Assalamualaikum,
Saudara, kali ini kita lihat pula ketetapan as-Sunnah - nas dan dalil as-Sunnah - mengenai ibadah haji dan umrah. Kita telah lihat nas dan dalil al-Quran mengenai haji dan umrah ini dalam post sebelum ini. Syariat Islam itu, sebagaimana kita wajib faham, adalah didasarkan kpd dua sumber sahaja, iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Segala sesuatu yg tiada sandaran al-Quran dan as-Sunnah adalah batil!
Ibadah haji dan (satu) umrah itu diwajibkan atas semua orang Islam, seperti yang ditetapkan dalam firman Allah (a.w) di dalam Ayat 97, Surah ali-Imran di atas itu. Ketetapan ini juga diulangi oleh Rasulallah (s.a.w) di dalam al-Hadith, seperti di dalam hadith berikut, bahawa ibadah haji itu diwajibkan:
Diriwayakan hadith dari Abu Hurairah (r.a) berkata: ‘Berkhutbah kepada kami Rasulallah (s.a.w): ‘Ya aiyuhan nasu qad faradallahu ‘alaikumul hajja fahajju.'[Maksud: ‘Wahai sekelian manusia! Sungguh-sungguh telah fardhukan oleh Allah (a.w) atas kamu sekelian ibadah haji, maka kerjakanlah haji’. Maka bertanya seorang lelaki (Aqra’ bin Habis): ‘Adakah tiap-tiap tahun, wahai Rasulallah (s.a.w)?’ Maka terdiam Rasulallah (s.a.w) sehingga pertanyaan itu diulangi (oleh yang bertanya) tiga kali. Maka bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘ Lau kultu ‘na’am’ lawajabat walau wajabat ma qumtum biha' [Maksud: Jika aku katakan ‘ya’ nescaya wajiblah bagi kamu, dan jika aku wajibkan atas kamu (setiap tahun) tidak berdiri kamu (yakni, tidak mampu kamu) mengerjakannya.] Kemudian bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Zaruni ma taraktukum fainnama halaka man kana qablakum bi kathrati sualihim ‘ala anbiyaihim, faiza amartukum bisyai’in faktu minhu mastota’tim waiza nahaitukum ‘an sysi-in fada’uhu.'[Maksud: Biarkanlah apa-apa yang aku tinggalkan (yakni, tidak lakukan atau kerjakan atau suruh). Bahawa sesungguhnya telah celaka atau rosak umat-umat sebelum kamu (yakni, umat-umat zaman para nabi dan rasul yang terdahulu) kerana banyak pertanyaan mereka dan juga perselisihan mereka terhadap nabi-nabi mereka. Apabila aku perintahkan dengan sesuatu, kerjakanlah sekuat mampu kamu, dan apabila aku larang tentang sesuatu, maka tingalkanlah!] [Hadith Muslim]
Hadith di atas itu mengulangi perintah Allah (a.w) bahawa ibadah haji itu telah difardukan atas manusia, khususnya orang Islam dan beriman. Apabila Rasulallah (s.a.w) memberitahu sedemikian, seorang hadirin ketika itu bangun bertanya kepada Rasulallah (s.a.w) apakah ibadah haji tersebut perlu dikerjakan setiap tahun. Pertanyaan tersebut menyebabkan Rasulallah (s.a.w) terdiam. Kerana inginkan kepastian, yang bertanya itu mengulangi pertanyaannya sebanyk tiga kali. Maka dijelaskan oleh Rasulallah (s.a.w) bahawa jikalah beliau mengiyakan (membenarkan) pertanyaan sipenanya tersebut, pastilah ibadah haji sekali setahun menjadi wajib. Jika demikian tidak mampu mereka kerjakan. Haji itu tidak perlu diulangi. Kerana jika dikerjakan semata-mata kerana mengabdikan diri kepada Allah (a.w) dengan penuh keikhlasan serta keinsafan dan orang yang mengerjakan haji itu berubah menjadi orang Islam yang soleh – mengerjakan apa yang disuruh (mengikut al-Quran dan as-Sunnah) dan meninggalkan apa-apa yang dilarang (mengikut ketetapan al-Quran dan as-Sunnah). Jika ibadah haji itu dikerjakan oleh kita bertepatan dengan peraturannya, terutama mematuhi larangan tidak menyetubuhi isteri dan melanggar pantang larang haji sebelum tamat hajinya, maka dapatlah kita ‘haji mabrur’. Haji mabrur itu menjamin pelakunya bersih dari dosa seolah-olah baru dilahirkan oleh ibunya, yakni dalam keadaan fitrah. Dan, ganjarannya adalah syurga.
Dalam hadith berikut pula ketetapan yang sama disebutkan oleh perawi hadit, Abu Hurairah (r.a), semasa Rasulallah (s.a.w) berkhutbah di hadapat para sahabat. Hadith ini sama dengan hadith yang diriwayatkan oleh Muslim di atas tadi:
Menceritakan hadith dari Muhammad bin Ziadin hadith dari Abu Hurairah (r.a) berkata: ‘Berkhutbah Rasulallah (s.a.w) atas manusia, bersabda dia: ‘Innallaha ‘aza wajal: ‘Qad farada ‘alaikumul hajja’.'[Maksud: Sesungguhnya Allah (a.w) Yang Maha Mulia lagi Maha Agung berfirman: Sungguh-sungguh difardukan (yakni, diwajibkan) atas kamu sekelian (ibadah) Haji’. Maka berkata seorang lelaki: ‘Di dalam setiap tahun?’ Maka terdiam (Nabi (s.a.w)) sehingga ditanyakan tiga kali, maka bersabda dia: ‘Lau kultu na’am lawajabat walau wajabat ma qumtum biha. Zaruni ma taraktukum fainnama halaka man kana qablahum bi kathrati sualuhum wahtilafihim ‘ala ambiaihim faiza amartukum bisyai-in fakhuzuhu mastotahtum wa-iza nahatukum ‘an syai-in fajtanibuhu.' [Maksud: Jika aku katakan ‘ya’ maka menjadi wajib (apa-apa yang aku tetapkan atas kamu) dan seandainya diwajibkan, tidak mampu kamu mengerjakannya. Biarkanlah apa-apa yang aku tinggalkan (yakni, apa-apa yang aku tidak suruh, janganlah tanyakan mengenainya). Maka sesungguhnya apa-apa yang mencelakakan (atau merosakkan) barangsiapa (kaum-kaum) sebelum kamu (yakni, kaum-kaum dahulu zaman nabi dan rasul dahulu) kerana memperbanyakkan soal terhadap dan berselisih faham dengan nabi-nabi mereka, maka apabila memerintah aku akan kamu sesuatu maka ambillah sekuat mampu kamu, dan apabila menegah aku akan kamu sesuatu, maka tinggalkanlah.] [Hadith an-Nasa’i, Kitab Manasik Haji]
Hadith di atas memberikan kita nas dan dalil hadith mengenai wajibnya ibadah haji itu. Di dalam hadith lain kita mendapat tahu bahawa Rasulallah (s.a.w) mengerjakan haji hanya sekali (haji ini disebut ‘Haji Wada’) dan beliau mengerjakan umrah hanya empat kali. Ibadah haji itu wajib sekali seumur hidup. Ibadah umrah itu juga wajib dgn syarat dikerjakan selepas haji yg wajib - sebagai gandingan ibadah haji dan umrah. Firman Allah a.w) mengenai umrah itu menunjukkan sekurang-kurangnya sekali umrah adalah wajib dikerjakan ketika mengerjakan haji.
Ada 3 jenis haji yg boleh dikerjakan salah satunya: pertama, Haji Qiran (atau Kiran), mengerjakan haji dgn membawa kenderaan sekali ketika Tawaf mengelilingi Ka'abah, kemudian selesai haji, mengerjakan umrah pula; kedua, Haji Tamattuk, iaitu mengerjakan umrah dahulu kemudian rehat dan barulah baru mengerjakan haji ketika tiba Hari Tarwiah (i.e. 9 Zulhijjah). Yg mengerjakan haji Tamattuk dikenakan dam seekor kambing bagi setiap umrah, kerana umrah dibuat dalam Bulan Haji (1 Syawal hingga 10 Zulhijjah); dan ketiga, Haji Ifrad, iaitu mengerjakan haji kemudian setelah selesai barulah dikerjakan umrah pula. Orang yg mengerjakan Haji Ifrad tidak dikenakan dam kerana umrahnya dibuat di luar Bulan haji (1 Syawal hingga 10 Zulhijjah).
Rasulallah (s.a.w) mengerjakan Haji Qiran, manakala Aisyah (r.a) mengerjakan Haji Ifrad dan para sahabat lainnya ramai mengerjakan Haji Tamattuk, ketika mengerjakan haji bersama-sama Rasulallah (s.a.w) dalam Haji Wada' itu. Haji Rasulallah (s.a.w) adalah Haji Wada' kerana itulah saja haji yg dikerjakannya dan beliau wafat tidak lama kemudian.
[Nota: Ketetapan bahagian kedua dalam hadith di atas itu sama dengan ketetapan Allah (a.w) dalam ayat 7 Surah al-Haysr: Apa-apa yang dibawakan oleh Rasulallah (s.a.w) hendaklah kamu ambil dan apa-apa yang ditegahnya, hendaklah kamu tinggalkan. Umat dahulu telah celaka sama ada disiksa ataupun mendapat bala atau kesusahan yang amat sangat kerana banyak soal jawab terhadap nabi-nabi mereka (rujuk dalam Surah al-Baqarah bagaimana remehnya soalan yg dikemukakan oleh Bani Israil kpd Musa (a.s) tentang anak lembu, yg Allah (a.w) perintahkan melalui Musa (a.s) mereka dapatkan untuk menunjukkan siapa yg telah melakukan pembunuhan tersebut). Mereka bertanyakan kepada Musa (a.s) apakah bentuk, rupa dan sifat lembu yang hendak dikorbankan bagi mendapatkan petunjuk siapa yg membunuh.
Mengikut Abu Daud dan an-Nasa’i, lelaki yang bertanya itu namanya Aqra’ bin Habis.]
Jazakallahu khairah
No comments:
Post a Comment