Friday, December 23, 2011

Solat Cara Rasulallah (s.a.w) (Samb.)

Assalamualaikum,
Saudara, dalam post yg lalu kita telah teliti bagaimana (permulaan) bersolat cara Rasulallah (s.a.w). Sejajar dgn sabda Rasulallah (s.a.w) 'Faiza qumta ilas-solati fakabbir' (Yg bermaksud: Ketika kamu berdiri untuk bersolat (dgn mamasang niat dalam hati), maka bertakbirlah (yakni, bacalah Takbiratul Ikhram' (i.e. baca 'Allahu Akbar')', sambil mengangkat kedua tangan ke atas dgn jari-jari tegak terbuka sedikit, dan kemudian meletakkan kedua-dua tangan di bahagian atas pusat, yg kanan di atas yg kiri mengikut kaedah yg ditunjukkan oleh Rasulallah (s.a.w), kemudian membaca Doa Iftitah.
Dalam perkara Doa Iftitah ini, semenjak kecil lagi kedua ibubapa kita ajarkan kita baca Doa Iftitah yg berbunyi: 'Allahu akbaru kabirau-wal-hamdulillahi kathirau, wa-subhanallahi bukratau wa-asila. Wajjahtu wajhiyalillazi ...' dan seterusnya. Kalau begitu bagaimana? Sahkan solat kita? Sah. Namun, anihnya mengapa kita tidak diajarkan Doa Iftitah yg dibaca oleh Rasulallah (s.a.w) untuk solat fardu, sebaliknya diajarkan doa untuk solat sunat pula? Kedua ibubapa kita boleh dimaafkan. Tapi, kalau ustaz atau ulama' yg ajarkan begitu (dlam ceramah dan kitab tulisan mereka), mengapa? Jelaslah ada yg tak kena dalam sistem pengilmuan syariat Islam di Malaysia!
Saudara, setelah selesai Takbiratul Ikhram, sebelum membaca Doa Iftitah kita hendaklah letakkan kedua-dua tangan kita di atas bahagian perut kita. Soalnya, bagaimana caranya. Kita teliti seterusnya perlakuan Rasulallah (s.a.w) berikut.
Letak Tangan: Selepas Takbiratul Ikhram (Wajib)
Setelah mengangkat kedua tangan sehingga ke paras bahu atau ke paras telinga sambil menyebut Takbir (yakni, ‘Allahu Akbar’), kalau kita rajin perhatikan gelagat orang bersolat, kita akan dapati pula pelbagai cara dan kaedah. Ada yang meletakkan kedua-dua belah telapak tangannya yang kanan di atas yang kiri di atas dada bersetentangan dengan jantungnya. Ada yang meletakan pula herot lebih ke kiri tetapi di atas pusat. Ada, herot ke kiri sedikit tetapi di bawah pusat. Ada yang dibawah pusat. Macam-macamlah sebagaimana bermacamnya orang mengangkat tangan mereka ketika Takbiratul Ikhram! Kesemua perlakuan sedemikian adalah disebabkan oleh ajaran tok-tok guru mereka atau berpandukan pemerhatian perlakuan nenek moyang atau ibu bapa mereka. Tiada asas ilmu. Sebenarnya, as-Sunnah telah menetapkan dimana perlu diletakkan kedua-dua tangan dan bagaimana letaknya.
Mengikut as-Sunnah, kita letakkan kedua-dua tangan di bahagian atas pada pusat tetapi di bawah dada kita (yakni, bukan di atas pusat dan tidak pula di bawah pusat atau di atas dada atau di atas perut). Kedudukan tangan pula, tangan kanan di atas tangan kiri, tangan kanan memegang pergelangan tangan kiri, ibu jari kanan di atas dan jari-jari kanan di bahagian bawah pergelangan tangan kiri. Tangan yang dipegang sedemikian diletakkan di tengah-tengah bahagian sebelah atas pusat tetapi di bawah dada. Mengikut al-Hadith tidaklah Rasulallah (a.w) meletakkan tangan serong ke kiri sedikit atau diletak pada bahagian dada atau terkeatas sedikit supaya telapak tangan berada di atas bahagian jantung, seperti yang dibuat oleh sesetengah orang.
Rengkasnya: Dengan telapak tangan kiri terbuka diletak di antara bahagian atas pusat (bukan di atas pusat) dan di bawah dada, ditengah-tengah tubuh, sementara tangan kanan memegang tangan kiri di bahagian pergelangan tangan kiri, yakni, ibu jari di atas dan jari-jari tangan kanan di bawah, memegang tangan kiri. Kedua-dua tangan di tengah-tengah tubuh. Setelah diletakkan sedemikian, dibaca Doa Iftitah. Seperti disebutkan dalam sepotong hadith:
Menceritakan hadith kepadaku (kata ‘Asim bin Kulaibin) oleh bapanya yang berkata bahawasanya Wail bin Hujrin (r.a) mengkhabarkan kepadanya dengan berkata: ‘Berkata aku: ‘Nescaya melihat aku kepada Rasulallah (s.a.w) bagaimana dia bersolat, maka melihat aku pada Nabi (s.a.w). Maka berdiri dia, maka membaca takbir dia (yakni, Allahu Akbar), diangkatnya kedua-dua tangannya sehingga mendekati kedua-dua (jari-jari) tangannya ke paras telinganya, kemudian diletaknya tangan kanannya atas tangan kirinya di pergelangan tangannya dan lengannya, maka ketika hendak Ruku’ dia bahawasanya diangkat kedua tangannya seperti itu juga (yakni, menepati kedua telinganya)’. Berkata Wail (menyambung cakapnya): ‘Dan (semasa Ruku’) diletakkannya kedua-dua tangannya atas dua lututnya, kemudian ketika diangkatnya kepalanya (yakni, bangkit daripada Ruku’) diangkatnya kedua-dua tangannya seperti tadi itu (yakni, sehingga bersetentangan pula dengan kedua telinganya), kemudian Sujud dia menjadikan telapak tangannya dekat kedua-dua telinganya, kemudian duduk ‘iftirasy’ dia di atas kakinya yang kiri (yakni duduk untuk Tahiyat), dan meletakkan telapak tangan kiri di atas lututnya yang kiri, menjadikan lurus lengan kanan atas peha kanannya, digenggam jarinya kecuali dua jari hantu dan ibu jarinya dijadikan satu bulatan, kemudian mengangkat jari telunjuknya menggerak-gerakkannya (menggerakkan jari telunjuk)(yakni, digerakkannya naik turun).’ [Hadith sahih an-Nasa’i]
Hadith ini memberitahu kita perlakuan Rasulallah (s.a.w) dalam gerak geri serta kedudukan kedua-dua tangan dalam beberapa rukun fe’li (perlakuan) solat semasa solat. Selain letak kedua-dua tangan selepas Takbiratul Ikhram, ada beberapa perlakuan yang disebutkan di dalam hadith ini, iaitu:
Pertama, ketika mengangkat kedua tangannya untuk Takbiratul Ikhram, Rasulallah (s.a.w) mengangkat kedua-dua tangannya sambil menyebut Allahu Akbar sehingga hujung ibu jjarinya sejajar atau bertentangan dengan kedua cuping telinganya; Kedua, sebelum Rasulallah (s.a.w) membaca Doa Iftitah, setelah Takbiratul Ikhram, dia meletakkan tangan kanan atas tangan kirinya, tangan kanan memegang pergelangan tangan kiri dan diletakkan kedua-dua tangan pada bahagian antara dada dan pusat dibawah dada dan di bahagian atas perut. [Nota: Inilah cara rukun fe'li ketika membaca al-Fatihah dan surah pada semua rakaat solat ketika berdiri.] Ketiga, apabila hendak Ruku’ Rasulallah (s.a.w) mengangkat kedua-dua tangannya, jari-jari tangannya tegak dan ibu jarinya bersetentangan dengan kedua cuping telinganya, sebagaimana mengangkat kedua tangan semasa hendak membaca Takbiratul ikhram itu, sambil bertakbir (yakni, membaca 'Allahu Akbar'). Keempat, apabila Ruku’ diletaknya kedua tangannya di atas kedua lututnya, tangan kanan atas lutut kanan dan tangan kiri atas lutut kiri, terbuka jari-jarinya (dan dalam hadith lain disebutkan beliau memandang ke arah tempat Sujudnya). Kelima, semasa duduk di antara dua Sujud diletaknya kedua tangannya, sebelah kiri terbuka diletak di atas lutut kiri dan tangan kanan digenggamnya. Keenam, semasa Tahiyat Awal dan Tahiyat Akhir tangan kiri atas lutut kaki kiri, manakala tangan kanan diletakkan di atas lutut kanan dengan digenggam jari-jarinya kecuali tiga jari, iaitu ibu jari diletakkan pada hujung jari hantu (yakni, jari sebelah jari telunjuk) dan jari telunjuk digerak-gerakkannya ke atas ke bawah semasa membaca Tahiyat.
Hadith itu memperincikan kedudukan kedua-dua tangan Rasulallah (s.a.w), semasa Takbiratul Ikhram, semasa berdiri dan membaca al-Fatihah dan surah, semasa hendak Ruku’, ketika bangun dari Ruku’, ketika Sujud, semasa duduk di antara dua Sujud dan semasa membaca Tahiyat.
Jelaslah, kalau kita mengaji ilmu as-Sunnah, amat terperinci penjelasan mengenai rukun qauli, rukun fe'li dan rukun qalbi solat itu. Tapi, hari ini ada ulama' yg menulis dalam kitabnya begini dan begitu atau berceramah tentang cara dan kaedah solat begitu dan begini, tanpa merujuk kpd ketetapan as-Sunnah. Walhal, semuanya ada dalam as-Sunnah! 
Sehubungan itu, apabila kita amat-amati perlakuan orang Islam bersolat, terdapat begitu banyak perbezaan perlakuan atau pergerakan (rukun fe’li) berbanding dengan perlakuan Rasulallah (s.a.w) mengikut hadith di atas itu. Rasulallah (s.a.w) memberitahu kita bahawa kita hendaklah: 'sollu kama ra-aitumuni usalli.' [Yg bermaksud: Solatlah kamu sebagaimana kamu lihat aku bersolat][Hadith Bukhari] itu. Tetapi, kerana kejahilan kita dan kerana mengikut ketetapan orang lain, maka timbullah perbezaan yang ketara dalam banyak perkara, termasuklah gerak-geri (rukun fe'li) serta bacaan (rukun qauli) dalam solat. maka batllah solat kita kerana berlainan dari cara dan kaedah solat Rasulallah (s.a.w). Rugilah kita kerana kejahilan kita atau kerana bertaklid kpd orang lain yg jahil pula!
Allah (a.w) memberitahu kita, bahawa hendaklah kita ikuti dan lakukan apa yang dibawakan atau diajarkan atau ditunjukkan oleh Rasulallah (s.a.w) dalam perkara bersolat, seperti firman Allah (a.w) dalam ayat al-Quran berikut: 'Wama atakumur rasula fakhuzuhu’ [Yg bermaksud: Apa-apa yang dibawakan oleh Rasulallah (s.a.w) hendaklah kamu ambil] [Ayat 7, Surah al-Haysr]. Tetapi kerana kita tidak meneliti al-Quran maka kita tidak tahu perintah tersebut, atau kita tidak endahkan perintah tersebut. Kita tidak belajar ilmu al-Hadith atau as-Sunnah, maka kita tidak tahu. Sebenarnya, kesemua perincian amalan dan ibadah itu diperjelaskan oleh Rasulallah (s.a.w), jika kita teliti dan pelajari as-Sunnah.
Apabila kita mengerjakan ibadah solat, fardu ataupun sunat, hendaklah kita perhatikan bagaimana Rasulallah (s.a.w) bersolat. Dan, oleh kerana Rasulallah (s.a.w) tiada bersama kita sekarang, umat Islam wajar belajar mencari ilmu yang dapat menunjukkan kepada kita bagaimana Rasulallah (s.a.w) bersolat. Apabila kita meneliti as-Sunnah atau al-Hadith, kita diberitahu secara terperinci bagaimana Rasulallah (s.a.w) bersolat. Kita juga diperintah oleh Allah (a.w) supaya jadikan Rasulallah (s.a.w) contoh terbaik dalam semua perkara sama ada untuk dunia mahupun untuk akhirat. Apa yang disuruh oleh Rasulallah (s.a.w) kita ambil pakai dan terima. Bukanlah kita ketepikan suruhan Rasulallah (s.aw), dan kita terima suruhan ulama’.
Mungkin kerana kita jahil. Mungkin kita diajarkan oleh para tok guru dan ulama’ tanpa merujuk kepada ketetapan syariat atau as-Sunnah (yakni, perlakuan atau perbuatan Rasulallah (s.a.w) mengikut hadith). Sekali lagi perlakuan kita mungkin menjerumuskan kita kepada perbuatan yang tergolong dalam perbuatan ‘pembaharuan dalam perkara’ atau ‘pembaharuan dalam urusan agama’ atau ‘bid’ah’. Apakah akibatnya berbuat sedemikian? Kita telahpun lihat isu ini dalam perkara bid'ah. Rengkasnya: semua amalan dan ibadah yang dibuat dan akan dibuat terbatal dan tidak diterima oleh Allah (a.w) jika dicemari bid'ah! Wajiblah kita berwaspada.
Di dalam Blog ini, peringatan ini (i.e. bid'ah jangan mencemari amalan dan ibadah kita) akan diulangi dari masa ke semasa, kerana amat kritikal umat Islam berwaspada dengan prinsip dan ketetapan Rasulallah (s.a.w) ini. Kita Islam dan dikira beriman jika kita patuhi perintah Allah (a.w) dan perintah Rasulallah (s.a.w). Kita belum Islam jika kita patuhi perintah Allah (a.w) dan tinggalkan atau buang perintah dan suruhan Rasulallah (s.a.w). Mentaati Allah(a.w) dan Rasulalalh (s.a.w) jaminannya syurga! [Nota: Inilah salah satu keistimewaan as-Sunnah. Semua perkara mengenai bacaan, dan perlakuan atau gerakgeri dalam solat diperjelaskan oleh Rasulallah (s.a.w) untuk membolehkan kita beribadat dan beramal dengan betul.] 
Mengikut ulama’ hadith, apabila tangan kanan diletakkan di atas tangan kiri, dipegang tangan kiri, ibu jari sebelah atas manakala jari-jari sebelah bawah tangan kiri, bukan meletakkan tangan kanan atas tangan kiri dengan dua jari atas tangan, seperti banyak kata-kata tok guru. Bagi kita orang Melayu, mungkin pergerakan yang terakhir ini agak anih sedikit. Kita diajarkan untuk mengangkat jari telunjuk kita apabila menyebut kalimah syahadah dalam Tahiyat (Awal atau Akhir). Dalam hadith di atas Rasulallah (s.a.w) pula menggerak-gerakkan jari telunjuknya ke atas ke bawah pula. Setahu kita itulah yang kita perhatikan pengikut Mazhab Hanafi atau Maliki buat semasa membaca Tahiyat, dan tidak dibuat oleh pengikut Mazhab as-Shafie! Sebenarnya, perlakuan itu bukanlah perlakuan mazhab, tetapi satu kaedah perlakuan atau perbuatan Rasulallah (s.a.w). Yang kita buat sekarang ini adalah satu kelainan berbanding dengan ketetapan as-Sunnah. Kita akan teliti sebentar lagi satu lagi kaedah letak dan pergerakan jari semasa Tahiyat (Awal dan Akhir), bila mana Rasulallah (s.a.w) mengangkat jari telunjuknya sepanjang perlakuan membaca Tahiyat itu.]

Jazakallahu khairah

1 comment:

  1. kenapa tak diberikan dalil2 hadis berkenaan dgn meletakkan tangan diantara pusat dan dada??Setahu saya tak ada hadis yg sohih tentang letak tangan atas pusat dan bawah dada.Cuma imam an-nawawi berpendapat yg termasyur dlm mazhab syafie adalah letak atas dari pusat dan bawah dada.Tapi letak atas dada adalah hadis yg sohih..Tentang tempat perletakkan tangan pula maka terdapat beberapa pendapat yang antaranya adalah di atas pusat, di bawah pusat, di perut dan di dada. Menurut al-‘Utsaimin rahimahullah: “Pendapat yang lebih dekat kebenarannya adalah meletakkan tangan di atas dada.”[7] Dalilnya adalah hadis Wail bin Hujur radhiallahu 'anh:صَلَّيْتُ مَعَ النَِّبيِّ صَلَّي اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
    فَوَضَعَ يَدَهُ اْليُمْنَى عَلَ يَدَهُ اْليُسْرَى عَلَى صَدْرِهِ.
    “Saya melakukan solat bersama Nabi Shalallahu 'alaihi wasallam maka diletaknya tangan kanannya di atas tangan kirinya di atas dada.”[8].Tambah Ibnu Hajar lagi bahawa Ibnu Abdil Bar berkata:
    Tidak ada perbezaan riwayat dari Nabi shalallahu 'alaihi wasallam mengenai hal itu (yakni meletakkan tangan di atas dada – penerj), dan ini merupakan pendapat majoriti sahabat dan tabi’in serta pendapat yang disebutkan oleh Malik dalam kitab al-Muwathta’. Ibnu Mundzir dan lainnya tidak menukil dari Imam Malik selain pendapat ini.[11].Menurut Abu Ubaidah Masyhur:
    Sedangkan para ulama’ mazhab Maliki meriwayatkan tentang sunnahnya meletakkan tangan di dada ketika solat fardhu mahupun solat sunat merupakan hal yang bukan rahsia lagi. Sebab orang-orang hidup pada generasi awal Islam telah diperintahkan untuk melakukannya.[12].Al-Syaukani di dalam kitabnya Nail al-Awthaar (Jld. 1, ms. 204) berkata:
    Tidak ada satu hadispun yang lebih sahih dalam masalah ini (tempat meletakkan tangan – pen) kecuali hadis Wail (bin Hujur) di atas.Maka dengan ini jelas bagi kita semua bahawa meletakkan tangan di atas dada ketika berdiri dalam solat mempunyai dalil yang sahih dari Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam dan ianya juga merupakan salah satu dari pendapat ulama’ Ahlus Sunnah wal Jamaah. Maka seharusnya umat Islam di Malaysia berlapang dada dalam menerima sunnah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam ini walaupun ianya tidak biasa diamalkan di sini.

    ReplyDelete