Tuesday, June 25, 2013

Ramadhan yang Barokah (Samb.)

Assalamualaikum,
Saudara, dalam kita meneliti nas dan dalil al-Quran dan al-Hadith mengenai amalan yang utama dalam Islam ini - Puasa Ramadhan - elok kita teliti pula suatu ketetapan Islam yang sering tidak diberi keutamaan oleh ramai orang Islam, dalam hadith berikut:
Membatalkan Puasa Dengan Sengaja
Puasa dalam bulan Ramadhan itu salah satu daripada Rukun Islam yang lima. Maka dengan itulah diberatkan akan puasa fardu itu, sebagaimana diberatkan juga solat. Di dalam hadith di bawah ini diberikan satu hadith yang menyatakan betapa beratnya akibat perlakuan seseorang yang dengan sengaja membatalkan puasanya atau berbuka:
Diriwayatkan hadith daripada Abi Hurairah (r.a) berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Barangsiapa berbuka puasanya satu hari pada Ramadhan daripada selain rukhsah (yakni, kebenaran atau keringanan yang dibenarkan oleh syara’ kerana keuzuran terlalu tua, perempuan sedang sarat mengandung atau menyusu bayinya) dan tiada sakit, tiada faedah baginya puasa sepanjang hayatnya kesemua puasanya dan jika berpuasa dia akan puasanya.’ [Hadith gharib at-Termidzi]
[Nota: 'Rukhsah' (= keringanan, i.e. dibolehkan brbuka atau tidak berpuasa dalam bulan Ramadhan) adalah golongan berikut: pertama, orang yang menghidapi penyakit yang takkan boleh sembuh dan membahayakan kesihatannya kalau berpuasa; kedua, wanita yang hamil atau sarat mengandung kerana takutkan memudaratkan keshatan kandungannya; ketiga, wanita yang menyusukan susu badan bayinya yang baru lahir; keempat, orang tua yang terlalu tua dan tak mampu berpuasa dan orang yang bermusafir. Selain dalam kes yang pertama, adalah lebih baik berpuasa kalaulah kita tahu betapa hebatnya pahala berpuasa sehari dalam bulan Ramadhan itu.]
Hadith di atas itu memberikan nas dan dalil bahawa seseorang yang yang tidak ada asas syara’ berbuka (yakni, membatalkan puasa wajibnya), tidak diterima puasanya sepanjang hayatnya selepas itu! Dengan lain perkataan tidak mendapat pahala dia berpuasa sepanjang hayatnya sekalipun tanpa henti-henti. Begitu beratnya hukuman atas mereka yang sengaja tidak berpuasa atau berbuka setelah berpuasa tanpa keuzuran yang dibenarkan oleh syara’. Walaupun demikian, puasa tetap wajib baginya dan tidak boleh ditinggalkan!
Ada para ulama’ mazhab berpendapat bahawa bukanlah hadith ini bermaksud ‘tidak guna puasanya sepanjang hayatnya selepas itu’. Sebenarnya, hadith itu memberi peringatan bahawa amat serius perbuatan berbuka dengan sengaja sehari puasa fardu itu. Itu adalah pandangan ‘jumhur ulama’. Namun begitu hadith itu jelas. Apabila jelas tidak wajarlah mencari jalan keluar untuk mentakwilkan secara berlainan semata-mata untuk meringankan hukuman daripada ketetapan tersebut, wallahu ‘alam. Namun begitu, sepotong hadith lain meringankan sedikit ketetapan as-Sunnah.
Diriwayatkan hadith daripada ‘Umarah bin ‘Umairin, hadith daripada Ibni Mutawasin, hadith daripada bapanya berkata Ibnu Kathir (juga seorang ulama’ muhadithin), hadith daripada Abi Mutawasi, daripada Abi Hurairah (r.a) berkata: ‘Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Barangsiapa berbuka sehari dari Ramadhan di dalam selain kemurahan atau memberi kemurahan atasnya oleh Allah (a.w) (contoh, mengikut hadith lain, orang lelaki dan perempuan yang tersangat tua, iaitu umur 60 tahun ke atas, perempuan sarat mengandung, atau perempuan yang menyusukan anaknya) tidak membayar (mengganti) daripadanya puasa sepanjang tahun! (Maksudnya: jika dia berpuasa setahun sekalipun tidak dapat mengganti dosa kerana tidak berpuasa sehari itu, atau jika berpuasa sepanjang hiduppun pahala yang didapati tidak cukup menggantikan pahala terlepas kerana berbuka atau tidak berpuasa sehari itu)’ [Hadith Abu Daud, Kitab Saum]
Hadith di atas itu menghukumkan bahawa sesiapa yang dengan sengaja tidak berpuasa dalam bulan Ramadhan, dosanya besar kerana tidak boleh ditebus walaupun mengerjakan atau mengqada’kannya sehari yang dia tidak berpuasa itu dipuasakan dengan berpuasa setahun. Ketetapan dalam hadith ini lebih ringan daripada yang disebutkan di dalam hadith yang terdahulu itu. Oleh itu berwaspadalah! Kita telah teliti hadith riwayat lain mengenai perkara yang sama yang telahpun disebutkan dalam post-post yang lalu.
Jelaslah amat berat implikasi seseorang yang berpuasa itu jika sengaja berbuka atau tidak berpuasa atau menghentikan puasanya kerana selain sebab-sebab yang dibolehkan oleh syara’, iaitu kerana tua, kerana curigakan kesihatan anak yang dikandung oleh wanita yang mengandung atau anak yang disusui oleh seorang ibu atau kerana dalam musafir. Jika dengan sengaja berbuka, maka tidak bergunalah segala puasa yang dipuasakannya sepanjang tahun tersebut. Ini adalah keringanan yang diberikan oleh Rasulallah (s.a.w), kerana ketetapan as-Sunnah yang asalnya adalah tidak mendapat pahala puasa yang dipuasakan olehnya seumur hidupnya.
[Nota: Pengikut mazhab as-Shafie berpendapat sedemikian. Meninggalkan puasa tanpa keringanan yang dibolehkan oleh syara’ itu berdosa, dan perlu diqada’kan sahaja. Bukanlah bermaksud orang telah melakukan sedemikian itu, iaitu sengaja meninggalkan sehari puasanya, tidak diterima amalan puasa fardunya sepanjang baqi hayatnya. Tetapi, maksudnya meninggalkan puasa sehari menolak pahala yang besar yang tidakpun dapat disamakan dengan pahala berpuasa sepanjang hayat sekalipun - tak sama pahalanya. Yang utama diperhatikan bahawa larangan Rasulallah (s.a.w) tentang meninggalkan puasa dengan sengaja itu amat berat. Tetapi, terdapat hadith lain yang ketetapannya lebih ringan. Jelaslah ketetapan ini bertentangan dengan ketetapan Rasulallah (s.a.w) dalam hadith tersebut.]

Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment