Assalamualaikum,
Saudara, sebagai seorang Islam yg akui dirinya beriman, kita wajib maklum dan faham betapa utamanya ibadah Solat Jum'at dalam Islam. Di bawah ini diturunkan tiga potongan hadith yg menyebutkan akibat seseorang lelaki Islam yg tidak dalam keadaan uzur syar'i atau dalam musafir tidak mengerjakan Solat Jum'at tiga kali berturut-turut:
(1) Diriwayatkan hadith dari Abu al-Ja‘di adh-Dhamriy bahawa Rasulallah (s.a.w) bersabda: 'Sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali tanpa keuzuran maka dia adalah munafiq.' [Hadith Ibnu Hibban]
(2) Diriwayatkan hadith daripada Ibnu ‘Abbas (r.a) berkata bahawa Rasulallah (s.a.w) bersabda: 'Barangsiapa yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut maka dia telah membuang Islam itu di belakangnya (yakni, dia meninggalkan Islam).' [Hadith Abu Ya'la]
(3) Diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud (r.a) bahawa Nabi (s.a.w) pernah bersabda kepada satu kaum yang tidak bersolat fardu Jumaat: 'Aku mememerintahkan supaya seorang lelaki itu bersolat dengan berjemaah, kemudian aku berazam untuk membakar rumah-rumah mereka (lelaki) yang meninggalkan solat berjema'ah.' [Hadith Muslim]
Saudara, syariat Solat jum'at itu (sebagaimana yg kita telah maklum dalam tulisan/post dalam blog ini sekian tahun) adalah satu kewajipan terhadap semua orang lelai yg akui dirinya Islam. hadith berikut adalah pengistiharan oleh Rasulallah (s.a.w) mengenai perkara ini:
Diriwayatkan hadith daripada Jabir bin Abdullah (r.a) berkata: ‘Telah berkhutbah Rasulallah (s.a.w) pada suatu hari, dengan sabdanya: ‘Wahai sekelian manusia! Bertaubatlah kamu kepada Allah (a.w) sebelum sesungguhnya dimatikan kamu. Dan cepatlah kamu sekelian beramal soleh sebelum sebok kamu. Dekatkanlah antara kamu sekelian dan antara Tuhan kamu. Perbanyakkanlah ingatkan (yakni, bersolat sunat, berzikir dan sebagainya) oleh sekelian kamu kepadaNya. Dan perbanyakkanlah oleh sekelian kamu akan sedekah di dalam senyap-senyap (yakni, tanpa diketahui orang) dan secara terang-terang (yakni, diketahui oleh orang sekalipun tetapi tanpa perasaan riak diri), memberi rezki pada kamu (oleh Allah (a.w)) dan semoga ditolongNya kamu dan ditampalnya (kekurangan amalan dan pahala kamu kerana sedekah itu). Ketahuilah sesungguhnya Allah (a.w) telah memfardukan atas kamu sekelian solat Jum’at di dalam tempat ini, di dalam hari ini, di dalam bulan ini, dari tahun ini sehinggalah ke hari Qiamat. Maka barangsiapa meninggalkannya di dalam hidupnya atau sesudah tiada aku (yakni, setelah wafat aku), dan baginya (kamu diperintahkan oleh) imam yang ‘adil ataupun menyeleweng (yakni, yang tidak adil atau zalim mereka)(terus mengerjakannya), (sesiapa yang) meremehkannya (yakni, mengambil ringan atas solat Jum’at itu), atau menentangnya (yakni, tidak mengerjakannya), maka tidak akan dikumpulkan oleh Allah (a.w) bagi mereka pada hari huruhara (yakni, hari Akhirat), dan tidak diberkati (oleh Allah (a.w)) dalam perkara-perkara ugamanya. Ingatlah, (mereka yang sedemikian itu, yakni, yang tidak mengerjakannya atau meremehkannya atau menentang syariat solat Jum’at itu) tidak diterima (oleh Allah (a.w)) solatnya, tidak zakatnya, tidak hajinya, dan tidak puasanya, dan tidak amalan baiknya sehingga dia bertobat. Maka barangsiapa bertobat dia, Allah (a.w) zat yang Maha Penerima Tobat atas kamu sekelian. Ketahuilah, tidak boleh seorang perempuan mengimamkan lelaki. Dan tidak boleh mengimamkan orang Arab (yang tidak beriman) orang-orang yang berhijrah (yakni, muhajir). Dan tidak boleh mengimamkan orang yang derhaka (yakni, orang yang banyak dosanya) akan orang yang beriman, kecuali dipaksa dengan menggunakan kekerasan (yakni, kekuasaan kerajaan, kerana dikhuatirkan pedangnya dan cemetinya)’. [Hadith Ibnu Majjah]
Hadith di atas ini merupakan khutbah pertama bilamana syariat solat Jum’at itu difardukan oleh Allah (a.w). Perintah Allah (a.w) tersebut disampaikan oleh Rasulallah (s.a.w) kepada para sahabat dan jema’ah Islam zaman itu (dan zaman kini sebagai lanjutan syariat solat Jum’at). Ketetapan yang disebutkan di dalam hadith tersebut melibatkan beberapa perkara. Dan, dalam ketetapan Rasulallah (s.a.w) tersebut, disebutkan beberapa ancaman besar terhadap umat Islam yang tidak mengerjakan atau meremehkan atau mengambil ringan solat Jum’at ini dari diamalkan olehnya. Antara yang wajib kita ingatkan adalah sekiranya kita abaikan dan ringankan solat Jum’at itu, kesemua amalan kita (fardu dan sunat) tidak diterima Allah (a.w), wal iyazubillah.
[Nota: Hadith qudsi adalah hadith yang merujuk kepada firman Allah (a.w) yang disampaikan melalui lisan atau sabda Rasulallah (s.a.w). Ibnu Majah menyatakan bahawa isnad hadith ini dhaif, kerana salah seorang daripada perawi dalam urutan perawi tersebut tidak begitu terkemuka. Tetapi yang utama adalah panduannya. Jikalah hadith ini sebenarnya sahih, maka kita abaikan ketetapannya kitalah yang rugi. Sebagai panduan hidup amat wajar diteliti, hanya sebagai hukum kita tidak boleh sandarkan atas hadith ini. Namun ketetapan dalam hadith tersebut di sahkan oleh hadith-hadith lain, seperti Solat Jumat itu fardu, perempuan tidak boleh mengimami lelaki, bertaubatlah sebelum tiba waktu taubat tidak diterima, perbanyakkan alan dan ibadah semasa senang, seringlah berzikir mengingatkan Allah (a.w), bersedah dan menginfaqkan harta, dan sedekah dan infaq itu mengikis dosa-dosa.]
Jazakallahu khairah
No comments:
Post a Comment