Friday, July 2, 2010

Berita Menarik Hari ini (Samb.)

Assalamualaikum,
Saudara, penulis menyebutkan ada beberapa berita menarik hari ini dalam akhbar. Satu (i.e. kematian Tun Omar Ong) telah penulis ulas. Sekarang kita ulas pula berita ke-2 iaitu tentang rintihan seorang bapa tuan berumur 85 tahun yg dicampakkan oleh anak-anaknya untuk tinggal di rumah orang-orang tua milik bukan Islam. Kenapa? Anak-anaknya - lelaki dan perempuan- sudah pasti tidak mahu atau sanggup menjaga bapanya. Ini sering berlaku sekarang di kalangan umat Islam, khususnya orang Melayu, kerana banyak sebab, antaranya menepati kata-kata orang tua dulu: seorang ibu itu mampu menjaga 10 anaknya dari lahir sehingga dewasa, malah ada yg sampai anak itu mati pula, kalau anaknya mengidap penyakit yg kronik yg memungkinkan ajalnya sampai lebih awal dari ibu atau bapanya. Tapi, sepuluh anak mampu tapi tidak sanggup menjaga seorang ibu atau seorang bapa ketika umur senja mereka, sehingga kedua-duanya kembali kerahmatullah! Begitulah dalam masyarakat Melayu yg generasi muda kini jahil tentang Islam dan syariatnya!
Kalau anak lelaki itu kaya atau mewah dan isterinya pula seorang yg tinggi hidungnya, maka isteri akan pengaruhi si suami melalui berbagai helah supaya suaminya tidak menjaga kedua ibu bapanya. Jadilah seperti peristiwa si Tenggang yg suatu masa dulu menjadi cerita utama yg dibacakan kpd kanak-kanak sekolah rendah. Kalau anaknya berpangkat atau menjadi orang ternama atau mengahwini pula orang berdarjat seumpama anak raja atau kerabat raja, maka malulah anak hendak menjaga ibu bapa yg sudah daif itu. Macam-macam sebab.
Yg pasti dalam Islam, Allah (a.w) rida atas anak yg kedua ibubapanya rida terhadapnya. Manakah mungkin anak yg melemparkan kedua ibu bapanya duduk di rumah orang tua, lebih-lebih lagi rumah orang tua jagaan bukan Islam, diridhai oleh ibu bapanya? Lebih parah kalau rumah jagaan orang bukan Islam itu pastinya memuatkan majoriti warga tua bukan Islam dan diberi makanan oleh orang bukan Islam dan makan makanan yg dimasak oleh orang bukan Islam dan menggunakan bahan-bahan yg disangsikan kesuciannya dalam konteks ketetapan Islam, seperti ayam yg tidak disembelih! Atau, makanan yg disediakan oleh orang bukan Islam yg tangannya juga memegang daging haram (babi)!
Mungkin si anak berkata. Dia bayar semua kos. Dia tanggung semua. Hanya dia tak mampu menjaga kerana orang tuanya cerewet atau menyusahkannya atau sering ditentang oleh isterinya pula, maka merumitkan rumah tangganya dan ibu atau ayahnya yg tidak tahu pula 'membawa diri' dalam rumahnya dan isterinya sering merungut tak setuju. Kalau si isteri itu perempuan yg faham Islam dan syariatnya dan kalau suami juga faham, dia akan rela dgn suaminya, malah membantu pula suaminya. Tapi, kalau si isteri itu orang iman, dia akan membenarkan sumainya menjaga kedua ibubapanya. Malah dia membantu pula.
Jadi ada banyak yg tak kena dalam masyarakat Islam hari ini. Semuanya kerana anak-anak orang Islam (Melayu, maksudnya) jahil tentang Islam dan syariatnya. Sudahlah jahil, mereka tak mau pula belajar supaya terhapus kejahilan mereka. Supaya mereka tahu dimanakah kedudukan sianak dalam Islam terhadap kedua ibubapanya.
Yg jelas seorang anak itu (lelaki atau perempuan) hanya mendapat keridaan Allah (a.w) jika kedua ibu bapanya rida terhadapnya. Dalam kes yg diberitakan ini, kalaulah bapanya tidak rida akan perbuatan anak-anak yg tidak mau menjaganya di saat senja beliau, maka anak-anak yg terlibat itu sudah pasti tidak mendapat keridaan Allah (a.w). Apabila tidak mendapat keridaan Allah (a.w), si anak itu sudah pasti tidak mendapat syurga, walaupun mungkin si anak itu seorang yg warak, yg alim, mungkin menjawat jawatan penting ugama pula (seumpama mufti sekalipun). Dia tidak akan mendapat syurga. Islam memberitahu kita bahawa syurga itu hanya didapati melalui kerahmatan dan keridaan Allah (a.w). Allah (a.w) hanya rida jika bapanya rida.
Namun, seorang ibu atau bapa itu tidak akan mendoakan keburukan terhadap anaknya. Kerana jika ibu atau bapa tidak rida, Allah (a.w) tidak rida dan kerana itu tertutup pintu syurga bagi anak-anaknya. Justeru itu, mungkin bapa itu merasa terpinggir, terbiar dan tidak dihargai oleh anak-anaknya, tapi tak sampai kpd menahan keridaannya terhadap anak-anaknya, walaupun si anak itu wajib dilemparkan ke dalam neraka!
Sesiapa yg mengaji ilmu as-Sunnah akan ketemui kisah nabi Ibrahim (a.s) dengan anaknya, Nabi ismail (a.s) dan isteri Nabi Ismail (a.s). Seorang ibu atau seorang bapa itu berhak terhadap anaknya secara absolute! Kalau seorang ibu dan bapa mengambil harta anaknya tanpa kebenaran anaknyapun, ibu atau bapa itu berhak dalam Islam. Kerana, hutang anak terhadap jasa kepada ibu atau bapanya tidak mungkin terbayar oleh segala harta yg ada padanya walau sekaya manapun anak itu! Dalam cerita Nabi Ibrahim (r.a) itu disebutkan pertemuannya dgn menantunya, isteri Nabi Ismail (a.s), ketika Ismail (a.s) tiada di rumah. Isterinya menyebut tentang sesuatu kurang kepuashatiannya dalam kehidupannya serumah tangga dengan Ismail (a.s). Maka Ibrahim (a.s) berpesan kpdnya supaya memberitahu Ismail (a.s), bila pulang nanti, supaya pintu rumahnya ditukar (maksudnya: ceraikan isterinya). Maka mendengar kata-kata itu, Ismail (a.s) menceraikan isterinya. Demikianlah utamanya perintah seorang bapa terhadap anaknya dalam Islam. Tapi, hari ini kerana kejahilan dan kerana keselesaan duniawi ramai anak yg mensia-siakan kedua ibu bapa mereka, ramai yg menganianya dan menzalimi mereka, tidak ambil peduli terhadap kedua ibubapanya, dan berbagai-bagai lagi perlakuan anak terhadap orang tuanya.
Mungkin anak-anak ini selamat kerana tidak didoakan keburukan oleh ibubapanya atau ibubapanya tetap rida akan anaknya, tapi diakhirat kelak, berat azab balasannya terhadap anak yg bertindak sedemikian rupa. Mereka yg belajar ilmu al-Quran tahu ketetapan Allah (a.w): bahawa anak hendaklah sentiasa hormatkan ibu bapa mereka, bercakap atau bertutur kata dengan mereka dgn lemah lembut, mendoakan mereka, menjaga mereka ketika lanjut usia mereka dan lemah fisikal mereka dan jangan sekali-kali meninggikan suara ketika bercakap dengan keduanya, dan banyak lagi perintah jelas Allah (a.w) kpd anak-anak dalam al-Quran (contoh: Ayat 23 - 25, Surah al-Isra', Ayat 14 & 15, Surah Luqman, etc)
Oleh itu berwaspadalah dalam hubungan melayan kedua ibu bapa. Kalau si anak inginkan syurga dan terlepas dari siksaan nereka, wajib bagi seorang anak itu bersusah payah menjaga kedua ibubapanya ketika mereka daif dan mereka masih hidup. Itulah satu pelaburan akhirat yg amat tinggi nilainya dan amat tinggi dividen akhiratnya pula. Mengabaikan kedua ibu bapa adalah perbuatan yg mengundang celaka di akhirat kelak. Mudah-mudahan saudara-saudara kita yg berbuat sebagaimana yg disebutkan dalam rintihan si bapa tua itu sedarkan dirinya, sebelum terlambat. Ketika mati bapanya, tak sempat dia bertaubat dari kedua ibu bapanya. Tanpa, jika dosa itu melibatkan ibu bapa, taubat itu Allah (a.w) tidak akan terima kerana derhaka kpd ibubapanya. Anak-anak yg faham Islam, pasti bersuasah payah melayani sebaik mungkin kedua ibu bapa mereka.

Mudah-mudahan kita yg masih mempunyai kedua ibu bapa, berbaktilah kpd mereka sementara mereka masih hidup. Tidak rugi di dunia dan pasti tida rugi pula di akhirat. Insya Allah.

Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment