Malah sentuhan kulit tidak membatalkan wudu’, tetapi, jika perempuan itu bukan mahramnya, adalah ‘haram’.
Allah (a.w) memberi keringanan, melalui firman tersebut, kepada hambanya yang berjunub kemudian tidak dapat air untuk mandi junub, supaya bertayamum untuk menggantikan wudu’ supaya kita boleh bersolat bersolat.
Ini penting diingatkan kerana solat fardu wajib dikerjakan selagi seseorang itu tidak uzur syar’i (seperti hilang akal atau tidak siuman) atau lain-lain keadaan yang dibolehkan meninggalkan solat. Maka dengan itulah, kelonggaran diberikan dengan membuat tayamum untuk bersolat, supaya solat kita tidak ditinggalkan.
Ketetapan ini juga disebutkan dalam al-Hadith, iaitu walaupun berjunub dan tidak ada air untuk mandi junub, dibolehkan bersolat dengan bertayamum. Tetapi, hendaklah bertayamum setiap kali mahu mengerjakan satu solat. Perincian cara dan kaedah berwudu’ itu diperjelaskan oleh Rasulallah (s.a.w) melalui al-Hadith. Maka dengan itulah orang Islam diwajibkan beramal dengan sandaran ilmu, yakni mempelajari dan memahami ilmu al-Quran dan ilmu al-Hadith untuk menjamin kesempurnaan amalan dan ibadah. Panduan amalan dan ibadah, cara dan kaedah beribadahadalah al-Quran dan as-Sunnah.
Perintah Rasulallah (s.a.w): Berwudu’
Rasulallah (s.a.w) memperjelaskan lagi perintah Allah (a.w) di dalam dua ayat tersebut di atas dengan memperincikan cara dan kaedah berwudu’ itu. Yang utama dijadikan panduan adalah solat itu tidak sah tanpa berwudu’. Ini disebutkan di dalam hadith-hadith berikut: 
Diriwayatkan hadith dari Abi Malih hadith daripada bapanya hadith daripada Nabi (s.a.w) bersabda: ‘La yaqbalullahu sodaqatan min ghululin, wala solatan bighairi tohuri.' [Yg bermaksud: Tidak dimakbulkan (yakni, diterima) Allah (a.w) sedekah dari sumber curi (atau tipuan atau yang tidak halal), dan tidak juga (dimakbulkan atau diterima) solat tanpa wudu’.][Hadith Abu Daud & juga an-Nasa’i, Muslim, at-Termidzi dan ibnu Majah dari isnad ibnu Omar] 
Hadith di atas memberi kita tahu dua amalan yang utama di dalam Islam iaitu wudu’ untuk bersolat dan bersedekah (atau disebutkan di dalam al-Quran, zakat dan ‘infaq’). Tidak mendapat pahala bersedekah dari sumber yang didapati tidak sah dalam Islam seperti dari sumber rasuah, mencuri atau menipu orang untuk mendapatkannya. Tidak sah solat tanpa wudu’. 
Diriwayatkan hadith daripada Abi Hurairah (r.a) berkata: ‘Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘La yaqbalullahu solata ahadikum iza akhdatha hatta yatawada-a.' [Yg bermaksud: Tidak dimakbulkan (yakni, diterima) Allah (a.w) solat salah seorang daripada kamu ketika berhadas (yakni, tanpa wudu’) sehingga (terlebih dahulu kamu) berwudu’.][Hadith Abu Daud & juga Bukhari, Muslim dan at-Termidzi] 
Dua hadith di atas itu dengan jelas menyebutkan bahawa tanpa wudu’ tidak sah solat. Demikianlah kita telah teliti dua potongan hadith menyebut syarat pertama solat adalah bersuci dan kemudian berwudu’. Kita hanya boleh bersolat dengan wudu’. Solat hanyalah sah dan diterima hanya dengan wudu’. Tanpa wudu’, solat tidak sah. Jika wudu’ tidak sah, maka tiada wudu’ dan tiada wudu’, maka tiadalah solat. 
Kita akan teliti selanjutnya nanti bagaimana berwudu’ dan syarat sah wudu’. Ramai yang berwudu’ tetapi ramai pula tidak mengetahui bahawa wudu’nya tidak sah. Apabila tidak sah wudu’ maka tidak sahlah solatnya. Sia-sia sahaja ibadah mereka selama ini. 
[Nota-1:Hendaklah kita bezakan istilah ‘bersuci’ dengan istilah kebersihan. Pra-syarat bersuci adalah kebersihan, Bersih tidak sama dengan suci dalam Islam. Suci adalah istilah Islam. Maka dengan itu jika kita terpegang daging babi atau najis mughlalazah, kita boleh bersihkan tangan kita dengan sabun dan air, tetapi kita hanya suci jika kita samak tangan kita. Nota-2:Di dalam Islam jika kita mandi junub kita tidak perlu berwudu’ kerana kaedah mandi junub mengikut as-Sunnah dimulai dengan mengambil wudu’ sebagai sebagaian dari proses mesti mandi junub. Sesiapa yang mandi junub cara lain, tidak sah mandi jenabahnya. Nota-3: Sesetengah mazhab mentakrifkan kalimah ‘lamastumun  nisa’ itu sebagai menyentuk wanita secara literal. Tetapi, sebenarnya yang dimaksudkan oleh ayat tersebut adalah ‘sentuhan dalam  konteks persetubuhan’, maka dibolehkan bertayamum jika tiada ketemuan air untuk mandi junub. Sentuhan wanita yang muhrim atau tidak muhrim tidak membatalkan wudu’ tetapi jika tidak muhrim berdosa. Nota-4: Sebenarnya tidak dapat disahkan dengan sahih bahawa seorang ulamak muhadithin yang muktabar seumpama as-Shafie mengajarkan sesuatu yang bertentang denganketetapan as-Sunnah. Yang sahihnya umat Islam sekarang, terutama masyarakat Melayu, beranggapan bahawa Mazhab as-Shafie menetapkan bahawa sentuhan kulit lelaki dan wanita membatalkan wudu’. Di dalam ketetapan as-Sunnah didapat bahawa tidak batal wudu’ jika bersentuhan kulit lelaki-perempuan, tetapi berdosa jika tidak muhrim. Kerana asShafie adalah ulamak as-sunnah wal-jamaah, maka pastilah dia akur dengan ketetaan Rasulallah (s.a.w) dalam semua perkara mengenai akidah dan syariat Islam. Nota-5:Kita akan teliti nanti bahawa terdapat banyak hadith menyentuh tentang isu batal wudu’ ini. Dari segi hakikatnyanya, wudu’ itu tidak batal jika semata-mata menyentuh (yakni, sengaja) atau tersentuh (tanpa disengajakan) kulit wanita. Dari segi hokum mengenai wudu’ dan solat menyentuh wanita walaupun bukan ajnabi atau mahram membatalkan wudu’. Tetapi, dalam syariat Islam, menyentuh perempuan yang bukan mahram adalah haram, yakni berdosa. Nota-6: Logiknya mudah. Mengapakah mungkin setelah berkahwin dihalalkan persetubuhan antara lelaki dan perempuan, maka haram pula, yakni membatalkan wudu’ pula apabila bersentuhan dalam keadaan berwudu’? Nota-7: Isu sentuhan adalah melibat dua hukum dalam Islam. Sentuhan perempuan bukan mahram mendatangkan dosa. Sentuhan tersebut tidak membatalkan wudu’ kalaulah kita masih ada wudu’. Sentuhan perempuan mahram tidak berdosa dan tidak membatalkan wudu’. Nota-8: Namun, jika kita berjunub dan belum mandi junub, kita tidak boleh memegang dan membaca al-Quran walaupun sudah bertayamum. Nota-9Kita dalam masyarakat Melayu diajar sejak kecil lagi bagaimnana berwudu’ dan bagaimana bersolat. Yang utama dalam Blog ini adalah adakah cara dan kaedah kita berwudu’ itu menepati cara dan kaedah berwudu’ Rasulallah (s.a.w)? Isu ini penting kerana, Rasulallah (s.a.w) memberitahu hendaklah kita mengamalkan sesuatu amalan dan ibadah hanya dengan kepastian tentang  ilmu mengenainya. Rasulallah (s.a.w) memberitahu bahawa: ‘Barangsiapa membuat sesuatu amalan yang tidak didatangkan (yakni, dibawakan) oeh Rasulallah (s.a.w), maka amalan seseorang itu ditolak (yakni, tidak diterima Allah (a.w).’) [Hadith at-Termidzi] Maksudnya, segala amalan dan ibadah hendaklah selaras dengan panduan dan ketetapan as-Sunnah. Justeru itu, wajib kita teliti berdasarkan as-Sunnah amalan berwudu’ itu. Betul atau tidak?]

Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment