Wednesday, June 22, 2011

Pesanan Rasulallah (s.a.w)

Assalamualaikum,
Saudara, dalam post sebelum ini kita turunkan sepotong hadith yg agak panjang,. tentang suatu khutbah Rasulallah (s.a.w) kpd para sahabat, pada penghujung hayat beliau. Ada beberapa perkara dalam nasihat tersebut. Dalam post yg terdahulu itu, kita hanya teliti nasihat melihatkan perkara 'membuat pembaharuan dalam perkara ugama' atau bid'ah, dan kita telahpun buktikan bahawa dalam syariat Islam tidak ada apa yg dikatakan 'bid'ah hasanah' itu. Kita telah diperintahkan oleh Allah (a.w) supaya ambil as-Sunnah - Ayat 7, Surah al-Haysr - tapi kita ingkar. Tambahan pula, ramai umat Islam yg menentang. Walhal Allah (a.w) peringatkan kita pada Ayat 115, Surah an-Nisa' bahawa apabila sudah jelas sesuatu itu diberikan keterangan oleh Allah (a.w) dan RasulNya, maka masih ada orang yg telah diberitahu dan diperjelaskan itu menentang atau menolak, jelaslah mereka ingkar, dan tempat kesudahan bagi mereka yg ingkar itu adalah neraka jahannam, wal iya zubillah! Malangnya, hari ini majoriti umat Islam tolak ketetapan Rasulallah (s.a.w) tersebut!
Saudara, kali ini kita lihat dimensi-dimensi lain yg disebutkan dalam hadith yg kita rujuk tersebut, iaitu hadith berikut:
Menceritakan hadith oleh Abdul Rahman b ‘Amrin as-Sulamiyu dan Hujru b Hujrin berkata kedua-duanya: ‘Datang kami berdua bertemu dengan ‘Irbad b Sariah dan dia adalah orang yang diturunkan ayat (al-Quran) (Wala ‘alal-lazina iza ma atauka litahmilahum qulta la ajidu ma ahmilukum ‘alaihi), maka memberi ‘salam’ kami dan berkata kami: ‘Datang kami kepadamu berziarah dan menjenguk dan mencari ilmu kami’. Maka berkata ‘Irbad: ‘Bersolat dengan kami Rasulallah (s.a.w) pada suatu hari. Kemudian menghadap dia atas kami menasihati kami suatu nasihat yang terang (jelas) mengalirkan darinya (kerana nasihat tersebut) beberapa mata (yang mendengar Rasulallah (s.a.w) berkhutbah) dan menakutkan darinya beberapa hati (orang-orang yang mendengar khutbah Rasulallah (s.a.w) tersebut), maka berkata orang yang bertanya: ‘Wahai Rasulallah (s.a.w)! Seakan-akan bahawasanya ini satu nasihat pesanan terakhir, maka apakah pesanan (atau janji) atas kami (terhadap engkau)?’ Maka bersabda Nabi (s.a.w): ‘Usikum bi-taqwallahi was-sam’i wat-taati wain ‘abdan habasyiyan fainnahu man ya’isy minkum ba’di fasayara ikhtilafan kathiran fa’alaikum bisunnati wa-sunnatil-khulafa al-mahdiyina ar-rasyidina tamassaku biha wa-‘addu ‘alaiha bin-nawajizi, wa-iyakum wamuhdathatil-umuri fain kulla muhdathatin bid’atun wa-kulla bid’atin dolalatun.’ [Maksud: Berwasiat aku atas kamu sekelian dengan (pertama) bertaqwa kepada Allah (a.w) dan (kedua) mendengar dan taat dan jikapun seorang hamba Habsyi (menjadi amir atau imam kamu). Maka sesungguhnya barangsiapa yang hidup dari kalangan kamu sesudahku maka akan melihat perselisihan yang banyak, maka wajib atas kamu sekelian dengan sunnahku dan sunnah khulafa ar-rasyidin al-mahdiyin, berpegang teguhlah dengannya (yakni, as-Sunnah) dan gigitlah dengan gigi geraham, dan takutilah (atau, jauhilah) kamu sekelian barunya beberapa perkara (tentang ugama), maka sesungguhnya tiap-tiap barunya perkara adalah bid’ah dan tiap-tiap bid’ah adalah kesesatan. (Dan, tiap-tiap kesesatan itu tempatnya dalam neraka).] [Hadith Abu Daud]
Saudara, apakah nasihat Rasulallah (s.a.w) dalam khutbahnya tersebut? Pertama, Rasulallah (s.a.w) memerintahkan kita orang iman itu supaya sentiasalah bertaqwa (i.e. takutkan Allah (a.w)) sepanjang hidup kita. Kedua, Rasulallah (s.a.w) perigatkan kita yg beriman apabila diberitahu sesuatu dalam al-Quran dan as-Sunnah, kita wajib dengar dan taatkan apa yg diperintahkan dalam al-Quran dan as-Sunnah tersebut. Orang Iman itu diperingatkan sebagai misi hidupnya sebagai orang Islam yg beriman 'mendengar dan taat' (al-Quran) moto hidup orang iman, kemudiannya diberi rukhsah oleh Rasulallah (s.a.w), 'dengar dan taat sekuat mampu' kita. Ketiga, wajib bagi orang Islam yg beriman itu mentaati Imamnya (atau Amirnya), walaupun imamnya tidak disukai mereka atau dibenci mereka kerana sesuatu sebab sekalipun, asalkan telah diangkat menjadi Imam (i.e. pemimpin dalam jema'ah umat Islam) wajib ditaati selagi dia tidak perintahkan atau suruh lakukan sesuatu yg maksiat (yakni, bertentangan dgn ketetapan al-Quran dan as-Sunnah). Isu ketaatan atau mentaati Imam atau Amir ini, akan kita perjelaskan lagi kemudian nanti dalam penelitian kita tentang ketetapan mengenai kepimpinan atau keimaman dalam al-Quran dan as-Sunnah, insya Allah. Keempat, Rasulallah (s.a.w) membayangkan situasi atau sinario zaman selepas ketiadaan beliau atau akhir zaman kelak bila mana umat Islam akan berpecahbelah dan berfirqah, yakni menubuhkan perkumpulan terasing. tidak lagi bersatu dalam satu jema'ah umat Islam. Umat Islam, mengikut satu sabda Rasulallah (s.a.w), walaupun ramai, tetapi seumpama buih di permukaan lautan - kelihatan begitu banyak tetapi takda erti atau makna atau gunanya - kulitnya saja Islam namun hati sanubarinya tidak berbeza dari orang-orang yg bukan Islam. Tidak wujud kesefahaman dan kesatuan yg mantap! Orang Islam ramai tapi tak bersatu. Mereka saling bercakaran antara satu sama lain. Mereka bercakaran bukan kerana yg haq tetapi kerana kebatilan, kerana kejahilan. Maka dgn itu Rasulallah (s.a.w) memberitahu kita umat akhir zaman bahawa umat Islam yg akui diri mereka Islam berpecah menjadi 73 golongan atau firqah atau mazhab, tetapi 72 golongan - yakni kaum majoriti - tak dapat syurga, malah mencari syurga dgn penuh istiqamah dan kesungguhan, terjerumus dalam neraka, kerana kejahilan mereka tentang Islam dan tuntutan Islam yg haq iaitu al-Quran dan as-Sunnah sebagai asas ilmu dan panduan hidup orang iman. Mereka berpandukan selain al-Quran dan as-Sunnah. Rasulallah (s.a.w) memberitahu kita yg beriman bahawa sebaik-baik Kitab panduan ilmu dan panduan hidup itu adalah al-Quran dan sebaik-baik petunjuk tentang jalan ke syurga itu adalah petunjuk atau hidayah Rasulallah (s.a.w), iaitu as-Sunnah (atau al-Hadith). Tapi, majoriti umat Islam pertikaikan as-Sunnah atau mereka putar-belitkan tafsiran al-Quran, wal iya zubillah! Kelima, Rasulallah (s.a.w) dalam hadith di atas itu berpesan kpd kita yg beriman supaya jadikan as-Sunnah - iaitu sunnah Rasulallah (s.a.w) dan sunnah khalifah ar-rasyidin al-mahdiyin - sebagai panduan hidup (khususnya, panduan amalan dan ibadah, kerana hanya dgn amalan dan ibadah sahaja kita dapat syurga) dan jangan berpandukan dgn lain-lain panduan. Kerana lain-lain panduan tidak menjamin kejayaan mendapatkan syurga, malah kepastian kesesatan kpd kita! Lambat laun, kita terjerumus ke dalam neraka. Ini disebutkan dalam beberapa hadith (sebahagian hadith sedemikian telahpun kita ketahui dalam post-post yg lalu). Keenam, Rasulallah (s.a.w) perintahkan kita supaya kita pegang as-Sunnah itu sekuat-kuatnya atau sekuat mampu kita dan jangan kita lepaskan tali penyelamat keimanan dan tali penyelamat kejayaan di akhirat kita itu. Kerana kalau terlepas, yakni kita abaikan atau ambil mudah, maka pasti kita terlepas dan kita terjerumus dari jalan yg benar itu, menyimpang kita. Kita pasti tergelincir dari siratul mustaqim, dan, justeru itu, pasti masuk neraka. Bagaimana mungkin dapat kita pegang sekuat-kuatnya as-Suynnah kalau kita jahil? Maka dgn itulah Islam wajibkan kita mengaji atau belajar ilmu (iaitu ilmu al-Quran dan as-Sunnah) supaya terhapus kejahilan kita, supaya tidak dapat disesatkan oleh orang, yg mereka sendiri jahil tentang al-Quran dan as-Sunnah atau mereka tau sedikit tapi cakap banyak dalam ceramah atau tazkirah! Ketujuh, peringatan terakhir, dalam hadith tersebut Rasulallah (s.a.w) peringatkan kita yg beriman supaya jauhi atau takutilah berbuat atau mengamalkan 'pembaharuan dalam perkara ugama', kerana pembaharuan dalam perkara ugama itu adalah 'bid'ah' dan setiap 'bid'ah' itu adalah kesesatan, yakni menjerumuskan orang Islam ke kesesatan, dan setiap kesesatan itu menempatkan orang yg mencipta, mengamal, dan mengajarkan 'bid'ah' itu ke dalam neraka. Perhatikan! Rasulallah (s.a.w) tidak sebutkan wujudnya sebarang pengecualian dalam perkara 'bid'ah' ini. Hanya orang yg mengaji atau belajar ilmu al-Quran dan as-Sunnah terpimpin. Kalau kurang masak ilmu kita, tidak mungkin kita tahu dan faham. Kalau kita belajar dari orang yg tidak diajarkan cara pembelajaran dalam Islam, pasti guru-guru tersebut sendiripun tak faham.
Saudara, bagaimana sistem dan kaedah pembelajaran dalam Islam? Kaedah yg sama dgn kaedah Rasulallah (s.a.w) dulu belajar. Iaitu ada guru, ada urutan asal usul ilmu (musnad) dan ada kesinambungan ilmu dari awal hingga sampai kpd kita (muttasil). Rasulallah (s.a.w) belajar drp Allah (a.w) melalui wahyu. Beliau juga belajar dari malaikat Jibrail (a.s) secara berdepan dan setiap kali sesuatu itu perlu didemokan atau ditunjukkan atau dicontohkan. Maka dgn itu dalam solat Rasulallah (s.a.w) suruh kita solat sebagaimana kita melihat beliau bersolat (yakni, ikuti ketetapan as-Sunnah). Rasulallah (s.a.w) belajar berguru secara berdepan, sehinggakan lutut Rasulallah (s.a.w) berdepan dgn lutut malaikat Jibrail (a.s). Di dalam pengilmuan sistem dan kaedah Islam, tidak ada kaedah belajar sendiri, tidak ada kaedah menimba ilmu melalui ceramah, tidak ada pengajian bersandarkan sumber lain, atau cara dan kaedah lain, selain berguru dan bersumberkan hanya al-Quran dan as-Sunnah. Maka para sahabat dalam mempelajari Islam, gurunya adalah Rasulallah (s.a.w) dan sumbernya adalah al-Quran dan as-Sunnah (i.e. ketetapan Rasulallah (s.a.w)).
Mungkin ada orang cakap zaman moden ini ada TV, ada DVD, ada CD ada Cassette dan ada media lain. Benar, tapi dalam Islam belajar secara berguru, dan guru ada didepan murid, kerana kalau tak faham, murid tanya guru dan guru jelaskan sehingga faham dan ada kitab yg dirujuk iaitu al-Quran dan kitab hadith (spt Kuttubul Sittah). Dgn itu ilmu dipindahkan dari guru kpd murid secara sah dan tulen tanpa dicemari oleh pendapat atau buah fikiran manusia.
Semoga saudara semua faham apa yg ingin disampaikan dalam post ini. Kefahaman itu penting, kerana kalau tak faham, maka terjadikan ada orang Islam yg cari jalan pintas, belajar dari orang akui dirinya 'rasul' atau 'nabi' atau tok guru yg dapat ilham terus dari Allah (a.w), seolah-olah tok guru itu ada taraf nabi walhal dia paling jahil tentang al-Quran dan as-Sunnah, wal iya zubillah. Rugi serugi-ruginya dia, dapat ilmu yg pasti memasukkan mereka ke dalam neraka! Oleh itu berwaspadalah. Semak guru yg mengajar dan semak sumber ilmu, semak kaedah pembelajarannya, dan semak ilmu yg saudara terima. Yg rugi saudara sendiri ...

Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment