Assalamualaikum,
Saudara, dalam satu post yg lalu kita telah tahu bahawa ibadah haji itu seelok-eloknya dikerjakan seawal mungkin apakala kita sudah mampu. Kemampuan itu dalam dua dimensi: pertama, mampu dari segi mengadakan kewangan untuk membolehkan kita pergi ke Mekah untuk mengerjakannya; dan kedua, kita dikurniakan Allah (a.w) kesihatan yg cukup untuk mengerjakannya. Ramai orang Melayu tersilap. Pada mereka mampu itu apabila mereka sudah bersedia secara spiritual untuk menunaikan haji. Mereka hanya sudah bersedia secara spiritual, kata mereka, tatkala sudah tua.
Kita telah diperingatkan oleh Rasulallah (s.a.w) bahawa apakala telah mampu untuk mengerjakan haji, hendaklah disegerakan mengerjakannya. Kita juga diperingatkan bahawa jikalah setelah kita mampu dan kita lambat-lambatkan menunaikan ibadah haji kita, ditakdirkan sampai ajal kita, dan kita mati tanpa sempat mengerjakan haji, maka kita dihukum mati sebagaimana orang Nesrani dan Yahudi mati, yakni mati kafir. Wal iyazubillah. Oleh itu berwaspadalah. Segerakanlah menunaikan haji secepat mungkin.
Seperkara yg Islam galakkan seseorang itu menunaikan haji secepat mungkin, ketika masih muda, kesihatan yg maksiumum, dan kekuatan fisikal yg cukup baik serta kekuatan mental yg mantap ketika muda, adalah manfaatnya mengerjakan haji dengan berjalan kaki. Sesiapa yg mengerjakan 'haji masyian' - haji dgn berjalan kaki tanpa menggunakan kenderaan mendapat pahala sebanyak atau bersamaan dengan 70 kali haji dengan kenderaan! Alangkah beruntungnya orang yg mampu melakukannya! Haji masyian ini memerlukan kekuatan fisikal - tubuh yg sihat dan juga keazaman yg tinggi. Dua perkara ini selalunya ada bersama-sama dgn orang-orang yg masih muda umurnya, sekitar 35 hingga 45 tahun.
Rasulallah (s.a.w) memberi kita tahu bahawa pahala haji itu bergantung kepada kepayahan mengerjakannya. Justeru itu, dalam hadith berikut disebutkan bahawa orang yang mengerjakan haji dengan berjalan kaki mendapat pahala haji sebanyak 70 haji, manakala orang yang berkenderaan naik haji hanya mendapat satu pahala haji.
Diriwayatkan hadith dari Abu Hurairah (r.a): ‘Nabi (s.a.w) bersabda: ‘Bagi orang yang berjalan kaki mengerjakan haji pahalanya 70 kali haji dan bagi orang yang mengerjakan haji menaiki kenderaan pahalanya satu haji.’ [Hadith riwayat ad-Dalami dalam Kanzil Umal]
Zaman dahulu lebih payah menunaikan ibadah haji berbanding dengan sekarang. Oleh itu, seseorang yang berjalan kaki mengerjakan haji dari 8 Zulhijjah sampai 13 Zulhijjah, mendapat ganjaran pahala 70 haji apabila menyempurnakan satu pekerjaan haji.
Saudara, eloklah manfaatkan kelebihan yg disediakan oleh Allah (a.w) untuk mendapat kurnian yg besar ini. Kalaupun ada, tak ramai orang yg mampu mengerjakan haji sebanyak 70 kali dalam hidupnya, walaupun mereka mungkin panjang umurnya, dan murah rezkinya dikurniakan Allah (a.w). Malah, ramai orang Islam tinggal berhampiran dgn Masjidil Haram, namun tidak memanfaatkan kesempatan yg begitu bernilai ini. Apatah lagi bagi kita yg berada jauh dari negara Arab (naik kapalterbangpun memakan masa penerbangan 8 jam dari KLIA untuk sampai ke Jeddah, Arab Saudi).
Malah, disebutkan dalam hadith berikut, bukan itu sahaja. Gandaan pahalanya lebih banyak lagi.
Diriwayatkan hadith dari Ismail bin Abi Khalid hadith dari Zadan berkata: ‘Jatuh sakit Ibnu Abbas (r.a) suatu sakit yang bersangatan, maka memanggil dia akan anak-anaknya, maka mengumpulkan mereka sekelian, maka berkata dia: ‘Aku mendengar Rasulallah (s.a.w) bersadba: ‘Man hajja min makkata masyian hatta yarji’u ila makkata katabaallahu lahu bikulli hatwatin sab miati hasanatin mithla hasanatil-harami.' [Maksud: Barangsiapa haji dari Mekah berjalan kaki sehingga kembali ke Mekah ditulis Allah (a.w) baginya dengan tiap-tiap langkahnya 700 kebaikan, setiap kebaikan seumpama kebaikan al-Haram.’] Dikatakan (yakni, ditanya oleh) para sahabat: ‘Apa dia kebaikan al-Haram?’ Bersabda (Rasulallah (s.a.w): ‘Bagi setiap kebaikan 100,000 kebaikan (i.e. digandakan pula sebanyak itu, i.e. 100,000 kebaikan)’.] [Hadith al-Hakim, di dalam al-Mustadrak, Kitab Manasik]
Oleh kerana haji dan umrah itu dilakukan di tanah haram, di Mekah, maka ganjaran pahala bagi setiap ibadah dan amalan yang dilakukan dalam tanah haram di Mekah adalah 100,000 kali pahala berbanding jika dilakukan di luar tanah haram. Maka dengan itu apabila dikerjakan di Mekah (yakni, Masjid al-Haram), maka gandaan pahalanya adalah 700 x 100,000 atau 70,000,000 gandaan pahala. Alangkah pemurahnya Allah (a.w) kepada kita!
Begitulah pemurahnya Allah (a.w). walaupun kita membelanjakan wang ringgit untuk diri kita serta keluarga kita yang kita tinggalkan ketika mengerjakan haji itu dikira seumpama berbelanja fi sabilillah. Jika demikian pastilah ganjaran pahalanya melebihi 700 gandaan yang disebutkan bagi setiap amalan soleh yang kita lakukan.
[Nota: Setiap amal makruf itu diberi ganjaran pahala oleh Allah (a.w) dengan gandaan 10 hingga 700 kali gandaan, kecualilah amal makruf yang dikerjakan dalam bulan Ramadhan yang ganjaran pahalanya kita tak diberitahu tetapi melebih gandaan 700 kali itu. kalau gandaan minima 10 maka dapatlah 10 x 100,000 = 1,000,000 gandaan pahala. Tapi, disebutkan di dalam hadith berikut dalam ibadah haji gandaan pahala setiap sesuatu itu adalah 700 gandaan. Bermakna setiap amal makruf semasa haji dapat 700 x 100,000 = 70,000,000 gandaan. Alangkah besarnya pahala itu.
Sesungguhnya kurniaan Allah (a.w) itu begitu banyak serta berbagai pula. Kalaulah kita tahu ilmunya. Dan, setelah tahu ilmunya, kita berusaha mengerjakannya, kitalah yg untung.Tidak ramai orang Islam yg belajar ilmu as-Sunnah. Kerana itu mereka tidak tahu kurnian Allah (a.w). Alangkah beruntungnya seseorang yg sihat dan mampu mengerjakan haji dengan berjalan kaki, dapat pahala seumpama mengerjakan haji sebanyak 70 kali dengan berkenderaan. Begitu jugalah, amat beruntungnya seseorang yg mampu beriktikaf di masjid berqiamul-lail, pada setiap malam, 10 malam terakhir Ramadhan, dan berjaya menemui lailatul-Qadr itu mendapat pahala amalan soleh orang yg menumpukan sepenuh hidupnya tidak melakukan sedikitpun dosa sambil beramal dan beribadah kpd Allah (a.w), dia mendapat ganjaran pahala seoleh-olah mengabdikan diri kpd Allah (a.w) sepenuh masa selama 1,000 bulan atau 83.3 tahun!]
Maka dgn itulah Islam galakkan kita mengerjakan haji ketika muda, kerana ketika itu kita memiliki kesihatan yg terbaik serta kekuatan yg optimum serta keteguhan mental yg tinggi pula. Malangnya, ramai orang muda jahil tentang as-Sunnah, maka mereka tidak tahu. Ramai pula yg menumpukan hal ehwal dunia, mereka hanya mula fikirkan akhirat ketika sudah berumur.
Jazakallahu khairah
No comments:
Post a Comment