Assalamualaikum,
Saudara, dalam proses wudu' mengikut as-Sunnah itu, kita telahpun teliti dua aspek iaitu tentang persediaan sebelum memulakan wudu' dan tentang niat dan lafaz wajib 'Bismillah'. Kita teruskan lagi meneliti proses selanjutnya.
Berkumur-kumur dan Menghisap Air ke Dalam Hidung (Sunat)
Setelah membasuh kedua-dua tangan, Rasulallah (s.a.w) menyuruh kita, umat Islam, berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung (yakni, menghisap air ke dalam hidung bersekali dengan memasukkan air ke dalam mulut) dan kemudian menghembuskannya dengan kuat keluar daripada hidung dan mulut. Amalan atau perlakuan ini adalah satu-satunya sunat berwudu’ yang dikuatkan. Perbuatan itu diberatkan, yakni mendapat pahala sunat yang banyak membuatnya:
Diriwayatkan hadith daripada Ibnu Abbas (r.a) berkata: ‘Bahawasanya Rasulallah (s.a.w) berkumur-kumur dan menghisap air ke dalam hidungnya dari satu cedokan tangan yang satu (yakni, kedua-dua tangan didekatkan ke hidung dan mulut sambil menghisap air ke dalam mulut dan hidungnya).’ [Hadith Ibnu Majah].
Yang penting diperhatikan adalah ketetapan hadith di atas abahawa memasukkan air ke dalam hidung dan mulut itu hendaklah bersekali dan tidak berasingan. Sebaik-baiknya dengan mencedok air ke dalam tangan, kemudian memasukkannya ke dalam hidung dan mulut, kemudian diluahkan keluar.
Diriwayatkan hadith daripada Ali (r.a) berkata: ‘Sesungguhnya Rasulallah (s.a.w) berwudu’ dengan berkumur-kumur tiga kali, dan menghisap air ke dalam hidungnya tiga kali, dari telapak tangan yang satu (yakni, mencedok air dari dalam bekas air wudu’ sekali untuk kedua-duanya).’ [Hadith Ibnu Majah].
Diriwayatkan hadith daripada Abdullah bin Zaid al-Ansari (r.a) berkata: ‘Datang kepada kami Rasulallah (s.a.w) maka meminta (dia) kepadaku air untuk wudu’. Maka datang aku padanya dengan air (untuk wudu’), maka berkumur-kumur dia dan menghisap air ke dalam hidungnya dari telapak tangan yang disatukan (yakni, kedua-dua tangan diletakkan bersekali).’ [Hadith Ibnu Majah].
Tiga potong hadith di atas itu menjelaskan bahawa Rasulallah (s.a.w) berkumur-kumur dan menghisap air ke dalam hidungnya sebanyak tiga kali dari air yang dicedoknya dengan dua telapak tangannya yang disatukan (yakni, dekat sebelah menyebelah). Air dimasukkan ke dalam mulut dan hidung bersekali bukan secara berasingan, dan kumur-kumur sambil menghisap ke hidung, kemudian dihembuskan keluar satu masa.
Di dalam empat potong hadith berikut pula disebutkan bahawa hendaklah disemburkan (keluar dalam mulut itu) atau dihembuskan keluar air yang dimasukkan ke dalam hidung itu kuat-kuat pula. Walaupun sunat sahaja, perbuatan itu salah satu usaha untuk menyempurnakan wudu’. Perbuatan ini sentiasa dibuat oleh Rasulallah (s.a.w) dan disuruh para sahabat lakukan. Walau bagaimanapun, semburan atau hembusan keluar air dari hidung dan mulut itu tidak dikuatkan bersangatan semasa bulan puasa atau semasa berpuasa:
Diriwayatkan hadith daripada Salamah bin Qais (r.a) berkata: ‘Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Ketika berwudu’ kamu maka semburkanlah (air yang dimasukkan ke dalam hidung dan mulut itu), maka ketika beristinja’ (membasuh najis) kamu hendaklah ganjilkan (yakni, ganjilkan batu yang digunakan ataupun basuhannya).’ [Hadith Ibnu Majah].
Diriwayatkan hadith daripada ‘Asim bin Lafid bin Sabrah (r.a), daripada bapanya, berkata: ‘Berkata aku (kata bapanya) ‘Wahai Rasulallah (s.a.w)! Beritahulah kepadaku dari (urusan) wudu’.’ Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Sempurnakanlah wudu’. Dan menguatkanlah menyemburkan (air dari mulut dan hidung), kecuali bahawasanya adalah kamu sedang berpuasa (yakni, tidak perlu dikuatkan menyembur air keluar).’ [Hadith Ibnu Majah].
Hadith-hadith di atas menjelaskan bahawa sebahagian daripada kesempurnaan berwudu’ itu ialah menghisap air atau memasukkan air ke dalam hidung dan mulut (berkumur-kumur) dan kemudian menguatkan semboran air keluar dari hidung dan mulut itu. Semasa berpuasa tidak digalakkan menyemburkan secara bersangatan. Ini adalah kerana dikuatiri terlalu banyak air dimasukkan ke dalam mulut dan hidung mungkin termasuk ke dalam rongga makan dan minum dan, justeru itu, tertelan, maka membatalkan puasa. Penting diambil ingatan bahawa memasukkan air ke dalam hidung dan mulut kemudian disemborkan keluar semasa berwudu’ dalam bulan Ramadhan atau ketika berpuasa, tidak membatalkan puasa! Inilah ketetapan hadith di atas itu.
Di dalam hadith-hadith di atas disebutkan ketetapan beristinja’ (yakni, bersuci dari kencing dan berak) melakukannya tiga kali (atau diganjilkan jika lebih daripada tiga kali, mengikut hadith lain). Di dalam hadith-hadith berikut pula diberitahu supaya disemborkan air dari mulut dan hidung itu sebanyak dua kali:
Diriwayatkan hadith daripada Ibnu Abbas (r.a) berkata: ‘Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Semborkanlah dua kali (air dari mulut dan hidung) dengan kerasnya atau tiga kali (disemborkan).’ [Hadith Ibnu Majah].
Diriwayatkan hadith daripada Abi Hurairah (r.a) berkata: ‘Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Barangsiapa berwudu’ maka hendaklah semborkan (air keluar dengan kuat), dan barangsiapa beristinja’ (membasuh atau mensucikan hadas kecil, seumpama kencing dan berak) maka hendaklah ganjilkan (basuhan atau benda-benda yang digunakan, seperti batu atau daun kayu).’ [Hadith Ibnu Majah].
Selain digesa menyemburkan air yang dimasukkan ke dalam mulut dan hidung semasa berkumur dan menghisap air ke hidung itu, disuruh apabila bersuci daripada hadas besar ataupun kecil hendaklah diganjilkan basuhan (atau, jika menggunakan batu, kerana ketiadaan air untuk bersuci (kencing dan berak), diganjilkan bilangan batu yang digunakan). Di dalam hadith lain, jika lebih daripada tiga kali diganjilkan. Islam utamakan bilangan yang ganjil.
Perlakuan Keseluruhan Berwudu’
Setelah melakukan segala perlakuan sunat dalam berwudu’, kita teliti sepenuhnya kaedah dan cara berwudu’ yang dilakukan oleh Rasulallah (s.a.w). Cara dan kaedah berwudu’ itu dijelaskan secara terperinci di dalam suatu hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Zaid (r.a), seorang sahabat Nabi (s.a.w). Beliau mendemokannya dengan lengkap dan jelas kepada anaknya, mengikut hadith berikut:
Menceritakan kepadaku (kata an-Nasa’i) Muhammad ibn Salamat dan Harith ibnu Miskin membaca atasnya (yakni, hadith), dan aku mendengar dan lafazkan baginya dari Ibnu Qasim berkata menceritakan padanya Malik daripada ‘Amru bin Yahya al-Mazini, yang mendapat hadith daripada bapanya, sesungguhnya (bapanya) berkata bahawa hadith ini dari Abdullah bin Zaid bin ‘Asim, dan adapun (Abdullah adalah) seorang sahabat Nabi (s.a.w), dan dia itu datuk ‘Amru bin Yahya, yang berkata (ayahnya bertanya kepada datuknya): ‘Adakah dapat engkau tunjukkan kepadaku bagaimana ada Rasulallah (s.a.w) berwudu’?’ Berkata Abdullah bin Zaid (r.a): ‘Ya.’ Maka meminta dia air untuk wudu’. Maka (setelah diberikan air) dituangkannya atas kedua tangannya maka membasuh kedua tangannya dua kali dua kali. Kemudian berkumur-kumur dia dan menghisap air ke dalam hidungnya tiga tiga kali. Kemudian membasuh mukanya tiga kali, kemudian (membasuh) kedua-dua tangannya dua kali dua kali (sampai) ke paras sikunya, kemudian diusapnya (yakni disapunya) kepalanya dengan kedua tangannya; (caranya) maka memulakan menyapu dari depan (atas dahinya) ditariknya kedua tangannya mulai dari dahi kepalanya kemudian dijalankannya (yakni, dilalukannya) kedua tangannya (ke belakang) sampai ke tengkoknya, kemudian dikembalikan (usapannya) dari belakang ke depan sehingga tempat mula-mula tadi (yakni, atas bahagian dahinya), kemudian dibasuh kedua kakinya sehingga ke paras kedua buku lalinya.’ [Hadith sahih an-Nasa’i].
Di dalam hadith di atas itu dijelaskan cara berwudu’ itu secara terperinci telah didemokan oleh datuk kepada Amru bin Yahya menunjukkan kepada bapanya (yakni, bapa Amru) yang bertanyakan tentang cara Rasulallah (s.a.w) berwudu’. Hadith di atas menjelaskan satu hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Zaid (r.a) yang menceritakan kepada anaknya, iaitu bapa kepada Amru bin Yahya, tentang bagaimana Rasulallah (s.a.w) berwudu’ dari mula sampai selesai.
Hadith tersebut jelas menunjukkan bagaimana Rasulallah (s.a.w) berwudu’. Sedikitpun tidak mengelirukan. Cuba kita teliti pula perlakuan kita berwudu’, kemudian kita bandingkan dengan cara dan kaedah tersebut, adakah perbezaan atau kelainan? Jika kelainan, maka cara dan kaedah kita beruwu’ tidak menepati as-Sunnah. Soalnya: Sahkah wudu’ kita? Ini tergantung kepada rukun-rukun wudu’ yang wajib dan pelaksanaannya.
Hadith ini adalah satu daripada beberapa hadith yang amat jelas menunjukkan bagaimana Rasulallah (s.a.w) berwudu’. Inilah cara yang sah mengikut syariat Islam. Cara lain tidak sah wudu’nya, kerana membuat sesuatu kaedah atau peraturan atau ketetapan tanpa berlandaskan nas dan dalil yang sah daripada sumber al-Quran dan al-Hadith, memungkinkan perlakuan kita itu tidak diterima Allah (a.w).
Hadith di atas menjelaskan proses dan kaedah Rasulallah (s.a.w) berwudu’, yakni perlakuan yang sejajar dengan as-Sunnah. Kita rengkaskan seperti berikut:
Pertama, membasuh kedua tangan (satu atau dua atau tiga kali) untuk membersihkan kedua tangan (sebelum berwudu’) drp kotoran;
Kedua, berkumur-kumur dan menghisap air ke dalam hidung satu proses atau perlakuan, tiga kali (sebelum berwudu’);
Ketiga, (Memasang niat untuk berwudu’) (hadith lain) [Nota: Niat itu tidak dilafazkan, memadai diingatkan dalam hati sahaja);
Keempat, (Menyebut ‘Bismillah’) (hadith lain);
Kelima, membasuh muka, anggota wudu’ pertama (sekali atau dua kali atau tiga kali)(rukun wudu’);
Keenam, membasuh kedua-dua tangan, anggota wudu’ kedua, sampai air ke paras siku (sekali atau dua kali atau tiga kali) (rukun wudu’);
Ketujuh, menyapu atau mengusap kepala, anggota wudu’ ketiga, – keseluruh kawasan kepala – bermula dari depan (bahagian atas dahi) ke belakang (bahagian tengkok) dan dilalukan kedua tangan dari belakang ke depan semula sekali, anggota wudu' keempat (rukun wudu’); dan
Kedelapan, membasuh kedua kaki, anggota wudu’ kelima, sehingga ke paras buku lali (sekali) (rukun wudu’).
Di dalam hadith di atas disebutkan bilangan basuhan atau usapan. Ini diperjelaskan di bawah. Hakikatnya, dibasuh atau disapu sekurang-kurangnya sekali dan tidak lebih daripada tiga kali. Tiga kali yang paling afdhal (sempurna), mengikut satu haith lain. Kerana membasuh tiga kali adalah cara wudu’ para anbia (nabi-nabi) dan rasul-rasul.
Yang penting diambil ingatan adalah menyapu atau mengusap (bukan membasuh) bahagian kepala – hendaklah disapu semua ata seluruh bahagian kepala dan bukan sebahagian sahaja atau seperempat atau tiga atau empat helai rambut sahaja – disapu semua bahagian kepala! Ini penting, jika tidak disapu kesemua bahagian kepala, wudu’ kita tidak sah, dan apabila tidak sah wudu’, tidak sah solat. Suruhan menyapu beberapa helai rambut atau sebahagian bahagian kepala itu tidak ada sandaran nas dan dalil al-Quran dan as-Sunnah. Tidak pernah ditunjukkan sedemikian oleh Rasulallah (s.a.w)! Maka dengan itu tidak sejajar dengan ketetapan as-Sunnah.
Yang diutamakan adalah menyapu dengan kedua-dua tangan yang basah oleh air wudu’ supaya mengenai seluruh bahagian kepala dan bukan sebahagian sahaja. Ada pihak yang berpendapat bahawa amalan membasuh (yakni, menyapu) seluruh kepala itu adalah amalan mazhab Hanafi atau Maliki. Ini adalah kekeliruan. Perbuatan tersebut itu adalah satu ketetapan as-Sunnah, kerana itulah yang dilakukan oleh Rasulallah (s.a.w). Bagi wanita pula, kerana menjaga aurat mereka, tidak diperlukan menyapu sebagaimana lelaki tetapi memadailah dia menyeluk-nyeluk rambutnya di semua bahagian dari arah bawah bahagian kepala (atau kaki rambut) dengan tangan yang basah dengan air wudu’. Inilah juga ketetapan as-Sunnah bagi wanita semasa mandi junub.
[Nota-1: Di dalam hadith ini tidak disebutkan tentang kedua telinga. Jelas membasuh telinga tidak termasuk dalam rukun. Mengikut hadith lain, Rasulallah (s.a.w) menyebutkan bahawa telinga adalah sebahagian daripada kepala. Justeru itu di dalam hadith lain disebutkan bahawa semasa menyapu kepala di sapu bersekali kedua telinga sekali. Nota-2: Mungkin ada para ulama’ memepertikaikan hadith ini dari segi keperluan menyapu keseluruhan bahagian kepala itu. Kerana, mereka mungkin berpandukan dua ayat al-Quran yang kita sudahpun rujuk di awal Blog ini, iaitu disebutkan ‘sapu atau usap kepala’ dan dalam hadith ini Rasulallah (s.a.w) perjelaskan bagaimana menyapu atau mengusap kepala itu iaitu disapu atau diusap semua bahagian kepala! As-Sunnah menjelaskan al-Quran. Maka dengan itulah Allah (a.w) berfirman: apa-apa yang dibawakan kepada kamu oleh Rasulallah (s.a.w) hendaklah kamu ambil…(Surah al-Hasyr yang telah kita rujuk dalam Blog ini. Nota-3: Orang perempuan tidak boleh membuka tudung kepalanya dalam apapun keadaan kerana kepalanya adalah sebahagian daripada auratnya. Justeru itu untuk menyapu kepalanya, tidaklah perlu dia menanggalkan tudungnya, tetapi memadailah dengan kedua tangan yang basah menyeluk bahagian bawah kepalanya yang berada di bawah tudungnya supaya seluruh bahagian bawah kepala dan rambutnya terkena air. Demikian juga, bagi perempuan yg mandi junub, tidak perlu dia merungkaikan sangglnya./ Memadailah dia menselah-selahkan rambutnya dgn air wudu' dari bawah di dalam tudungnya.]
Jazakallahu khairah
No comments:
Post a Comment