Assalamualaikum,
Saudara, sebelum kita teliti cara dan kaedah berwudu' yg sah, yakni wudu' yg menepati al-Quran dan as-Sunnah, elok kita teliti apakah yg membezakan cara dan kaedah majoriti umat Islam berwudu' dgn kaedah serta cara berwudu' mengikut as-Sunnah. Apabila kita tahu kelainan atau perbezaan tersebut, kita tahu dimana salah silap kita. Maka dgn itu kita lebih berwaspada kerana berwudu' dgn cara dan kaedah yg berlainan drp ketetapan as-Sunnah, tidak sah wudu kita. Apakala tak sah wudu' kita maka tak sah pulalah solat kita. Dan, apakala tak sah wudu' kita, maka tak sahlah pula mandi junub kita. Dan, kalau tak sah mandi junub kita, kita pula bersolat atau memegang al-Quran, contohnya, maka kita mendapat dosa pula. Oleh itu berwaspadalah.
Cara dan Kaedah Berwudu’: Mengikut Sunnah
Di dalam as-Sunnah dijelaskan bahawa Allah (a.w) memberikan kita keringanan (rukhsyah) dengan membenarkan kita bertayamum bila dalam keadaan-keadaan berikut: pertama, jika tiada air yg berpanjangan kerana kemarau, maka pasti tak ada bekalan air, boleh menggantikan wudu’ dengan bertayamum; kedua, walaupun berjunub, dan tidak kedapatan air untuk mandi junub, namun kita wajib bersolat, kita boleh solat sebelum mandi junub dengan bertayamum; ketiga, jika dalam keadaan sakit luka yang membahayakan luka kita jika terkena air, walaupun ada air, dibolehkan bertayamum; dan keempat, semasa dalam musafir tidak ketemu air, boleh bertayamum.
Ini adalah kerana solat itu suatu ibadat yang maha penting dalam syariat Islam, kecuali kita dalam keadaan uzur syar’i (syara’), yakni gila atau hilang ‘akal atau otaknya tidak berfungsi lagi.
Cuba kita teliti dua potong ayat al-Quran yang kita telah teliti di atas itu tentang wudu’. Ayat tersebut menyentuh dua perkara: pertama, cara dan kaedah berwudu’; dan kedua, anggota-angota wudu’.
Dari segi cara berwudu’ disebutkan prosesnya secara prinsip: mula-mula basuh muka, kemudian basuh tangan sehingga ke siku, kemudian sapu kepala, dan akhirnya sapu (basuh) kaki hingga ke buku lali. Perhatikan perkataan yang diitalikkan adalah kalimah digunakan di dalam al-Quran.
Tanpa meneliti penjelasanan mengenai cara dan kaedah berwudu’ mengikut as-Sunnah atau al-Hadith, itulah prosesnya. Kita mungkin keliru. Walaupun prinsipnya disebutkan di dalam al-Quran, perincian cara dan kaedahnya tidak disebutkan. Justeru itu, kita perlu teliti sumber kedua, iaitu as-Sunnah atau al-Hadith untuk mengetahui dengan lanjut dan lebih jelas. Kita tidak boleh berpandukan hanya kepada al-Quran kerana kita dikehendaki juga berpandukan as-Sunnah atau al-Hadith untuk mendapat kepastian praktiknya sesuatu ibadat dan amalan itu . Kita wajib ingat perintah Allah (a.w) dalam al-Quran (Ayat 7, Surah al-Haysr) bahawa orang Islam wajib mengambil segala ketetapan dan ketentuan serta perintah Rasulallah (s.a.w), yakni sunnahnya. Maksudnya, dalam berwudu’ itu kita hendaklah berpandukan al-Quran dan as-Sunnah bersekali. Jika tidak, kita tidak menepati ketetapan Allah (a.w) ‘taatkan Allah (a.w)’ (ikuti al-Quran) dan ‘taatkan Rasulallah (s.a.w)’ (atau ikuti as-Sunnah).
Di dalam al-Hadith disebutkan proses yang sama, tidak ada perbezaan, hanya diperincikan lagi. Malangnya, apabila kita perhatikan amalan kelaziman orang Melayu dan umat Islam lain, mereka tidak berpandukan as-Sunnah atau jika mereka mengetahui ketetapan Rasulallah (s.a.w) dalam as-Sunnah, mereka ikuti ketetapan atau panduan manusia, bukan panduan Rasulallah (s.a.w). Maka, kerana itu, kita temui beberapa perbezaan dan kelainan dalam amalan dan ibadah serta cara dan kaedah pengamalannya, kerana manusia berpandukan kepada manusia! Perbezaan yang ketara bukanlah kerana perbezaan antara firman Allah (a.w) dan sabda Rasulallah (s.a.w), tetapi kerana pentakrifan sesuatu oleh manusia atau kerana pemikiran logik manusia.
Sebenarnya tiada siapa yang tahu kesempurnaan perintah Allah (a.w) dalam segala sesuatu kecuali Rasulallah (s.a.w) yang ditugaskan oleh Allah (a.w), sebagai Utusan atau RasulNya, untuk menyampaikan syariat Islam kepada manusia dan mengajarkan manusia. Rasulallah (s.a.w) diwahyukan oleh Allah (a.w) al-Quran dan al-Hikmah (atau as-Sunnah atau al-Hadith). Dan, Rasulallah (s.a.w) diajarkan kaedah dan cara sesuatu amalan dan ibadah itu dikerjakan. Jika sesuatu cara serta kaedah itu perlu didemokan, maka didemokan oleh Jibaril (a.s).
Kelainan dan Perbezaan Dalam Cara Berwudu’
Apakah perbezaan ketetapan syariat mengikut as-Sunnah dengan amalan atau pelaksanaannya oleh masyarakat Melayu khasnya dan umat Islam amnya? Kita teliti seterusnya. Kita akan dapati ada empat kelainan atau perbezaan dalam berwudu’, iaitu:
Pertama, melafazkan atau menzahirkan niat;
Kedua, bilangan kali basuhan atau sapuan anggota wudu’;
Ketiga, kawasan atau bahagian atau had anggota wudu’ yang dibasuh atau disapu atau dikenakan air; dan
Keempat ketertibannya – mana yang dahulu dan mana yang dikemudiankan.
Di dalam al-Quran tidak disebutkan kesemua itu – lafaz niat, had anggota yang dibasuh atau disapu dan berapa kali basuhan atau sapuan. Tetapi, di dalam al-Hadith disebutkan. Maka dengan itu dari segi kesempurnaan amalan dan ibadah dalam Islam, umat Islam perlu berpandukan kepada dua sumber ilmu dan panduan amalan dan ibadah, iaitu al-Quran dan as-Sunnah (atau al-Hadith).
Di dalam membincangka wudu’, mungkin kita perlu tanyakan diri kita sendiri: apakah kita telah mengikuti cara dan kaedah wudu’ Rasulallah (s.a.w)? Ini penting kerana Islam dan syariatnya serta kaedah mengerjakan segala sesuatu amalan dan ibadah dalam Islam itu dibawakan atau ajarkan atau ditunjukkan atau dicontohkan oleh Rasulallah (s.a.w). Maka dengan itu wajib kita menyemak as-Sunnah untuk mengetahui bagaimana cara dan kaedahnya berwudu’. Apabila kita semak perlakuan kita berbanding dengan perlakuan Rasulallah (s.a.w), seperti yang disebutkan dalam as-Sunnah, kita akan ketahui bahawa terdapat kelaianan yang ketara. Kelainan ini wujud. Namun kita tidak tahu mengapa terjadi. Yang pasti kita harus contohi perlakuan atau perbuatan Rasulallah (s.a.w). Antara kelainan tersebut adalah dalam perkara-perkara berikut: pertama, melafazkan atau menzahirkan ‘niat’ wudu’ apabila kita hendak mulakan wudu’; kedua, menyapu sebahagian sahaja bahagian kepala (atau rambut) apabila kita menyempurnakan wudu’ pada anggota wudu’ ketiga; ketiga, bilangan basuhan atau usapan bagi setiap anggota wudu’ perlu dibasuh atau disapu atau diusap; dan keempat, jumlah air yang perlu ada dalam bekas air wudu’ hendaklah sekurang-kurangnya dua kolah air untuk mempastikan wudu’ kita sah.
Inilah kelaziman wudu’ di kalangan masyarakat Melayu, yang mengakui diri mereka ‘Ahlus sunnah wal-jamaah’, yakni mengikut ketetapan as-Sunnah. Yang perlu kita semak adalah adakah sandaran nas dan dalil al-Quran atau as-Sunnah yang mengesahkan cara atau kaedah tersebut?
Apabila kita semak as-Sunnah, kita dapati ketetapan berkaitan yang berlainan dari ketetapan yang diajarkan oleh para ulama’. Kita rengkaskan perbezaan tersebut, dan akan kita halusi nas dan dalil as-Sunnah mengenainya kemudian nanti.
Di dalam syariat Islam mengenai wudu’ mengikut sumber as-Sunnah atau al-Hadith, tidak ada suruhan melafazkan atau menzahirkan ‘niat’. Rasulallah (s.a.w) semasa mengambil wudu’ tidak menyebut atau menzahirkan sebarang ucapan ataupun doa. Niat itu gerakhati untuk melakukan sesuatu. Dan, niat itu adalah syarat sah sesuatu amalan atau ibadah. Tanpa niat sesuatu amalan atau ibadah itu tidak menjadi amalan atau ibadah. Juga, niat itu hendaklah semata-mata kerana hendak mengabdikan diri kepada Allah (a.w). Kita melakukan sesuatu semata-mata kerana ‘ikhlas’, yakni kerana akur dengan perintah Allah (a.w) bahawa Dialah Tuhan yang wajib disembah dan kepadaNya sahajalah kita mengabdikan diri dengan beribadah sejajar dengan perintah Allah (a.w) bahawa kita dan jinn dijadikanNya semata-mata untuk mengabdikan diri (yakni, beribadah) kepadanya.
Apabila kita teliti as-Sunnah, tidak ada hadith menyebut bahawa Rasulallah (s.a.w) mezahirkan ‘niat’nya. Tidak ada suruhan Rasulallah (s.a.w) kita zahirkan niat. Niat adalah lintasan hati yang tidak dizahirkan oleh seseorang. Jika dizahirkan, tidaklah perbuatan itu bersifat ‘niat’. Menzahirkan ‘niat’ adalah suatu kelainan dan tidak pernah dilakukan oleh Rasulallah (s.a.w). dan tidak juga menjadi amalan mana-mana Khalifah ar-rasyidin al-mahdiyin. Mereka tidak menzahirkan atau melafazkan niat mereka.
Dari segi anggota wudu’ pula, selain disebutkan dalam al-Quran, as-Sunnah menyebutkan anggota wudu’ itu, adalah:
Pertama, muka; kedua, kedua tangan dan lengan sampai ke siku; ketiga, kepala (seluruh dan bukan sebahagian bahagian kepala); dan keempat, kedua kaki sampai ke buku lali.
Menyapu telinga tidak diwajibkan, kerana telinga mengikut as-Sunnah, adalah sebahagian daripada kepala, tetapi, air hendaklah disapukan ke seluruh bahagian kepala (atau rambut) bukan sebahagian sahaja. Yang biasa kita lakukan adalah mengenakan air ke sebahagian dan tidak ke semua bahagian kepala. Malah ada yang memberi panduan bahawa mengenakan air ke beberapa helai rambut sudah cukup bagi tujuan menyapu kepala itu!
As-Sunnah tidak menyebutkan perkara ini. Yang disebutkan di dalam hadith adalah menyapu seluruh kepala. Manakala menyapu telinga tidak perlu diasingkan kerana proses menyapu bahagian kepala sebagaimana yang dibuat Rasulallah (s.a.w) termasuk menyampaikan air ke telinga. Kelainan amalan berlaku kerana mungkin itulah yang diajarkan oleh nenek moyang atau tok-tok guru kita yang telah menjadi kebiasaan turun temurun berzaman amanya.
Di dalam perlakuan wudu’ kita akan dapati beberapa kelainan antara ketetapan sunnah dengan kelaziman perlakuan umat Islam Melayu di Malaysia. Yang membezakan amalan orang Islam dengan amalan atau perlakuan Rasulallah (s.a.w) adalah: pertama, menyapu kepala. Kita diberitahu oleh ‘alim ulama’ memadai menyapu kepala sebahagian sahaja, yakni sebahagian kepala atau beberapa helai rambut, tidak perlu kesemua bahagian kepala. Apabila kita merujuk kepada penjelasan oleh Rasulallah (s.a.w) pula di dalam as-Sunnah atau al-Hadith, Rasulallah (s.a.w) memberitahu bahawa hendaklah kita menyapu kepala keseluruhan bahagiannya bukan sebahagian sahaja. an, oleh kerana telinga adalah sebahagian kepada ‘kepala’, maka tidak wajib menyapu telinga. Kelainan kedua adalah menzahirkan ‘niat’ untuk berwudu’. Memang jelas semua amalan dalam Islam hendaklah bersandarkan ‘niat’ (niat semata-mata kerana Allah (a.w) atau semata-mata memanifestasikan pengabdian kita terhadap Allah (a.w) Tuhan yang menjadikan segala makhluk dalam dunia.
Nenek moyang kita tidak mengajarkan bahawa kita disuruh menyebut atau melafazkan kalimah ‘Bismillah’ apabila berbuat sesuatu yang baik. Begitu juga dalam perkara wudu’. Inilah kelainan ketiga dalam amalan dan perlakuan mengenai wudu’. Kita wajib membaca atau menyebut (Bismillah). Kita tidak diajarkan menyebut (Bismillah) atau diberitahu bahawa membaca atau menyebut kalimah Bismillah adalah wajib semasa memulakan wudu’. Jika tidak disebutkan kalimah Bismillah wudu’ kita tidak sah. Inilah ketetapan as-Sunnah iaitu membaca kalimah Bismillah semasa memulakan wudu’ adalah syarat sah wudu’. Hanya sebahagian kecil antara kita yang diberitahu oleh nenek moyang atau tok-tok guru kita perkara ini.
Ada pihak yang berhujjah bahawa telah menjadi kebiasan bagi orang Melayu dan umat Islam umumnya menyebut Bismillah setiap kali hendak memulakan sesuatu perbuatan atau perlakuan yang baik. Mungkin benar sudah menjadi tabiat atau kelaziman. Tetapi, perlakuan tersebut tidak secara conscious dalam perkara berwudu’. Justeru itu, bukanlah isu kelaziman, tetapi kesedaran kerana ilmu dan kefahaman bahawa itu adalah syarat sahnya wudu’.
Maka dengan itulah Islam mewajibkan umatnya menuntut ilmu. Ilmu yang dituntut hendaklah berdasarkan ilmu yang haq. Ilmu yang haq itu hanyalah al-Quran dan as-Sunnah. Ketetapan ini kita telah rujuk dalam Blog ini dua atau tiga tahun yg lalu. Kita boleh belajar daripada manusia sekiranya manusia itu mengajarkan kita berdasarkan dua ilmu yang haq itu. Maka dengan itulah Rasulallah (s.a.w) memberitahu kita bahawa amalan itu hendaklah bersandarkan ilmu. Tanpa ilmu kita akan menjadi pak turut dan besar kemungkinannya kita melalukan sesuatu yang tidak disuruh atau dilakukan oleh Rasulallah (s.a.w) atau kita beramal secara kebetulan sahaja. Walhal Rasulallah (s.a.w) suruh kita: ‘al-ilmu qabla amal’ (Maksud: berilmulah dahulu sebelum beramal atau beramallah dengan bersandarkan ilmu). Dan, sumber ilmu mengenai Islam dan syariatnya adalah apa-apa yang terdapat di dalam al-Quran dan di dalam as-Sunnah.
[Nota-1: Maka dengan itulah seseorang yang coma, tidak boleh bergerak, selagi akalnya boleh berfungsi, dan matanya boleh bergerak, maka wajib dia bersolat bila tiba waktunya dengan melakukan segala rukun felinya secara isyarat dengan kelipan matanya. Nota-2: Di dalam al-Quran diperintahkan oleh Allah (a.w) bahawa kita wajib ‘taatkan Allah (a.w)’ dan ‘taatkan Rasulallah (s.a.w)’ dan kita wajib ikut suruhan Rasulallah (s.a.w). Al-Quran juga memberitahu kita bahawa mentaati Rasulallah (s.a.w) bererti mentaati Allah (a.w). Di dalam hadith disebutkan bahawa umat Islam hendaklah patuh dengan suruhan Rasulallah (s.a.w). Nota-3: Maka dengan itulah di dalam al-Quran Allah (a.w) memerintahkan kita supaya ‘apa-apa yang dibawakan oleh Rasulallah (s.a.w) hendaklah kamu ambil, dan apa-apa yang ditegahnya hendaklah kamu tinggalkan’. Jelasnya perincian syariat Islam itu ditentukan oleh Rasulallah (s.a.w) yang menyampaikan sesuatu bersandarkan wahyu yang diwahyukan oleh Allah (a.w). Nota-4: Kita telahpun tahu bahawa Rasulallah (s.a.w) menyebutkan bahawa ‘as-Sunnah’ adalah merangkumi sunnah Rasulallah (s.a.w) dan sunah empat khalifah selepas kewafatan beliau. Nota-5: Kalimah ‘Bismillah’ bukannya ‘Basmalah’. Di dalam hadith tersebut, Rasulallah (s.a.w) bersabda bahawa tidak sah wudu’ tanpa dimulakan dengan menyebut ‘Bismillah’. Tidak sah wudu’ tanpa menyebut ‘Bismillah’ sebagaimana tidak sah solat jika tidak membaca ‘Ummul Kitab’, atau Surah al-Fatihah.]
Jazakallahu khairah
No comments:
Post a Comment