Sunday, September 26, 2010

Ibadah Haji - Cara Rasulallah (s.a.w)

Assalamualaikum,
Saudara, kita lihat di bawah ini satu hadith yg panjang yg menceritakan bagaimana Rasulallah (s.a.w) mengerjakan hajinya. Segala rukun haji yg kita hendak laksanakan dalam ibadah haji kita hendaklah menepati proses yg disebutkan dalam hadith ini.

Diriwayatkan hadith dari Ja’far bin Muhammad hadith dari bapanya berkata: ‘Saya bertanya kepada Jabir bin Abdullah (r.a), kataku: ‘Ceritakanlah kepadaku tentang haji Rasulallah (s.a.w) (Haji Wada’)’, lalu dia membilang dengan jarinya sambil menggenggam sembilan jarinya dan berkata: ‘Bahawa Rasulallah (s.a.w) tinggal sembilan tahun (di Madinah) tidak mengerjakan haji, kemudian beliau mengumumkan kepada Muslimin bahawa beliau akan naik haji; maka datanglah ke Madinah para jemaah semuanya hendak ikut serta bersama Rasulallah (s.a.w) untuk pergi haji dan akan ikut beramal apa yang diamalkan oleh beliau. Maka berjalanlah kami mengikut Rasulallah (s.a.w) menuju Mekah. Ketika kami sampai ke Zulhulaifah, Asma’ bte Umais melahirkan anaknya bernama Muhammad bin Abu Bakar, sedang mereka semuanya sudah memakai ikhram; maka dia berpsesan kepada Rasulallah (s.a.w) apa yang akan diperbuatnya sesudah melahirkan anaknya; Rasulallah (s.a.w) berkata: ‘Mandilah engkau dan balutlah kain dengan rapi kemudian pakailah ikhram lagi.’

Di Masjid Zulhulaifah, Rasulallah (s.a.w) solat dua rakaat, kemudian beliau menunggang untanya sehingga tatkala sampai ke Baidak, aku lihat manusia ramai menunggang dan berjalan kaki mengelilingi Rasulallah (s.a.w) di kiri dan di kanannya di depan dan di belakangnya. Ketika itu turunlah ayat Allah (a.w) dan beliau mengerti maksud tujuannya antara lain apa-apa yang dikerjakan beliau dalam haji itu sebagai pegangan (yakni, sunnah) bagi pengikutnya. Kemudian beliau membaca Talbiah dan orang-orang ramai membacanya pula sama dengan apa yang disebut oleh Rasulallah (s.a.w). Beliaupun menegur mereka dengan sesuatu teguran dan tetaplah Talbiah seperti sehingga sekarang.’

