Monday, July 7, 2014

Syariat Solat (Samb,)

Assalamualaikum,
Saudara, kita teruskan lagi meneliti bagaimana Rasulallah (s.a.w) bersolat, supaya kita ikuti atau contohi beliau, kerana itulah ketetapan beliau dalam sabdanya: 'Sollu kama ra-aitumuni usolli' - yang merupakan perintah wajib mengenai solat.

13. Iktidal, Tasbihnya dan Do’anya
(-) Bacaan Tasbih Iktidal 

Saudara, kita telahpun maklum bahawa setiap pergerakan (Rukun Fe'li) solat itu kita bertakbir dahulu, i.e. membaca 'Allahu Akbar', kecuali ketika bangun dari Ruku' untuk Iktidal, kita membaca 'samiallahu ...' dan setelah tegak berdiri membaca 'Rabbana wa-lakal hamdu'. Makmum tidak membaca 'samiullahu liman hamidah', tetapi memadai membaca 'Rabbana wa-lakal hamdu' dan seterusnya. 
Diriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah (r.a) berkata: ‘Bahawasanya Rasulallah (s.a.w) membaca takbir (yakni, 'Allahu Akbar') ketika memulakan solat, ketika hendak Ruku’, ketika bangkit dari Ruku’ membaca ‘samiullahu liman hamidah’ dan membaca ‘rabbana wa-lakal hamdu’ setelah berdiri betul. Kemudian dibacanya takbir pula apabila hendak Sujud, (dibaca) ketika bangun dari Sujud, (disebut) ketika Sujud yang kedua kali, (dibaca) ketika bangun dari Sujud yang kedua dan (dibaca) ketika bangun dari Tahiyat Awal (yakni, ketika berdiri untuk rakaat ketiga), demikianlah seterusnya bagi taip-tiap rakaat.’ - Hadith Muslim.
Satu cara lagi tasbih bangun dari Rukuk untuk Iktidal disebutkan dalam hadith berikut: 
Diriwayatkan hadith daripada Ibnu Abbas (r.a) katanya: ‘Sesungguhnya Nabi (s.a.w) ada dia ketika (bangun dari Ruku’nya) membaca ‘Samiullahi liman hamidah’ (Yang bermaksud: Sungguh-sungguh Allah (a.w) mendengar orang-orang yang memujiNya); dan membaca ‘Allahumma rabbana lakalhamdu mil-us samawati wa milul ardhi wa mila ma syikta min syai-in ba’du.’ (Yang bermaksud: Ya Allah (a.w) ya Tuhanku, wahai Tuhanku semua makhluk di langit dan semua makhluk di bumi memuji Engkau, dan semua apa-apa yang Engkau kehendaki dari sesuatu sesudahnya) - Hadith an-Nasa’i.
Justeru itu, kita ada dua pilihan dalam kes ini untuk membaca Tasbih Rukuk itu.

Bacaan Tasbih Iktidal yang lebih panjang disebutkan dalam hadith berikut pula. Maka kita ada 3 pilihan.
Diriwayatkan hadith daripada Abi Said al-Khudri (r.a) berkata: ‘Adapun Rasulallah (s.a.w) ketika mengangkat kepalanya dari Ruku’ (i.e. ketika hendak I’ktidal) membaca dia ‘Samiallahu liman hamidah. Allahumma rabbana lakal hamdu milus-samawati wa-milul ardi wa-milu masyi’ta min syainin ba’du. Ahlitha-thanai wal-majdi ahaqqu, ma qalal abdu wa-kulna laka ‘abdun. Allahumma la mani’a lima ‘ataita, wa-la mu’tiu lima mana’ta wa-la yanfa’uzal-jaddi minka jaddu.’ (Yang bermaksud: Allah (a.w) mendengar sesiapa yang memujiNya. Wahai Tuhan kami! Untukmu segala puji, puji-pujian yang memenuhi langit dan memenuhi bumi, dan kemudian memenuhi segala sesuatu sesudahya. Tuhan yang berhak disanjung dan diagungkan. Itulah apa-apa kata-kata hamba dan adapun aku pada Engkau adalah hamba. Wahai Tuhan kami! Tidak ada yang boleh menghalang pemberianMu dan tidak ada pula yang memberikan yang Engkau halangi, dan tiada kekayaan itu memberi manfaat (yakni, menolong) yang empunyanya kecuali daripada Engkau memberi pertolongan.) - Hadith Muslim.

14. Sujud
(-) Bagaimana Sujud

Saudara, setelah Rukuk dan kemudian Iktidal, kitapun membongkokkan badan untuk turun untuk Sujud. Cara turun untuk Sujud itu dicontohkan oleh Rasulallah (s.a.w) hadith berikut.

Diceritakan kepada aku (kata Imam an-Nasa’i) oleh Ishak bin Mansor (r.a) yang berkata dia diberitahu oleh Yazid bin Haron (r.a) yang berkata telah diberitahu kepadanya oleh Syarik daripada ‘Asim bin Kulaibin (r.a) hadith daripada bapanya hadith daripada Wail bin Hujrin (r.a) berkata: ‘Aku melihat Rasulallah (s.a.w) ketika Sujud meletakkan kedua-dua lututnya sebelum (meletakkan) kedua tangannya, dan ketika bangun dari Sujudnya mengangkat kedua tangannya dahulu sebelum kedua-dua lututnya.’ Berkata Abu Abdul Rahman (yakni, Imam an-Nasa’i): ‘Tidak mengatakan begini daripada Syarik selain Yazid bin Haron, Wallahu ‘Alam’ - Hadith dhaif an-Nasa’i.
Cara Sujud yang lazim adalah atas dasar hadith ini. Sebenarnya Sujud yang benar itu adalah berdasarkan haith-hadith sahih, antaranya seperti berikut; iaitu meletakkan tangan dahulu di atas tempat solat kemudian baru meletakkan lutut. Rasulallah (s.a.w) lebih kerap menggunakan kaedah sebegini ketika nak Sujud. Maka kita lebih digalakkan menggunakan kaedah ini.
Diriwayatkan hadith daripada Abi Hurairah (r.a) berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Ketika Sujud salah seorang daripada kamu, maka janganlah menjatuhkan (kedua-dua) lutut kamu (dahulu) seperti unta menjatuhkan lututnya, dan (hendaklah) meletakkan kedua-dua tangan kamu (dahulu) sebelum (meletakkan) kedua-dua lutut kamu.’ - Hadith sahih Abu Daud.
Hadith yang sama i.e. diriwayatkan oleh Abu Hurairah (r.a) diriwayatkan oleh an-Nasa’i di bawah.
Diriwayatkan hadith daripada Abi Hurairah (r.a) berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Ketika Sujud salah seorang kamu maka janganlah kamu menjatuhkan (yakni, meletakkan) lutut kamu seperti menjatuhkan unta (menjatuhkan kedua-dua kaki dan lututnya ke tanah), dan (hendaklah) meletakkanlah kedua tangan kamu sebelum meletakkan kedua lutut kamu.’ - Hadith sahih an-Nasa’i.
Ketika turun untuk Sujud selepas Iktidal, mendahulukan membengkokkan lutut adalah di asaskan kepada hadith dhaif. Yang benar adalah seperti yang disebutkan dalam hadith di atas itu iaitu meletakkan kedua telapak tangan dahulu, sebelum meletakkan dua lutut dan kemudian kepala (i.e. dahi).

(-) Tasbih ketika Sujud

Saudara, ketika Sujud, Rasulallah (s.a.w) membaca Tasbih Sujud sperti yang disebutkan dalam hadith berikut. Demikian jugalah bacaan Tasbih Sujud, disebutkan dalam hadith itu.

Diriwayatkan daripada Khuzaifah (r.a) katanya: ‘Bahawasanya ia telah solat berjemaah beserta Nabi (s.a.w), serta melihat dengan mata kepalanya akan perbuatan Nabi (s.a.w) dan mendengar ia dengan telinganya akan apa yang diucapkan oleh Rasulallah (s.a.w), (katanya lagi) ‘Maka adalah Nabi (s.a.w) berkata (yakni, membaca) dia di dalam Ruku’nya akan ‘Subhana-rabial-‘azim’ dan didalam Sujudnya diucapnya ‘Subhana-rabbial ’ala’, Katanya lagi, ‘Dan tiada datang ia membaca satu ayat Quran yang dibacanya daripada ayat rahmat melainkan berhenti ia dan meminta ia akan rahmat itu, yakni dengan do’anya dan tiada datang ia atas satu ayat Quran yang dibacanya melainkan wakaf pula dan minta berlindung daripada Allah (a.w) seperti yang dikatanya. - Hadith hasan dan sahih, Riwayat at-Termidzi.
Sehubungan itu, kita peringatan saudara (dan para pengikut blog ini) supaya perhatikan bacaan Tasbih yang disebutkan, kerana majoriti umat Islam telah dipesongkan membaca kalimah-kalimah tambahan, ditakuti terlibat dalam 'memperbaharui syariat solat' itu, maka terbatallah solat kita.


Peringatan: Tiada kalimah ‘wa-bihamdihi’

Hadith di atas itu menyebutkan Tasbih Sujud yang dibaca adalah tanpa menambah kalimah ‘wa-bihamdihi’. Menambahnya adalah tergolong perbuatan mengamalkan suatu bida’ah, maka terbatallah solat dan batillah ibadah tersebut, dan lebih merugikan lagi terkeluarlah pengamalnya dari Islam – hadith. Cara hendak Sujud yang berlainan dari hadith di atas ditegah, mengikut hadith berikut:
Diriwayatkan hadith daripada Abi Hurairah (r.a) berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Ketika Sujud salah seorang daripada kamu, maka janganlah menjatuhkan (kedua-dua) lutut kamu (dahulu) seperti unta menjatuhkan lututnya, dan (hendaklah) meletakkan kedua-dua tangan kamu (dahulu) sebelum (meletakkan) kedua-dua lutut kamu.’ - Hadith sahih Abu Daud.
Saudara, Rasulallah (s.a.w) menasihatkan umat beliau supaya janganlah perlakuan nak Sujud itu seperti disebutkan dalam hadith ini.


(-) Tujuh anggota Sujud

Diriwayatkan daripada Abi Humaidi bin al-Saidi (r.a): ‘Bahawasanya adalah Nabi (s.a.w) apabila dia Sujud membolehkan hidung dan dahinya kena bumi (yakni, tempat sujud, seperti tikar atau sejadah), dan kedua-dua tangannya renggang dari dua lembongnya (yakni, bahagian perut atau badannya), dan meletakkan telapak tangannya membetuli (yakni bersetentangan dengan) dua bahunya. Demikianlah kelakuan Nabi (s.a.w) Sujud itu.’ - Hadith sahih at-Termidzi.
Hadith ini menyebutkan bahawa ketika Sujud itu hendaklah dipastikan 7 anggota Sujud itu berada di atas tempat solat; iaitu: pertama, kepala (dahi dan hidung) - 1; kedua, kedua-dua telapak tangan - 2; ketiga, kedua-dua lutut - 2; keempat, kedua-dua hujung jari kaki – 2; menjadikan 7 anggota semuanya.
Diriwayatkan hadith daripada Ibnu Abbas (r.a) berkata: ‘Bahawasanya Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Aku (Nabi (s.a.w)) diperintahkan supaya Sujud dengan tujuh anggota (iaitu) (pertama) dengan dahi (dan sambil menunjukkan hidungnya, yakni termasuk juga hidung), (kedua dan ketiga) dua telapak tangan, (keempat dan kelima) dua lutut, (dan keenam dan ketujuh) hujung dua telapak kaki. Dan, tidak dilarang (atau, membatalkan solat, jika ketika Sujud) melapisi dahi dengan pakaian dan atau rambut (yang terurai, memisahkan dahi dan hidung dengan tempat solat).’ - Hadith Muslim.
Hadith ini menyebutkan bahawa tidak mengapa kalau dahi itu dihalangi dari tempat solat oleh kain ataupun rambut yang terurai. Jika dilakukan tidak membatalkan solat hanyalah kita tidak akur dengan contoh yang disukai oleh Nabi (s.a.w), maka tidaklah dapat pahala as-Sunnah.

(-) Renggangkan kedua tangan & Lengan dari tubuh

Saudara, perlakuan Rasulallah (s.a.w) ketika Sujud itu diceritakan oleh perawi dalam hadith berikut. Pendeknya kedua tangan hendaklah direnggangkan dari tubuh. Renggang kedua tangan itu lebih besar ketika Sujud.

Telah diriwayatkan hadith daripada Abdullah bin Iqram al-Khuza'i (r.a) katanya: ‘Adalah aku beserta bapaku di suatu tempat bernama Qa’ daerah tempat Samurat (seorang sahabat Nabi), di dalam itu maka lalu sedikit daripada kenderaan, maka tiba-tiba Rasulallah (s.a.w) berdiri solat dia’. [Kata Abdullah:] ‘Maka aku memandang kepada warna lebuh (yakni, bahagian) dua ketiak Rasulallah (s.a.w) pada masa Ruku’nya kerana tiada seberapa dibukanya (yakni, direnggangkannya sedikit sahaja) dua sikunya waktu Ruku’ itu. Apabila Sujud dia aku lihat putih ketiaknya (kerana lebih terbuka, yakni, lebih luas direnggangkannya) dua sikunya daripada waktu dia Ruku.’ - Hadith sahih at-Termidzi.
Ketika Sujud itu hendaklah direnggangkan lengan dari tubuh supaya terbuka ketiak yang boleh dilihat oleh orang lain dari belakang.

(-) Cara Sujud

Saudara, hadith ini menyebutkan supaya jangan letakkan lengan tangan di atas tempat Sujud, hendaklah direnggangkan.
Diriwayatkan hadith daripada Anas (r.a) berkata: ‘Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Sempurnakanlah Sujud kamu dan jangan bentangkan (atau hamparkan) dua (lengan) tangan (yakni, lengan) kamu seperti tiarap anjing.’ [Hadith Muslim] 
Hadith di bawah ini menyuruh kita renggangkan kedua lengan dari tubuh ketika Sujud itu. Hadith ini menjelaskan lagi bahawa ketika Sujud itu jangan hamparkan lengan, hendaklah ditegakkan.
Diriwayatkan hadith daripada Barra’ (r.a) berkata: ‘Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Ketika Sujud kamu maka letakkanlah dua telapak tangan kamu dan angkat (atau renggangkan) kedua siku kamu (dari tubuh).’ [Hadith Muslim] 
Hadith berikut menyebutkan perkara yang sama, dan menambah bahawa kaki kita ditegakkan atas jari-jari kaki, tidak dihamparkan atas tempat solat.
Diriwayatkan hadith daripada Said bin Abi Wakas (r.a) berkata: ‘Bahawasanya Nabi (s.a.w) menyuruh dia (yakni, Said) dengan menghampar kedua (telapak) tangannya dan mendiri akan hujung kakinya pada Sujud, [yakni didirikan jari-jari kakinya semasa Sujud itu] [Hadith sahih at-Termidzi]. 
Kita disuruh renggangkan lengan/siku kita ketika Sujud supaya kelihatan bahagian ketiak kita.
Diriwayatkan hadith daripada Abdullah bin Malik (r.a) berkata: ‘Bahawasanya Rasulallah (s.a.w) adapun ketika Sujud direnggangnya kedua-dua sikunya sehingga kelihatan putih ketiaknya.’ [Hadith Muslim]
Nota: Hadith-hadith di atas menjelaskan bagaimana kaedah atau cara Sujud atau kedudukan atau letak anggota-anggota Sujud itu, khususnya tangan atau lengan. Di dalam hadith berikut disebutkan oleh Rasulallah (s.a.w) bahawa semasa Sujudlah manusia itu paling hampir dengan Tuhan mereka.
Diriwayatkan hadith daripada Abi Hurairah (r.a) berkata bahawasanya Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Sedekat-dekat hamba kepada Tuhannya, (adalah ketika) dia Sujud. Maka perbanyakkanlah doa (ketika Sujud).’ [Hadith Muslim] 
Hadith di atas ini memberikan kta peluang untuk berdoa ketika Sujud, jika kita mahu.
Di bawah ini kita teliti beberapa hadith yang menyebut tentang beberapa do'a tambahan ketika Sujud.
 
(-) Tasbih Sujud, bacaan alternatif

Diriwayatkan hadith daripada Abi Hurairah (r.a) berkata: ‘Bahawasanya Rasulallah (s.a.w) ada berkata (yakni, berdoa) di dalam Sujudnya: ’Allahum maghfirli zanbi kullahu dikkahu wajillahu wa-auwalahu wa-akhirahu wa-‘ala niatahu wa-sirrahu.’ (Yang bermaksud: Wahai Tuhan kami! Ampunilah dosa-dosaku kesemuanya, yang kecil, dan yang besar, yang mula-mula, dan yang terakhir, dan yang nyata dan yang tidak nyata (yakni, jelas).’ - Hadith Muslim.

(-) Alternatif lain …

Diriwayatkan hadith daripada Aisyah (r.ah) berkata: ‘Adapun Rasulallah (s.a.w) memperbanyakkan berkata (yakni, berdoa) di dalam Ruku’nya dan Sujudnya: ‘Subhanaka Allahumma rabbana wabihamdika, Allahum maghfirli.’ (Yang bermaksud: Maha suci Engkau wahai Tuhan kami! Dengan memujiMu ampuni dosa-dosa kami) - Hadith Muslim.

(-) Alternatif lain …

Diriwayatkan hadith daripada Aisyah (r.ah) berkata: ‘Maka kehilangan aku akan Rasulallah (s.a.w) pada suatu malam dari tempat tidurku, maka aku raba-raba beliau, tersentuh tanganku dengan kedua telapak kakinya yang ditegakkannya, ketika dia Sujud (solat) di masjid, sedang membaca: ‘Allahumma a’uzubika biridaka min sahatika wa-bimu’afatikamin ‘uqubatika, wa-a’uzubika minka la uhsi thana an ‘alaika anta kama athnaita ‘ala nafsika.’ (Yang bermaksud: Wahai Tuhan kami! Aku berlindung dengan keredaanMu daripada kemurkaanMu dan daripada seksaanMu dengan keampunanMu dari kelalaianku (menunaikan kewajipanku) terhadap Engkau, dan aku berlindung dengan Engkau daripada memuji Engkau yang tidak berkuasa aku menunaikan kepujian atas Engkau sebagaimana apa-apa yang Engkau memuji diri Engkau sendiri.) - Hadith Muslim.
Hadith ini juga menyebutkan bahawa sentuhan isteri Rasulallah (s.a.w) terkena kakinya anggota Rasulallah (s.a.w), tidak pula Rasulallah (s.a.w) menghentikan solatnya. Jelaslah, sentuhan isteri/suami terhadap suami/isteri tidak membatalkan wudu'. Jelaslah, majoriti umat Islam di Malaysia, menyelisihi nas dan dalil hadith ini, apabila bercakap tentang perkara-perkara yang membatalkan wudu’. Maka inilah satu-satunya perlakuan atau kepercayaan yang bertentangan dengan as-Sunnah, maka berat akibatnya tidak menerima ketetapan as-Sunnah.

(-) Alternatif lain …

Diriwayatkan hadith daripada Aisyah (r.ah) berkata: ‘Bahawasanya Rasulallah (s.a.w) adapun berkata (yakni, berdo'a) di dalam Ruku’ dan Sujudnya: ‘Subbuhun quddusun rabbul malaikati war-ruh.’ (Yang bermaksud: Maha suci Engkau (daripada segala kekurangan dan dipersekutukan), (maha suci Engkau) daripada segala sesuatu yang tidak layak bagiMu, Tuhan segala malaikat, (terutama) ar-Ruh (iaitu, Jibrail (a.s)) - Hadith Muslim.
Saudara, demikianlah kita telahpun teliti beberapa nas dan dalil as-Sunnah mengenai perlakuan Rukuk, Iktidal dan Sujud sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulallah (s.a.w) sejajar dengan sabda Rasulallah (s.a.w) 'Sollu kama ra-aitumuni usolli' itu.

Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment