Assalamualaikum,
Saudara, kita teliti satu perkara yg amat fundamental dalam perkara solat. Apa dia? Kita perhatikan atau diajarkan atau diberitahu oleh para ulama' dan ilmuwan bahawa kesemua ketetapan mengenai syariat Islam itu diwahyukan kpd Rasulallah (s.a.w), kecuali dalam perkara solat fardu itu, Rasulallah (s.a.w) diutus untuk mengambilnya dan menerimanya dari Allah (a.w) terus naik ke langit ke-7 pada malam peristiwa Isra' dan Mikraj. Begitulah utamanya solat. Dan, setelah diterima perintah solat itu, Rasulallah (s.a.w) pula diajarkan rukun-rukunnya - Rukun qalbi, Rukun Fe'li dan Rukun Qaulinya - oleh malaikat Jibril (a.s). Solat itu melibatkan praktikal atau amalan yg dikerjakan mengikut spesifikasinya yg tertentu. Ini memerlukan latihan amli supaya mudah dikerjakan. Justeru itu, malaikat Jibril (a.s) turun ke dunia mengajarkan Rasulallah (s.a.w). Justeru itulah dalam perkara solat praktikalnya kita wajib belajar dan ketahui supaya kita faham bagaimana nak bersolat.
Jibril (a.s) Mengajar Praktikal Solat
Oleh kerana Allah (a.w) tidak berkomunikasi secara langsung dengan manusia, maka dilantik utusanNya, yakni RasulNya, untuk memberitahu manusia dan mengajarkan manusia cara dan kaedah serta bentuk-bentuk amalan dan ibadah untuk mengabdikan diri mereka kepada dan terhadap Tuhan mereka. Juga, Allah (a.w) hanya berkomunikasi dengan utusan atau RasulNya melalui perantaraan malaikat Jibrail (a.s) atau melalui wahyu. Justeru itu, malaikat Jibrail (a.s) mengajarkan bagaimana bersolat dan bila waktu mula dan waktu berakhirnya setiap solat fardu itu dan bagaimana dibuat, serta segala rukunnya.
Diriwayatkan hadith daripada Abi Mas’ud (r.a) berkata: ‘Aku mendengar Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Jibril (a.s) turun (yakni, datang) lalu dia menjadi imam, dan aku solat bersama-samanya, aku bersolat bersama-samanya, aku bersolat bersama-samanya, aku bersolat bersama-samanya’ (yakni diulangi kalimat tersebut), dengan menghitung (dengan) jarinya lima kali solat.’ [Hadith Bukhari & Muslim]
Berpasaskan nas dan dalil hadith di atas, tahulah kita bahawa solat itu diajarkan oleh Jibrail (a.s) kepada Rasulallah (s.a.w). Malahan, segala sesuatu mengenai syariat Islam, khususnya ibadat dan amalan, itu datangnya daripada perintah Allah (a.w) melalui wahyu atau perantaraan Jibrail (a.s), ketua malaikat, yang ditugaskan untuk menyampaikan wahyu. Tetapi, kita juga tahu atau diberitahu bahawa syariat solat itu ditauliahkan terus oleh Allah (a.w) kepada Rasulallah (s.a.w) semasa peristiwa Isra’ dan Mikraj (seperti disebutkan pada awal Bab ini). Semasa menerima tauliah tersebut, Jibrail (a.s) sendiri tidak menemani Rasulallah (s.a.w) di sidratul muntaha. Tetapi, perincian bagaimana bersolat dan waktu masuknya serta waktu tamatnya, diajarkan secara praktikal oleh Jibrail (a.s) yang turun ke dunia, menjelma sebagai manusia lelaki berpakaian putih, di Baitullah lima waktu. Jelasnya, Rasulallah (s.a.w) belajar daripada Jibrail (a.s), dan Jibrail (a.s) mengajarkan berpandukan ketetapan daripada Allah (a.w). Justeru itu, manusia perlu belajar daripada Rasulallah (s.a.w), yakni as-Sunnah atau al-Hadith.
Jelaslah, syariat Islam mengenai solat itu dimangkulkan oleh Allah (a.w) kepada Jibrail (a.s) dan daripada Jibrail (a.s) dimangkulkan pula kepada Rasulallah (s.a.w) dan Rasulallah (s.a.w) pula mangkulkan kepada para sahabat dan seterusnya diwariskan kepada umat Islam (secara pemangkulan juga) oleh sahabat kepada para tabi’in dan kepada tabi-tabi’in. Maka dengan itu, pastilah perintah tersebut tidak ditokok tambah kerana diterima daripada orang yang menerima secara berguru atau berdepan. Begitulah di dalam urusan ibadat solat fardu itu. Syariat Islam itu disampaikan oleh guru yang faqih yang mendapat ilmu daripada gurunya pula atau diterima oleh seseorang itu daripada gurunya yang faqih dan kemudian mengajarkannya pula kepada murid atau jemaah yang belajar dengan berpandukan ilmu yang haq dan sah iaitu as-Sunnah atau sunnah Rasulallah (s.a.w). Jika sumber ilmunya bukan daripada as-Sunnah, maka sudah barang pasti akan wujud pelbagai perubahan atau penyesuaian kerana telah dicemari oleh pertimbangan-pertimbangan lain dan bukan lagi menyampaikan ilmu yang tulin dan haq berpandukan as-Sunnah.
Rengkasnya, bukan sahaja syariat solat itu di perintahkan oleh Allah (a.w) secara terus kepada Rasulallah (s.a.w) pada malam Israk dan Mikraj dan tidak disampaikan melalui perantaraan Jibrail (a.s), sebagaimana amalan-amalan atau ibadah-ibadah lain, tetapi lebih penting kita ambil perhatian ialah cara dan kaedah serta bacaan mengerjakan solat itu diajarkan secara praktikalnya oleh Jibrail (a.s) dengan mengimami Rasulallah (s.a.w) kelima-lima solat tersebut. Jibrail (a.s) menjadi imam kepada Rasulallah (s.a.w) dua kali, iaitu sekali untuk menunjukkan waktu mulanya (yakni, masuk waktu) solat fardu yang lima tersebut dan sekali lagi untuk memberitahu Rasulallah (s.a.w) waktu tamat atau luput setiap solat fardu yang lima tersebut.
[Nota: Kita diberitahu dalam al-Quran bahawa manusia berkomunikasi dgn Allah (a.w) hanya melalui perantaraan Jibrail (a.s), atau wahyu atau berkata-kata di belakang tabir (kes Nabi Musa (a.s)). Justeru itu, tradisi pengajaran atau penyampaian ilmu dalam Islam yg sah adalah secara berguru, bukan belajar sendiri.. Belajar daripada guru yang faqih mengenai ilmu, secara berdepan, dan bukan dengan membaca buku-buku yang ditulis oleh manusia tanpa rujukan kepada sumber-sumber yang sah (yakni, al-Quran dan al-Hadith atau as-Sunnah).]
Jazakallahu khairah
No comments:
Post a Comment