Saturday, June 29, 2013

Ramadhan bulan yang Barokah (Samb.)

Assalamualaikum,
Saudara, ada beberapa perkara yang dibolehkan kita lakukan dalam bulan Ramadhan (di siang harinya). Rengksnya adalah: pertama, boleh berkumur-kumur membersihkan mulut ketika memulakan proses mengambil wudu'; kedua, termuntah kerana tak sengaja. Kalau disengajakan maka batal puasa. Ketiga, berbekam; keempat, keluar mani bagi lelaki tanpa disengajai, spt terkeluar kerana mimpi ketika tidur di siang hari; kelima, bercumbu-cumbuan dan berpeluk-pelukan dengan isteri bagi orang tua (i.e. orang yang sudah tiada nafsu lagi); keenam, keluar haid bagi wanita; dan ketujuh, wanita melahirkan anak. Kita perincikan seterusnya perkara-perkara ini seterusnya.


Perbuatan yang dibolehkan siang Ramadhan
(c) Menguatkan Menghisap Air ke Dalam Hidung

Di dalam post-post yang lalu, kita mendapat tahu tentang beberapa perlakuan yang digalakkan semasa berwudu’. Antara sunnah utama yang diberatkan atau antara perbuatan atau amalan yang digesa dikerjakan adalah memperbaiki atau menyempurnakan wudu’ dengan menghisap air ke dalam hidung dan mulut (istisqa’) dan kemudian menghembuskannya keluar dengan kuat. Hadith ini menjelaskan di semasa berpuasa dibolehkan ‘istinsyaq’ (yakni, memasukkan air ke dalam hidung dan berkumur-kumur semasa berwudu’), tetapi jangan terlalu diberatkan, yakni sikit sahaja memadai:
Menceritakan hadith oleh Yahya bin Sulaimin, menceritakan hadith oleh Ismail bin Kathir berkata: ‘Aku mendengar ‘Asim bin Laqit bin Sobrah, hadith daripada bapanya berkata: ‘Berkata aku: ‘Wahai Rasulallah (s.a.w)! Berilah khabar kepadaku dari urusan berwudu’.’ Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Sempurnakanlah wudu’, dan selah-selahkanlah (yakni, sisih-sisihkanlah) antara jari-jari kamu, dan menguatkanlah istinsyaq’ (memasukkan air ke dalam hidung dan mulut dan kemudian menghembuskannya dengan kuat keluar dari mulut dan hidung) kecuali bahawa ada engkau berpuasa.’ [Hadith at-Termidzi, Kitab Saum]
‘Istisqa’ ini dibolehkan dibuat semasa berwudu’ sambil berpuasa. Maksudnya, memasukkan air ke dalam mulut dan hidung untuk berkumur-kumur dan mencuci hidung, dan kemudian mengeluarkannya semula dengan menghembuskan air keluar. Tetapi, Rasulallah (s.a.w) menyuruh supaya jangan bersangatan melakukannya.

(d) Muntah Orang Berpuasa

Telah dijelaskan di atas bahawa jika muntah tanpa sengaja tidak membatalkan puasa. Jelas, antara perkara-perkara yang membatalkan puasa ditetapkan dalam as-Sunnah, adalah muntah yang disengajakan. Cuba kita teliti semula hadith tersebut untuk meneliti prinsipnya:
Diriwayatkan hadith daripada Abi Said al-Khudri (r.a) berkata: ‘Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Tiga perkara tiada (memerlukan orang berpuasa) berbuka (yakni, membatalkan) puasa: (Pertama) berbekam, (kedua) dan muntah (tidak sengaja), dan (ketiga) mimpi (keluar mani).’ [Hadith at-Termidzi, Kitab saum]
Hadith di atas menjelaskan bahawa tiga perkara, jika berlaku ketika berpuasa, tidak membatalkan puasa, iaitu:

§ Berbekam;
§ Muntah tanpa disengajai; dan
§ Keluar mani yang tidak disengajai (kerana mimpi)

Berhubung dengan aspek ketiga, keluar mani kerana persetubuhan membatalkan puasa dan menyebabkan kifarah yang berat (kita telah teliti perkara ini).
Di dalam hadith berikut disebutkan bahawa muntah dengan sengaja membatalkan puasa dan hendaklah diqada’kan, tetapi jika tanpa disengajai, maka termuntah, maka tidak perlu diqada’kan (yakni, teruskan puasa).
Diriwayatkan hadith daripada Abi Hurairah (r.a) berkata bahawasanya Nabi (s.a.w) bersabda: ‘Barangsiapa memaksakan akan dirinya muntah (yakni, tidak disengajakan), maka tiada atasnya qada’, dan barangsiapa muntah ia dengan sengaja, maka hendaklah qada’ (puasanya). [Hadith hasan gharib at-Termidzi]
Diriwayatkan hadith daripada Hisham Ibnu Hassan, daripada Muhammad bin Sirin, daripada Abi Hurairah (r.a) berkata: ‘Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Barangsiapa mengalahkan padanya muntah, dan dia berpuasa, maka tiada atasnya qada’, dan jika inginkan muntah (yakni, disengajai) maka hendaklah membayarnya.’ [Hadith Abu Daud, Kitab Saum]

Tiga hadith di atas memberikan nas dan dalil mengapa muntah yang disengajakan membatalkan puasa. Jika, muntah itu disengajakan maka batal puasa, dan wajib dibayar atau diqada’kan. Jika tidak disengajai, maka puasa tidak batal. Maka teruskan berpuasa dan tak perlu menggantinya kerana tak batal dan kita telah teruskan berpuasa.

(e) Berbekam dan Puasa

Mengikut syariat Islam berbekam itu dibolehkan semasa seseorang itu berpuasa. Yakni, berbekam tidak membatalkan puasa. Dan, kita diberitahu oleh para ulama’ bahawa menerima suntikan membatalkan puasa. Pada zaman Rasulallah (s.a.w) perkhidmatan perubatan tidaklah secanggih sekarang ini. Banyak rawatan melibatkan suntikan. Dalam kes ini, para ulama’ menggunakan ijtihad untuk memutuskan sama ada suntikan dan memakan ubat semasa berpuasa dibolehkan, yakni tidak membatalkan puasa atau tidak.
Cuba kita rujuk sandaran nas dan dalil as-Sunnah mengenai penggunaan ubat dalam konteks seseorang yang berpuasa. Berbekam dibolehkan semasa berpuasa, yakni tidak membatalkan puasa.
Diriwayatkan hadith daripada Ikrimah daripada Ibnu Abbas (r.a) berkata: ‘Berbekam Nabi (s.a.w) dan dia berpuasa.’ [Hadith Bukhari, Kitab Saum]
Diriwayatkan hadith daripada ‘Ata’ ibni Yasar hadith daripada Abi Said al-Khudri (r.a) berkata: ‘Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Tiga perkara tidak boleh berbuka (yakni, tidak membatalkan puasa, dan hendaklah terus berpuasa dan jangan berbuka): (pertama) orang puasa berbekam, dan (kedua) muntah (yakni, tidak disengajakan), dan (ketiga) mimpi (yakni, keluar mani).’ [Hadith at-Termidzi, Kitab Saum]
Di dalam hadith diatas juga diberikan hukum dalam Islam orang muntah yang tak disengajakan dan keluar mani kerana bermimpi semasa tidur siang hari tidak membatalkan puasanya. Tetapi, mengikut hadith kemudian ini pula, jika muntah disengajakan, maka batal puasa.

(f) Menggosok Gigi

Syariat Islam itu terperinci dalam meneliti sesuatu perkara, termasuklah bagaimana menjaga kesihatan. Justeru itu, di dalam hadith-hadith berikut prinsip menjaga kebersihan dalam bulan Ramadhan itu disebutkan:
Disebutkan hadith daripada ‘Amir bin Rabia’ (r.a) berkata: ‘Melihat aku Nabi (s.a.w) bersiwak (yakni, menggosok gigi) dan dia berpuasa apa (berapa kali dia bersugi) tidak terhitung aku.’
Dan berkata Abu Hurairah (r.a): ‘Daripada Nabi (s.a.w) bersabda: ‘Seandainya tidak memberatkan aku atas umatku nescaya memerintah aku dengan bersiwak (yakni, menggosok gigi) ketika tiap-tiap kali berwudu’.’
Dan diriwayatkan seperti hadith ini daripada Jabir, dan daripada Zaid bin Khalid hadith daripada Nabi (s.a.w): ‘Dan tidak mengkhususkan (bersiwak atau menggosok gigi) bagi orang puasa sahaja daripada selainnya’.
Dan berkata Aisyah (r.ah) hadith daripada Nabi (s.a.w): ‘Adapun bersiwak mensucikan mulut dan disenangi (disukai) oleh Allah (a.w).’
Dan berkata ‘Ata’ (r.a) dan Qatadah (r.a): ‘Menelan air liur (yakni, jika berpuasa tidak apa-apa jika menelannya).’ [Hadith Bukhari, Kitab Saum]
Di dalam lima potongan hadith pendek di atas itu, terdapat beberapa ketentuan syariat Islam, iaitu:

§ Menggosok gigi, walau berapa kali sekalipun, tidak menjejaskan atau membatalkan puasa;

§ Menggosok gigi itu diberatkan sebagai amalan umat Islam (yakni, jika dibuat dapat pahala), tetapi tidak diwajibkan kerana supaya tidak menyusahkan umat Islam;

§ Menggosok gigi itu digalakkan sebagai amalan utama umat Islam pada mana-mana waktu, tidak semata-mata semasa berpuasa;

§ Menggosok gigi itu suatu amalan yang disukai Allah (a.w) (yakni, mendapat ganjaran pahala melakukannya); dan

§ Menelan air liur semasa berpuasa itu tidak menjejaskan atau membatalkan puasa.

Begitulah beberapa ketetapan peradaban berpuasa yang digesa oleh as-Sunnah. Seperti biasa ketetapan as-Sunnah itu adalah ketetapan yang diredhai Allah (a.w), kerana segala ketetapan Rasulallah (s.a.w) wajib umat Islam ambil dan terima sebagai panduan amalan dan ibadah serta perjalanan hidup dunia mereka.

(g) Mandi Dalam Bulan Puasa

Kita diberitahu ada beberapa perbuatan atau perlakuan yang dikatakan oleh para ulama’ sebagai makruh, atau mengurangkan pahala berpuasa. Cuba kita lihat nas dan dalil hadith mengenai perkara-perkara tersebut. Di bawah ini diturunkan beberapa hadith pendek yang menjelaskan beberapa prinsip utama mengenai beberapa perbuatan semasa berpuasa: contoh, mandi, berkumur-kumur semasa berwudu’, menggosok gigi, berendam dalam air, dan sebagainya bagi seseorang yang sedang berpuasa. Antaranya, potongan hadith-hadith berikut:
‘Membasahi oleh Ibnu Omar (r.a) pakaiannya maka meletakkan atasnya (yakni, memakainya) dan dia berpuasa. Dan masuk Sya’biu bilik mandi (dan mandi) dia dan dia berpuasa. Dan berkata Ibnu Abbas (r.a): ‘Tidak apa-apa apabila merasa makanan dalam periuk atau dalam sesuatu (bekas).’
Hadith di atas memberitahu kita bahawa tiga perbuatan yang dibolehkan semasa berpuasa: pertama, membasahkan pakaian dan kemudian memakainya untuk mendinginkan badan ketika berpuasa; kedua, mandi siang hari; ketiga, merasa masin pedas makanan di dalam periok masakan.
Dan berkata Hassan (r.a): ‘Tidak apa-apa berkumur-berkumur dan bersejuk (i.e. berendam) bagi orang yang berpuasa.
Di dalam hadith ini pula dibolehkan berkumur-kumur, yakni tidak membatalkan puasa. Kita diberitahu bahawa memasukkan sesuatu ke dalam rongga membatalkan puasa. Tetapi, dalam kes berkumur-kumur dibolehkan. Manakala, hadith berikut pula memberitahu kita bahawa dibolehkan menghias diri semasa berpuasa.
Dan berkata Ibnu Mas’ud (r.a): ‘Ketika ada bulan puasa salah seorang kamu berpagi-pagi berminyak menyikat rambut (yakni, berhias).’
Di dalam (petikan) hadith berikut pula bahawa berenang di dalam kolam tidak membatalkan puasa. Begitu jugalah menggosok gigi tidak membatalkan puasa:
Dan berkata Anas (r.a): ‘Sesungguhnya bagiku ada kolam menyelam aku di dalamnya dan aku berpuasa dan menyebutkan daripada Nabi (s.a.w) bahawasanya Nabi (s.a.w) bersiwak (menggosok gigi) dan (i.e. sedangkan) dia berpuasa.’
Dan berkata Ibnu Omar (r.a): ‘Bersiwak (menggosok gigi) awal siang dan akhir siang (i.e. petang hari) dan tidak menelan air liurnya.’
Di dalam hadith berikut pula disebutkan bahawa menelan air liur itu tidak membatalkan puasa. Begitu jugalah, seperti disebutkan dalam hadith sebelumnya, menggosok gigi tidak mengapa.
Berkata ‘Ata’ (r.a): ‘Jika menelan air liur tidak berkata aku berbuka.’ Dan berkata Ibnu Sirin (r.a): ‘Tidak apa-apa dengan siwak (menggosok gigi) dengan kayu muda, dikatakan baginya ‘makan’.
Berkata Ibnu Sirin: ‘Dan adapun airpun ada rasa dan engkau berkumur-kumur dengannya, dan tidak berpandangan Anas dan Hassan dan Ibrahim dengan bercelak bagi orang yang berpuasa berdosa.’

Dalam hadith di atas dijelaskan bahawa memasukkan air ke dalam mulut tidak membatalkan puasa. Dan pada hadith dibawah ini pula berjunub dan belum mandi ketika hari sudah siangpun tidak membatalkan puasa.
Diriwayatkan hadith daripada ‘Urwat dan Abi Bakrin berkata Aisyah (r.ah): ‘Adapun Nabi (s.a.w) menjumpai fajr (subuh) di dalam Ramadhan dari selain mimpi (yakni, kerana berjimak), maka mandi dia dan (sedangkan) dia berpuasa.’ [Hadith Bukhari, Kitab Saum]
Begitulah pelbagai perlakuan yang tidak dianggap membatalkan puasa. Hadith-hadith tersebut juga memberikan nas dan dalil bahawa tidak ada ketetapan makruh dalam kesemua perbuatan tersebut. Jelaslah syariatnya berbeza daripada pandangan sesetengah ulama’ di Malaysia, yang mengatakan kesemua tersebut perbuatan ‘makruh’. Bagi kita yang biasa dengan ajaran para ustaz dan guru-guru agama, kita diberitahu bahawa memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga badan yang terbuka, membatalkan puasa. Tidak ada sandaran nas dan dalil as-Sunnah menyatakan sedemikian itu. Jika as-Sunnah membolehkan, maka dibolehkan. Tiada siapa boleh mengadakan pertauran atau ketetapan lain.

Jazakallahu khairah


No comments:

Post a Comment