Assalamualaikum,
Saudara, kita telah lihat dalam post yang lalu menyentuh tajuk di atas itu, dalam konteks sepotong hadith Rasulallah (s.a.w). Kita sambung sedikit lagi.
Saudara, dalam al-Quran disebutkan cerita Harut dan Marut iaitu dua malaikat yang amat hebat dari segi keimnan dan ketakwaan yang dipiiha oleh komuniti malaikat untuk memerintah manusia di bumi. Kerana, malaikat berpandangan bahawa malaikat itu lebih baik dari manusia dalam menyampaikan dan melestarikan syiar agama Allah (a.w) dan dalam mempastikan ianya berjalan lancar di dunia. Kerana, apakala Adam (a.s) - manusia pertama dicipta Allah (a.w) - para malaikat berpendapat bahawa manusia tidak layak menjadi khalifah di bumi kerana adalah salah satu sifat manusia itu suka bergaduh dan menumpahkan darah sesama sendiri. Malaikat lebih rukun dan boleh bekerjasama. Malaikat cuba mempersoalkan kebijaksanaan Allah (a.w) apakala memilih manusia sebagai khalifah di bumi, setelah tawaran tersebut diberikan kepada bukit dan gunung, mereka tidak sanggup. Tapi, manusia 'bodoh', kata Allah (a.w), sanggup mengambil risiko yang besar menjadi khalifah di bumi. Maka masyarakat malaikat berpandangan malaikat lebih baik menjadi khalifah.
Saudara, setelah bersetuju untuk mencuba malaikat sebagai khalifah di bumi, justeru masyarakat malaikat bermusyawarah memilih seseorang dari kalangan mereka yang boleh 'dipertandingkan' diberi kesempatan untuk diuji.
Malaikat dijadikan Allah (a.w) makhluk yang sangat taat kepada Allah (a.w), tidak mamiliki nafsu, dan tidak perlukan makan dan minum, sebagaimana manusia. Manusia sebaliknya ada akal fikiran dan ada nafsu dan ada keinginan untuk keperluan dirinya, makan dan minum dan nafsu. Justeru itu, sesiapa yang nafsunya mengalahkan akalnya, maka terjerumuslah dia ke dalam kancah dosa maka jatuhlah mertabatnya lebih rendah dari haiwan. Kalau akalnya dapat menundukkan nafsunya, maka jadilah dia orang bertaqwa dan soleh dan sentiasalah taatkan Allah (a.w). Maka masyarakat malaikat memilih dua dari kalangan mereka yang terhebat dan mereka fikirkan boleh menandingi manusia sebagai khalifah di bumi iaitu malaikat Harut dan Marut. Maka Allah (a.w) berikan nafsu kepada keduanya supaya barulah sama dengan kedudukan manusia dalam pertandingan tersebut - pertandingan menentukan apakah malaikat lebih hebat dari manusia untuk dijadikan khalifah (=pemimpin di bumi Allah).
Maka, Allah (a.w) datangkan ujian dengan menjelmakan bintang Zarah sebagai seorang wanita yang amat cantik untuk menggoda Harut dan Marut. Diminta oleh wanita itu supaya dia disetubuhi oleh Harut dan Marut (i.e. didesak untuk menzinai dia). Namun mereka menolak kerana mereka tahu dosa berzina adalah amat besar. Kemudian, perempuan itu menggoda supaya membunuh orang jika inginkan cintanya. Itupun ditolak oleh Harut dan Marut. Kerana membunuh orang adalah suatu dosa yang besar pula. Kemudian dipujuk oleh wanita itu supaya sama minum arak bersama-samanya jika inginkan cintanya. Mereka mendapati dosa minum arak itu tidakah sebesar dosa membunuh atau berzina, maka mereka berdua sanggup minum. Setelah minum, maka mabuklah keduanya. Maka terjadilah perzinaan dengan wanita itu. Kemudian dilihatnya perzinaan itu diketahui atau dilihat oleh seorang budak. Untuk menutup rahsia perbuatan mereka, maka mereka membunuh budak tersebut. Maka jadilah kedua-dua malaikat itu terkandas dalam melawan keinginan nafsunya, melakukan tiga dosa besar sekali harung - berzina, membunuh dan minum arak.
Kerana kegagalan mereka itu, mereka dikenakan hukuman. Mereka diberi pilihan apakah menjalani hukuman itu ketika di dunia? Atau, dijalani hukuman di akhirat? Kedua-dua malaikat itu memilih supaya dihukum di dunia. Maka kedua-dua mereka digantung kaki ke atas dan kepala di bawah dan kepala mereka hampir mencecah paras air laut. Ketika berombak maka merasa lemas kerana kepala mereka terbenam dalam air laut. Demikianlah siksaan mereka dalam alam ghaib sampai kiamat dunia.
Saudara, malaikat Harut dan Marut itu cerdik dan pintar. Mereka tahu bahawa walau lama mana sekalipun siksaan ketika di dunia, ia pasti akan berakhir, apakala kiamat dunia! Bila kiamat dunia, tibanya alam akhirat, mereka akan bebas dari siksaan tersebut.
Sebaliknya, syaitan dan kuncu-kuncunya - termasuk syaitan manusia - bodoh lagi dungu, sanggup menangguhkan balasan siksaan terhadap dosa-dosanya di dunia, dan terimanya di akhirat, walhal kehidupan akhirat itu kekal, tiada sempadan waktu. Jelaslah Harut dan Marut lebih cerdik dari Syaitan dan Iblis! Syaitan dan iblis memilih siksaan ditanguhkan sehingga akhirat. Harut dan Marut memilih siksaan diberikan di dunia. Dunia ada sempadan waktu, tamat apabila kiamat dunia, walhal akhirat tidak ada sempadan waktu, bermula bila kiamat dunia dan terus kekal selama-lamanya.
Saudara, Qarun juga bodoh dan dungu - tidak mau menginfaqkan sebahagian dari kekayaannya yang tidak ditandingi oleh mana-mana manusia sampai kiamat dunia, yang membolehkan dia mendapat syurga dengan membeli syurga menggunakan harta dan kekayaannya (i.e.membayar zakat dan menginfaqkannya). Dia menolak perintah Allah (a.w) dan perintah saudaranya Nabi Musa (a.s). Maka ditenggelamkan oleh Allah (a.w) dalam bumi hidup-hidup - susah bernafas, lemas, tapi tak mati-mati (dalam alam ghaib) sampailah kiamat dunia, dan diteruskan siksaaannya di akhirat pula. Begitu juga Sa'labah yang tidak mahu membayar zakat atas ternakan kambingya dan tak mahu bersedekah, sehingga dia sanggup menyembelih dan memasak anjing yang menjaga kambing-kambingnya menjamu orang iman, kerana itu lebih menjimatkan padanya. Kalau disembelih seekor kambing jantan untuk menjamu orang iman, kambing jantan itu boleh dijadikan baka bapa yang boleh membanyakkan lagi kambing-kambing betinanya yang dibuntingkan. Kalau kambing betina pula, kambing itu boleh beranak 4 ekor setiap 6 bulan, maka rugi juga padanya. Kekayaan membuatkan manusia bakhil, kedekut, dan pelit. Maka dia juga disiksa dalam kubur sehingga kiamat dunia. Bila kiamat dunia, dia akan masuk neraka secara otomatis di siksa pula di sana tanpa batas waktu...
Saudara, jadilah orang yang bijak ketika hidup. Janganlah jadi orang yang bodoh, walau apapun rasional dan logiknya. Dunia itu tetap penjara bagi orang iman. Kenapa? Sebagaimana orang yang dipenjara tidak ada kebebasan yang mutlak. Tetap ada had. Ada peraturan - ada yang dibolehkan dan ada yang tidak dibolehkan dilakukan. Ada suruhan dan ada tegahan. Dalam Islam penjara dunia tidaklah begitu sulit. Kalau ditahan di Kemunting, Taiping, contohnya, tetap dibagi makan - sarapan, makan tengahari, minum petang dan makan malam kelas 1 juga. Kalau tak dipenjara tetap boleh enjoy dalam batasan Islam. Boleh beli apa saja hati hendak, boleh dapatkan isteri lebih dari satu, boleh dapat isteri yang cantik dan sebagainya. Di akhirat, neraka adalah penjara yang hebat.Tidak ada makanan kecuali buah berduri. Bila dimakna tercekik di kerongkong, tidak dapat dikeluarkan dicuba dikeluarkan dengan minum air, tapi airnya? Takda minuman kecuali air bercampur nanah, darah dan kotoran lain yang menggelegak dan panas pula. Bila diminum hancur isi perut. Jadi penjara akhirat itu lebih dahsyat - tak sama makan dan minumannya = dan kebebasannya - berbanding dengan penjara dunia! Tapi, yang lebih baik adalah syurga - balasan akhirat bagi ahli syurga. Yang lelakinya dan perempuannya dimudakan umur sekitar umur Nabi Isa (a.s) - 33 tahun - handsome dan cantik seumpama Nabi Yusuf (a.s), dan isterinya menjadi permaisuri yang mengawal pula Hurul-Ain yang menjadi isteri-isteri si suami. Takda dengki atau iri hati atau tiada caci mencai, kata mengata, fitnah memfitnah dll semuanya aman. Makan tidak terhad. Tak perlu bersusah payah ambil. Teringat saja, datang makanan dengan sendirinya...
Oleh itu pilihlah penjara dunia dari pejaran akhirat. 'Penjara dunia' maksudnya jadilah orang yang Islam, ikuti ketetapan Allah (a.w) (i.e. al-Quran) dan ketetapan Rasulallah (s.a.w) (i.e. as-Sunnah), termasuklah berjema'ah, ikuti ketetapan pemimpin jema'ah (i.e. Imam atau Amir) yang tidak maksiat, buat segala amalan yang difardukan sebaik mungkin, tambahlah dengan amalan dan ibadah sunat sekuat mampu, dan jauhi atau jangan sekali-kali langgar ketetapan Allah (a.w) dan ketetapan Rasulallah (s.a.w) (i.e. yang dilarang jangan buat atau lakukan, kalau tak sengaja ditaubatkan). Biarkanlah orang bersenang-senang dengan berbagai-bagai cara dan kaedah melampias nafsu dan keseronokan di dunia mereka, kita lampiaskan nafsu kita dalam syurga kelak. Biarlah kita berjaga-jaga dan berwaspada di dunia seumpama dalam penjara dikawal oleh Islam dan syariatnya, asalkan bila mati kita seumpama berada di dalam salah satu taman syurga, berehat menunggu syurga yang penuh nimat dan keseronokan ...
Jazakallahu khairah
No comments:
Post a Comment