Berkata lagi Jabir (r.a) (katanya): ‘Kami tidak meniatkan selain dari Haji kerana kami belum mengetahui Umrah, hingga ketika kami bersama Rasulallah (s.a.w) sampai di Baitullah (Mekah) beliau mengusap salah satu sudut Baitullah (iaitu Sudut Yamani dan Sudut Hajar Aswad), kemudian beliau Tawaf Kudum (yakni, Tawaf Selamat Datang) dengan berlari-lari anak keliling Baitullah tiga pusingan (yang mula-mula) dan berjalan perlahan empat pusingan (selepasnya), kemudian beliau menuju ke Makam Ibrahim solat di situ dibacanya ayat al-Quran (ketika berjalan ke Makam Ibrahim itu) ‘Wat-takhizu min maqami ibrahima mussolla’ [Maksud: Jadikanlah Makam Ibrahim tempat kamu bersolat] dan menjadikan olehnya Makam Ibrahim terletak antara beliau dan Baitullah’ (dan pada keterangan yang lain dari Jabir), bahawa Rasulallah (s.a.w) dalam solat itu membaca ‘Qul Huallahu Ahad’ (rakaat pertama) dan ‘Qul Ya aiyuhal kafirun’ (rakaat kedua). Selesailah solat beliau, mencium Hajar Aswad’ kedua kalinya, kemudian keluar dari pintu masjid menuju ke Bukit Safa. Keika beliau (berjalan ke Bukit Safa itu) dia membaca ayat: ‘Innas sofa wal-marwata min sya’arilllaha’ [Maksud: Sesungguhnya Sofa dan Marwah salah satu syiar Allah (a.w.)’ dan akan memulai apa yang diperintah Allah (a.w) memulainya. Maka dimulainya dari Bukit Sofa lalu beliau naik ke kaki Bukit Safa sehingga terlihat Baitullah, sambil menghadapnya beliaupun membaca (menyebut): 'Lailaha illallah wa’dahu la syarika lahu lahul-mulku wa-lahul hamdu wahua ‘ala kulli syai-in qadiru, lailaha illallahu wa’dahu anjaza wahdahu wa-nasara wa’dahu wa-nasara ‘abdahu wa-hazamall-akhzaba wa’dahu.' [Maksud: Tiada tuhan kecuali Allah (a.w), tiada yang menyamainya, dab bagiNya kerajaan dan bagiNya segala pujian, dan Dia atas segala sesuatu maha berkuasa. Tiada tuhan kecuali Dia yang esa ... ]. Kemudian beliau berdoa. Ucapan begini diulanginya tiga kali berulang-ulang. Kemudian beliau turun dari Bukit Safa menuju ke Bukit Marwah dan ketika kedua kakinya memijak Wadi (yakni, lurah, sekarang kawasan antara dua lampu hijau) beliau berlari-lari kecil (yakni, berlari-lari anak) sampai permulaan pendakian bukit Marwah dari sana beliau berjalan biasa/perlahan sehingga sampai ke bukit Marwah. Di kaki Bukit Marwah itu diperbuatnya pula sebagaimana yang telah diperbuatnya di kaki bukit Safa, sehingga ketika beliau mengakhiri Sa’inya di Marwah, dia bersabda: ‘Kalau aku belum kerjakan apa yang telah aku perbuat, nescaya aku tidak akan mengiringi hadiah dan ku kerjakan Umrah; maka barangsiapa yang tidak memiliki hadiah (yakni, sesuatu untuk membayar dam, hendaklah dia tahlul dan mengubah (niat) hajinya kepada Umrah.’ Kemudian bertanya Suraqah bin Malik katanya: ‘Wahai Rasulallah (s.a.w)! Apakah yang demikian itu untuk tahun ini saja ataukah untuk seterusnya?’ Maka memancakan Rasulallah (s.a.w) jari-jari kedua tangannya satu dengan yang lain dan bersabda: ‘Memasukkan umrah ke dalam haji’, kata-kata itu diulanginya dua kali, kemudian beliau bersabda: ‘Tidak! Bahkan untuk selama-lamanya’. Waktu itu Ali (r.a) datang dari Yaman membawa unta Nabi (s.a.w), maka didapatinya Fatimah (r.ah) tergolong dari orang-orang yang sudah Tahlul dan sudah memakai kain yang bercelup dan matanya bercelak. Perbuatan Fatimah (r.ah) itu dapat teguran dari Ali (r.a) tetapi Fatimah (r.ah) menjawab katanya: ‘Bapaku menyuruhku berbuat seperti demikian ini’. Berkata Ali (r.a): ‘Kemudian pergi aku kepada Rasulallah (s.a.w) sambil mencela perbuatan yang dilakukan oleh Fatimah (r.ah) dan bertanya kepada beliau tentang perbuatan itu dan akupun telah mencegahnya.’ Lalu beliau (Nabi) menjawab: ‘Benar Fatimah (r.ah)!’ Rasulallah (s.a.w) bertanya kepada Ali (r.a): ‘Bagaimana ucapanmu ketika kamu memulakan mengerjakan haji?’ Jawab Ali (r.a): ‘Aku katakan: ‘Wahai Tuhanku! Aku ikhram dengan apa yang diikhramkan oleh Rasulallah (s.a.w).’ Bertanya lagi Ali (r.a): ‘Tetapi aku datang membawa hadiah, bagaimana?’ Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Jangan kamu bertahlul.’

Berkata Ja’far (r.a): ‘Adapun semua hadiah yang dibawa Nabi (s.a.w) dan orang-orang yang membawa hadiah.’ Dan hari kedelapan bulan Haji, berangkatlah rombongan bersama Rasulallah (s.a.w) menunggang kenderaannya menuju ke Mina dengan niat mengerjakan haji. Dan, di Mina beliau solat Zohor, ‘Asar dan Maghrib, Isya’ dan Subuh, dan menanti sebentar sehingga matahari naik (waktu Duha). Dan Rasulallah (s.a.w) memerintahkan supaya ada yang berangkat dahulu, untuk mendirikan khemah di Namirah (satu tempat dihujung Arafah). Dan adalah orang-orang Quraisy menyakini bahawa beliau dan rombongannya akan Wukuf di Muzdalifah sebagaimana kebiasaan orang-orang Quraisy di zaman jahiliah, tetapi Rasulallah (s.a.w) meneruskan perjalanannya menuju ke Arafah dan sebelum beliau memasukki Arafah, beliau dapati khemah dikembangkan di Namirah lalu beliau berhenti melepaskan lelah di sana hingga tatkala naik matahari beliau menunggang unta Qaswa dan masuk ke Arafah, kemudian beliau berkhutbah: ‘Inna dama-akum wa-amwalakum haramun ‘alaikum kahurmati yaumikum haza fi syahrikum haza baladikum haza la kullu syai-in min amri jahiliati tahta qadamaiya maudu’un wariayal jahiliati maud’un wa-auwalul riba ada’u ribana ‘abbasIbni ;abdil mutalibi, fainnahu maudu’un kulluhu fattaqullaha; fin-nisai fainnakum akhaztumuhunna bi-amanillahi was-tahlaltum furujahunna bikalimatillahi wa-lakum ‘alaihinna allayu’tikna furusyakum ahadan takrahunahu fain fa’alna zalika fadribuhunna darban ghaira mubarrihin, walahunna ‘alaikum rizkuhunna wa-kiswatuhunna bil-mak’rufi; waqad taktu fikum ma lan taddillu ba’dahu inistota’tum bihi kitabbalahi, wa-antum tasaluna ‘anni fama fa-antum qailuna.' [Maksud: Sesungguhnya pertumpahan darah dan rampasan harta sesama kamu diharamkan, sebagaimana haramnya berperang pada hari ini, bulan ini dan dalam negeri ini. Ingatlah! Semua perbuatan jahiliah aku batalkan. Dan, riba jahiliah dibatalkan juga. Dan mula-mula riba yang dibatalkan adalah riba Abbas bin Abdul Mutalib (bapa saudaranya), semua itu telah dibatalkan. Dan, peliharalah hak-hak kaum wanita kerana mereka diambil (yakni, dinikahi) dengan amanah dari Allah (a.w). (Farji) mereka halal kamu campuri (yakni, setubuhi) dengan ijab Kabul yang sesuai dengan aturan Allah (a.w). Dan, hak suami terhadap isterinya ialah agar mereka tidak membiarkan orang luar yang dibenci si-suaminya datang ke rumahnya. Kalau kaum wanita berbuat demikian maka ajarlah wanita itu dengan pukulan yang ringan. Dan, hak isteri terhadap suami ialah (suaminya) memberi nafkah dan pakaian yang layak (yakni, sesuai dengan kedudukannya). Sesungguhnya aku tinggalkan padamu suatu yang selama-lamanya tidak kamu akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepadanya, ialah Kitab Allah (a.w) (yakni, al-Quran). Andai kata kamu ditanya tentang diriku, maka dengan apa kamu menjawab?’ Mereka menjawab: ‘Kami menjadi saksi bahawa engkau telah menyampaikan ugama Allah (a.w), menunaikan kewajipan dan telah menasihatkan.’ Kemudian beliau menunjukan ke arah langit dan ke arah orang ramai sambil bersabda: ‘Ya Allah (a.w)! Saksikanlah, Ya Allah (a.w)! Saksikanlah. Ya Allah (a.w) Saksikanlah!’ (yakni, tiga kali). Setelah itu beliau azan kemudian iqamah (qamat) lalu beliau solat Zohor kemudian qamat lagi lalu solat ‘Asar (yakni, solat jama’ takdim) dan tidak suatu solatpun beliau kerjakan diantara dua solat itu. Selesai beliau solat, beliau berangkat menuju tempat Wukuf sambil mengadap qiblat menunggang unta diberhentikannya dekat batu-batu di lereng bukit Rahmah (Jabal Rahmah), dan kaum Muslimin yang berjalan kaki berdiri di hadapan beliau, begitulah setrusnya beliau berwukuf di Arafah itu sambil menghadap qiblat sampai terbenam matahari dan hilang mega merah.

Kemudian Rasulallah (s.a.w) meneruskan perjalanannya sambil Usamah memimpin untanya sehingga kepala untanya menyentuh bantal pelana dan berkata sambil memberi isyarat dengan tangan kanannya berkata ‘Tenteram! Tenteram’ (kepada unta itu), dan setiap kali mendaki bukit dikendurkannya tali (ikatan) leher untanya supaya mudah mendaki, sehingga sampailah beliau di Muzdalifah, lalu beliau solat Maghrib dan Isya’ (yakni, jama’ takdim) dengan satu azan dan dua iqamah dan tidak satu solat sunatpun beliau kerjakan antara dua solat fardu tersebut. Kemudian berbaring tidur hingga naik fajar lalu beliau solat Subuh dengan azan dan qamat, kemudian ditunggangnya untanya sampai ke Masaril Haram dan menghadap qiblat. Di sana beliau berdoa, mengagungkan Allah (a.w) dan mentauhidkanNya, dan terus beliau berhenti di tempat itu hingga langit telah kuning. Sebelum matahari terbit beliau berangkat sambil menarik al-Fadli bin Abbas, sampai di tengah Padang Makhsyar, lalu beliau melarikan untanya ikut jalan tengah yang menuju Jamratul Qubra (i.e. Jamrah Aqabah) setelah itu beliau melontar Jamratul dengan tujuh batu kecil sambil mengucap takbir (Allahu Akbar) pada tiap kali melontar batu itu. Dari sana beliau pergi ke suatu tiang lalu menyembelih 63 unta dengan tangan beliau sendiri dan selebihnya disembelih oleh Ali (r.a) sebagai hadiah bersama-sama dengan orang-orang lain. Sesudah itu beliau memerintahkan mengambil sepotong daging dari tiap-tiap unta yang disembelih lalu dimasak dan dimakan Rasulallah (s.a.w) dagingnya dan meminum kuahnya. Kemudian Rasulallah (s.a.w) menaiki untanya lagi dan bersama-sama menuju Baitullah untuk Tawaf (Ifadah); hari itu beliau solat Zohor di Mekah.

Kemudian beliau mendatangi orang-orang suku Abdul Mutalib sedang menimba air zam-zam sambil berkata: ‘Berilah kami minum wahai Abdul Mutalib. Sesungguhnya kalau tidaklah khalayak ramai akan salah anggapan nescaya aku menolongmu menimba’, maka mereka memberi beliau setimba air zam-zam lalu beliau meminumnya.’ [Hadith Muslim, Bab Haji]

Jazakalahhu khairah

No comments:

Post a Comment