Sunday, September 26, 2010

Ibadah Haji (Samb.) - Wukuf di Arafah dll

Assalamualaikum,
Saudara, kita telah teliti bahawa ibadah haji itu bermula setelah kita melafazkan niat haji di Miqat (iaitu: 'Labbaika, Allahumma Hajjan'). Ini telah kita teliti dalam post yg lalu.
Setelah melafazkan niat, kita kembali dari Miqat menuju ke Mekah dan sepanjang perjalanan itu kita membaca Talbiah (iaitu: 'Labbaikallahumma labaik, labbaika la syairikala kalabaik; Innal hamda wan-nikmata, lakawal-mulk, la syarika lak') berulang-ulang sampailah ke kediaman kita. Kemudian menunggu untuk ertolak ke Arafah untuk Wukuf. Kita lihat seterusnya proses tersebut.

Wukuf di Arafah

Pada 9 Zulhijjah bertolak ke Arafah untuk Wukuf. Dalam perjalanan kita digalakkan sebanyak mungkin membaca Talbiah mengulanginya sebanyak yg mungkin. Wukuf bermula setelah tergelincir matahari (i.e. waktu Zohor) sampai matahari terbenam (i.e. masuk waktu Maghrib). Ketika mula Wukuf itu mengerjakan Solat Zohor dan ‘Asar qasar dengan menjamakkan dan mengqasarkan (i.e. jama’ taqdim), kemudian duduk di khemah, memperbanyakkan doa ketika Wukuf itu. Antara doanya adalah: ‘Allahumma lakal hamdu kallazi taqulu wa-khairan mimma naqul. Allahumma laka solati wa-nusuki wa-mahyaya wa-mamati wa-ilaika mabi wa-laka rabbi turathi. Allahumma inni a’uzubika min ‘azabil qabri wa-waswasatis-sodri wa-syatatil amri. Allahumma inni a’uzubika min syarrima tajiu bihi rihu’ (hadith at-Termidzi).

Selain memperbanyakkan doa, kita juga digalakkan berzikir, berwirid dan membaca al-Quran sebanyak mungkin sekuat mampu. Hendalah diingatkan bahawa di Arafah doa-doa yang dibaca mustajab, yakni dimakbulkan oleh Allah (a.w).

Mabit di Muzdalifah

Pada malam 10 Zulhijjah, selepas matahari terbenam (yakni, setelah masuk waktu Maghrib) bertolak dari Arafah ke Muzdalifah sambil memperbanyakkan bacaan Talbiah dalam perjalanan dan diselangi dengan bacaan Takbir (iaitu: ‘Allahu Akbar (3x); Lailaha ilallah wallahu Akbar; Allahu Akbar wa-lillahil-hamd’) berulang-ulang. Singgah yakni mabit di Muzdalifah untuk mengerjakan Solat Maghrib dan Solat Isya’ dengan dijama'kan dan diqasarkan (i.e. jama’ takhir), dan kemudian mengutip batu-batu kecil untuk lontaran di jamrah. Kemudian tidur di kawasan Muzdalifah sambil terus berdoa sebanyak-banyaknya, dan kemudian bangun bersolat Solat Subuh.

Kita perlu mengutip 7 batu kecil untuk lontaran pertama pada 10 Zulhijjah di jamrah Aqabah. Kita juga perlu kutip batu-batu kecil untuk melontar ketiga-tiga jamrah pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah - iaitu 7 batu setiap jamrah dikali dgn 3 jamrah dan dikali dgn 3 hari, menjadikan jumlah batu yg kita perlukan 7 + 7 x 3 x 3 = 70 batu kecil semuanya. Dikhuatiri kelak ada lontaran yg tidak mengenai jamrah, maka hendaklah kita sediakan batu tambahan secukupnya.

Sebelum terbit matahari hendaklah kita keluar Muzdalifah berangkat menuju Mina. Di Minalah kita melontar jamrah. Mula-mula melontar Jamrah Aqabah dalam waktu Duha (10 Zulhijjah) dan kemudian melontar ketiga-tiga jamrah pula - Jamrah Ula, Wusta dan jamrah Aqabah (11, 12 dan 13 Zulhijjah).

Bermalam di Mina, Melontar Jamrah Aqabah dan Tahlul Awal

Ketika sampai ke Mina, keluar melontar Jamrah ‘Aqabah dengan 7 biji batu-batu kecil pada waktu Duha (i.e. antara jam 8.30 pagi hingga 11.30 pagi) tanggal 10 Zulhijjah. Setiap lontaran pastikan mengenai jamrah sambil menyebut ‘Bismillah, Allahu Akbar’, dan selesai Tahlul Awal dan kita boleh menanggalkan ikhram dan gugurlah pantang larang berikhram/haji kecuali pantang larang hubungan suami isteri seperti bercumbu-cumbu dan sebagainya (yakni, mukaddimah persetubuhan) kekal belum gugur.

Ada jema'ah haji yg ingin menyelesaikan hajinya secepat mungkin, maka selepas melontar Jamrah Aqabah mereka kembali ke Mekah, yakni ke Masjidil Haram, untuk mengerjakan Tawaf Ifadah dan Sa'i haji. Kemudian setelah selesai mereka kembali ke Mina untuk melontar ketiga-tiga jamrah pada keesokan harinya, iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Insya Allah dalam post kemudian kita akan teliti apakah pantang larang atau larangan dengan terperinci setelah memakai ikhram dan melafazkan niat haji.

Melontar Tiga Jamrah Hari-hari Tasrik

Pada 11 dan 12 Zulhijjah melontar ketiga-tiga jamrah – mulai dengan Jamrah Ula, kemudian Jamrah Wusta dan akhirnya Jamrah Aqabah, 7 kali lontaran dengan batu-batu kecil setiap satu jamrah, dua hari berturut-turut (iaitu 11 dan 12 Zulhijjah). Waktu melontar adalah setelah tergelincir matahari (i.e. masuk waktu Zohor) sampai sebelum terbit matahari (i.e. tamat waktu Subuh esok harinya). Setiap lontaran hendaklah pasti mengenai jamrah dan dengan menyebut ‘Bismillah, Allahu Akbar’. Pada 12 Zulhijjah, sebelum masuk waktu ‘Asar, hendaklah meninggalkan Mina (Nafar Awal). Jika tidak sempat keluar Mina sebelum waktu ‘Asar tanggal 12 Zulhijjah, hendaklah tinggal sehari lagi, dan melontar ketiga-tiga jamrah pada 13 Zulhijjah (Nafar Thani).

Setelah selesai melontar, kembali ke Mekah untuk menyempurnakan Tawaf Ifadah (yakni, Tawaf Haji) dan Sa’i, maka selesailah ibadah haji dan gugurlah pantang larang berikhram yang bakinya (iaitu hubungan suami isteri). Setelah selesai Tawaf dan Sa’i itu maka halallah hubungan kelamin suami isteri.

Mengerjakan Tawaf Ifadah dan Tahlul Akhir

Kembali ke Mekah untuk mengerjakan Tawaf Ifadah dan Sa’i jika belum mengerjakan Tawaf sebelum berangkat ke Arafah dahulu. Setelah Tawaf Ifadah, maka selesailah rukun Haji, dan sudah Tahlul Akhir, gugurlah segala pantang larang haji/ikhram, dan sempurnalah ibadah haji.

Yg ditetapkan adalah kita melontar Jamrah Aqabah pada 10 Zulhijjah untuk Tahlul Awal, yakni kita boleh bercukur atau memotong bebarapa helai rambut. Dgn itu lucutlah kebanyakan pantang larang atau larangan ikhram/haji kecuali larangan bersabit dengan hubungan suami isteri, terutama hubungan kelamin. Kita boleh melakukan NafarAwal iaitu melontar ketiga-tiga jamrah pada 11 dan 12 Zulhijjah, dgn syarat kita meninggalkan Mina sebelum masuk Waktu 'Asar. Jika kita tidak sempat meninggalkan Mina apabila Waktu 'Asar sudah tiba, maka kita wajib terus berada di Mina sehari lagi untuk melontar tiga jamrah pada 13 Zulhijjah, baru keluar dari Mina, yakni Nafar Thani.

Jika kita tidak kembali ke Mekah selepas melontar Jamrah Aqabah pada 10 Zulhijjah untuk mengerjakan Tawaf Ifadah dan Sa'i, maka apabila kembali ke Mekah kita kerjakanlah Tawaf Ifadah dan Sa'i tersebut. Setelah selesai mengerjakan Tawaf Ifadah dan Sa'i, maka selesailah ibadah haji kita (Tahlul Akhir) dan gugurlah pantang larang atau larangan ikhram/haji melibatkan hubungan suami isteri itu.

Demikianlah selesainya rukun haji dan pada lahiriahnya dapatlah kita title haji bagi mereka yg inginkan dipanggil orang Haji Sifolan atau Hajjah Sifolan. Sama ada haji yg kita kerjakan itu adalah haji mabrur bergantung kpd pencapaian kita dalam rukun qalbinya, rukun fe'linya dan rukun qaulinya serta ketakwaan serta keikhlasan kita dalam mengerjakannya. Orang yg mendapat haji mabur, balasannya adalah syurga.

Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment