Saturday, June 29, 2013

Ramadhan yang Barokah (Samb.)

Assalamualaikum, 
dalam post kali ini kita lihat nas dan dalil as-Sunnah menegnai bonos tambahan dalam bulan Ramadhan.

Pahala-pahala Sunat Puasa

Saudara, wajiblah kita ingat bahawa dalam apa jua perbuatan kita, hendaklah kita melafazkan kesyukuran kita terhadap Allah (a.w), termasuklah dalam perkara makan dan minum, mendahuluinya dengan menyebut 'Bismillah. Kemudan berdoa, selepas makan/minum dengan doa: 'Alhamdulillahil-lazi at-amana wa-sakona waj'alna Muslimina' (Yang bermaksud: Ya Allah ya Tuhanku! Aku bersyukur kepada Engkau kerana memberikan makan dan minuman dan menjadikan aku rang Islam.' Dan, dalam bulan Ramadhan ada beberapa amalan sunat khusus pula. Kita rujuk seterusnya.
Antara doa yang disuruh/diajarkan oleh Rasulallah (s.a.w) adalah: 'Allahumma bariklana fi razaqtana waqina ‘azaban nar) [Yang beraksud: Ya Allah (a.w) ya Tuhanku! Engkau berkatilah rezkiku dan jauhkan aku dari azab neraka]. Dan, dalam bulan puasa pula umat Islam digalakkan menambah do’a ketika hendak berbuka pula, iaitu selepas membaca 'Bismillah' membaca: 'Allahuma lakasumtu wabika amantu wabirizqika afatartu.' [Yang bermaksud: Ya Allah (a.w) ya Tuhanku! Kerana Engkau berpuasa aku dan dengan Engkau beriman aku dan dengan rezki Engkau berbuka aku.] 

 
(a) Berbuka dengan Tamar (Kurma)  

Pahala as-Sunnah yang pertama adalah ketika berbuka. Jika kita berbuka dengan buah tamar (atau kurma), kita mendapat pahala.
Diriwayatkan hadith daripada Anas bin Malik (r.a) berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w); ‘Barangsiapa mendapat dia akan tamar (kurma) maka hendaklah berbuka puasa dengannya, maka barangsiapa tidak dapat maka hendaklah berbuka puasa atas air (yakni, dengan air), maka sesungguhnya air itu suci (mensucikan perut kamu).’[Hadith at-Termidzi] Justeru itu, berbuka dengan kurma (tamar) itu mendapat pahala sunnah, begitu juga air, jika tiada kurma. Begitu juga hadith berikut memberikan dalil yang sama mendapat ganjaran pahala sunat apabila berbuka dengan memulakan makan kurma (tamar):
Diriwayatkan hadith daripada Sulaiman bin ‘Amir ad-Dhabii (r.a) berkata hadith daripada Nabi (s.a.w) bersabda: ‘Apabila berbuka puasa seseorang daripada kamu maka hendaklah berbuka atas (yakni, dengan) tamar (kurma), maka bahawasanya barakah (yakni, berkat), maka barangsiapa tidak dapat (menjumpai)(tamar), maka berbukalah atas (yakni, dengan) air, bahawasanya air itu mensucikan perut kamu).’ [Hadith hasan sahih at-Termidzi]
Justeru itu mendapat berkat atau barakah berbuka dengan kurma, jika tidak ada kurma hendaklah dengan air, disamping mendapat pahala sunnah. Juga, mengikut hadith dibawah ini pula, kita diberitahu amalan sunnahnya iaitu hendaklah berbuka dahulu barulah mengerjakan solat:
Diriwayatkan hadith daripada Anas bin Malik (r.a) berkata: ‘Adalah Nabi (s.a.w) berbuka puasa dia dahulu daripada solat atas beberapa (biji) rotab (iaitu buah kurma yang baru masak belum kering), maka jika tidak ada beberapa (biji) rotab, beberapa biji tamar (kurma kering) menghirup dia beberapa hirupan air.’ [Hadith hasan gharib at-Termidzi]
Orang-orang yang berbuka puasa dengan memulakan makan tamar mendapat pahala as-Sunnah. Jika tiada tamar dimulakan dengan air manis atau air biasa.

(b) Waktu Berbuka dan Menyegerakan Berbuka

Di dalam al-Quran diberitahu oleh Allah (a.w) dalam firmanNya waktu boleh berbuka puasa itu seperti firmanNya berikut:
Berfirman Allah (a.w): ‘Wakulu wasyrabu hatta yatabaiyana lakumul-haitul-abyadu minal-haiti aswadi minal fajri thumma atimmus-siama ilal-lail …' [Maksud ayat: ‘Dan makanlah dan minumlah kamu sehingga telah jelas bagi kamu benang putih (yakni, waktu siang) dari benang hitam (yakni, waktu malam) daripada fajr (subuh) kemudian sempurnakanlah puasa sampai malam (i.e. waktu Maghrib)...’][Ayat 187, Surah al-Baqarah] Di dalam ayat tersebut diibaratkan siang dan malam dengan benang putih (siang hari) dan benang hitam (malam hari). Apanila hilang benang hitam (lenyap malam) maka bermulalah berpuasa dan apakala datang malam, maka berbukalah. Di dalam hadith berikut diperjelaskan kekeliruan yang dialami oleh umat Islam zaman Rasulallah (s.a.w) mengenai ‘benang putih’ dan ‘benang hitam’ itu. Cerita ini melucukan, tetapi peristiwa tersebut menjadi penyebab kepada turunnya ayat al-Quran.
Menceritakan hadith oleh Abu Ghassan, iaitu Muhammad bin Mutarrif, berkata: ‘Menceritakan kepadaku hadith oleh Abu Hazim daripada Sahil bin Saad berkata: ‘Diturunkan (bahagian) ayat al-Quran (iaitu Ayat 187, Surah al-Baqarah) ‘Wakulu wasyrabu hatta yatabaiyana lakumul-haitul-abyadu min haitil-aswadu’) [Maksud ayat: ‘Dan makanlah dan minumlah kamu sehingga jelas bagi kamu benang putih dari benang hitam’, dan belum diturunkan (bahagian ayat) ‘minal fajri’ [Maksud ungkapan: ‘Dari fajar (atau subuh)’]. Maka ada beberapa lelaki ketika mengkehendaki kepada puasa mengikat salah seorang daripada mereka tali (benang) di kakinya (kanan) dan tali (benang) hitam dikai (kiri), dan tidak henti-hentilah mereka makan sehingga jelas bagi mereka penglihatan mereka, maka diturunkan Allah (a.w) sesudah itu ‘minal fajri’ [Maksud ungkapan: ‘Dari waktu fajr atau subuh’], maka mengerti (faham) mereka bahawasanya sesungguhnya apa-apa, yakni malam dan siang.’ [Hadith Bukhari, Kitab Saum]
Hadith di atas itu menjelaskan kekeliruan di kalangan para sahabat apakala mentakrifkan ayat 187 Surah al-Baqarah itu. Ada sahabat yang mentakrifkan maksud ‘literal’ semata-mata tentang ‘benang putih’ dan ‘benang hitam’ yang disebutkan itu apabila dua kalimah dalam ayat itu belum diturunkan Allah (a.w). Oleh kerana kekeliruan itulah ditambah dengan ungkapan ‘minal-fajr’ (dari waktu fajr) itu supaya lebih jelas.
Islam memberikan pahala bonos kepada umat Islam yang berpuasa dan kemudian segera atau menyegerakan berbuka apabila tiba waktu berbuka:
Diriwayatkan hadith dari Abu Zarr (r.a) mengatakan bahawa Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Selalulah umatku dalam keadaan kebaikan (ie. mendapat pahala) selama mereka menyegerakan berbuka dan mengakhirkan sahur.’ [Hadith Imam Ahmad] Diriwayatkan hadith dari Abu Hurairah (r.a) mengatakan bahawa Rasulallah (s.a.w) bersabd bahawa Allah (a.w) berfirman: ‘Ahabbu ‘ibadi ilaiya ‘ajaluhum fitran’ [Maksud: HambaKu yang amat Aku sayangi ialah yang segera berbuka puasa bila tiba waktunya.’] [Hadith Imam Ahmad & at-Termidzi]
Diriwayatkan hadith daripada Omar bin Khattab (r.a) katanya: ‘Telah berabda Rasulallah (s.a.w): ‘Apabila datang malam dan telah pergi siang dan telah lenyap matahari, maka sungguh-sungguh berbukalah engkau.’ [Hadith hasan sahih at-Termidzi] Kemurahan syariat Islam itu juga terserlah apakala kita teliti hadith berikut yang menyuruh seseorang yang hendak berbuka itu menyegerakannya dan apakala bersahur itu hendaklah melambatkannya. Orang-orang Islam digalakkan bersegera berbuka setelah masuk waktu Maghrib. Menyegerakan berbuka mendapat pahala as-Sunnah.
Diriwayatkan hadith daripada Sahil bin Said (r.a) berkata: ‘telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Tidak henti-henti (yakni, sentiasalah) manusia (orang) (dalam) kebaikan apa-apa (yakni, bila) bersegera mereka itu berbuka puasa.’ [Hadith hasan sahih at-Termidzi]
Orang-orang Islam digalakkan bersegera berbuka setelah masuk waktu Maghrib. Menyegerakan berbuka mendapat pahala as-Sunnah. Nas dan dalil di dalam hadith di atas diperkuatkan lagi oleh hadith qudsi berikut:
Diriwayatkan hadith daripada Abi Hurairah (r.a) berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Telah berfirman Allah (a.w), Yang Maha Luhur lagi Maha Agung, ‘Lebih suka Aku (Allah (a.w)) (akan) hamba-hambaku kepada Aku (a.w) bersegera mereka berbuka puasa.’ [Hadith Qudsi hasan gharib at-Termidzi]
Juga, menjadi sunnah (atau mendapat pahala sunnah), menyegerakan berbuka dan menyegerakan bersolat:
Diriwayatkan hadith daripada Abi ‘Atayah (r.a) berkata: ‘Masuk aku dan Masyruq atas (yakni, ke rumah) Aisyah (r.ah), maka berkata kami: ‘Wahai Ummul Mukminin! Ada dua lelaki (dari kalangan) sahabat Nabi (s.a.w) salah seorang daripadanya menyegerakan berbuka dan menyegerakan solat, dan yang lainnya melambatkan berbuka dan melambatkan solat.’ Bertanya Aisyah (r.ah): ‘Siapa kedua-duanya yang menyegerakan berbuka dan menyegerakan solat?’ Berkata kami: ‘Abdullah bin Masud (r.a).’ Berkata Aisyah (r.a): ‘Begitulah berbuat Rasulallah (s.a.w).’ (Apabila ditanya siapa yang) melambatkan berbuka dan lambat bersolat. Dijawab oleh mereka) ‘Abi Musa asy-Sya’ari (r.a).’[Hadith hasan sahih at-Termidzi]
Jelasnya, dalam bulan Ramadhan, menyegerakan berbua itu enhasilkan pahala tambahan.Dalam bulan-bulan biasa itu, mendapat pahala tambahan mempercepatkan solat ketika sudah diazankan masuk waktunya.

(c) Melambatkan Bersahur

Adalah juga menjadi amalan sunnah, yakni mendapat pahala pula, apakala melambatkan bersahur:
Diriwayatkan hadith daripada Zaid bin Thabit (r.a) berkata: ‘Makan sahur kami berserta Nabi (s.a.w), kemudian bangun kami kepada solat. Berkata Zaid: ‘Berkata aku: ‘Berapa ada kadar (kira-kira) demikian (antara sahur dengan solat subuh)?’ Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Kadar (yakni, kira-kira membaca) lima puluh ayat al-Quran.’ [Hadith hasan sahih at-Termidzi] Sampai waktu manakah boleh bersahur? Di dalam hadith di atas dijelaskan bahawa kita boleh bersahur sampai kira-kira 10 minit sebelum azan Subuh, yakni lamanya kira-kira membaca alat al-Quran 50 ayat. Sesungguhnya prinsip-prinsip dan peraturan dalam syariat Islam itu ada garispanduan yang terperinci di dalam al-Hadith. Contohnya menentukan waktu atau saat berakhir sahur:
Diriwayatkan hadith daripada Samrah bin Jundab (r.a) berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Tiada menegah sekelian kamu daripada sahur kamu sekelian oleh bang (azan) Bilal dan tidak (menegah bersahur oleh) fajr yang menyorong tinggi (kelihatan terbit terus ke tengah langit), dan akan tetapi (berhenti bersahur pada) fajr yang berselerak (cahayanya) di kaki (ufuk) langit.’ [Hadith hasan at-Termidzi] Hadith di atas menjelaskan bahawa lebih afdhal melambatkan bersahur, iaitu dibolehkan makan minum sehingga ke saat kira-kira 10 minit (atau membaca 50 ayat al-Quran sebelum azan solat Subuh). Apakah pula fadhilat bersahur itu? Ada umat Islam yang sengaja tidak bersahur, tetapi berpuasa dia. Bersahur itu tidaklah wajib, tetapi digalakkan oleh Islam. Maka jika kita bersahur maka kita mendapat pahala pula:
Diriwayatkan hadith daripada Anas bin Malik (r.a) bahawasanya Nabi (s.a.w) bersabda: ‘(Makan) sahur kamu sekelian, maka sesungguhnya di dalam sahur itu barakah (keberkatan).’ [Hadith hasan sahih at-Termidzi, Bukhari, Muslim, an-Nasa’i dan Ibnu Majah]
Saudara, hadith ini menyebutkan bahawa berSahur itu mendatangkan keberkatan. Keberkatan menghasilkan pahala bonos kerana melakukannya.
Diriwayatkan hadith daripada ‘Amru bin ‘Ass (r.a) berkata hadith ini daripada Nabi (s.a.w) bahawasanya bersabda dia: ‘Perbezaan antara puasa kita dan puasa ahli kitab (yakni, Yahudi dan Nesrani) itu ialah makan sahur.’ [Hadith hasan sahih at-Termidzi, Muslim, an-Nasa’i, dll] 
Hadith ini menyebutkan bahawa orang beragama lain - khususnya Yahudi dan Nesrani - ada amalan puasa mereka, tetapi puasa Islam adalah berSahur.
Diriwayatkan hadith daripada Abi Qais, hamba merdeka, ‘Amru bin ‘Ass, hadith daripada ‘Amru bin ‘Ass (r.a) berkata: ‘Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Sesungguhnya perbezaan apa-apa antara puasa umat kami dan puasa ahli-ahli kitab (Yahudi dan Nesrani)(adalah) makan sahur.’ [Hadith Abu Daud, Kitab Saum] 
Saudara, dalam hadith ini Rasulallah (s.a.w) menyuruh kita berSahur kerana keberkatannya. Mengikuti segala sesuatu yang disuruh dan dicontohkan oleh Rasulallah (s.a.w) menghasilkan pahala bonos, pahala sunnah, untuk kita.
Diriwayatkan hadith daripada Abdul Aziz bin Syuhaibin berkata: ‘Aku mendengar Anas bin Malik (r.a) berkata: ‘Bersabda Nabi (s.a.w); ‘Bersahurlah kamu, maka sesungguhnya di dalam bersahur itu ada barakah.’ [Hadith Bukhari, Kitab Saum]
Empat hadith di atas menjelaskan bahawa bersahur itu membawa fadhilat tambahan bagi mereka yang berpuasa. Apakah fadhilatnya?  Pertama, bersahur mendatangkan berkat atau barakah (yakni, keberkatan dalam puasa dan kehidupan kita); dan kedua, amalan bersahur itu dapat membezakan umat Islam dengan orang Yahudi dan Nesrani (kerana mereka juga berpuasa tetapi tidak makan sahur).

Saudara, dalam perkara berSahur ini kita lihat sepotong hadith lagi yang enyatakandengan jelas bahawa Rasulallah (s.a.w) menggalakkan kiya bersahur.
Diriwayatkan hadith daripada Syu’bah hadith daripada Abdil Hamid, ketua kampong Ziadi, berkata: ‘Aku mendengar Abdullah bin Harith menceritakan hadith daripada seorang lelaki daripada sahabat Nabi (s.a.w) berkata: ‘Masuk aku atas (yakni, ke rumah) Nabi (s.a.w), dan dia sedang bersahur, maka bersabda Nabi (s.a.w): ‘Sesungguhnya bersahur itu barakah (kerana) memberi makan kepada kamu Allah (a.w) pada sahur, maka jangan meninggalkannya.’ [Hadith an-Nasa’i, Kitab Saum]

Jelaslah dapat kita rumuskan bahawa pahala bonos berpuasa itu disebutkan di dalam hadith-hadith di atas, ada empat. Pertama, berbuka dengan tamar (kurma); kedua, bersegera berbuka apakala tiba waktunya; ketiga, melambatkan bersahur; dan keempat, berbuka dahulu kemudian barulah bersolat Maghrib. Begitulah banyaknya pula pahala bonos dalam berpuasa.

(d) Mempercepatkan Berbuka

Di dalam hadith-hadith berikut dijelaskan bahawa umat Islam yang berpuasa itu digesa supaya segera berbuka (yakni, mencepatkan berbuka) apakala sampai waktunya untuk berbuka. Atau, apakala matahari terbenam, ketika diazanakan Maghrib, cepat-cepat berbuka. Mendapat lebih pahala apakala mencepatkan berbuka. Sebaliknya, mendapat pahala pula apakala melambatkan bersahur:
Diriwayatkan hadith daripada Abi Hazim hadith daripada Sahil bin Saad (r.a) berkata: ‘Bahawasanya Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Tidak henti-hentilah manusia dengan kebaikan sesiapa yang mempercepatkan berbuka.’ [Hadith Bukhari, Kitab Saum] Hadith berikut juga menyebut perkara yang sama, bahawa mempercepatkan berbuka.
Menceritakan hadith daripada Hisyam bin ‘Urwat berkata: ‘Mendengar aku bapanya berkata: ‘Aku mendengar ‘Asim bin Omar Ibni Khattab, hadith daripada bapanya (r.a) berkata: ‘Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Ketika menghadap (tiba) malam dari arah sana (barat) dan membelakangkan (lenyap) siang dari arah sana (timur), dan tenggelam (yakni, terbenam) matahari, maka sungguh-sungguh berbuka puasa orang yang berpuasa.’ [Hadith Bukhari, Kitab Saum]
Di dalam hadith bawah ini diceritakan kes apabila berbuka tersilap kerana waktu berbuka belum jelas atau sampai, maka terbatallah puasa orang yang berbuat sedemikian. Maka dia perlu mengqada’kan puasa tersebut:
Diriwayatkan hadith daripada Hisyam bin ‘Urwat daripada Fatimah daripada Asma’ binti Abu Bakar as-Siddiq (r.a) berkata: ‘Berbuka kami zaman Nabi (s.a.w) suatu hari mendung, kemudian (setelah berbuka) terbit matahari, dikatakan oleh Hisyam: ‘Maka diperintahkan dengan mengqada’ (puasa)?’ Berkata Hisyam: ‘Tidak boleh tidak dari mengqada’kan (puasa).’ Dan berkata Ma’mar: ‘Aku mendengar Hisyam (berkata): ‘Tidak tahu adakah mengganti atau tidak (mengganti puasa).’ [Hadith Bukhari, Kitab Saum] [Nota: Mengikut ijtihad ulama’ muhadithin, perlu diqada’kan puasa tersebut].
Hadith di atas menceritakan kes bilamana disebabkan mendung, berbuka Asma’, kemudian awan beredar maka kelihatan matahari masih ada, maka perlulah diqada’kan puasa tersebut. Peristiwa ini berlaku zaman Rasulallah (s.a.w), kerana zaman itu tiada jam untuk dirujuk waktu terbit dan terbenam matahari sebagaimana sekarang. 
Saudara, demikianlah sebahagian daripada nas dan dalil as-Sunnah mengenai beberapa amalan sunat yang membolehkan kita mendapat bonos pahala tambahan dalam berpuasa/bulan Ramadhan. Insya Allah kita akan semak dimensi-dimensi lain kemudian kelak, termasuklah: adab berIktikaf ketika tiba 10 malam terakhir Ramadhan.

Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment