Monday, July 29, 2013

Ramadhan, Islam dan Pakaian Lelaki

Assalamualaikum,
Saudara, hari ini sudah masuk 10 terakhir Ramadhan, digalakkan berjaga malam, bertiktikaf menunggu lailatul-Qadr. Kita dah tahu bahawa seseorang Islam yang beriman yang berpuasa Ramadhan dengan niat dan harapan semata-mata mencari pahala dari Allah (a.w), di akhir Ramadhan, diampunkan kesemua dosa tahun lalu (kecuali beberapa dosa yang tak secara otomatis diampunkan, iaitu dosa besar hukum had (hudud), dosa yang sengaja dikerjakan dan dosa kepada orang mukmin yang lain). Tapi, kalau kita melakukan sesuatu yang ditegah oleh Islam seperti yang disebutkan dalam hadith-hadith berikut, takda gunanya berpuasa pula. Tak dapat pahala sedikitpun... Apa dia? Kita lihat seterusnya.


Lelaki Islam Dilarang Memakai Emas dan Sutera 


Saudara, dalam Islam pakaian adalah utama dalam urusan ibadah, dalam perkara aurat dan dalam perkara mentaati perintah Allah (a.w) dan RasulNya.

Diriwayatkan hadith dari Nafi’ hadith dari Said b Abi Hindin hadith dari Abi Musa al-Asy’aari (berkata) bahawa Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Hurrima libasul-hariri waz-zahabi ‘ala zukuri ummati wa-uhilla li-inathihim’. (Yang bermaksud: Diharamkan pakaian sutera dan (memakai) emas atas kaum lelaki umatku dan dihalalkan pada orang perempuan (mereka).’ [Hadith at-Termidzi, Kitab Libas (Pakaian)]
[Nota: Hadith ini memberikan ketetapan syariat Islam bahawa lelaki Islam tidak dibenarkan (i.e. diharamkan) sama sekali memakai pakaian sutera (i.e. apapun kualiti dan sifatnya) dan emas (dalam apa bentuk sekalipun spt cincin dan gelang). Dalam hadith berikut disebutkan ketetapan yang sama.]
Diriwayatkan hadith dari Abi Aflaha al-Hamdani hadith dari Abdullah b Zurir, yakni al-Ghafiqiyi, bahawasanya dia mendengar Ali b Abi Thalib (r.a) berkata: ‘Sesungguhnya Nabi (s.a.w) memegang (yakni, mengambil) sutera halus (atau lembut atau nipis) maka menjadikan (i.e. memegangnya) pada tangan kanannya, dan mengambil (atau memegang) emas, maka menjadikannya (i.e. memegang emas tersebut) di dalam tangan kirinya, kemudian bersabda: ‘Inna hazaini haramun ‘ala zukuri ummati’ (Yang bermaksud: ‘Sesungguhnya kedua-dua ini (i.e. ditangannya – sutera dan emas) diharamkan atas kaum lelaki umatku.’ ) [Hadith at-Termidzi, Kitab Libas]
[Nota: Hadith ini sekali lagi mengesahkan bahawa lelaki Islam diharamkan memakai sutera dan emas.] 


Umat Akhir Zaman Melanggar Ketetapan as-Sunnah 


Saudara, di akhir zaman manusia akan mengutamakan kebijaksanaan mereka dalam beramal dan beribadah dalam Islam. Yang juga menyebabkan mereka anggap as-Sunnah itu tak sama tarafnya dengan al-Quran, walhal ketetapan al-Quran dan as-Sunnah adalah berupa kewajipan mutlak diikuti dan diambil pakai sebagai panduan hidup mukmin.

Menceritakan hadith oleh Abdul Rahman Ghanamil-al-Asy’ari berkata: ‘Menceritakan hadith kepadaku (oleh) Abu ‘Amir atau Abu Malik al-Asy’ari: ‘Demi Allah (a.w)! Tidak berdusta Abdul Rahman kepadaku bahawa dia mendengar Nabi (s.a.w) bersabda: ‘La-yakunanna min ummati aqwamun yastahillunal-hira wal-harira wal-khamra wal-ma’azifa.’ (Yang bermaksud: ‘Akan ada dari kalangan umatku beberapa kaum yang menghalalkan zina (atau, perzinaan) dan (menghalalkan) sutera dan (menghalalkan) arak (i.e. minuman keras) dan (menghalalkan) alat-alat lahan (i.e. alat-alat muzik atau apa saja alat-alat yang boleh melalaikan umat Islam.) )’ [Hadith Bukhari, Kitab Syarbat (minuman)]
[Nota: Hadith ini menyebutkan di akhir zaman akan ada umat Islam (hamba Allah (a.w) dan umat Muhammad (s.a.w)) yang menolak as-Sunnah. Antaranya umat Islam menentang ketetapan – ketetapan yang disebutkan dalam hadith. Apa dia? Ada 4 perkara yang diharamkan dalam Islam, iaitu pertama, perzinaan; kedua, sutera (sebagai pakaian lelaki); ketiga, arak (minuman); dan keempat penggunaan alat-alat lahan (atau yang melalaikan manusia dari mengingati Allah (a.w)). Alat-alat lahan itu adalah seumpama alat music, alat penyiaran dan hiburan selainnya. Termasuklah, menjadi karier hidup sebagai penyanyi dan pelakon. Rezki yang didapati melalui perbuatan lahan (= yang melalailan orang Islam) adalah haram.

Syurga itu didapati oleh seseorang Islam yang beriman yang membuat amalan dan mengerjkan ibadah yang ditetapkan, yakni sesiapa yang berjaya menepati ketetapan Ayat 13, Surah an-Nisa', pasti dapat syurga. Termasuk dalam ketetapan ini adalah Ayat 103, Surah ali-Imran, yang menyebutkan bahawa sah Islam seseorang itu jika dia berjema'ah dalam Islam. Dan, segala ketetapan Rsulallah (s.a.w) (i.e. as-Sunnah atau al-hadith) wajib dikuti kerana itu ketetapan Allah (a.w) - Ayat 7, Surah al-Haysr dan Ayat 80, Surah an-Nisa'. Ketetapan itu sejajar dengan Ayat 13, Surah an-Nisa' yang kita rujuk itu.] 

Pakai Sutera di Dunia, Masuk Neraka 


Saudara, ramai umat Islam, terutama mereka yang berkedudukan dimercu kegemilangan duniawi spt Mufti, Imam Masjid utama, penceramah tersohor dllnya yang suka menampilkan pakaian yang hebat dalam majlis-msjlis resmi, spt baju batik diperbuat dari sutera halus. Mereka wajar diperingatkan dengan ketetapan berikut:

Menceritakan hadith oleh Abdul Aziz b. Syuib yang berkata: ‘Aku mendengar Anas b Malik berkata dari Syubah: ‘Maka berkata aku dari Nabi (s.a.w)’. Maka berkata (Abdul Aziz): ‘Sungguh-sungguh (mendengar) dari Nabi (s.a.w) yang bersabda: ‘Man labisal-harira fid-dunya falan yalbassahu fil-akhirati.’ (Yang bermaksud: Barangsiapa memakai (pakaian) sutera di dunia, maka tidak sekali-kali akan memakainya (i.e. memakai sutera) di akhirat.) [Hadith Bukhari, Kitab Libas]
[Nota: Hadith ini menyebutkan bahawa sesiapa yang memakai sutera di dunia pasti tak memakainya di akhirat. Di akhirat hanya penghuni syurga yang memakai sutera. Jika tak memakai sutera di akhirat pastilah dia bukan dari kalangan ahli syurga, yakni pastilah dia penghuni neraka.]


Jangan Berlebihan atau Melampau atau Keterlaluan 


Saudara, sifat sombong dan bongkak amat dibenci Allah (a.w), sehingga dihukumi oleh Allah (a.w) sesiapa yang wujud sifat rasa sombong dalam hatinya, walaupun sebesar zarrah atau semut hitam, tidak dimasukkan ke dalam syurga. Sombong ini dijelmakan melalui cara makan dan minum, cara bersedekah atau mengeluarkan sedekah dan cara berpakaian. Akibatnya buruk untuk akhirat kita.

Diriwayatkan hadith dari ‘Amru ibni Syuib hadith dari bapanya hadith dari datuknya berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Kulu wasyrabu wa-tasaddaqu wal-basu ma lam yukhalithu israqun au-makhillatun.’ (Yang bermaksud: Makanlah, minumlah dan sedekahlah dan berpakaianlah selama tidak mencampuri (i.e. berlebih-lebih) atau merasa sombong (atau ada sifat-sifat kesombongan dalam makan, minum, bersedekah dan berpakaian)). [Hadith ibnu Majah, Kitab Libas]
[Nota: Islam membenarkan kita makan dan minum dan menggalakkan bersedekah dan juga memakai apa jua pakaian asalkan jangan melampau atau berlebih-lebihan atau kerana kesombongan (i.e. menunjuk-nunjuk atau merasa bangga kepada orang lain atau kerana riak). Dilarang berlebih-lebihan atau melampau batas atau membangga diri dalam berpakaian dll perbuatan.] 


Memakai Pakaian Menyerupai Kaum Bukan Islam 


Saudara, Islam itu diwajibkan ditinggikan kedudukannya berbanding semua agama ciptaan manusia. Adab atau peradaban (atau, umumnya, budaya) Islam itu wajib diutamakan. Janganlah kerana dunia kita tiru atau contohi budaya selain Islam, buruk akibatnya spt yang dijelaskan dalam hadith berikut:

Menceritakan hadith Abdul Rahman b Thabit hadith dari Hasan ibnu ‘Atiyah hadith dari Abi Munib al-Jurasiyu hadith dari Ibnu Omar berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Man tasyabaha bi-qaumin fahua minhum.’ (Yang bermaksud: Barangsiapa yang menyerupai dengan (i.e. meniru perlakuan atau perbuatan atau perangai atau budaya) sesuatu kaum, maka dia adalah dari kalangan kaum itu.) [Hadith Abu Daud, Kitab Libas]
[Nota: Hadith ini menyebutkan bahawa Rasulallah (s.a.w) menegah atau melarang orang Islam (i.e. umatnya) meniru dengan sengaja perlakuan atau perbuatan atau resmi atau tabiat orang yang bukan Islam, kerana jika sedemikian, maka Allah (a.w) anggap orang sedemikian adalah tergolong dalam golongan kaum atau kumpulan yang ditirunya budaya, perangai atau perbuatan atau tabiat mereka.] 


Melabuhkan/Memanjangkan Pakaian 


Saudara, hadith di bawah ini menghukumkan suatu ketetapan yang amat serius yang wajib bagi kita yang mengharapkan kesejahteraan akhirat patuhi. Suruhan ini nampak remeh tapi besar implikasinya secara direct dan tidak directpun.

Diriwayatkan hadith dari Abi Jaffar hadith dari ‘Atak b Yasar hadith dari Abi Hurairah berkata: ‘Suatu ketika ada seorang lelaki bersolat memanjangkan pakaiannya (i.e. memakai pakaian yang labuh), maka bersabda kepadanya Rasulallah (s.a.w): ‘Izhab, fatawaddak.’ (Yang bermaksud: ‘Pergilah! Dan berwudu’lah engkau (semula)’). Maka pergi dia, maka berwuduk dia, kemudian datang dia (ke tempat solatnya semula). Maka bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Izhab, fatawaddak.’ (Yang bermaksud: Pergilah! Dan, berwuduklah (semula)’). Maka berkata kepada Rasulallah (s.a.w) seorang lelaki: ‘Wahai Rasulallah (s.a.w)! Mengapakah engkau memerintahkan dia bahawa berwuduk dia (semula)?’ Kemudian terdiam sebentar Rasulallah (s.a.w) dari pertanyaan tersebut. (Kemudian) Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Kana yusalli wa-hua musbilun izarahu, wa-innallaha ta’ala la yaqbalu solata rajulin musbilun.’ (Yang bermaksud: ‘Sesunggunya, adapun dia bersolat dan dia melabuhkan pakaiannya. Dan, sesungguhnya Allah zat yang Maha Tinggi tidak menerima solat seorang lelaki yang memanjangkan (atau, melabuhkan) pakaiannya.) [Hadith Abu Daud, Kitab Libas dan Kitab Solat]
[Nota: Hadith ini menyebutkan bahawa sesiapa yang berwudu’ dan bersolat dengan melabuhkan pakaiannya ketika bersolat, tidak diterima Allah (a.w) bukan sahaja wudu’nya tetapi solatnya. Tak gunalah bersolat jika memakai pakaian – seperti seluar atau jubah atau kain – yang labuh. Sesuatu itu dikira labuh apabila melebihi paras dua buku lali yang memakainya ketika berdiri.] 


Had Panjangnya (Bahagian Bawah) Pakaian lelaki 


Saudara, panjangnya bahagian bawah pakaian lelaki orang iman itu ditetapkan dalam hadith beikut. Kerana serius akibatnya kalau kita menyalahi ketetapan ini, maka janganlah kita remehkan atau pandang kecil, sebagaimana ramai umat Islam arus perdana remehkan perkara ini. Takda gunanya untuk keselamatan akhirat kita kalau kita enggan patuhi.

Diriwayatkan hadith dari ‘Alak b Abdil Rahman hadith dari bapanya berkata: ‘Aku bertanya kepada Abi Said al-Khudri dari urusan pakaian (lelaki). Maka berkata Abi Said: ‘Atas orang yang pandai telah jatuh enkau! (Maksudnya, bijak engkau bertanya) Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Izarahul-Muslimi ila nisfis-saqi wa-la haraja au la junaha fima bainahu wa-bainal ka’baini. Ma kana asfala minal-ka’baini fahua fin-anari. Man jarra izarahu batoran lam yanzurillahu ilaihi.’ (Yang bermaksud: Pakaian Muslim (lelaki) setakat separuh betisnya dan tidak mengapa atau tidak berdosa di dalam apa-apa antara pakaiannya dengan dua bukulalinya (i.e. matakakinya). Apa-apa yang melebihi dari dua buku-lalinya (i.e. matakakinya), maka dia dalam neraka. Barangsiapa melabuhkan pakaiannya kerana merasa sombong (atau, kerana niat mempamiran diri atau menunjuk-nunjuk) tidak melihat Allah (a.w) kepadanya (di akhirat kelak)). [Hadith Abu daud, Kitab Libas]
[Nota: Hadith ini menyebutkan had panjangnya (i.e. bahagian bawah) pakaian lelaki itu hendaklah setakat setengah atau separuh betisnya. Tidak mengapa jika panjang sedikit asalkan di atas bahagian kedua buku-lalinya sahaja (i.e. dibolehkan setakat sampai sebelah atas kedua buku-lalinya, yakni, tidak menutup buku-lalinya). Jika sampai menutupi buku-lalinya, dia ahli neraka. Jika dia berpakaian kerana rasa kesombongan, maka Allah (a.w) tidak akan melihat kepadanya di akhirat kelak. Hanya penghuni syurga sahaja yang akan dilihat oleh Allah (a.w)!]. 


Pakaian yang Melebihi Dua Buku Lali Ahli Neraka 


Saudara, dalam hadith berikut disebutkan betapa seriusnya larangan mengenai pakaian itu. Oleh kerana itu janganlah kita remehkan.

Diriwayatkan hadith dari Musa b ‘Uqbah hadith dari Salim b Abdullah hadith dari bapanya hadith dari Nabi (s.a.w) bersabda: ‘Man jarra thaubahu khuyalaha lam yanzurillahu ilaihi yaumal qiamati.’ (Yang bermaksud: Barangsiapa menarik (i.e. memanjangkan atau melabuhkan) pakaiannya kerana sombong, tidak melihat Allah (a.w) padanya pada hari kiamat.) Maka berkata Abu Bakar: ‘Wahai Rasulallah (s.a.w)! Jika salah satu hujung pakaianku (i.e. seluarku) terlondeh (atau terjuntai) (tanpa disengajai) kecuali bahawasanya memelihara (i.e. menjaga) aku dari demikian terlondeh?’ Maka bersabda Nabi (s.a.w): ‘Lasta mimman yasna’uhu khuyala-a.’ (Yang bermaksud: Tidaklah engkau termasuk dari kalangan orang yang berlaku sombong (i.e. tidak termasuk dalam golongan orang yang dikira menyombong itu)). [Hadith Bukhari, Kitab Libas]
[Nota: Hadith ini juga terdapat dalam Sunan Abu Daud dan Sunan an-Nasa’i. Hadith ini menceritakan lelaki yang melabuhkan pakaiannya dengan sengaja tidak akan dilihat oleh Allah (a.w) di akhirat kelak. Adakah dianggap sombong seorang lelaki itu, kerana sesuatu sebab diluar kawalannya, terpaksa menarik seluarnya supaya hujungnya tidak melebihi buku lalinya? Mungkin kerana longgar atau tak sengaja terlondeh, katalah kerana sifat fisikalnya yang menyebabkan kainnya atau jubahnya atau seluarnya terlondeh atau jatuh ke bawah buku lalinya. Jika demikian, dia tidak dikira sombong.] 


Tiga Golongan yang Tidak Akan Dipandang Allah (a.w) di Akhirat 


Saudara, jangan kita termasuk dalam 3 golongan yang disebutkan dalam hadith berikut! Tak ada gunanya kita beramal dan beribadah.

Diriwayatkan hadith dari abi Zarr (r.a) hadith dari Nabi (s.a.w) bahawasanya bersabda: ‘Thalathatun la yukallihumullahu, wa-la yanzuru ilaihim yaumal qiamati, wa-la yuzakkihim, wa-lahum ‘azabun alimun.’ (Yang bermaksud: Tiga golongan orang (Islam/iman) yang tidak akan bercakap Allah (a.w) kepada mereka, dan tidak melihat Allah (a.w) pada mereka di hari kiamat, dan tidak akan diampunkan dosa-dosa mereka, dan bagi mereka azab yang pedih.’ Berkata aku (Abu Zarr): ‘Siapakah mereka itu, wahai Rasulallah (s.a.w)? Sungguh-sungguh mereka telah kecewa dan rugi.’ Maka meminta diberitahu tiga kali. Berkata aku (Abu Zarr): ‘Siapakah mereka? Sungguh kecewa dan rugi mereka!’ Maka bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Al-Musbilu wal-mannanu wal-munafiqu sil’atuhu bil-halifil-kazibi awilfajiri.’ (Yang bermaksud: (Golongan pertama) Orang yang melabuhkan pakaiannya, (kedua) orang yang suka menyebut-nyebut (i.e. mengungkit-ungkit) pemberiannya (i.e. apa-apa yang diberikannya kepada orang lain), dan (ketiga) orang yang melariskan barang dagangannya atau jualannya dengan sumpah bohong (atau dusta).’) [Hadith Abu Daud, Kitab Libas]
[Nota: ‘an-Mannan’ = orang yang suka setiap kali memberi sesuatu pada orang, pasti disebut-sebutnya (atau diungkit-ungkitnya). Terdapat dalam hadith Muslim, at-Termidzi, an-Nasa’i dan ibnu Majah] 


Rumusan


Apakah yang dapat kita fahami dari hadith-hadith di atas itu? Perkara yang disebutkan atau yang menjadi tajuk pusat hadith adalah pakaian bagi lelaki. Ketetapan Islam dalah: pertama, lelaki Islam di larang memanjangkan atau melabuhkan pakaiannya – seluar, kain atau jubah; kedua, lelaki Islam dilarang memakai perhiasan emas dan perak; ketiga, sengaja melabuhkan pakaian dikira sifat kesombongan. Dalam sepotong hadith lain, sombong adalah sifat syaitan dan sesiapa yang ada sebesar zarrah sifat sombong artau rasa sombong dalam hatinya, maka dia tidak akan masuk syurga; keempat, kalau pakaian bawah seseorang itu terondeh tak dapat dikawal, maka dia tidak tergolongan orang yang melabuhkan pakaian bawahnya, maka tidak dianggap sombong; dan kelima, solat leleki yang melabuhkan akawain bawahnya menutupi kedua buku-lalinya tidak diterima Allah (a.w). Jelaslah, pakaian kelihatan begitu remeh tapi amat fundamental dalam Islam. Oleh itu berwaspadalah.
Dalam satu hadith di atas disebutkan pula bahawa sesiapa yang minum arak di dunia tidak akan minum arak di akhirat. Hakikatnya dalam al-Quran ahli syurga minuman mereka adalah arak yang tidkpula memabukkan. Malah satu daripada 4 jenis sungai di syurga itu adalah sungai arak. Kedua, disebutkan golongan orang yang mengungkit-ungkit sesuatu yang diberikannya kepada seseorang, tidak akan dilihat Allah (a.w) dan tidak akan diampunkan dosanya. Jelaslah perkara yang dibicarakan amat kecil pada kacamata kita, namun pada Allah (a.w) dan RasulNya amat besar dan penting. Tidak mendapat syurga. Rugi dan celakalah orang-orang sedemikian kerana walau bagaimana banyak dan istiqamah dia beramal, namun tak dapat pahala, kerana di akhirat Allah (a.w) tidak mahu memandangnya. Orang-orang dalam neraka sahaja Allah (a.w) tak mahu lihat dan mahu menegur atau bercakap dengan mereka. Penduduk syurga akan bercakap=cakap dengan Allah (a.w).] 

Jazakallahu khairah

1 comment:

  1. We are assisting Hajj Travel Agents so as to beautify their enterprise performance inside the market this is swiftlygrowing with the passage of time. through those solutions agents are helping similarly their clients to get easy travel solutions for any type of journey.

    ReplyDelete