Friday, July 25, 2014

Post Ramadhan: Menyambut dan merayakan Aidil Fitri

Assalamualaikum,
Saudara, tak lama lagi akan selesailah Ramadhan dan tiibalah Syawal. Semua umat Islam bergembira menyambut Aidil Fitri dengan memulakannya dengan bersolat Solat Aidil Fitri dua rakaat, kemudian mulalah pelbagai aktiviti keduniaan, ziarah menziarahi kaum keluarga dan sahabat handai. Kita diberitahu kegembiraan Syawal itu adalah meraikan kejayaan Ramadhan - berpuasa sebaik mungkin bulan Ramadhan, maka ada yang berjaya dapat pembebasan dari neraka, maka mereka bergembira, dan mereka bergembira kerana kembali semula bebas dari puasa yang diwajibkan atas umat Islam.
Saudara, bagaimanakah sewajarnya - mengikut syariat Islam - kita merayakan Syawal? Kita tengok ketetapan Islam berikut:

Menyambut Aidil Fitri

(-) Bertakbir menyambut Aid

Saudara, ketika masuk waktu Maghrib pada hari puasa terakhir, kerana esoknya distiharkan satu Syawal, maka kita disuruh semarakkan Aidil Fitri dengan Takbir.

Diriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah (r.a) berkata dia: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w); ‘Menghiasilah sekelian kamu pada beberapa hari raya (Aidil Fitri) sekelian kamu dengan takbir (yakni, membaca ‘Allahu Akbar).’ - Hadith sahih riwayat at-Tobrani.
Takbir itu dibaca mulai waktu Maghrib malam satu Syawal (i.e. malam 29 atau 30 Ramadhan) sehinggalah Maghrib 1 Syawal. Takbir itu adalah seperti hadith berikut.

(-) Kalimah Takbir Aid

Justeru itu, sebaik sahaja dicukupkan puasa dan nampak anak bulan Syawal, atau diumumkan oleh pemerintah tarikh raya puasa itu, maka disunatkan umat Islam bertakbir sehinggalah pagi esoknya, sampai didirikan solat Aidil Fitri. Takbir itu hanyalah menyebut ‘Allahu Akbar (3x), La ilaha illallah Wallahu Akbar, Allahu Akbar Walillahi Ilham’ sahaja. Yang lain tidak diamalkan oleh Rasulallah (s.a.w), dan menokok tambah kepada takbir tidak membuahkan sebarang pahala tambahan tetapi mengundang dosa pula, jika perbuatan tersebut termasuk dalam kategori membuat ‘perkara-perkara baru dalam agama’ yakni ‘bida’ah’! Sepotong hadith lain pula menyebutkan:
Diriwayatkan hadith daripada Said bin Ausin al-Ansari (r.a) hadith daripada bapanya telah berkata dia (yakni bapanya): ‘Rasulallah (s.a.w) telah bersabda: ‘Ketika datang raya Aidil Fitri telah menyebut-nyebut malaikat pada beberapa pintu (Syurga) maka membukakannya (sambil berkata): ‘Wahai golongan muslimin! Kepada Tuhanmu yang maha mulia memberi anugerah Allah (a.w), kemudian memberi pahala Allah (a.w) atas kebaikan pada pahala yang banyak, diperintah sekelian kamu yang berdiri (yakni, mendirikan solat) maka berdirilah (yakni, solatlah), dan diperintahkan sekelian kamu berpuasa waktu siang maka berpuasalah, dan taatlah sekelian kamu terhadap Tuhan kamu maka menerimalah sekelian kamu pada beberapa pahala sekelian kamu,’ (sambung Nabi (s.a.w)) ‘Maka memanggillah orang-orang yang memanggil (yakni, para malaikat di langit)(dengan berkata mereka): ‘Sesungguhnya Tuhan kamu telah mengampunkan ke atas kamu (akan dosa kamu) maka kembalilah kamu dengan benar (yakni, mendapat petunjuk) ke rumah sekelian kamu pada hari raya dengan pahala, dan disebut-sebut pada hari ini (yakni, Aidil Fitri) dari langit (pata malaikat) ‘Hari Pahala’ (yakni, hari pembersihan).’ - Hadith sahih riwayat at-Tobrani.
Saudara, hadith ini menyebutkan bahawa ketika masuk 1 Syawal, mereka membuka pintu syurga seluas-luasnya sambil menyeru kepada manusia atas kejayaan mereka menunaikan puasa Ramadhan sehingga selesai. Hari itu adalah hari kemenangan dan hari pembebasan bagi mereka yang berjaya menunaikan puasanya sebaik mungkin, maka diamuni dosa-dosanya yang lalu, kembali dalam keadaan fitrah.


(-) Greeting/Ucapan ketika Aidl Fitri/Adha

Saudara, telah menjadi kelaziman bagi umat Islam di Malaysia ketika hampir raya mengirim Kad Raya dengan menyebut 'Selamat Hari Raya'. Apakah salutation bagi orang iman ketika menyambut raya? Ini dijelaskan dalam hadith berikut:

Diriwayatkan hadith daripada Khalid bin Ma’dan (r.a) berkata dia: ‘Apakala bertemu dia dengan Wasilah bin Asqa’ pada hari Aidil Fitri maka berkata dia (yakni, Khalid): ‘Taqabbalallahu minna waminka’. Maka berkata Wasilah: ‘Na’am! Taqabbala minna waminka’. Berkata Wasilah: ‘Apabila bertemu atau bersua dia dengan Rasulallah (s.a.w) pada hari Aidil Fitri maka (Wasilah) berkata: ‘Taqabbala minna waminka.’ Bersabda Nabi (s.a.w) membalas: ‘Na’am! Taqabbala minna waminka.’ - Hadith sahih Riwayat al-Baikhaki, Kitabul Ideen.
Seperti biasa apa-apa saja menjadi ketetapan Islam - al-Quran ataupun as-Sunnah - jika kita ikuti/contohi kita mendapat pahala as-Sunnah.


Syariat ‘Puasa Enam’ dalam bulan Syawal

Saudara, kita lihat 3 potongan hadith kefadhalan 'Puasa Enam' dalam bulan Syawal itu.

Hadith 1: Diriwayatkan hadith daripada Syu’ban Maula (r.a) katanya hadith daripada Rasulallah (s.a.w), bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Sesungguhnya barangsiapa berpuasa enam hari dalam bulan Syawal, adalah dia seperti berpuasa setahun atau barangsiapa datang (yakni, mengerjakan) apa-apa kebaikan baginya sepuluh kebaikan seumpamanya). ’- Hadith sahih riwayat Ibnu Majah.
Hadith ke-2: Diriwayatkan hadith daripada Thu’ban, hamba merdeka Rasulallah (s.a.w) berkata hadith daripada Rasulallah (s.a.w) bahawasanya Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Barangsiapa berpuasa enam hari sesudah Raya Fitri, ada sempurna (puasanya) setahun.’ [Merujuk kepada firman Allah (a.w) di dalam al-Quran (ayat): ‘Man jaa-a bilhasanati falahu ‘asrun amthaliha.’[Ayat 160, Surah al-An’am][Maksud ayat: Barangsiapa mendatangkan kebaikan (yakni, berbuat amalan baik) maka baginya (ganjaran pahala) sepuluh seumpamanya (yakni digandakan sepuluh kali ganda)] - Hadith Ibnu Majah, Kitab Siam.
Hadith ke-3: Diriwayatkan hadith daripada Abi Ayub (r.a) berkata: ‘Telah bersabda Nabi (s.a.w): ‘Barangsiapa puasa Ramadhan, kemudian diikutinya dengan (puasa) enam hari daripada Syawal, maka itulah puasa (yakni, seolah-olah berpuasa) sepanjang tahun.’ - Hadith hasan sahih at-Termidzi.
Nota: Allah (a.w) memberitahu hambanya yang Islam melalui firmanNya dalam Ayat 160: al-Anam tersebut bahawa sesuatu amalan kebaikan (amal makruf) itu dibalas Allah (a.w) dengan sepuluh kali ganda kebaikan (yakni, pahala) seumpamanya. Allah (a.w) memberitahu kita bahawa ganjaran pahala puasa Ramadhan itu adalah hakNya menentukan pahalanya. Namun begitu, untuk memahami mengapa Rasulallah (s.a.w) memberitahu kita bahawa apabila kita berpuasa Ramadhan sebulan, maka, kemudian ditambah dengan ‘Puasa Enam’ dalam bulan Syawal, seolah-olah kita berpuasa setahun. Kerana, di dalam al-Quran Allah (a.w) memberitahu setiap kebaikan yang dilakukan diberi ganjaran pahala minima 10 gandaan pahala (i.e. seumama puasa 10 hari). Jika kita takrifkan pahala minima berpandukan firman Allah (a.w) tersebut dan mengambil kira ketetapan dalam hadith Rasulallah (s.a.w) itu, kita boleh membuat hitungan: berpuasa Ramadhan (kita dapat 30 x 10 = 300 ganjaran hari berpuasa) dicampur dengan ‘Puasa Enam’ (kita dapat 6 x 10 =60 ganjaran hari berpuasa), menjadi jumlahnya 300 + 60 = 360 pahala atau gandaan hari, iaitu setahun. Maka berpuasa Ramadhan dicampur dengan ‘puasa enam’ menjadikan kita mendapat ganjaran pahala seumpama 360 hari puasa atau setahun. Tahun Islam 360 hari). Itulah maksud hadith tersebut. Namun begitu, hakikatnya, Allah (a.w) yang menentukan ganjaran pahala puasa Ramadhan itu. Justeru itu, Allah (a.w) mungkin akan memberikan kita pahala lebih banyak bergantung kepada keikhlasan kita serta kemurnian amalan puasa kita itu. Kejayaan terbaik puasa Ramadhan adalah dibebaskan dari neraka di akhir Ramadhan. Itu lebih baik dari ganjaran puasa setahun. Namun minima, setiap yang Islam itu wajar mendapat pahala seumpama berpuasa setahun kerana menyusuli Puasa Ramadhan dengan Puasa Enam hari dalam bulan Syawal selepas tamat Ramadhan.
Puasa 6 hari dalam bulan Syawal itu oleh dibuat secara berterusan 6 hari atau diansur-ansur sehingga cukup enam hari, asalkan dikerjakan tidak melewati bulan Syawal.

Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment