Saturday, December 24, 2011

Solat Cara Rasulallah (s.a.w) (Samb.)

Assalamualaikum,
Saudara, setelah meneliti pergerakan - Rukun Fe'li, Rukun Qauli - ketika memulakan solat, ketika berdiri, membaca Doa Iftitah, dan kemudian membaca al-Fatihah (setiap rakaat), satu surah (bagi rakaat pertama dan kedua sahaja), Surah, kemudian kita Rukuk, Iktidal, Sujud, Duduk di antara Dua Sujud, membaca Tahiyat Awal (ketika duduk pada rakaat kedua bagi solat yg 3 dan 4 rakaat sahaja), Tahiyat Akhir (ketika duduuk pada rakaat kedua (Solat Subuh), rakaat ketiga (Solat Maghrib) dan rakaat ke-empat bagi solat yg 4 rakaat. Insyallah dalam post ini kita teliti seterusnya rukun fe'li dan rukun qauli solat, sementara rukun qalbinya kekal sampai selesai solat.
Membaca al-Fatihah (Wajib)
Selepas mengangkat kedua tangan ke paras kedua telinga atau paras bahu, sambil membaca Takbiratul Ikhram, membaca Doa Iftitah, maka hendaklah membaca Ummul Kitab (yakni, al-Fatihah). Membaca al-Fatihah adalah syarat wajib untuk menjadikan solat kita sah (sama ada solat fardu mahupun solat sunat). Terdapat banyak hadith menyatakan bahawa sesiapa yang bersolat tetapi tidak membaca Ummul Kitab (al-Fatihah), maka solatnya cacat, yakni tidak sah. Justeru itu, wajib diingat bersolat tanpa membaca al-Fatihah membatalkan solat kita: 
Diriwayatkan hadith daripada ‘Ubadah bin Samit (r.a) berkata hadith daripada Nabi (s.a.w) bersabda: ‘Tidak ada solat (yakni, tidak sah solat) bagi barangsiapa (yang bersolat jika) tidak membaca dengan al-Fatihah al-Quran.’ [Hadith sahih an-Nasa’i] 
Rasulallah (s.a.w) membuat ketentuan bahawa apabila bersolat wajib membaca al-Fatihah. Tanpa al-Fatihah cacat atau tidak sah solat. Al-Fatihah hendaklah dibaca pada tiap-tiap rakaat. Pada rakaat pertama dan kedua pula hendaklah dibaca satu surah selepas al-Fatihah.
Seperti dinayatakan di atas, solat kita tidak sah tanpa membaca al-Fatihah. Justeru itu, al-Fatihah itu syarat sah solat. Sekali lagi wajib kita ingat sebagai panduan kita bahawa solat tanpa al-Fatihah tidak sah. Di bawah ini dituliskan beberapa hadith yang menjadi nas dan dalil mengenai perkara ini: 
Diriwayatkan daripada ‘Ubadat bin Samit (r.a) daripada Nabi (s.a.w) yang bersabda: ‘Tidak sah solat itu atau tidak sempurna solat itu bagi mereka yang tiada membaca al-Fatihah.’  [Hadith hassan, sahih at-Termidzi] 
Sepotong hadith lain menyebutkan bahawa tanpa dibaca al-Fatihah itu seseorang itu bersolat tetapi tidak bersolat, yakni, tidak sah solatnya atau tidak diterima oleh Allah (a.w) solatnya:
Diriwayatkan daripada ‘Ubadat bin Samit (r.a) katanya daripada Nabi (s.a.w), telah bersabda Nabi (s.a.w): ‘Tidak ada solat bagi orang yang tidak membaca dengan al-Fatihah (dari al-Quran)’ [Hadith sahih an-Nasa’i] 
Diriwayatkan hadith daripada Ubadah bin Somit (r.a) berkata: ‘Bahawasanya Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Tidak sah solat bagi barangsiapa yang tidak membaca Ummul Quran (yakni, al-Fatihah).’ [Hadith Muslim]
Selain utamanya al-Fatihah itu, rujuk juga pada hadith di bawah yang menyatakan bahawa sah solat bila sah wudu’nya, dan sah wudu’ (dengan niat dan) bila disebut ‘Bismillah’ ketika menyapu air ke muka atau membasuh muka (anggota wudu’ yang pertama), dan sah solat bila berselawat (yakni, membaca selawat) ke atas Nabi (s.a.w) semasa Tahiyat (Awal dan) Akhir
Diriwayatkan hadith daripada ‘Abdil Muhaimin bin ‘Abbas bin Sahil bin Sa’din as-Sa’idi (r.a), hadith daripada bapanya, hadith daripada datuknya, (kata datuknya) daripada Nabi (s.a.w) bersabda: ‘Tiada solat bagi barangsiapa yang tiada wudu’, tiada wudu’ bagi barangsiapa yang tidak membaca ‘Bismillah’ semasa berwudu’, dan tiada solat bagi barangsiapa yang tidak berselawat atas Nabi, dan tiada solat bagi orang yang tidak sukakan orang ansar.’ [Hadith  Ibnu Majah] 
Seperti yang kita telah teliti di dalam post yg lalu bahawa berwudu’ tanpa membaca ‘Bismillah’ tidak sah wudu’. Bersolat tapa membaca al-Fatihah atau Ummul Kitab tidak sah solat. Setelah Takbiratl Ikhram, membaca Doa Iftitah, kita membaca al-Fatihah dan kemudian dibaca pula satu surah. Kita akan tahu kemudian nanti bahawa bagi solat fardu, terutama apabila disolatkan secara berjemaah, Imam disuruh memendekkan surah yang dibacanya atau membaca surah-surah pendek. Jika mengerjakan solat sunat, yang seharusnya dibuat bersendirian tanpa dijemaahkan, maka hendaklah dibaca surah-surah yang panjang. Solat sunat adalah pengabdian bersendirian dan tidak dijadikan amalan berjemaah melainkan solat Aid (Fitri dan Adha) dan solat memohon hujan dan solat Jenazah. 
[Nota: Namun begitu, jika kita bersolat berjemaah, sebagai makmum kita terlupa membacanya, kita dimaafkan kerana Imam sudah membacanya bagi pihak semua jemaah. Walau bagaimanapun, membaca al-Fatihan wajiblah dibaca untuk kesempurnaan solat dan sebagai makmum dibaca sendirian tanpa dikuatkan bacaannya.]
Insya Allah, dalam post yg akan datang kita teliti pula suatu kontroversi besar dalam amalan majoriti umat Islam di malaysia, iaitu membaca kalimah 'Basmalah' (= 'Bismillahir-rahmanir-rahim') itu adalah wajib sebelum membaca al-fatihah atau surah dan apakah dibaca dgn lantang (atau Jahar) atau memadai dibaca dalam hati cukup boleh didengar oleh diri sendiri tanpa didengari oleh orang lain? Kerana ramai ulama' Malaysia menyebut apa yg menjadi amalan di Mekah dan Madinah, iaitu tidak membaca 'Basmalah' adalah fahamam fahaman Wahabbi kata mereka! Apakah benar kata mereka? Kita akan ketahui bahawa as-Sunnah menunjukkan bahawa Rasulallah (s.a.w) tak baca 'Basmalah' semasa membaca al-Fatihah dan tidak juga baca ketika membaca surah. Kalau dibacapun, dibaca tanpa kedengaran oleh orang lain, yakni dibaca dalam hati, yakni memedai boleh didengar sendiri sahaja, tidak dibaca dgn kuat sebagaimana amalan lazim sekarang di Malaysia dan di kalangan masyarakat Islam di Tenggara Asia. Justeru itu, Islam mensyaratkan 'Basmalah' boleh dibaca tanpa dikuatkan bacaannya. Itu yg benar. Jadi pandangan atau amalan majoriti umat Islam bersabit isu ini tidak sejajar dgn as-Sunnah.

Jazakallahu khairah


No comments:

Post a Comment